Hampir 350 tahun lamanya, Filipina diperintah oleh kuasa-kuasat Barat, mulanya oleh Sepanyol dan kemudian oleh Amerika Syarikat. Melainkan sejumlah kecil populasi, majoriti rakyat Filipina telah pun di-Kristiankan dan bahkan ia menjadi satu-satunya negara di Asia Tenggara yang didominasi oleh agama Kristian.

Keadaan ini menatijahkan hilangnya banyak sejarah Filipina pada era pra-k*lonial, iaitu zaman di mana ia menerima pengaruh daripada tamadun India, China, dan Asia Tenggara. Filipina pada era pra-kolonial turut dicirikan oleh tradisi-tradisi keagamaan dari animisme asli, Islam, Buddhisme, dan Hinduisme.

MANUSIA AWAL DI FILIPINA

Pada tahun 2018, dijumpai bukti yang mengisyaratkan bahawa manusia-manusia awal sudah sampai ke kepulauan tersebut sejak 700 000 tahun lalu. Antara yang ditemui adalah tulang-belulang badak sumbu yang telah pupus, berusia dari zaman pertengahan Pleistocene, di sebuah tapak arkeologi yang terletak di Pulau Luzon.

Tulang-belulang itu menunjukkan bukti yang ia dipotong oleh sejenis alatan batu. Turut ditemui bersebelahan telulang itu adalah alatan batu. Keadaan ini menjadi indikasi jelas betapa manusia pengguna alatan batu pernah hidup di pulau itu pada waktu-waktu tersebut.

Walaupun tiada tinggalan-berkait manusia ditemui, ahli-ahli paleontologi menyimpulkan bahawa pembuat alatan batu itu tadi adalah Homo Erectus, salah satu spesis manusia terawal, memandangkan tarikh tersebut terlalu awal untuk dikaitkan dengan Homo Sapeins.

Empat dari tiga belas telulang Rhinoceros Philippinensis. Fosil ini kini dipamerkan di Muzium Sejarah Alam Kebangsaan

Berdasarkan pengetahuan arkeologi tentang kemampuan teknologi Homo Erectus, manusia-manusia awal yang hidup di kepulauan itu kebarangkalian tidak tiba di sana melalui perlayaran yang terancang.

Sebaliknya, mereka lebih cenderung dibawa ke pulau itu tanpa sengaja; yakni setelah dibadai ribut taufan dan dihanyutkan arus ombak hingga akhirnya terdampar di pantai. Apapun, penemuan bahawa sejarah manusia di Filipina mempunyai usia hampir sejuta tahun lamanya sudah cukup mengujakan, kerana sebelum ini, mereka diandaikan hanya menghuni kepulauan tersebut dalam tempoh 100 000 tahun kebelakangan.

Bukti terawal yang mengesahkan kewujudan manusia di Filipina adalah pada 50 000 BP (Before Present; Sebelum Kini). Menjelang milenium ke-2SM, aktiviti pertanian dan budaya hidup menetap mula diperkenalkan di kepulauan tersebut dan sekurang-kurangnya, sebahagian daripada penghuni asli kepulauan itu menetap di kampung-kampung tetap (tidak berpindah-randah), menghasilkan barangan tembikar, dan mengusahakan tanaman padi.

Ukiran batu (petroglif) dari Filipina, di Angono, Rizal, Filipina

INTERAKSI FILIPINA DENGAN TAMADUN-TAMADUN DI ASIA TENGGARA

Pada awal milenium pertama Masehi, kerajaan-kerajaan kecil mula muncul di kepulauan Filipina dan setiap satunya menjalinkan hubungan perdagangan dengan tamadun China dan tamadun-tamadun di Asia Tenggara.

Bukti arkeologi mendapati kerajaan-kerajaan tersebut melahirkan karyawan-karyawan seperti penempa besi dan penghasil tekstil. Golongan pembesar mereka juga mengagihkan hasil perdagangan jarak jauh dan hasil rampasan perang kepada jelata elit mahupun marhaen. Seiring peredaran masa, kerajaan-kerajaan kecil ini berkembang menjadi kerajaan berpusat.

Perdagangan di Pelabuhan Sugbu (Cebu moden), sekitar 1521, oleh Manuel Panares

Pada masa-masa itu juga, sistem tulisan mula diperkenalkan di Filipina. Sistem tulisan yang digunakan di sana banyak dipengaruhi oleh sistem tulisan India dan Indonesia. Malangnya, tidak banyak manuskrip dari zaman itu yang terselamat.

Mujur, terdapat sebuah artifak pra-Kolonial yang mengandungi prasasti dengan sistem tulisan tersebut, dikenali sebagai Plat Tembaga Laguna yang berusia dari 900 Masehi.

Plat tembaga ini diukir dengan sistem tulisan yang digunakan secara meluas di Asia Tenggara. Tulisan ini sendiri mengambil pengaruh daripada sistem tulisan India. Pada prasasti berkenaan, tarikh disebutkan dengan menggunakan kalendar lunar dan hal ini juga merupakan satu kelaziman di rantau berkenaan.

Plat Tembaga Laguna membuktikan betapa kepulauan Filipina tidaklah terasing dari dunia luar dan malahan, ia turut menjalinkan hubungan signifikan dengan tamadun-tamadun lain di Asia Tenggara seawal kurun ke-10M, kalau bukan lebih awal.

Prasasti Plat Tembaga Laguna

AGAMA DI FILIPINA PADA ERA PRA-KOLONIAL

Kebiasaannya, agama berperanan besar dalam menjelaskan identiti sesebuah bangsa dan hal ini tidak terkecuali ketika kita meninjau sejarah Filipina pada era pra-kolonial. Sebelum agama-agama asing dari Barat seperti Kristian dan Islam dibawa masuk, kepercayaan lazim yang dianuti oleh masyarakat di kepulauan itu adalah animisme, iaitu kepercayaan terhadap dewa-dewi dan semangat alam, seperti gunung-ganang, sungai-sungai, dan hutan belantara. Mereka juga lazim melakukan upacara korban sebagai persembahan kepada semangat-semangat yang dipuja itu.

Setiap kampung mahupun kota turut dilengkapi dengan seorang dukun yang kononnya mempunyai kuasa dan akses ke alam ghaib. Walaupun kehadiran agama-agama asing berupaya menggantikan amalan animisme secara efektif, banyak juga unsur tradisi diserap ke dalam agama baru yang dianuti oleh masyarakat Filipina.

Seorang dukun Itneg melakukan sembah korban kepada semangat perisai

PENGARUH BUDDHA DAN HINDU DALAM SEJARAH FILIPINA

Agama awal yang meninggalkan pengaruh di kepulauan tersebut adalah Buddhisme dan Hinduisme. Sekitar 900M, rantau Asia Tenggara didominasi oleh sebuah empayar maritim yang dikenali sebagai Srivijaya. Ibu kota empayar ini terletak di Sumatera dan ia dianggap sebagai pusat pendidikan Buddha yang utama pada tahun 700 hingga 1100M.

Oleh kerana itu, wujud kemungkinan para mubaligh Buddha dari Srivijaya keluar menyebarkan agama mereka ke kepulauan Filipina.

Walaupun tiada rekod sejarah yang memerincikan pengaruh signifikan Buddha di kepulauan Filipina sebelum zaman kolonial, penggunaan kalendar lunar oleh masyarakat tempatan mencerminkan kehadiran pengaruh kedua-dua agama itu.

Vairocana Buddha, kurun ke-9, Srivijaya, Muzium Kebangsaan, Bangkok, Thailand

ISLAM DI FILIPINA

Menjelang kurun ke-14M, Islam tersebar ke Pulau Mindanao dan Sulu. Tidak lama kemudian, sejumlah kesultanan dibentuk di kepulauan tersebut dan Islam terus mengukuhkan kedudukan sehingga masyarakat tempatan di sana masih lagi menganut agama itu hingga ke hari ini. Pun begitu, sejarahwan tidak dapat memerincikan secara muktamad tentang penyebaran agama Islam di Filipina.

Menurut mereka, agama itu disebarkan oleh golongan pedagang yang datang dari Indonesia dan India. Bahkan, sebilangan pemerintah Filipina juga memeluk Islam demi menguatkan hubungan politik dengan rakan-rakan dagang yang lebih berkuasa di Asia Tenggara. Ada juga yang mengusulkan pendapat bahawa golongan sufi dan para pendakwah Islam yang bertanggungjawab menyebarkan agama itu di sana.

Baik Islam tersebar melalui hubungan pedagangan, tujuan politik, mahupun usaha dakwah, agama itu tanpa dapat dinafikan meninggalkan pengaruh yang amat signifikan dalam budaya Filipina.

Banyak kerajaan Islam terbentuk di bahagian selatan kepulauan Filipina. Bahkan, sejarahwan mengandaikan jika Sepanyol tidak memasuki kepulauan itu, tentunya Filipina akan menjadi sebuah negara Islam yang besar.

Walau bagaimanapun, agama-agama baru ini tidaklah menghakis sepenuhnya pengamalan animisme. Golongan asli yang menganut Islam masih menerapkan kepercayaan dan amalan lama mereka, begitu juga dengan penganut Kristian-Katolik.

Gambaran masyarakat tempatan yang mengenakan pakaian sederhana tanpa perhiasan emas

LEGASI

Kepulauan Filipina mempunyai sejarah yang kaya dan berbagai rencam, bermula dari seawal 700 000 tahun dahulu dan melibatkan pelbagai tamadun dan kebudayaan dunia. Budaya Filipina sendiri mengambil banyak pengaruh hasil interaksi dengan tamadun agung dunia, seperti China, India, dan Srivijaya.

Begitu juga dengan agamanya, yang merangkumi pengaruh dari Hinduisme, Buddhisme, Islam, dan Kristian. Apapun, masyarakat asli Filipina masih kekal menonjol. Walaupun telah memeluk Islam ataupun Kristian, mereka masih menerapkan unsur-unsur tradisional ke dalam agama baru yang dianuti itu.

Sememangnya, menjadi satu kelaziman bagi mereka untuk menggabungkan identiti asli Filipina dengan pengaruh budaya dan agama baru.

Santo Nino de Cebu, salah satu relik Kristian tertua di Filipina

RUJUKAN:

Caleb Strom. (1 Oktober 2018). The Rarely Told Story of Pre-Colonial Philippine. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/pre-colonial-philippines-0010781


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.