Jika ditanyakan tentang filem patriotik hitam putih yang memaparkan suasana Perang Dunia Kedua, sudah tentu masyarakat kita secara amnya hanya akan menyebut filem Sergeant Hassan (1958). Namun begitu, masih terdapat dua filem yang bertemakan Perang Dunia Kedua dalam sejarah perfileman tanah air. Ramai yang terlepas pandang ataupun tidak sedar akan kewujudan dua lagi filem yang bertemakan Perang Dunia Kedua.

Pada tahun 1947, syarikat Malayan Arts Productions telah menerbitkan sebuah filem yang berjudul Seruan Merdeka. Filem ini telah diarahkan oleh seorang pengarah berbangsa India iaitu B.S. Rajhans. Filem yang dikenali dengan judul “Call of Freedom” atau “Voice of Freedom” ini menampilkan Salleh Ghani dan Rokiah Hanafi sebagai pelakon utama. Seruan Merdeka telah mencatat sejarah apabila menjadi filem Melayu pertama selepas Perang Dunia Kedua.

Seruan Merdeka mengisahkan tentang keganasan serta kekejaman Kempeitai di Singapura semasa Perang Dunia Kedua. Mereka kemudiannya ditentang oleh sebuah pasukan gerila yang dipimpin oleh Leftenan Rashid lakonan Salleh Ghani.

Iklan penayangan filem Seruan Merdeka (1947) yang disiarkan pada 2 Ogos 1947
(Sumber gambar: Indian Daily Mail)

FAKTA MENGENAI FILEM SERUAN MERDEKA
• Mula ditayangkan di seluruh Malaya pada 2 Ogos 1947.
• Filem berbahasa Melayu yang pertama selepas Perang Dunia Kedua.
• Para pelakon dikehendaki berlatih di Panggung Royal, North Bridge Road dan Istana Kampung Gelam.
• Satu-satunya filem yang diterbitkan oleh Malayan Arts Productions.
• Salleh Ghani dan Rokiah Hanafi menjadi hero dan heroine pertama filem Melayu selepas Perang Dunia Kedua.
• Filem Melayu ketiga yang diarahkan oleh B.S. Rajhans selepas Laila Majnun (1933) dan Menantoe Doerhaka (1942).
• Salah seorang pelakon iaitu Bachtiar Effendi menjadi penolong pengarah filem ini.
• Filem ini telah hilang atau pupus akibat kurangnya kesedaran terhadap penyimpanan filem.

Pada tahun 1958, studio Malay Film Productions (MFP) telah menerbitkan dua buah filem yang bertemakan Perang Dunia Kedua. Pada bulan Ogos 1958, filem Sergeant Hassan yang diarahkan oleh pengarah dari Filipina iaitu Lamberto V. Avellana telah diterbitkan. Pihak MFP melantik beliau sebagai pengarah filem Melayu susulan daripada kemenangan filemnya di Festival Filem Asia Pasifik pada tahun 1956. Di Festival filem tersebut, filem arahannya iaitu Anak Dalita telah memenangi Anugerah Filem Terbaik. Oleh itu, Shaw Brothers meletakkan harapan yang tinggi supaya filem Sergeant Hassan dapat diselenggarakan dengan baik. Filem Sergeant Hassan ini telah menampilkan P. Ramlee, Sa’adiah, Jins Shamsudin, Salleh Kamil, Daeng Idris dan Omar Rojik sebagai para pelakonnya. Fakta mengenai filem Sergeant Hassan ini telah dikupas oleh saudara Hidir Ali Razali melalui artikelnya di laman web The Patriots yang bertajuk Fakta-Fakta Menarik Mengenai Filem Sergeant Hassan.
Sebuah lagi filem bertemakan Perang Dunia Kedua telah diterbitkan oleh pihak MFP pada tahun yang sama. Filem Mata Hari menampilkan para pelakon seperti Maria Menado, Ahmad Mahmud, Omar Rojik, Salleh Kamil, Aziz Jaafar, Jins Shamsudin dan Daeng Idris. Filem ini telah diarahkan oleh seorang lagi pengarah dari Filipina iaitu Ramon A. Estella dan ceritanya dikarang oleh A. Razak, suami kepada Maria Menado. Mata Hari telah diedarkan pada bulan November 1958.

FAKTA MENGENAI FILEM MATA HARI
• Mula ditayangkan pada November 1958.
• Filem kelima dan terakhir Maria Menado di MFP. Sebelum ini, Maria Menado pernah berlakon di MFP menerusi filem Pulau Mutiara (1951), Penghidupan (1951), Permata Di-Perlimbahan (1952) dan Gadis Peladang (1952).
• Filem ketiga dalam sejarah perfileman Malaysia/Singapura yang bertemakan Perang Dunia Kedua.
• Filem ketiga arahan Ramon A. Estella di MFP. Sebelum itu beliau mengarahkan filem Kembali Saorang (1957) dan Anak Pontianak (1958).
• Filem ini lahir selepas pihak Shaw Brothers berpuas hati dengan kutipan box office filem Sergeant Hassan.
• Terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa pengarah Ramon A. Estella ingin menampilkan Jaime de la Rosa (bintang filem yang sangat popular di Filipina) menerusi filem ini. Namun perkara tersebut telah dibatalkan.
• Watak Matahari lakonan Maria Menado ini seolah-olah menyerupai keperibadian Shamsiah Fakeh, seorang pejuang gerila yang menganggotai Parti Komunis Malaya suatu ketika dahulu.
• Selepas berlakon di dalam filem ini, Maria Menado yang telah mengikat kontrak selama setahun dengan MFP telah diambil berlakon di dalam filem Batu Belah Batu Bertangkup. Beliau diberi peranan sebagai Puteri Mayang Murai di dalam filem tersebut, namun akibat satu peristiwa beliau telah digugurkan daripada senarai pelakon dan meninggalkan studio MFP buat selama-lamanya. Watak Puteri Mayang Murai itu kemudiannya diserahkan kepada Rahmah Rahmat yang turut membintangi filem Mata Hari sebagai pelakon pembantu.

Ketika Persekutuan Tanah Melayu baru menyambut ulangtahun kemerdekaan yang pertama, sudah ada tiga buah filem yang memberi gambaran tentang perjuangan sebuah bangsa yang mahu membebaskan tanah airnya daripada penjajah. Jika diperhatikan, ketiga-tiga filem ini telah diarahkan oleh pengarah berbangsa asing. Walau bagaimanapun, nilai-nilai patriotisme sangat tinggi telah ditonjolkan secara jelas serta dipaparkan bahawa perjuangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah ini telah dilakukan oleh semua kaum.

Walaupun filem Seruan Merdeka, Sergeant Hassan dan Mata Hari ini hanyalah sebuah fiksyen, namun filem-filem seperti inilah yang menaikkan semangat patriotisme dan menjadi perintis kepada filem-filem perang Melayu selepas itu.

Sumber

• Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik
• Dato’ Ahmad Fauzee Samad
• Hidir Ali Razali
• Mustafar A.R. (Filem Klasik Malaysia)
• Daftar Filem Melayu (1933-1993) oleh Jamil Sulong, Hamzah Hussin dan Abdul Malik Mokhtar (FINAS, 1993)
• Filem-Filem P. Ramlee oleh Mustafar A.R. dan Aziz Sattar (MZA Terbit, 2008)
• 120 Malay Movies oleh Amir Muhammad (Matahari Books, 2010)
• Indian Daily Mail (Singapore)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang peminat sejarah filem tanah air. Suka menonton filem-filem Melayu hitam putih, terutama sekali arahan Hussain Haniff dan M. Amin.

Leave A Reply