Moving Forward As One

Filem Anti-Komunis Pertama Di Malaysia

1,749

Selepas Perang Dunia Kedua (1939-1945) tamat, penduduk di Malaya dan Singapura ketika itu perlahan-lahan bangkit semula dari kesengsaraan untuk meneruskan kehidupan.

Walau bagaimanapun, datuk nenek moyang kita dahulu menerima satu lagi ancaman daripada Parti Komunis Malaya (PKM) di semenanjung Malaya dan Singapura yang ingin berkuasa dan menubuhkan sebuah negara republik komunis.

Ketika Malaya sedang melalui tempoh darurat (Malayan Emergency) pada tahun 1948, sebuah filem cereka berbahasa Melayu telah dibuat untuk menyebarkan propaganda antikomunis kepada masyarakat tempatan.

Penggambaran filem ini dibuat oleh pihak Sound Masters Inc., sebuah syarikat filem dokumentari dan iklan yang beroperasi di New York, Amerika Syarikat. Segala peralatan untuk membuat penggambaran filem ini juga dibawa dari New York ke Singapura.

Filem propaganda tersebut diarahkan oleh seorang pengarah Amerika, B. Reeves Eason dan diberi judul KAMPONG SENTOSA.

KAMPONG SENTOSA mengisahkan perjuangan penduduk sebuah desa di Malaya yang menyertai pasukan Home Guard untuk menentang pengganas komunis.

Mereka bermati-matian berjuang untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan tanah tumpah darah mereka walaupun nyawa terancam.

Filem yang dilakonkan oleh penduduk tempatan di Malaya dan Singapura ini berakhir dengan babak perkahwinan antara pemuda Melayu dan Cina di kampung itu.

Filem KAMPONG SENTOSA ini mendapat kerjasama daripada pihak Shaw Brothers untuk dibuat penayangannya di pawagam milik dua taikun itu. Namun, KAMPONG SENTOSA hanya ditayangkan lima tahun kemudian iaitu pada tahun 1953.

Ayuh dapatkan buku terbaru keluaran The Patriots, Rahsia Empayar Melayu Srivijaya dan The Malaccan Odssey di Shopee kami. Beli Srivijaya: http://t.ly/9z3K dan Melaka: http://t.ly/kn3A

Tayangan perdana KAMPUNG SENTOSA berlangsung pada 9 Mei 1953 di panggung REX Singapura. Ia juga ditayangkan selama tiga hari di panggung wayang yang sama.

Iklan penayangan filem ini pernah disiarkan oleh akhbar Utusan Melayu pada Mei 1953.

Tidak ramai dalam kalangan kita yang tahu akan wujudnya filem ini.

Mungkinkah kerana waktu tayangannya yang singkat atau maklumat mengenai filem ini yang sangat terhad?

Salinan filem KAMPONG SENTOSA ini ada tersimpan di National Archives and Records Administration (NARA), Amerika Syarikat.

Ia perlu dijejaki semula untuk tontonan generasi kini dan akan datang. Khazanah sebegini merupakan satu rakaman sejarah yang tidak ternilai buat kita.

Ruangan komen telah ditutup.