Festival Opet: Perayaan Kesyukuran Kerana Banjir

418

Pra-tempah hanya di Shopee

Setiap tahun, musim banjir akan melanda Mesir dan fenomena ini digelar sebagai Akhet oleh masyarakat Mesir Purba. Walaupun banjir sering dikaitkan dengan musibah yang mendukacitakan tetapi lain pula bagi mereka. Masyarakat ini sangat gembira dan ternanti-nanti akan kehadiran banjir. Persoalannya, mengapa? Limpahan air dari Sungai Nil ini secara langsung, membantu dalam pemulihan dan penyuburan semula bumi Mesir.

Kegembiraan ini bersulamkan kesyukuran. Sebuah festival pun dianjurkan bagi menghargai anugerah alam tersebut. Festival tersebut diberi nama, Festival Opet, juga dikenali sebagai Jamuan Opet. Nama formal bagi festival ini, merujuk dari frasa, heb nefer en Ipet yang bermaksud “Keindahan Jamuan Opet”. Perkataan Opet atau Ipet ini diyakini merujuk kepada sebuah tempat suci di dalam Kuil Luxor.

Festival ini diadakan di bandar Thebes, iaitu Luxor jika merujuk kepada peta moden. Tumpuan utama festival ini adalah perarakan beramai-ramai dari Kuil Karnak menuju ke Kuil Luxor. Menariknya, patung-patung dewa yang dianggap suci oleh masyarakat Mesir Purba, turut dibawa berarak bersama. Antaranya, patung dewa Amun-Re, Mut dan Khonsu.

Patung-patung ini diletakkan di dalam sebuah bekas khas yang diperbuat daripada pokok cedar Lubnan yang dilapisi emas. Pentingnya bekas ini kerana memudahkan proses pemindahan patung dari satu kuil ke kuil yang lain.

Mengenai tempoh penganjuran festival ini pula, berubah-ubah seiring pertukaran pemimpin mereka. Misalnya, semasa pemerintahan Thutmose III (1458-1426 S.M), festival ini berlangsung selama 11 hari manakala semasa Ramses III hidup dan memerintah, tempoh festival dilanjutkan sehingga 24 hari dan tempoh ini bertambah sebanyak 3 hari setelah kematian beliau-27 hari.

Pada awalnya, festival ini diraikan dengan berjalan kaki dari Kuil Karnak ke Kuil Luxor melalui Laluan Sfinks. Tentu para pembaca tertanya-tanya, mengapa jalan tersebut bernama Laluan Sfinks? Laluan sepanjang hampir 3 km ini, terdapat hampir 1350 tugu sfinks di sisi laluan tersebut.

Apakah motif membina begitu banyak tugu-tugu tersebut? Dikatakan tugu tersebut dapat menghadkan orang ramai dari mengerumuni perarakan semasa festival berlangsung. Terdapat 6 buah altar yang dibina di sepanjang Laluan Sfinks ini, sebagai tempat beristirehat dari perjalanan yang jauh dan memenatkan tersebut.

Laluan Sfinks pada waktu malam. (Wikimedia Commons)

Setibanya di Kuil Luxor, pelbagai siri perayaan dan ritual, diraikan di luar kawasan mahkamah yang ada di Kuil Luxor dan apabila bekas keramat yang mempunyai patung dewa dibawa masuk ke dalam tempat suci Kuil Luxor, hanya firaun dan para paderi kelas tertinggi sahaja yang dibenarkan masuk untuk sesi upacara yang seterusnya. Apabila perayaan ini tamat, bekas keramat tersebut dihanyutkan arus Sungai Nil untuk di hantar semula ke Karnak.

Di samping kemeriahan,keriuhan festival dan kepatuhan terhadap ritual yang dijalankan, juadah yang disediakan sepanjang festival ini berlansung juga merupakan antara elemen penting. Relief dari kedua-dua buah kuil tersebut, ada menyatakan perihal jamuan tersebut. Menurut salah satu relief dari Kuil Luxor, Amenhotep III digambarkan sebagai seorang yang pemurah dengan mempersembahkan pelbagai juadah mewah untuk festival tersebut. Antara juadahnya ialah roti, buah-buahan, madu dan pelbagai lagi juadah yang lain dalam kuantiti yang sangat banyak,

Perihal Kuil Yang Terlibat

Mengenai status Kuil Karnak, terdapat dua catatan nama penting seperti Amen dan Intef II pada sebuah tiang di Kuil Karnak dan dipercayai bahawa kuil ini telah wujud sejak awal Dinasti Ke-11 lagi. Thutmose I merupakan antara firaun terawal dinasti ke-18, telah meluaskan tapak Amun-Re di Kuil Karnak.

Pewaris beliau kemudiannya, telah menyambung penambahbaikan kuil ini dengan pembinaan banyaknya kawasan-kawasan perasmian, laluan perarakan, mahkamah dan pilon di kuil tersebut. Kuil Karnak ini kemudiannya diiktiraf sebagai sebuah kompleks keagamaan yang dianggarkan berkeluasan dua batu persegi. Mengenai Kuil Luxor pula, ia dibina semasa pemerintahan  Amenhotep III sehingga Ramesses II. Kompleks ini telah diperbesar dengan pembinaan mahkamah yg luas, dewan-dewan dan tiang-tiang batu obelisk.

Kompleks Kuil Karnak. (Wikimedia Commons)

Gambaran Terperinci Festival

Gereja Merah milik Permaisuri Hatshepsut, memerintah sekitar 1479-1458 S.M, merupakan antara sumber utama mengenai kajian Festival Opet. Pada awalnya, ia ditempatkan di dalam Kuil Karnak sebagai tempat letaknya dewa Amun-Re, tetapi ia telah dihancurkan oleh Amenhotep III setelah beliau ditabal sebagai firaun. Gereja tersebut dibina semula di luar Kuil Karnak.

Menurut salah satu relief dari gereja ini, ditunjukkan hanya patung dewa Amun-Re sahaja yang dibawa berarak semasa pemerintahan Hatshepsut. Patung ini diusung beramai-ramai oleh para paderi menggunakan Laluan Sfinks ke Kuil Luxor dan setelah tamatnya festival, bekas keramat yang membawa patung dewa ini, dihanyutkan mengikut arus Sungai Nil untuk di hantar semula ke Karnak.

Relief dari Kuil Luxor pula memaparkan bagaimana sambutan perayaan ini berevolusi seiring masa. Pembinaan deretan tiang yang didirikan semasa pemerintahan Tutankhamun, ada diperincikan bagaimana ritual Opet ini dilaksanakan dan juga perubahan cara perlaksanaan festival ini semenjak Hatshepsut lagi.

Perubahan laluan perarakan boleh dilihat pada karya-karya seni di Kuil Luxor. Bekas keramat yang membawa patung dewa, diarak menggunakan laluan sungai dengan ditarik oleh bot-bot yang dan beberapa paderi di tebing sungai. Pada masa yang sama juga, perarakan ini diiringi oleh para tentera, penari, barangan penyembahan dan lembu-lembu jantan yang besar untuk dijadikan korban ritual.

Tambahan, semasa zaman pemerintahan Amenhotep III, perarakan Festival Opet berlaku melalui Sungai Nil. Antara sebab tidak menggunakan laluan darat pada ketika itu kerana firaun selepas Hatshepsut telah membina bot perarakan yang lebih besar dari sebelumnya. Berkemungkinan juga, Amenhotep III mahu menunjukkan bahawa bot yang beliau bina mampu membawa bekas keramat tersebut ke Luxor melalui Sungai Nil. Terdapat juga bot khas untuk beliau naiki sebagai tanda ketinggian penarafan kedudukannya di sisi Amen-Ra semasa festival ini berlangsung.

Mengenai kesahihan penglibatan dewa Khonsu dalam perarakan ini sebenarnya agak samar-samar, tetapi apabila para penyelidik mengkaji pelan Kuil Luxor yang dilakar Amenhotep III, kebarangkalian dewa Khonsu turut serta itu ada. Hal ini demikian, terdapat 2 tempat suci di dalam kuil tersebut dan salah satunya ada dedikasikan buat dewa Khonsu.

Terdapat juga relief menggambarkan , apabila bekas keramat ini sampai di persisiran sungai Kuil Luxor, bekas ini diusung beramai-ramai oleh para paderi di atas bahu mereka hingga ke tempat suci di kuil tersebut.

Ritual Yang Kekal Misteri

Walaupun terdapat banyak relief yang menggambarkan perarakan tersebut, namun tiada satu pun petunjuk yang diperoleh mengenai apakah ritual yang dilakukan di Kuil Luxor. Selain merujuk pelbagai karya seni, tiada juga teks khusus yang mengisahkan kelangsungan festival ini. Bahkan, bekas keramat perarakan itu pun, juga tidak temui.

Pembangunan Bandar Yang Aggresif

Sebenarnya, perubahan landskap keagaaman bandar Thebes ini merupakan berkat sentuhan Hatshepsut. Beliau telah merancang dan memulakan pelbagai projek pembangunan di Thebes.

Antaranya, Laluan Sfinks dan altar-altar yang dibina di sepanjang laluan tersebut. Beliau juga ada membuat relief yang menggambarkan beliau, ada berhubungan dengan para dewa untuk menunjukkan kekuasaan dan taraf kedudukannya. Semuanya ini terinspirasi dari falsafah beliau, semakin banyak dia membina, semakin sayanglah pula dewa Amun-Re kepadanya.

Seakan mewarisi semangat Hatshepsut, Amenhotep III juga merancang pelbagai projek pembangunan, termasuklah pembinaan Kuil Luxor. Pembinaan kuil tersebut didedikasikan kepada dewa Amun dan raja Ka. Sebenarnya, sebelum pemerintahan Amenhotep III lagi sudah ada Kuil Luxor, tetapi telah musnah sepenuhnya. Maka, Amenhotep III merancang untuk membina Kuil Luxor yang baharu.

Kuil Luxor yang kita lihat pada hari ini, sebenarnya mengambil masa selama 150 tahun untuk siap sepenuhnya dan projek ini dilaksanakan dari Amenhotep III hinggalah ke Ramesses II. Kebanyakan projek pembangunan yang yang tidak sempat disiapkan sewaktu pemerintahan Hatshepsut, diteruskan juga oleh Amenhotep III. Antaranya ialah Laluan Sfinks. Pesatnya pembangunan pada zaman tersebut menggambarkan betapa kuatnya ekonomi Mesir Purba pada ketika itu.

RUJUKAN:

Karlsson, L. (2020). Opet Festival. The Festivals of Opet, the Valley, and the New Year, 15-40.

Fukaya, M. (2007). Distribution of Life Force in the Festival of the Valley. Orient, 42(0), 95-124.

P., Luca. (2019, June 25). Egypt’s pharaohs welcomed summer with this fabulous festival. Retrieved from https://www.nationalgeographic.com/history/magazine/2019/05-06/ancient-egypt-royal-feast/

An avenue of human headed sphinxes of over one and a half miles. (2016, December 06). Retrieved from https://discoveringegypt.com/luxor-temple/luxor-temple-sphinxes/

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.