Fenrir – Serigala Gergasi Dalam Legenda Norse

523

Dipercayai sebagai salah satu anak Loki bersama gergasi-betina (jötunn) yang bernama Angrboða, Fenrir memainkan peranan penting, walau singkat, dalam mitologi Norse. Fenrir adalah serigala bersaiz besar yang memiliki kekuatan yang dahsyat.

Walaupun Fenrir hanya dikisahkan di dalam satu penceritaan utama pada saga Norse, namun ia cukup untuk menggambarkan tentang keberanian seorang dewa dan petanda maut bagi dewa-dewa yang lain. Malang buat dewa Aesir dan Vanir, kewujudan Fenrir merupakan salah satu tanda pengakhiran dunia Norse: atau dikenali sebagai Ragnarök.

Menurut Prose Edda karya Snorri Sturluson, hikayat tentang Fenrir ini bermula sama seperti mana-mana raksasa dalam hikayat lain, iaitu dengan kelahirannya yang mencarik norma. Ketika Fenrir dilahirkan bersama adik-beradiknya yang lain, iaitu naga besar Jörmungandr dan wanita berambut gelap bernama Hel, para dewa Aesir berhimpun untuk membincangkan tentang tindakan lanjut terhadap tiga makhluk berbahaya tersebut – yang mana tiga beradik itu diramalkan akan terlibat dalam kemusnahan dunia Norse.

Hel dihantar ke Niflheim, satu lokasi yang memiliki kesamaan dengan Neraka bagi penganut Kristian – tempat yang amat sejuk dan gelap. Jörmungandr pula dihantar ke laut dan kekal di sana sehingga waktu yang ditetapkan (Ragnarök).

Namun, Fenrir ternyata menghadirkan masalah yang lebih besar buat para dewa. Ketika Hel dan Jörmungandr sempat dihantar ke tempat yang ditentukan, Fenrir dengan ajaibnya membesar dengan begitu pantas – menjadi jötunn dalam kalangan serigala. Untuk melindungi dewa-dewa Aesir dari bahaya yang dibawa oleh Fenrir, maka mereka pun memutuskan supaya Fenrir ini perlu dibelenggu.

Odin dan Fenrir, dari lukisan berjudul “Myths of the Norsemen from the Eddas and Sagas”, 1909

CUBAAN MEMBELENGGU SANG SERIGALA

Tiga jenis belenggu atau pengikat terlebih dahulu dicipta sebelum para dewa berjaya membelenggu Fenrir. Belenggu yang pertama dikenali sebagai Leyding. Ia tidak dapat bertahan lama apabila menerima tendangan padu daripada Fenrir. Belenggu kedua, iaitu Dromi ternyata lebih kuat berbanding belenggu pertama. Namun, ia tetap berjaya dihancurkan oleh Fenrir walaupun masa yang diambil oleh serigala itu pada kali ini lebih lama.

Dalam cubaan yang ketiga, para dewa menyedari bahawa mereka memerlukan kepakaran yang menjangkaui kemampuan mereka. Oleh kerana itu, Odin, dewa utama Aesir pun menghantar pesanan kepada penghuni Svartálfaheimr, dunia bagi peri-peri hitam. Mereka hidup di bawah tanah dan berperwatakan buruk secara umum. Pun begitu, mereka tetap bersetuju untuk menciptakan sejenis belenggu yang cukup kuat untuk merantai serigala gergasi itu.

Peri-peri hitam itu kemudiannya membekalkan Odin dengan Gleipnir, belenggu yang diperbuat daripada enam jenis bahan mitos: bunyi tapak kaki kucing, akar gunung, urat beruang, janggut wanita, nafas ikan dan ludah burung. Dengan keenam-enam bahan tersebut maka terhasillah sejenis belenggu yang sehalus riben namun sekuat besi. Para dewa Aesir membuat perhitungan sekali lagi dengan Fenrir di Pulau Lyngvi.

Tatkala melihat belenggu tersebut, Fenrir sendiri meragui kemampuannya untuk menghancurkannya. Ketika para dewa cuba memprovoknya supaya menghancurkan belenggu tersebut, Fenrir meminta supaya dewa meletakkan tangan di rahangnya. Permintaan itu dipenuhi oleh satu-satunya dewa Aesir yang cukup berani untuk membahayakan dirinya demi kebaikan sejagat – iaitu Dewa Tyr, dewa perundangan dan keadilan, Hanya menerusi tindakan itu, barulah Fenrir berhasil dirantai.

Segala cubaan serigala itu untuk membebaskan diri ternyata gagal. Oleh kerana berasa marah dengan kegagalannya itu di samping berang terhadap para dewa yang berjaya membelenggunya, Fenrir bertindak membaham tangan Tyr. Lantas, dewa-dewa Aesir itu pun membelenggunya dengan lebih ketat. Erangan Fenrir pula membenarkan sebilah pedang dibenam pada rahangnya sementara hulu pedang tersebut membuatkan mulutnya terus ternganga sekaligus mendiamkan makhluk itu sehingga tibanya Ragnarök.

Hanya pada masa itulah Fenrir akan dapat merasai kebebasan. Bergegarnya bumi dan hancurnya gunung-ganang yang berlaku pada waktu itu akan meleraikan belenggu Gleipnir, membebaskan serigala itu untuk kemudiannya membahan membaham Odin.

Fenrir membaham tangan Tyr dalam sebuah ilustrasi yang termuat pada manuskrip Iceland abad ke-18

PENGAKHIRAN AESIR

Kejadian itu merupakan permulaan kepada pengakhiran buat dewa-dewa Aesir. Prose Edda menyatakan bahawa dua ekor anak Fenrir, iaitu Sköll dan Hati Hróðvitnisson akan mengikuti jejak langkah ayahnya – membaham matahari dan bulan, menghancurkan bintang dan segala esensi masa. Hanya selepas semua ini berlaku, barulah Fenrir dibvnvh oleh anak Odin yang bernama Víðarr. Tidak lama kemudian, dunia Aesir pun lenyap dan sebuah dunia baru muncul bagi menggantikannya.

Walaupun hikayat daripada kepercayaan Norse purba ini telah menjangkau usia berabad-abad lamanya, ternyata hikayat ini adalah satu-satunya sumber yang menyebutkan secara terperinci tentang karakter Fenrir. Serigala ini meluangkan seluruh hidupnya dalam keadaan terbelenggu di sebuah pulau terpencil, hinggalah takdir menetapkan kebebasannya.

Kisahnya memiliki signifikasi tersendiri kerana ia melalui kepedihan yang lebih berbanding ahli-ahli keluarganya yang lain. Bapanya, Loki merupakan figura yang bertanggungjawab memimpin para jötunn dan bala tentera dari Niflheim dalam memerangi dewa-dewa Aesir semasa berlakunya Ragnarök.

Sambil itu, amukan Jörmungandr pula berperanan membebaskan Fenrir daripada belenggu Gleipnir. Namun, sosok yang bakal membvnvh ketua dewa itu adalah Fenrir sendiri, dan atas kerana itulah namanya terus diingati.

Tyr dan Fenrir, dalam lukisan berjudul “Our Fathers’ Godsaga”, 1911

TERJEMAHAN:

Riley Winters. (17 Mac 2019). Fenrir: The M0nstrous Wolf of Norse Legend. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/legend-fenrir-wolf-bite-002498

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.