Fenomena UFO

0
992
views

Bila kita sebut pasal objek terbang yang tidak dikenali atau UFO, pasti perkara pertama muncul dalam kepala ialah makhluk asing. Dan dari situ, imaginasi kita akan bayangkan berkenaan makhluk asing dalam rancangan televisyen atau filem seperti The X-Files, Falling Skies atau siri filem yang digarap Sir Ridley Scott, Aliens. Tetapi tahukah anda, walaupun ada sesetengah UFO ini mungkin berasal luar dari dunia kita, ada juga UFO sebenarnya datang dari dunia kita sendiri iaitu pesawat-pesawat eksperimen dan sulit yang dihasilkan oleh negara-negara kuasa besar?

Dari tahun 2007 hingga 2012, sekumpulan penyiasat tentera menyiasat fenomena UFO ini dari sebuah pejabat di Pentagon. Program tersebut yang mendapat sokongan bekas senator Amerika Syarikat, Harry Reid mengupah kontraktor-kontraktor ini untuk menganalisis fenomena ini termasuk pertembungan juruterbang-juruterbang tentera dengan objek-objek yang tak dikenali ini. Hasil analisis mereka mendapati kebanyakan pertembungan membabitkan pertembungan dengan pesawat prototaip yang masih diklasifikasikan sebagai rahsia. Tetapi ada juga pertembungan masih lagi belum dapat dijelaskan sehingga ke hari ini dan jika didedahkan, ia merupakan satu revolusi yang mengejutkan umat manusia.

Menurut Nick Pope, bekas pegawai Kementerian Pertahanan Britain yang pernah mengetuai unit siasatan UFO pada tahun 1990-an berpandangan sesuatu yang tidak boleh dijelaskan bukan bermakna ia berasal dari luar dunia ini. Walau bagaimanapun, Pope tidak juga menolak kemungkinan ia berlaku. Jika ia benar-benar berlaku, ia merupakan satu detik perubahan yang signifikan. Satu insiden yang berlaku pada tahun 2004 masih lagi membingungkan pewaham yang menolak fenomena UFO. Dua juruterbang pesawat tempur Tentera Laut Amerika Syarikat menceritakan mereka menjejaki sebuah objek berbentuk cerut dan bersaiz seperti kapal terbang terapung dan cara pengendaliannya mengatasi apa yang diketahui berkenaan aeronatik biasa.

Bagi ketua program, Luiz Elizondo, beliau menyifatkan pemerhatian yang dibuat oleh ramai orang terutama orang yang terlatih seperti juruterbang tentera masih menafikan pelbagai penjelasan yang dikeluarkan. Bagi Pope pula, anggapan pertama pegawai perisikan bila melihat fenomena UFO ialah melihat pesawat-pesawat prototaip yang dibangunkan secara rahsia sama ada oleh negara asing atau agensi kerajaan lain seperti Agensi Projek Kajian Pertahanan Maju (DARPA) dan pihak tentera. Satu lagi penerangan berkenaan fenomena UFO ialah kewujudan fenomena alam yang masih sukar difahami oleh sains. Bagi Elizondo sendiri, ianya bukanlah satu mengejutkan berkenaan teori pertama Pope itu. Ini kerana pada tahun 1980-an, kebanyakan pemerhatian fenomena UFO yang berlaku pada dekad itu sebenarnya membabitkan pesawat-pesawat rahsia tentera seperti Lockheed F-117 dan Northrop Grumman B-2. Semua ujian penerbangan ini dilakukan di barat daya Amerika Syarikat pada dekad tersebut.

Dan ini bukanlah juga sesuatu yang mengejutkan berkenaan khabar angin pembangunan pesawat baru, kebanyakannya protataip tentera yang masih dirahsiakan. Dalam medan peperangan, pasti kita sudah diperkenalkan dengan dron Predator yang mula digunakan semasa kempen perang di Afghanistan. Tentera Udara Amerika Syarikat membangunkan dron tersebut sejak awal 2000 dan hanya diakui kewujudannya selepas seorang jurugambar melihat ia berada di sebuah padang terbang di Afghanistan pada tahun 2007. Dan kini pihak tentera sedang membangunkan generasi kedua Predator untuk menggantikan model dron mereka. Dron yang dikenali sebagai RQ-180 dengan berupaya mengelak dikesan radar menggunakan teknologi pesawat pengebom B-21. Buktinya, sebuah pesawat misteri berbentuk baji dikesan di atas langit Kansas oleh seorang jurugambar. Pesawat tersebut dikatakan sedang menguji versi awal teknologi pesawat B-21.

Waqaf Saham

Selain RQ-180, Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa besar lain turut membina dan menguji pesawat hipersonik dan mempunyai kelajuan mengatasi Mach-5. Sesetengah firma atau kuasa besar melakukannya secara terbuka tetapi ada juga yang bersikap perahsia seperti Lockheed Martin. Syarikat tersebut kini sibuk membina generasi kedua pesawat SR-71 Blackbird iaitu SR-72. Ramai berspekulasi pesawat berkenaan berpotensi mencecah kelajuan Mach 6, lebih laju dari semua pesawat lain seperti SR-71, U2, YF-22 dan Dark Star.

Bagaimanapun, kemunculan prototaip-prototaip rahsia yang terbang di langit terutama di Amerika Syarikat bukan bermakna kita boleh menolak secara terus fenomena UFO. Menurut Pope, sesetengah orang dalam kerajaan terutama dalam bidang perisikan bersedia untuk mempercayai apa yang selama ini dianggap mustahil iaitu kewujudan makhluk asing. Bagi sesetengah insiden, masih ada yang belum boleh dijelaskan oleh komuniti saintifik tetapi kebanyakan UFO yang kita lihat berkemungkinan prototaip pesawat sulit ini dan sesetengah daripadanya terus menimbulkan kebingungan kepada para juruterbang sehingga ke hari ini.

SUMBER

1. Cooper, Helene, Blumenthal, Ralph dan Kean, Leslie. (2012). The New York Times. Glowing Auras and ‘Black Money’: The Pentagon’s Mysterious U.F.O. Program. https://www.nytimes.com/2017/12/16/us/politics/pentagon-program-ufo-harry-reid.html

2. Axe, David. (2013). War Is Boring. Yes, America Has Another Secret Spy Drone—We Pretty Much Knew That Already. http://warisboring.com/yes-america-has-another-secret-spy-drone-we-pretty-much-knew-that-already/

3. Mizokami, Kyle. (2017). War Is Boring. Rumors of Secret Warplanes Preceded SR-72 Reveal. https://warisboring.com/rumors-of-secret-warplanes-preceded-sr-72-reveal/

4. Axe, David. (2017). National Interest. ET Denied: Many UFOs Are Just Super-Secret Military Aircraft. http://nationalinterest.org/blog/the-buzz/et-denied-many-ufos-are-just-super-secret-military-aircraft-23816?page=show

Previous articleLaksamana, Ke Mana Kamu Berlayar?
Next articleAl-Kisah Aina Gamzatova Tanding Presiden Rusia
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE