Kehadiran mesin layan diri bukan sesuatu yang baru dan banyak muncul di serata dunia. Di Malaysia, mesin sebegini selalunya digunakan untuk menjual minuman terutama minuman bergas dan air kotak serta menjadi tumpuan ramai kerana boleh diakses 24 jam. Tetapi di Jepun, ia bukan saja satu norma tetapi negara berkenaan mempunyai kepadatan mesin layan diri paling tinggi di dunia. Jadi mengapa rakyat Jepun menggilai mesin layan diri?

Kegilaan mesin layan diri

Jepun sememangnya dikenali dengan sikap kreatif dan inovatif mereka dengan mesin layan diri dianggap pengenalan inovasi mereka di pasaran. Cakaplah apa sahaja barang yang terlintas dalam kepala dan ia ada dijual dalam mesin layan diri. Dari coli dan seluar dalam hinggalah sushi dan rokok.

Bagi setiap 50 orang, pasti ada satu mesin layan diri berhampiran untuk memenuhi keperluan pelanggan di situ. Mesin-mesin sebegini diletakkan di banyak tempat dari pusat beli-belah hinggalah stesen keretapi dan bas. Dan jangan terkejut jika anda menjumpai mesin layan diri di kawasan pedalaman termasuk di Gunung Fuji.

Di sesetengah tempat terutama negara-negara Barat, mesin layan diri dianggap simbol kepada semua jenis masalah yang melanda masyarakat moden hari ini seperti mahukan sesuatu dengan segera, penghasilan plastik sekali guna, ketiadaan hubungan manusia dan hilang peluang pekerjaan.

Tetapi Jepun pula tidak memandang mesin layan diri dari sudut negatif dan melihat automasi dari sudut positif. Minat dan kepercayaan Jepun terhadap teknologi telah mewujudkan pasaran pengguna yang unik yang membenarkan industri mesin layan diri terus berkembang. Jepun juga tidak berhadapan isu negatif yang menyelubungi mesin layan diri di mana pengangguran masih di tahap rendah dengan 2.4%.

Di Jepun, semua orang boleh memiliki mesin layan diri dari firma-firma besar hinggalah peniaga-peniaga kecil. Bagi firma-firma besar, mesin layan diri bukan saja berperanan menjual produk mereka kepada pengguna tetapi juga sebagai alat pemasaran.

Contohnya, jika anda pergi ke satu mesin layan diri di Stesen Shibuya, anda akan perasan ramai beratur di situ bukan untuk membeli barang tetapi untuk menguji keberanian mereka. Dikelilingi oleh orang ramai yang ingin tahu, individu yang berminat kemudiannya perlu menekan salah satu daripada tiga butang ini: koku (seluruh tubuh), nigami (pahit) dan kaori (bau).

Selepas menekan salah satu butang, individu itu diarah memasukkan tangannya ke dalam sebuah lubang mesin di mana tangannya akan disapu dengan berus, ditiup angin atau kejutan-kejutan yang tidak diketahui. Selepas selesai, mesin layan diri berkenaan akan mengeluarkan satu kertas berkenaan maklumat siri televisyen seram Fuji TV Yonimokimyona Monogatari. Kertas tersebut turut dicetak dengan nombor dan bagi pemenang yang bertuah, berpeluang mendapat secawan kopi. Mesin ini didirikan dari akhir September hinggalah 17 Oktober 2017 untuk mempromosikan rancangan berkenaan.

Satu kelebihan bagi peniaga-peniaga kecil yang menceburi industri mesin layan diri ini ialah mereka boleh menawarkan produk-produk yang berbeza bagi memenuhi selera pelanggan. Ini membolehkan pelanggan dapat memilih apa jenis produk yang mereka mahu dari mesin layan diri berbanding berkunjung ke kedai runcit.

Pemilikan mesin layan diri secara bebas juga membenarkan mana-mana usahawan yang mahu berkecimpung dalam bidang perniagaan untuk melabur tanpa perlu memikirkan risiko dan beban kewangan yang perlu ditanggung sekiranya mereka membuka kedai dan merekrut pekerja-pekerja.

Ini amat relevan di kebanyakan bandar di Jepun di mana kepadatan penduduknya ditandingi dengan harga tanah yang boleh buat mata anda terkeluar. Di samping itu, pemilikan mesin layan diri ini juga membolehkan peniaga dapat meletakkan produk jualan mereka tanpa perlu bimbang soal ruang kedai. Ianya amat lumayan dari segi pendapatan dengan mesin layan diri minuman saja mencatat pendapatan sebanyak $27 bilion pada tahun 2010. Sementara pendapatan tahunan dari mesin layan diri boleh mencecah sehingga tujuh trilion yen. Wow!

Sebab mesin layan diri popular

1. Kadar jenayah di Jepun yang rendah. Tidak seperti di sesetengah negara di mana mesin sebegini sentiasa menjadi mangsa vandalisme, perkara tersebut tidak berlaku di negara Matahari Terbit itu. Walaupun vandalisme ada berlaku, tetapi ia amat jarang berikutan ia dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan ia dihubungkan dengan mana-mana balai polis terdekat dengan mesin berkenaan.

Pertumbuhan mesin layan diri turut dibantu dengan hakikat aktiviti demonstrasi selalunya berjalan dengan aman dan tidak membabitkan kerosakan harta benda. Ini sekaligus memberi keyakinan kepada pengusaha mesin bahawa mesin mereka jarang dirosakkan atau disalahguna.

Negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Britain tidak berani meletakkan mesin layan diri di luar kerana bimbang dengan jenayah vandalisme dan kerosakan harta benda. Pada tahun 2015 sahaja, 1.3 juta kes jenayah kerosakan harta benda peribadi dan awam direkodkan di Britain.

2. Kepadatan penduduk yang tinggi. Satu fakta berkenaan Jepun ialah 93% penduduknya merupakan golongan urban. Dengan kepadatan sebegini, harga hartanah sudah pasti meningkat sekaligus menyukarkan peluang sesiapa pun untuk membuka kedai runcit dan menyimpan barangan pengguna. Satu artikel dari Business Insider UK mendedahkan mesin layan diri meraih untung lebih banyak di tanah sekangkang kera berbanding sebuah kedai runcit.

3. Minat terhadap teknologi. Di Jepun, obsesi sebegini sudah biasa dilihat terutama terhadap robot dan automasi dalam animasi seperti Gundam dan Ghost in the Shell. Tetapi minat sebegini bukan sekadar dibina atas dasar percaya dan minat tetapi juga atas dasar kemudahan. Kemudahan sebegini amat membantu para usahawan untuk berniaga dan pengguna untuk membeli produk yang ditawarkan.

4. Tidak seperti sesetengah tempat di mana waktu kerjanya antara 9.00 pagi hingga 5.00 petang, orang Jepun harus bekerja lebih lama kadangkala sehingga 12 jam sehari. Bagi mereka, mesin sebegini dianggap penyelamat kerana mereka boleh membeli barang pada bila-bila masa terutama di luar bandar.

Walaupun dianggap menandingi kedai runcit dari segi akses dan kepelbagaian barang, itu tidak menghalang pengusaha kedai dari melawan semula ditambah dengan faktor undang-undang. Contohnya, anda tidak boleh membeli rokok di mesin layan diri melainkan sekiranya anda memiliki satu kad khas sebagai pengesahan umur bila hendak membeli di mesin layan diri yang dikuatkuasakan pada tahun 2008. Sebelumnya pada tahun 1995 pula, Persatuan Penjual Arak Seluruh Jepun memutuskan mengharamkan mesin layan diri yang menjual arak di luar untuk mengelakkan ia dibeli oleh pengguna bawah umur.

Bagi perokok, pengesahan sebegini dianggap menyusahkan dan ini mendorong mereka berkunjung ke kedai runcit. Ini menyebabkan bilangan mesin layan diri rokok turun dari 630,000 buah kepada 170,000 buah. Kedai-kedai runcit juga turut memperkenalkan mesin kopi dengan harga 100 yen secawan. Harga tersebut jauh lebih murah daripada harga setin kopi yang dijual dalam mesin layan diri dan ini memberi kesan kepada jualan mesin layan diri kopi.

Tetapi ada pula melihatnya sebagai alat pemasaran firma mereka seperti rangkaian restoran Nitanda Shoyu. Apabila mereka menjual stok sup mereka menerusi mesin layan diri 10 tahun lepas, ia merupakan sebahagian daripada cubaan menjual stok sup mereka dalam botol plastik. Dan siapa sangka terima kasih kepada laman media sosial, mesin milik rangkaian restoran itu sudah bertambah kepada 45 buah dan lebih separuh daripada penjualan dashi diraih daripada mesin layan diri.

Menurut pegawai syarikat berkenaan, produk industri kecil dan sederhana seperti mereka selalunya tidak disedari bila dijual di kedai runcit. Tetapi jika ia dijual di mesin layan diri yang unik, orang akan perasan. Walaupun wujud permintaan untuk mewujudkan lebih banyak mesin layan diri di seluruh Jepun, hasrat pengembangan perlu ditangguhkan berikutan kenaikan harga bahan utama dashi iaitu ikan terbang.

SUMBER

1. Zhang, Edward. (2017). Are Japanese Vending Machines Transferable to other Nations? Medium.com. https://medium.com/wonk-bridge/japan-vending-machines-ad44b56d2bb

2. Jane Hall, Eleanor. (2019). The Vending Machine: A Unique Symbol of Japan’s Modern Culture. TokyoWeekender.com. https://www.tokyoweekender.com/2019/03/vending-machine-unique-symbol-japan-culture-entrepreneurship/

3. Nikkei Asian Review. bayashi, Hiroyuki, Takakura, Makiko dan Takao, Yasuaki. (2017). Japan businesses rediscovering the magic of vending machines. https://asia.nikkei.com/Business/Business-trends/Japan-businesses-rediscovering-the-magic-of-vending-machines

4. Nippon.com. (2018). Vending Machines in Losing Battle Against Convenience Stores. https://www.nippon.com/en/features/h00258/vending-machines-in-losing-battle-against-convenience-stores.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.