Dalam sejarah Jepun itu sendiri, sebelum fasa Heian melanda peradaban mereka, Jepun banyak meminjam dan mengadaptasikan kebudayaan China terutama dari Dinasti Tang dalam peradaban mereka. Namun, bermula pada fasa Heian, Jepun mula mengembangkan kebudayaan mereka yang merangkumi dari kesusateraan sehingga ke lukisan, sekaligus membentuk kebudayaan Jepun sendiri yang mula membebaskan diri mereka daripada pengaruh China.

Tentunya, bila kita bercakap mengenai sejarah Heian ini, fokus kita pada golongan-golongan teratas pada hierakri bangsa Jepun itu sendiri. Tetapi bila difikirkan kembali, memang sejarah purba, pertengahan dan pra-moden banyak bercakap mengenai golongan meski mereka hanya peratus kecil dalam masyarakat. Sebab musababnya ialah kerana sejarah memang dicatatkan oleh golongan ini berbanding golongan awam dan rakyat biasa. Kita mengetahui banyak mengenai fasa Heian dalam sejarah Jepun ini adalah pada novel pertama Jepun dalam sejarah iaitu The Tale Of the Genji yang ditulis oleh seorang wanita bernama Murasaki Shibiku.

Adapun, sebelum kedatangan China, Jepun sangat-sangat berterima kasih kepada China dalam soal pengaruh kebudayaan mereka. Ia bermula apabila utusan-utusan dari Jepun mula sampai ke Dinasti Tang lalu mendapati bahawa di China terdapat peradaban yang lebih maju daripada peradaban di negara mereka. Lantas bermula pada fasa ini, Jepun mula menerapkan “dasar pandang ke Dinasti Tang” dalam peradaban mereka.

Sebagai contoh, dalam pembinaan kota Heijō-kyō yang jelas meniru pelan kota Chang An di China, di mana ia dibina dalam bentuk segi empat tepat dengan jalan-jalan dalam kota terbentang ke arah Utara-Selatan dan Timur-Barat. Falsafah seperti istana pemerintah dibina di utara kota juga adalah untuk menepati falsafah China di mana ketika itu, di mana seolah-olah maharaja memandang ke selatan dan menjaga rakyatnya dari Utara.

Selain itu, undang-undang yang digunakan oleh Dinasti Tang turut diambil oleh bangsa Jepun. Dasar feudalism yang diamalkan oleh Tang juga diimplementasikan dalam pentadbiran Jepun. Sebagai contoh tentang hak pemilikan tanah dan pembahagian tanah. Adapun, Jepun kemudian pada satu fasa, mula memalingkan wajah mereka daripada Dinasti Tang atas faktor tertentu seperti betapa ketika itu, Dinasti Tang sedang melemah.

Fasa isolasi Jepun ini bukanlah bermaksud bahawa mereka memang tidak menjadikan China sebagai contoh. Tetap ada pengaruh China pada peradaban mereka. Bezanya ialah bagaimana mereka mengadaptasikannya, lalu memberikan nafas tempatan. Sebagai contoh, pada tulisan kana yang Jepun pinjam daripada China untuk menulis bahasa mereka. Sudah tentu, kali ini ia disesuaikan dengan sebutan tempatan. Kalau tidak, tidak akan lahirnya novel pertama Jepun bukan?

Fasa Heian ini pula dinamakan pada nama sebuah kota pemerintahan Jepun ketika itu iaitu Heiankyo yang pada zaman kemuncaknya, mempunyai populasi mencecah 100, 000 orang, mengatasi mana-mana kota-kota di Eropah pada ketika itu. Namun, kebanyakan info tentang kota-kota pada zaman ini tidak terlalu diketahui kerana semuanya sudah musnah pada masa kini sama ada gempa bumi, api, perang dan diruntuhkan untuk menaikkan binaan yang baru.

Fasa Heian juga mempunyai sistem kasta mereka yang tersendiri di mana setiap orang dibahagikan setiap tingkat dan pangkat kehidupan mereka berdasarkan kelahiran mereka. Ketika itu, terdapat 30 pangkat yang wujud pada zaman Heian dengan 4 tertinggi merangkumi yang tertinggi untuk raja-raja dan puteranya, manakala 3 teratas dikenali sebagai Kugyo yang menerima pelbagai keistimewaan seperti jawatan tertinggi dalam kerajaan, hak untuk mengutip cukai pada tanah-tanah sawah, hak menghantar anak-anak mereka ke universiti, kelayakan memakai pakaian ritual kebudayaan yang cantik-cantik bahkan kalau berbuat kesalahan, hukuman yang lebih ringan dikenakan ke atas mereka.

Bahkan, sistem kasta yang wujud di Jepun ini sangat-sangat terperinci sehinggakan soal sekecil memiliki kipas tangan untuk setiap pangkat juga sudah ditentukan dengan tiga pangkat tertinggi membolehkan mereka memiliki 25 jenis kipas tangan. Dan apabila kita bercakap mengenai fasa Heian, ia adalah tentang 3 atau 4 pangkat tertinggi dalam rakyat Jepun yang sebenarnya hanya mewakili 1 peratus sahaja daripada kehidupan sebenar orang Jepun pada waktu itu! Golongan 1 peratus ini pula saling berkait antara satu sama lain, dan sampaikan mereka tidak mengendahkan atau malas nak ambil tahu tentang kelompok yang berada di luar kelompok mereka.

Fakta menarik mengenai fasa Heian ini ialah pada abad ke-10 Masihi, kebanyakan tanggungjawab kerajaan dan tugas-tugasnya dijalankan pada waktu malam, dan semuanya melibatkan ritual dan upacara-upacara kerajaan. Ekonomi pula tidak berapa berkembang di Jepun dek kerana amalan kerajaan yang tidak berapa efisyen. Namun, walaupun demikian, para bangsawan tetap menerima manfaat daripada kutipan-kutipan pertanian dan boleh mewarisi hak ke atas pendapatan pertanian itu kepada ank mereka. Walaupun mereka tidak memiliki tanah seperti di Eropah, kutipan seperti cukai dari hasil tanaman tetap dapat ke mereka.

Bahkan mereka turut memiliki estet yang bebas daripada cukai yang dipanggil sebagai manor. Lebih mengejutkan, pemilikan manor ini tidak tertakluk kepada kaum lelaki sahaja, malah kaum perempuan. Ini tidak dihairankan kerana betapa peranan kaum perempuan kelas atasan juga memainkan peranan yang sangat besar dalam mekarnya kebudayaan Jepun ketika fasa Heian.

Perempuan pada zaman itu, sudah tentu dari kelas tertinggi, selain terlibat dalam penulisan puisi, kesusateraan Jepun sehingga menghasilkan novel pertama Jepun, mereka juga melibatkan diri dengan amalan mencantikkan diri mereka, kadangkala menjadi terlalu obses. Sudah tentu, definisi kecantikan pada zaman itu berbeza dengan kita hari ini. Ia melibatkan memakai pakaian yang tebal dan berat, memutihkan muka dengan solekan serta menghitamkan gigi mereka, dan tidak ketinggalan menyimpan rambut sehingga panjang sehingga terjuntai ke kaki.

Bahkan, kaum wanita juga dilindungi dengan sangat baik pada zaman Heian. Terdapat undang-undang yang menyentuh bahawa seorang suami dilarang untuk memukul isterinya. Kaum wanita pada zaman Heian untuk golongan tertinggi juga menerima pendidikan, dan walaupun ia terhad kepada perkara untuk menarik perhatian lelaki seperti puisi, kaligrafi, tarian, dan kesusateraan. Subjek seperti sejarah, falsafah dan undang-undang masih lagi terhad kepada kaum lelaki. Yang menariknya, apa yang kita baca mengenai zaman Heian ini adalah dari sudut pandang para wanita yang bercerita melalui puisi-puisi dan novel mereka tentang dunia patriaki di Jepun.

Walaupun zaman ini penuh dengan korupsi dan ketidakefisyen pentadbiran kerajaan Jepun, ia turut menyumbang kepada kekayaan dan masa kepada golongan bangsawan untuk mereka menumpukan sepenuh perhatian pada soal-soal seperti kebudayaan. Agama Buddha juga memainkan peranan dalam perkembangan kebudayaan Jepun pada waktu itu terutama pada prinsip dan falsafah mengenai kecantikan harus diraih kerana betapa mereka tidak kekal.

Fasa Heian juga merangkumi kehidupan para bangsawan yang banyak dipenuhi dengan bermain permainan seperti permaianan papan, catur, atau terlibat dalam pertandingan antara satu sama lain seperti berpuisi dan memanah. Selepas menghabiskan permainan atau puas bertanding antara satu sama lain, mereka akan dihidangkan dengan jamuan yang akan diiringi oleh para penari istana. Penari yang menang dan mempersembahkan tarian terbaik, akan diberi hadiah manakala yang kalah dipaksa minum arak yang dipanggil sebagai tanda kekalahan mereka.

Bentuk kehidupan yang diceritakan pada zaman itulah membuatkan fasa Heian menerima ledakan kebudayaan yang sangat besar dalam masyarakat Jepun, bahkan ia akan terus menjadi tiang kepada perkembangan budaya Jepun di masa hadapan. Selain daripada novel pertama yang bertajuk The Tale Of the Genji yang ditulis oleh seorang wanita bernama Murasaki Shibiku, kesusasteraan Jepun pada waktu ini turut mengenali karya-karya sastera yang ditulis oleh para wanita sezaman dengannya sebagai contoh, The Pillow Book yang ditulis oleh Sei Shonagon, kompilasi diari melibatkan para gundik dan dayang di istana.

Selain kesusasteraan, Jepun juga melihat terhasilnya kain-kain dan pakaian yang cantik yang diperbuat daripada sutera dan segala bahan yang diambil dari China. Untuk seni visual pula, tentunya kelahiran lukisan, kaligrafi bahkan pada zaman itu, setiap reputasi bangsawan dan kelas pemerintah ini adalah ditentukan dengan kemahiran mereka menghasilkan puisi, muzik, tarian dan memahirkan diri bermain permainan papan seperti go dan juga memanah.

Agama Buddha sekali lagi menjadi pemain peranan penting dalam perkembangan kebudayaan baru dan unik di Jepun bermula dengan fasa Heian ini. Para pelukis dan pemahat mula menggunakan pengaruh Buddhism mencipta seni mereka yang biasanya melibatkan loceng gangsa, patung batu yang membentuk figura dan imej Buddha, cermin gangsa yang semuanya membantu membentuk imej Jepun yang baru.

Pada zaman ini juga, terbentuknya lukisan Jepun dengan imej kebudayaan Jepun sendiri yang mula lari daripada lukisan China. Lukisan Jepun ini dikenali sebagai Yamato-e, dibangunkan dengan menggunakan warna yang lebih ceras, lepas terperincian pada elemen dekoratif, dan menggunakan lebih garisan sudut dalam lukisan mereka.

Bahkan, kelas Samurai yang merupakan identiti unik Jepun juga adalah berpunca pada fasa peralihan ke zaman Heian, apabila Jepun mula berpaling dari China. Pada zaman sebelum fasa Heian, Jepun meniru konsep China dengan menggunakan konsep kerahan untuk melindungi posisi dan pangkat mereka. Apabila mereka mula berpaling daripada China, dan apabila orang Emishi memberontak pada pemerintah, maka pemerintah Jepun ketika itu, yakni Maharaja Kammu menghapuskan sistem kerahan daripada China.

Jepun mula menghadapkan fokusnya pada anak-anak bangsawan untuk menyediakannya kuda dan tentera untuk perangnya. Orang Jepun mendapati kuda lebih efisyen untuk menghadapi taktik gerilla orang Emishu ini. Ini secara tidak langsung merupakan permulaan kepada naiknya kelas Samurai pada fasa peralihan ke zaman Heian.  Hanya pada sekitar 1050 Masihi, kelas Samurai mula naik hasil daripada pertukaran fokus Jepun daripada kerahan tentera dan kelas-kelas elit Jepun menyediakan tentera berkuda untuk mempertahankan maharaja.

Sebenarnya perbahasan pada sumbangan besar fasa Heian ini kepada perkembangan kebudayaan Jepun ini adalah sangat besar, dan tidak mungkin mampu dimuatkan dalam sebuah artikel ringkas. Artikel ini masih tidak menyentuh mengenai bagaimana puak Fujiwara menguasai istana dan menghadkan kuasa maharaja, atau kemudian puak ini digulingkan oleh Maharaja Go-Shanjo, atau ketika Maharaja Shirakawa menjadi maharaja Jepun pertama dalam sejarah menjadi sami Buddha, sekaligus menerbitkan fasa insei (fasa terkurung) bagi maharaja. Fasa insei ini hanya ditamatkan oleh puak Minamoto sebelum puak Minamoto memenangi  Perang Genpei mengalahkan puak Taira dengan bantuan puak Hojo sekaligus menamatkan Fasa Heian dan lahirnya Keshogunan Jepun yang pertama iaitu Keshogunan Kamakura yang diasaskan oleh puak Minamoto.

InsyaALLAH, di masa hadapan, mungkin kita akan membahaskan lebih besar topik-topik dalam sejarah Jepun yang tentunya, tidak akan pernah berhenti memberikan rasa kagum pada para peminat sejarah seperti kita.

Rujukan:

World History: Japan in the Heian Period. (2015) Crash Course.

Cartwright, M. (2017). Heian Period. Ancient History Encyclopedia.

Seagal, Ethan (2010) Heian Japan: An Introductory Essay. Michigan State University


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.