FAQ: Mencabar Teori Konspirasi Pendaratan Manusia Di Bulan Adalah Hoax

1617
views

Hampir 50 tahun selepas manusia mencapai keagungan tertinggi dalam perkembangan peradaban mereka, menjadikan pencapaian terhebat dalam bidang penerokaan. Nama seperti Neil Armstrong dan juga Buzz Aldrin tentunya terpahat dalam ingatan kita. Atau juga Michael Collins yang diingati sebagai pengemudi utama Apollo 11.

Namun, apabila setiap artikel yang menjelaskan dari sudut sejarah, sains dan seumpama dengannya, mesti ada suara sumbang pengganut tegar konspirasi yang merasakan bahawa dengan duduk depan PC dan menonton video-video daripada YouTube sudah cukup untuk membuatkan mereka jauh lebih pakar daripada 400, 000 orang kru kerja yang bertanggungjawab memastikan pendaratan tersebut menjadi kenyataan.

Sukanya kami ingatkan bahawa The Patriots sentiasa kekal sebagai wadah yang mengangkat hujah, bukti empirikal dan rasional dalam kebanyakan situasi disekitar kita. Kami seperti dahulu, sangatlah tegas menentang apa-apa bentuk teori konspirasi yang tidak disandarkan pada asas fakta sejarah yang kukuh, termasuklah pada pendaratan manusia di bulan.

Jadi, dalam artikel ini, kami cuba melawan teori-teori konspirasi yang cuba menuduh pendaratan manusia di bulan sebagai hoax. Dalam artikel ini, kami akan membantah dan mencabar teori konspirasi yang popular dikalangan penganut teori konspirasi.

1. Kenapa Van Allen radiation belt (sabuk sinaran Van Allen) tidak membunuh terus para angkawasan yang pernah sampai ke Bulan?

Untuk yang tidak mengetahui, sabuk sinaran Van Allen ini ialah salah satu daripada sekurang-kurangnya dua lapisan zarah bercas bertenaga (plasma) yang berada di sekeliling Bumi akibat medan magnet Bumi. Ia merentangi dalam jarak sehingga 1,000 hingga 60,000 kilometer di atas permukaan Bumi. Radiasi dalam Kawasan ini selalu berubah-ubah. Ia dikatakan terwujud daripada angin suria dan sinaran kosmos.

Gelombang Van Allen yang diperkatakan.

Kononnya dakwaan kaki teori konspirasi tegar, atau sahabat saya Ahmad Faezal lebih suka memanggilnya sebagai Hoaxers mengatakan bahawa tidak ada seorang manusia pun yang mampu melepasinya hidup-hidup atau akan mati “dipanggang” dalam sinaran radiasi ini. Benarkah sedemikian?

Sebenarnya kewujudan kawasan ini telahpun diketahui oleh komuniti sains dari seluruh dunia. Lagi-lagi, misi menghantar prob ke bulan oleh Explorer, Pioneer, dan Luna ketika 1950 dahulu. Jadi, langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini sudahpun dikenalpasti. Jadi, selepas pengiraan matematik yang rumit, maka NASA mendapati dalam perjalanan melalui kawasan tersebut dalam tempoh 2 jam, para angkawasan NASA hanya terdedah pada kesan radiasi dalam sekitar 18 rads  sahaja, manakala untuk mendapat sakit daripadanya, amaun yang dikatakan oleh saintis harus dalam sekitar 200 rads sehingga 1000 ‘rads’.

Pengiraan tersebut boleh didapati pada pautan ini (https://spacemath.gsfc.nasa.gov/Algebra1/3Page7.pdf). Kalau anda mahu membantah hujah ini, saya tekan-tekankan sangat anda mengeluarkan pengiraan anda sendiri, dan membuktikan kepincangan formula matematik tersebut. Sampai sekarang, selepas beribu-ribu ahli matematik dari seluruh dunia lahir, masih tidak ada yang mampu mengatakan bahawa formula tersebut berjaya dikira. Anda berani? Sahut cabaran saya!

2. Kenapa bendera USA Berkibar Dalam Gambar Yang Dikongsikan? Sejak bila bulan ada angin!

Animasi gambar jelas menunjukkan pergerakan Buzz Aldrin, tetapi bendera masih kekal statik tanpa kibaran.

Antara persepsi yang ditanam oleh kaki-kaki teori konspirasi ialah di bulan tiada udara, bagaimana panji USA yang dibawa boleh berkibar? Sebenarnya, salah faham ini adalah pada gambar tersebut. Sebenarnya bendera tidak berkibar pun, kekal statik disebalik kainnya pula, dipasangkan rod berbentuk L untuk memastikan bendera Amerika Syarikat tidak terjatuh.

Kalau adapun imej panji bergerak memberi gambaran bahawa ia seperti ditiup angin, ia adalah akibat daripada pengerakkan ketika usaha memacakkan bendera itu. Tiang kelihatan dipusingkan beberapa kali, sekaligus membuatkan bendera turut bergerak. ditambah pula dengan keadaan graviti di bulan yang lebih lemah dari bumi.

Pautan untuk menonton video usaha memacakkan panji US di Bulan: https://www.youtube.com/watch?v=wd6ekSYpt9w

3. Kenapa Tiada Bintang Pada Langit Bulan?

Jawapan kepada persoalan ini adalah kerana pendaratan di bulan dilakukan pada waktu siang, bukannya waktu malam. Bezanya langit bulan ketika itu tidak mempunyai atmosfera seperti di bumi sehinggakan memberikan ilusi langit berwarna biru. Pada ketika mereka menjejakkan kaki ke bulan, betapa permukaan bulan tersangatlah terang membuatkan mereka terpaksa menukarkan setting kamera bagi menampakkan pemandangan yang lebih jelas di atas permukaan bulan, sehingga bintang-bintang tidak kelihatan di dalam gambar.

4. Kenapa Bayang-Bayang Pada Permukaan Bulan Berselerak?

Antara yang dihujahkan oleh golongan kaki teori konspirasi ini ialah betapa bayang-bayang yang tidak sekata dan agak berselerak menunjukkan bahawa sebenarnya sumber cahaya datang daripada pelbagai arah, bukan satu arah sahaja. Sebenarnya fahaman ini agak menyeleweng. Bayang-bayang boleh menjadi berselerakan dan tidak sekata apabila dipancarkan pada muka bumi yang tidak rata, dan beralun, menggerutu, dan berkawah seperti di bulan. Eksperimen ini telah pun cuba dibuktikan oleh Mythbuster melalui salah satu episod membedah teori konspirasi yang menyelubungi pendaratan manusia di bulan.

Pautan untuk tonton dokumentari Mythbuster oleh Discovery Channel: https://www.dailymotion.com/video/x2m7k1z

5. Ada batu yang terdapat label C. Jadi, ini adalah bukti bahawa pendaratan tersebut dilakukan hanya difilemkan di dalam studio.

Batu yang diperkatakan.

Kalau dalam sebuah studio, biasanya setiap prop akan ditandakan label bagi memudahkan kru-kru produksi mengenal-pastri prop tersebut dan lokasi untuk meletakkannya. Hujah pada huruf C yang kelihatan pada sebuah batu pada gambar selalu digunakan untuk mengatakan bahawa pendaratan manusia dibulan hanya permainan studio Hollywood sahaja.

Jawapan kepada persoalan ini ialah ketika imej tersebut sedang dihasilkan, ada bulu dan rerambut yang terperangkap sekali. Jadi, pada gambar Salinan terdapat ilusi huruf C pada batu. Walhal dalam masa yang sama, pada gambar asal yang dikeluarkan, bukannya Salinan, juruf C langsung tidak kelihatan. Boleh rujuk kepada gambar dibawah:

Gambar Asal 1.
Gambar Asal 2.

6. Kenapa sangat sikit gambar yang dinaikkan mengenai pendaratan Bulan?

Inilah masalahnya apabila membuat kesimpulan terlalu terburu-buru. Pada tuduhan ini, sukanya saya ingatkan bahawa gambar yang diambil sepanjang misi pendaratan manusia di bulan kini berjumlah lebih 8,400 buah. Boleh rujuk pada laman Flikr yang dikendalikan oleh NASA. NASA telah mendedahkan lebih 8, 400 foto milik mereka. Kami di The Patriots memilih gambar-gambar terbaik tatapan kalian.

Untuk melihat lebih lanjut, boleh ke pautan yang disediakan. (Link: https://www.flickr.com/photos/projectapolloarchive/albums )

Pautan lain: (https://www.nasa.gov/apollo11-gallery )

7. Kenapa pendaratan Lunar Module tidak meninggalkan kesan? Berat dia 17 tan kot! Mesti ada kesan!

Sebab tarikan graviti yang lemah dan juga betapa kapal tersebut mendarat di atas batu, bukannya pasir. Jadi, tidak ada apa yang mengejutkan di sini. Kesan paling besarpun sekadar dedebu melayang sebelum mendarat semula. Walaupun tanah tidak sekeras batu, tetap sukar untuk melihat kesan kerana ketiadaan graviti.

8. Jadi, kalau ia pun semua teori konspirasi yang menyelubungi pendaratan manusia di bulan sudahpun terjawab, apa bukti pula manusia sudah sampai di sana?

Teknologi: Banyak teknologi-teknologi yang anda miliki hari ini adalah datang daripada usaha pendaratan manusia di bulan. Contohnya seperti CAT Scan, yang kini digunakan untuk mengesan kanser, namun awalnya digunakan untuk mengesan ketidaksempurnaan pada komponen-komponen angkasa. Atau juga mungkin vacuum yang digunakan dirumah adalah ciptaan NASA untuk menggerudi permukaan bulan untuk diambil tanah dan dedebu pasir di sana. Tidak lupa juga kalau anda Gamer, Joystick yang anda gunakan adalah daripada ciptaan NASA pada awalnya untuk mengawal Landrover yang berada di atas permukaan Bulan.

Gambar: Kalau anda tidak percaya kepada US atas alasan bahawa US cuba memalsukan pendaratan mereka kerana tidak mahu kalah dengan Soviet, maka kata saya anda mesti percayakan dengan Jepun, bukan? Pada 2008, Jepun telah menghantar prob mereka ke Bulan. Prob tersebut telah menangkap gambar permukaan Bulan menggunakan kamera 3D mereka tersendiri. Mengejutnya, gambar permukaan itu adalah sama dengan gambar yang diambil oleh Apollo 15. Boleh lihat dibawah:

Kiri (NASA). Kanan (JEPUN).

Negara: Untuk pengetahuan semuanya, pada zaman terkemudiannya, negara seperti China dan India telah menghantar prob mereka. Prob mereka telahpun menjelajah keseluruh permukaan bulan. Chandrayaan-1 dan Chang’e 2 daripada India dan China telah menemui bukti kesan pendaratan Apollo 11 di permukaan bulan. Kalaulah pendaratan bulan di sana adalah hoax, kenapa negara seperti India, Jepun dan China yang mendaratkan prob mereka di bulan mengatakan sebaliknya?

Batu: Apabila manusia mendarat di bulan, mereka membawa kembali specimen-specimen penemuan di Bulan lalu dibawa semula ke bumi. Salah satu daripadanya ialah sebuah batu. Batu ini masih tidak lagi dijumpai di mana-mana bahagian di bumi dan setakat ini, para pengkonspirasi teori, masih belum mampu membawa batu yang seumpama dengannya untuk membuktikan bahawa pendaratan manusia di bulan adalah sebuah penipuan. Lagipun batu ini telah diuji di seluruh makmal geologi di seluruh dunia, bukan setakat di US semata-mata. Gambar batu itu boleh dirujuk dibawah.

Kru Kerja: Hampir 400, 000 orang terlibat dalam misi ke bulan. Pada bancian yang dilakukan pada 1970, kononnya 1 daripada 350 orang orang rakyat Amerika Syarikat ketika itu memang memainkan peranan mereka dalam membantu pendaratan manusia di bulan. Kalaulah pendaratan tersebut adalah hoax, kenapa 400, 000 orang ini tidak keluar mendedahkan mengenai penipuan ini? Angka setinggi 400, 000 adalah angka yang sangat sukar untuk dikawal dan dizipkan mulut mereka.

Kesimpulan

Kenapa saya agak sensitif bila aku melihat saudara seagama dan sebangsa dengan saya menafikan realiti penerokaan angkasa?

Sebabnya dalam genetik mereka ada darah peneroka. Orang Melayu ialah bangsa pertama dalam sejarah dunia yang meneroka lautan luas, jauh lebih awal daripada bangsa Cina, India, Eropah dan segala bangsa-bangsa pelaut lain.

Pada waktu itu, mahu meneroka laut sahaja penuh dengan mitos-mitos. Orang menyebarkan pelbagai kisah-kisah menakutkan mengenai lautan. Konon ada dewa menakutkan menjaganya. Selain itu, kisah seperti duyung yang menyanyi membuai-buaikan pelaut, sebelum menangkap mereka dan dimakan hidup-hidup menghantui lautan. Kononnya nanti di hujung dunia, akan jatuh pada air terjun yang sangat dalam. Raksasa seperti Kraken, Naga Laut dan banyak lagi selalu didendangkan.

Tapi apakah orang Melayu percaya dengan kisah ni? Tak. Persetankan. Mereka mengembara meredah Lautan Hindi sampai ke Madagasacar. Kemudian mereka sampai sejauh ke Hawaii. Sebab itu rumpun mereka mendiami kawasan lilitan bumi yang terbesar di dunia. Mereka membina kapal-kapal terbaik dunia yang tidak akan terkesan dengan ombak menggila. Ilmu astronomi mereka sangatlah menakjubkan, membantu mereka menjadi pengemudi pengembaraan hebat di tengah lautan. Kalaulah mereka memilih untuk percaya pada mitos-mitos ini, tentunya orang Melayu akan ketinggalan.

Hari ini bukan lagi zaman penerokaan laut. Hari ini ialah zaman penerokaan angkasa. Pada saat negara seperti US, Rusia, India, China, Jepun, dan Eropah berlumba dengan pelbagai pencapaian dalam penerokaan angkasa. Orang Melayu masih percaya pada ustaz-ustaz teori konspirasi yang tak ada latar belakang fizik, astronomi dan teknologi yang berterusan menyebarkan kisah-kisah tak ada asas yang diambil dari golongan bodoh di barat untuk dijadikan isi ceramah mereka. Maka, berterusanlah orang Melayu tidak mampu mencapai sehingga ke Marikh, tertipu dengan mitos-mitos yang persis seperti Kraken, Siren dan Poseidon pada zaman awal penerokaan laut mereka.

Rujukan:

  1. Davis, Scott. (2017). How Do We Know The Moon Landing Really Happened?. National Space Centre. https://spacecentre.co.uk/blog-post/know-moon-landing-really-happened
  2. Koberlain, Brian. (2015). Can Astronaut See Star In Spaces. Brian Koberlain Blog. https://briankoberlein.com/2015/09/11/can-astronauts-see-stars-in-space/
  3. Hammer, Ashley. (2017). Why Aren’t There Stars in the Moon Landing Photos?. Curiosity. https://curiosity.com/topics/why-arent-there-stars-in-the-moon-landing-photos-curiosity/
  4. Tamblyn, Thomas. (2017). 11 Proofs That The Apollo Moon Landings Were NOT Fake. Huffpost.
  5. Otto, Saskjia. (2009). Apollo 11 moon landing: top 15 Nasa inventions. Telegraph. https://www.telegraph.co.uk/news/science/space/5893387/Apollo-11-moon-landing-top-15-Nasa-inventions.html
  6. Kane, Sean. (2015). Over 8,400 images from NASA’s Moon missions are now on Flickr in high resolution. The Verge. https://www.theverge.com/2015/10/2/9442951/nasa-apollo-moon-mission-photos-flickr
Previous articleTentera Kanak-Kanak: Indoktrinasi Kepalang Kepada Anak Malang
Next articleHaiwan-Haiwan Yang Darahnya Tidak Berwarna Merah!
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE