Falsafah Sejarah Klasik Zaman Eropah

2,288

Falsafah itu merujuk kepada suatu pemikiran atau penelitian yang mendalam terhadap sesuatu perkara bagi mencari segala intipatinya. Manakala sejarah pula merujuk kepada suatu peristiwa yang telah berlaku dan memberi kesan terhadap sesuatu perkara. Gabungan dua lapangan ini membawa kepada penghayatan penting terhadap kepentingan aliran pemikiran dalam menganalisis setiap peristiwa sejarah yang telah berlaku.

Pendek kata falsafah sejarah ini merupakan cubaan awal para sejarawan dalam memahami dan menerangkan konsep sejarah itu sendiri. Kedua-duanya tidak dapat dipisahkan kerana ia sangat berkait rapat antara satu sama lain. Sejarah tanpa falsafah itu ibarat pohon yang tidak berbuah. Rasanya sudah jelas penerangan ini bagi memudahkan anda faham makna falsafah sejarah itu sebelum kita lihat contohnya pada zaman klasik di Eropah.

Beberapa persoalan penting dalam mengenalpasti kewujudan falsafah sejarah pada zaman klasik di Eropah:

  • Apakah yang dimaksudkan dengan Zaman Klasik di Eropah? Zaman Klasik ialah zaman yang merujuk kepada Zaman Greek atau Yunani dan zaman Rom bagi penzamanan tamadun Eropah.
  • Bilakah Zaman Klasik bermula dan berakhir? Menurut sejarawan Barat, zaman Klasik Eropah bermula antara abad kelima Sebelum Masihi hingga abad kelima Masihi.
  • Kenapa pentingnya Zaman Klasik? Zaman Klasik diberi penekanan dan perhatian kerana sejarawan Barat menganggap zaman ini adalah permulaan kepada percambahan khazanah budaya dan perkembangan tamadun Eropah Moden. Zaman ini turut menyumbang dalam pembangunan pelbagai aspek kehidupan sebagai contoh dalam perkembangan politik, falsafah dan kebudayaan.
  • Siapakah sejarawan Zaman Klasik? Antara sejarawan zaman Klasik yang terkenal ialah Herodotus dan Thucydides yang banyak menulis tentang peperangan seperti Perang Parsi dan Perang Peloponesia.
  • Dimanakah zaman klasik bertapak? Zaman Klasik Eropah boleh dirujuk kemunculannya di bahagian selatan benua Eropah berdekatan Laut Aegean. Jika dirujuk kepada peta dunia zaman sekarang, permulaan kepada lokasi zaman Klasik ialah di negara Greece yang terletak di Timur Itali dan Barat Turki.
  • Zaman Klasik awal yang menjadi pencetus kepada idea pensejarahan ini boleh dibahagikan kepada dua era iaitu era kerajaan Yunani atau Greek dan era kerajaan Rom.

Pengenalan falsafah sejarah pada zaman klasik di Eropah ini bertitik tolak daripada karya awal pensejarahan Barat yang boleh dilihat melalui tradisi cerita lisan dan ianya telah wujud sejak abad ke-8 sebelum masihi lagi. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat Eropah pada zaman itu telah mula menyampaikan cerita-cerita kehidupan mereka secara lisan yang kemudiannya mula dicatat dalam bentuk tulisan. Contoh karya sastera sejarah awal adalah seperti Illiad dan Odyssey yang dihasilkan oleh Homer, seorang penyair Yunani sekitar 800-700 sebelum masihi. Dua karya ini mencerita tentang kehidupan masyarakat Yunani dan peperangan yang berlaku ketika itu. Illiad menceritakan tentang sejarah Perang Trojan yang menunjukkan kepahlawanan tentera Yunani di bawah pemerintahan Raja Agamemnon akhirnya berjaya mengalahkan tentera Trojan yang terletak di Troy setelah terlibat dalam peperangan selama sepuluh tahun. Odyssey pula menceritakan tentang cabaran dalam perjalanan pulang seorang pahlawan Yunani iaitu Odysseus setelah tamatnya perang.

Namun kedua-dua karya ini bukanlah suatu karya yang boleh dianggap sebagai karya sejarah kerana penulisannya lebih kepada sastera yang ditulis oleh seorang penyair pada ketika itu. Karya-karya ini lebih tertumpu kepada penceritaan keadaan masyarakat melalui tradisi cerita lisan dan cerita-cerita ini memegang kuat kepada elemen mitos atau kedewaan demi mengangkat martabat seseorang dalam masyarakat. Walau bagaimanapun, karya Homer ini diterima dan diiktiraf oleh sejarawan awal zaman Klasik iaitu Herodotus. Beliau menganggap karya Homer sebagai pencetus atau model kepada penceritaan sejarah berkaitan bangsa Hellenes atau Yunani itu sendiri.

Menurut R.G. Collingwood, zaman klasik awal dianggap sebagai zaman separa sejarah kerana karya penceritaan lisan dan penulisan ketika itu bersifat sastera sejarah. Karya penulisan zaman klasik kebanyakannya berunsur kedewaan atau mitos yang dikumpul daripada cerita-cerita lisan yang bercorak cerita biasa. Karya-karya yang berunsur mitos ini ditulis secara langsung tanpa sebarang penapisan fakta kerana masih belum menggunakan kaedah penyelidikan yang bersistematik dan peristiwa atau kejadian yang berlaku juga tidak dapat dipastikan secara tepat. Sejarah ialah seni penceritaan tentang manusia dan pengalaman hidupnya. Jadi seorang tukang cerita perlu hormat dengan kualiti dan ketepatan penyampaian sesuatu cerita itu dilakukan. Seorang penulis catatan peristiwa yang berlaku ketika itu iaitu Herodotus sangat menitik-beratkan hal ini dalam penulisannya. Beliau dianggap sebagai pelopor kepada seni penceritaan sejarah Eropah terutamanya dirujuk kepada masyarakat Yunani ketika itu.

FAHAMI KONSEP FALSAFAH SEJARAH MELALUI KARYA SEJARAWAN ZAMAN KLASIK EROPAH 

Era Yunani

Herodotus (484 S.M. – 425 S.M.)

Herodotus telah dilahirkan sekitar pertengahan tahun 480 sebelum Masihi di sebuah wilayah Greek iaitu Halicarnassus di sebelah timur Laut Aegean dan berdekatan dengan sempadan pemisah dengan kerajaan Parsi yang kemudiannya memainkan peranan penting dalam karya sejarahnya. Kematiannya tidak dapat dipastikan dengan tepat tetapi yang pastinya beliau setidak-tidaknya hidup sehingga zaman Perang Peloponesia iaitu sekitar tahun 430 S.M. Sekitar abad kelima sebelum Masihi, Herodotus sudah merekodkan sejarah peperangan antara negara-kota Yunani dengan Empayar Parsi. Tujuan beliau menulis adalah untuk memberitahu kepada generasi kemudian supaya memelihara memori dan pengalaman tentang peristiwa besar yang berlaku dan menceritakan keperkasaan pahlawan yang terlibat bagi kedua-dua belah pihak.

Beliau telah menulis Sembilan buah buku berkaitan “Greek Mythology” dan merupakan penulis pertama menulis dengan mengikut kronologi. Ketika Parsi berjaya menawan kerajaan Yunani iaitu ‘Kingdom of Lydia” di bawah pemerintahan Raja Croesus, beliau telah menjadikan Croesus sebagai subjek utama dan pertamanya dalam penceritaan sejarah yang mana Croesus ini ialah karakter yang penting dalam buku pertamanya, “Clio”. Croesus yang telah ditawan oleh raja Parsi iaitu Cyrus masih bernasib baik kerana dilantik menjadi kaunselor kepada raja itu walaupun tidak gembira dengan jawatan itu. Dalam buku itu juga ada menceritakan tentang lagenda Cyrus yang ketika mudanya telah berjaya mengalahkan Babylon sekitar tahun 539 S.M dan seratus tahun kemudian Herodotus telah pergi melawat kota Babylon yang jatuh ke tangan Cyrus itu. Kemudian, buku ketiganya pula menceritakan tentang perluasan kuasa empayar Parsi ke atas Asia di bawah pemerintahan anak Cyrus iaitu Cambyses dan pemerintah selepasnya, Darius.

Secara umumnya, buku kedua hingga keempat banyak menceritakan tentang penaklukan Parsi ke atas wilayah dan penduduk dengan menekankan kajian geografi dan etnografi. Ketika Parsi di bawah kuasa raja Xerxes, Herodotus ada menceritakan secara terperinci tentang tenteranya dengan memperjelaskan rupa setiap seorang, pakaian dan senjata. Juga turut menceritakan bagaimana penduduk Athen yang melalui kesengsaraan akibat perang telah berundur sebagai cara mengelak berlawan dengan tentera Xerxes. Kemudian terlibat dengan peperangan di laut (battle of Salamis – 480 B.C.) sebagai serang balas yang menyaksikan pengunduran tentera Xerxes. Namun, apa yang lebih bermakna dalam penulisan Herodotus adalah tentang pengorbanan dalam peperangan di awal tahun yang sama oleh 300 orang tentera Sparta di bawah kuasa raja Leonidas selepas melepasi Thermopylae dan mereka semua terbunuh.

Beliau menganalisis motif dan mencari perhubungan antara suatu peristiwa dengan peristiwa yang lain, mencuba untuk menulis secara lebih terperinci terhadap sesuatu yang berlaku kepada seseorang individu. Oleh sebab itulah beliau mendapat gelaran sebagai “the father of history” atau Bapa Sejarah. Herodotus juga dikritik kerana dianggap naif dan hanya boleh berbahasa satu bahasa sahaja iaitu bahasa Yunani namun beliau tetap terus mencuba mempertahankan penulisannya dengan menekankan elemen logik dan mempunyai pendokumentasian serta menerima atau menolak pendapat orang lain berdasarkan akal dan kredibiliti. Beliau juga banyak merujuk kepada penulis sebelumnya mengenai peristiwa yang berlaku sebagai rujukan penulisannya. Antaranya ialah Hecataeus of Miletus (549 S.M.), seorang ahli geografi, mitologi dan etnografi yang mahir kawasan Mediterranean dan negara sekitarnya. Hecataeus banyak menulis tentang Eropah, Asia, North Africa dan Ethopia. Herodotus banyak merujuk kepada penulisan Hecataeus kadangkala sebagai ‘agen sejarah’ yang mana beliau cenderung untuk menolak atau menerima idea Hecataeus. Beliau ialah seorang yang sangat meminati kebudayaan Yunani dan pengetahuan rasional, tamadun purba dan kehidupan nomad hingga membawa kepada perkaitan antara dunia Yunani dan manusia lainnya.

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Thucydides (471 S.M. – 396 S.M.)

Thucydides adalah antara ahli sejarah zaman Klasik yang terkemudian berbanding Herodotus dan mungkin juga tersenarai sebagai sejarawan terbaik dalam Tamadun Barat.  Berbeza dengan Herodotus, beliau tampil dengan gaya tersendiri menyampaikan karyanya supaya lebh mudah diikut.  Beliau menggunakan pendekatan ketelusan dan kebenaran sejarah dalam menyampaikan karyanya. Sebagai contoh, karya tentang Perang Peloponesia yang berlaku di antara negara-kota Athen dan Sparta dan beliau sendiri terlibat secara langsung dalam pertempuran tersebut. Menurutnya peperangan itu berlaku ketika kuasa ketenteraan kedua-dua pihak berada pada tahap tertinggi dan beliau melihat bagaimana bangsa Hellenes yang lain cuba memihak sama ada kepada Athen atau Sparta. Semasa upacara pengkebumian perajurit yang gugur di medan perang pada tahun pertama peperangan, Thucydides telah menulis suatu ucapan penghormatan terakhir (dikenali sebagai Pericles’ Funeral Oration) yang dibaca oleh Pericles, pemimpin Athen. Ucapan itu sangat mengagumkan kerana melaluinya Athen dilihat sebagai pusat pembangunan budaya pencapaian politik.

Beliau merupakan seorang yang “realist” kerana sangat mementingkan kualiti dan kaedah yang kritikal dalam mencari kebenaran serta menolak apa sahaja yang tidak boleh mengesahkan bukti atau saksi bagi mempertahankan aspek logik ketika menjalankan sesuatu analisis. Sementara itu, Thucydides seorang yang berasal dari keluarga yang kaya dan berkedudukan serta memegang jawatan sebagai seorang jeneral perang membuatkan beliau berasa bersalah kerana gagal mempertahankan Athen daripada tewas dan kemudiannya dibuang negeri selama 20 tahun. Ketika hidup dalam buangan, beliau banyak menghabiskan masa dengan mengembara ke negara musuh dengan memerhati cara mereka meneruskan kehidupan.

Sebagai seorang sejarawan, beliau tidak mempersoalkan hal itu sebaliknya menggunakan tersebut kesempatan untuk terus menulis tentang kedua-dua belah pihak dengan tidak berat sebelah. Apa yang membezakannya dengan penulis sebelumnya seperti Herodotus adalah penekanan terhadap ketepatan maklumat yang digunakan. Beliau hanya menulis sesuatu yang benar dengan menolak pendekatan lama yang lebih menumpukan kepada cara menjadikan karya penulisan itu menarik untuk diketahui. Beliau tidak pernah menyampaikan cerita yang ditokok tambah atau sesuatu yang tidak pasti dan hanya menyebarkan perkara yang benar sahaja. Jadi keaslian penulisan tentang Perang Peloponesia itu adalah berdasarkan suasana sebenar. Selain itu, beliau menggunakan medium pengucapan awam sebagai cara atau kaedah bagi menyampaikan ideanya tentang masyarakat dengan lebih mudah.

Era Rom

Polybius (205 S.M. – 123 S.M.)

Polybius ialah seorang ahli sejarah Yunani yang bijak, berpandangan jauh dan rasional yang menjadi penerus kepada tradisi hebat Herodotus dan Thucydides. Beliau berkemampuan menulis sejarah pada zamannya kerana beliau seorang yang berpendidikan dan mempunyai pengalaman luas dalam menangani hal negara. Beliau bertugas sebagai hipparch (komandan tentera berkuda) dan diplomat di tanah kelahirannya iaitu kota Megalopolis di Peloponese. Ketika beliau di bawa ke Itali oleh orang-orang Rom pada tahun 167 S.M. sebagai salah seorang tawanan Yunani, beliau mengambil peluang itu untuk menerbitkan karya penulisannya iaitu Histories. Selama enam belas tahun berada dalam buangan di Rom, beliau berjaya menilai dokumen-dokumen asal dan memerhati corak pemerintahan kerajaan Rom sendiri. Dalam tahun 150 S.M. beliau telah dibenarkan pulang ke Greek yang mana beliau letakkan segala usaha untuk mencipta suasana yang boleh digunakan bagi mewujudkan pemahaman antara Greek dan Rom. Penulisannya tertumpu kepada perjuangan yang panjang antara Rom dan Carthage dalam mengawal Mediterranen Barat juga tentang kejayaan kuasa Rom menakluki Macedon dan Greek. Seperti mana ahli sejarah kuno lain, beliau juga menjadikan peristiwa besar yang berlaku dalam kehidupannya sebagai tema kepada penulisan sejarahnya.

Tacitus (55 S.M. – 120 M.)

Beliau dilahirkan dalam keluarga bangsa Rom yang terkenal, mungkin dari keluarga yang berpangkat senator pada tahun 55 S.M. Sebahagian besar kehidupannya diluangkan untuk berkhidmat dalam sector awam di bawah pemerintahan Raja Vespasian, Titus, dan Dominitian yang dianggap sebagai “reign of terror”. Beliau menulis ketika zaman pemerintahan bercorak tirani dari golongan diraja dan tertanya-tanya bagaimana untuk meneruskan kehidupan dengan aman dalam era tersebut. Beliau percaya bahawa politik boleh membentuk moral dalam empayar daripada menggunakan medium lain. Tacitus kemudian menulis sejarah kontemporari dan sejarah separa kontemporari yang mengambil kenyataan atau testimony saksi daripada kalangan orang tua masih mengingati dengan jelas berkenaan peristiwa yang berlaku. Beliau meninggal sekitar tahun 120 Masihi setelah lama terlibat dalam dunia penulisan dan skandal pemerintahan pada zamannya.

Melalui bukti-bukti diatas, dapat dilihat bahawa kebanyakkan penceritaan zaman klasik awal sangat tertumpu kepada peperangan yang berlaku antara dua bangsa berbeza atau juga dalam kalangan bangsa yang sama. Hal ini sudah tentunya menunjukkan penceritaan yang bercorak kepahlawanan. Penulisan sejarawan zaman Klasik awal ini kebanyakannya membuat catatan terhadap semua perkara yang berlaku dalam kehidupan masyarakat mereka dan mengolahnya kepada sesuatu yang menarik untuk diketahui. Cerita-cerita ini ditulis adalah untuk dijadikan pedoman atau memori yang patut diingati oleh generasi akan datang dalam memperlihatkan corak kehidupan dan pencapaian masyarakat terdahulu.

Akhir kata, zaman klasik Eropah ini sudah mempunyai falsafah sejarahnya yang tersendiri dalam merekodkan segala peristiwa yang dianggap bermakna semasa zaman itu mula berkembang. Kebanyakan sejarah zaman klasik Eropah ini telah mempunyai kesedaran untuk menulis dan mengumpul cerita, fakta tentang sesuatu peristiwa yang berlaku. Cara atau kaedah penulisan zaman ini dirujuk kepada tradisi cerita lisan, lawatan yang dilakukan oleh penulisan sendiri ke tempat-tempat berkenaan atau penulis sendiri terlibat secara langsung dalam peristiwa tersebut.

RUJUKAN

  1. Beatty, J. L., & Johnson, O. A., “Heritage of Western Civilization: Select Readings” (2nd Edition) (ed), New Jersey: Prentice-Hall Inc, Englewood Cliffs, 1966.
  2. Dentan, R. C., “The Idea of History in the Ancient Near East”, New Haven: Yale University Press, 1955.
  3. Kramer, L. S., & Maza, S. C., “A Companion to Westerns Historical Thought”, Malden: Blackwell Publishers Inc. 2002.
  4. Russell, B., “Sejarah Falsafah Barat”, terjemahan oleh Mohd. Safar Hasim & Fatimah Yusoff, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993.
  5. Southgate, B., “History: What and Why? – Ancient, Modern and Postmodern Perspective” (2nd Edition), London: Routledge, 2001.
  6. Toynbee, A. J., “A Study of History”, Volume X, London: Oxford University Press, 1954.
Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.