Falsafah: Sebuah Pengenalan

0
915
views

“Sarip, kau nampak tak botol atas meja ni?” bisiknya ke telingaku sambil melabuhkan punggung ke kerusi kosong di sebelah.

Kelas 4 Shariah Sains Makkah masih lengang. Belum habis waktu rehat lagi. 

Aku angguk mengiyakan.

“Kalau ikut Fizik, imej hanya terbentuk apabila berlaku pantulan cahaya yang masuk dalam anak mata sebelum diterjemah oleh neuron-neuron otak.”

“Betul,” aku mencelah. Posisi badan dibetulkan, memberi tumpuan yang lebih.

“Cuba kau fikir. Menariknya dengan prinsip cahaya ni, bahkan semua prinsip-prinsip yang melibatkan deria ialah, kau tak dapat buktikan apa-apa kewujudan pun di luar sistem saraf yang berserabut dalam tempurung kepala kau tu. Dunia kau hanyalah mainan denyut-denyut elektrik. Alam ini, tak mampu dibuktikan kewujudannya!”

“…”

Adakah ini falsafah? Ya dan tidak. Ya, boleh dikatakan ini adalah sebahagian daripada perbincangan falsafah dalam fasal epistemologi(1) – psuedoepistemologi setepatnya. Tidak, ini bukanlah intipati(2) kepada ilmu falsafah.

Maka apa itu falsafah?

Idea asas dalam lapangan kajian sejarah tamadun dunia hari ini adalah unjuran daripada Teori Evolusi Sosiobudaya(3) yang digagaskan oleh pasangan intelektual, Gerhard dan Jean Lenski. Silibusnya kini, garis masa sejarah dibahagikan kepada lima fasa masyarakat iaitu masyarakat pemburu; masyarakat peladang (hortikultur) dan penternak (pastoral); masyarakat agraria; masyarakat industri; dan masyarakat pascaindustri.

Secara relatifnya, perkembangan teknologi yang perlahan dan terbantut pada fasa awal kehidupan manusia telah membawa kepada bebanan kerja yang berat untuk survival manusia. Natijahnya, setiap individu dalam kelompok masyarakat akan bekerja keras dalam sebuah sistem sosial yang berteraskan ekonomi sara diri. Pada zaman ini, tiada pengkhususan kerja berlaku antara ahli masyarakat mahupun antara dua gender yang berbeza. Lelaki dan perempuan masing-masing setara dalam status social – masing-masing menghormati satu sama lain sebagai penting, tiada perbincangan siapa lebih afdal dan sebagainya.

Perkembangan teknologi akhirnya membawa kepada pengurusan kehidupan yang lebih efektif. Misalnya pada zaman penternakan dan perladangan, manusia sudah pandai mengumpulkan sumber-sumber ekonomi secara setempat dan mengusahakannya dengan baik. Kemudian tumbuh zaman agraria, di mana perkembangan teknologi telah membolehkan operasi pertanian dan perladangan berskala mega diadakan, membawa kepada lebihan (surplus) ekonomi yang melampau. Kemudian manusia mula berdagang.

Era agraria adalah titik permulaan sebuah sistem masyarakat yang benar-benar kompleks. Ketidakseimbangan pengagihan hasil ekonomi telah melahirkan kasta-kasta yang berbeza.

Waqaf Saham

Manusia sudah pandai mengkhususkan diri dalam bidang-bidang tertentu: golongan bangsawan kini tidak perlu lagi bekerja keras dan mula mendalami ilmu-ilmu abstrak seperti seni dan falsafah. Sehingga beberapa lama – hatta sekarang pun – ilmu falsafah itu dikaitkan (secara tidak tepat) dengan kemewahan dan golongan bangsawan.

Maka apakah itu falsafah?

Dalam pengenalan kepada bukunya ‘A History of Western Philosophy’ Bertrand Russell telah mendeskripsikan falsafah sebagai ‘something intermediate between theology and science.’

Russell berhujah, sebagaimana teologi (~agama), falsafah juga terbina atas spekulasi-spekulasi tertentu yang tidak dapat difikirkan dengan akal, dan pada kebanyakan masa manusia menerimanya kerana diberitahu begitu oleh mereka yang dipercayai (autoriti). Bagaimanapun, sebagaimana sains, falsafah memandu manusia untuk berfikir dalam kerangka yang tepat, menilai hujah (taakul) supaya tidak terpedaya dengan autoriti yang belum tentu benar, walaupun hakikatnya dalam beragama kita sememangnya perlu kepada unsur autoriti.(4)

Ringkasnya, bagi beliau, falsafah mengurangkan sifat dogmatik sesebuah agama apabila ia mengajar para penganut untuk berfikir tentang doktrin-doktrin penting dalam keimanan, samada berlaku percanggahan atau tidak, juga mengurangkan kekecewaan mereka yang terlalu bersifat saintifik dalam pembuktian sehingga menolak apa yang tidak mampu mereka fahami dengan rumus-rumus yang ‘kering’.

Nada yang hampir sama turut disuarakan oleh al-Ghazali dan Halevi(5) apabila mereka menolak untuk menjadikan logik sebagai asas kepada agama. Keimanan, bagi mereka, hendaklah terbit daripada satu kebenaran mutlak yang tidak boleh dipersoalkan (apodictic truth) dan logik hanyalah alat untuk menilai agama-agama yang ada: yang mana satu agama yang benar.

Russell kemudian menutup pendahuluannya dengan:

‘But between theology and science there is a No Man’s Land, exposed to attack by both sides; this No Man’s Land is philosophy. Uncertainty, in the presence of vivid hopes and fears, is painful, but must be endured if we wish to live without the support of comforting fairy tales. It is not good either to forget the questions that philosophy asks, or to persuade ourselves that we have found indubitable answers to them. To teach how to live without certainty, and yet without being paralyzed by hesitation, is perhaps the chief thing that philosophy, in our age, can still do for those who study it.’

Walaupun mula-mula diterbitkan sewaktu Tanah Melayu dilanda penjajahan Jepun, tulisannya ini masih disebut-sebut sebagai asas yang baik untuk mula mendalami falsafah – terutamanya daripada aspek sejarah dan perkembangannya.

Maka apa itu falsafah?

Sebenarnya aku, tentunya, bukanlah orang yang paling ahli dan layak untuk mengupas sebuah perbahasan yang berat begini. Aku hanya akan cuba mengetengahkan beberapa perkara dasar yang aku kira penting untuk memahami secara ijmal (ringkas) apa itu falsafah sebelum para pembaca sekalian membuat bacaan kritikal masing-masing. Insha-Allah aku akan muatkannya dalam satu persembahan berkala yang tersusun dan komprehensif, mudah-mudahan.

Masih tertanya-tanya apa itu falsafah? Tahniah dan syabas. Selamat datang ke dunia di mana manusia asyik berfikir hingga ke satu tahap, mereka lupa apa yang sedang mereka fikirkan.

-abumehmed

Nota Hujung:

(1) Epistemologi ialah salah satu cabang disiplin falsafah yang membincangkan kesahihan, kaedah dan sumber sesuatu pengetahuan.
(2) Intipati ialah unsur teras kepada sesuatu perkara yang menjadi kata kunci dalam mendefinisikan perkara tersebut.

(3) Teori Evolusi Sosiobudaya menggariskan bahawa sesebuah ketamadunan itu berubah budayanya apabila berlaku perubahan dalam teknologi. Semakin pesat teknologi sesebuah tamadun, semakin hebat peradabannya.

(4) Hubung kait antara kaedah pembuktian saintifik (akal) dan autoriti yang dogmatic (wahyu) akan dibincangkan secara khusus dalam tulisan akan datang.

(5) Halevi ialah ahli falsafah yang begitu terkesan dengan tulisan-tulisan al-Ghazali. Para sarjana menggelarkannya ‘al-Ghazali Yahudi’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.