Memasuki penghujung bulan Mac, maka tibalah musim bunga ceri (‘cherry blossom’) atau sakura (桜) di Jepun. Orang Jepun mempunyai tradisi Hanami (花見) yang bertujuan untuk meraikan ketibaan musim sakura. ‘Hana’ bermaksud bunga, ‘mi’ bermaksud lihat, jadi ‘Hanami’ itu pesta melihat bunga. Amalan Hanami mempunyai sejarah yang begitu lama, telah pun dicatat dalam penulisan sejarah Jepun yang terawal iaitu Kojiki yang diterbitkan pada tahun 712.

Permulaan musim pembungaan sakura berbeza-beza mengikut kawasan: 21 Mac di Tokyo, 30 Mac di Kansai (Osaka, Kyoto), awal April di bandar-bandar yang utara sedikit seperti Sendai dan awal Mei bagi Hokkaido di utara sekali. Bunga sakura mampu bertahan 2 minggu dan orang Jepun akan mengambil kesempatan musim Hanami untuk beristirehat dan menikmati pemandangan sakura yang mekar. Selalunya orang Jepun akan buat piknik dengan sahabat handai di bawah pokok sakura di taman-taman seperti Ueno Park dan Yoyogi Park di Tokyo.

Kita sudah biasa mendengar ungkapan ‘Bahasa adalah jiwa bangsa’. Bagi orang Jepun, bunga juga roh bangsa yang mencerminkan budi dan jati diri bangsa Jepun/Yamato. Walaupun bunga kebangsaan Jepun secara rasmi ialah bunga kekwa (kikuka) yang melambangkan Maharaja, namun sakura lebih mendapat tempat di hati orang Jepun.

Seorang pemuisi Jepun klasik yang bernama Motoori Norinaga (1730-1801) pernah mengubah waka (puisi Jepun) yang mempunyai rangkap yang berbunyi ‘Barang siapa yang bertanyakan sanubari Yamato dari Shikishima, balasnya bunga sakura pergunungan yang harum pada sinaran pagi’ (敷島の大和心を人問わば、朝日に匂う山桜花 – Shikishima no Yamato-gokoro wo hito towaba, asahi ni niō yamazakura-bana).

Sakura membentuk jiwa bangsa Jepun dengan memberi makna diri (imi, 意味) kepada orang Jepun, melalui tiga fasa kehidupannya: mekar, gugur dan tumbuh kembali. Bagi orang Jepun, ia melambangkan hidup, mati, dan hidup baru.
Sakura memperingatkan orang Jepun tentang HIDUP. Hidup manusia umpama hidup sakura, hidup adalah singkat dan pasti ada penghujungnya. Walaupun hidup sakura begitu singkat, ia mampu menghiburkan manusia melalui keindahannya. Manusia pun patut mencontohi sakura dengan memanfaatkan hidup yang singkat, memberikan yang terbaik kepada orang lain.

Sakura tidak cuba menjadi luar biasa tetapi hanya memainkan peranannya sendiri. Namun apabila semua bunga sakura kembang pada masa yang sama, ia mencipta keindahan yang luar biasa. Orang Jepun tidak cuba menjadi wira individu, tetapi mereka melakukan tanggungjawab masing-masing secara jujur. Tak kisah anda seorang eksekutif syarikat atau anda seorang pemandu tren, yang penting anda memberikan yang terbaik. Dan secara bersama, mereka mencipta keajaiban (kiseki, 奇跡).

Sakura memperingatkan orang Jepun tentang MATI. Sakura memberi peringatan bahawa hidup itu fana (mujō, 無常). Semua orang akan mati. Tapi adakah kematian kita itu signifikan? Orang Jepun secara amnya tidak takut mati, yang mereka takut ialah tiada orang mengenang mereka setelah mereka sudah tidak ada lagi. Lebih baik gugur seperti sakura, gugur dalam keadaan indah. Orang Jepun obses dengan cara bunuh diri seppuku (切腹) atau hara-kiri (腹切り) kerana titisan darah itu umpama kuntum sakura yang gugur.

Apabila angkatan Kamikaze pertama kali digunakan dalam Pertempuran Laut Filipina (Jun 1944), angkatan ini disusun atur menjadi empat unit bernama ‘Shikishima’, ‘Yamato’, ‘Asahi’, dan ‘Yamazakura’. Guess what? Keempat-empat namanya dipetik dari rangkap puisi Norinaga mengenai sakura. Mereka berani mati kerana cita-cita mereka adalah untuk gugur seperti sakura, gugur sebagai bunga bangsa.

Sakura memperingatkan orang Jepun tentang HIDUP BARU, harapan dan optimisme. Kematian adalah jambatan menuju kehidupan baru. Musim sakura ialah masa untuk membuka buku baru, nafas baru, episod baru dalam hidup. Orang Jepun memilih April sebagai permulaan persekolahan. Syarikat-syarikat juga akan membuat majlis masuk kerja dan mengambil pekerja baru. Orang Jepun yang kuat kerja juga memberi kelonggaran kepada pekerjanya untuk ber-Hanami.

Orang Jepun adalah pemaaf, mereka mudah ‘move on’. Orang hairan mengapa majoriti orang Jepun tidak berdendam dengan Amerika walaupun berpuluh-puluh ribu rakyat dibunuh oleh bom Amerika. Bagi orang Jepun, itu perkara yang sudah berlalu, yang penting ialah masa depan. Orang Jepun masih mampu bangkit semula (berbunga semula). Syiling 100 Yen yang diguna sejak tahun 1967 mempunyai ukiran sakura, sebagai pendorong semangat kepada orang Jepun untuk membangunkan semula ekonomi mereka.
Bangsa Jepun menjadi hebat melalui penghayatan makna di sebalik sakura.

Tidakkah orang yang berakal ialah orang yang merenung dan belajar dari alam kejadian-Nya?

Bacaan lanjut: 

Emiko Ohnuki-Tierney. (2002). Kamikaze, Cherry Blossoms and Nationalisms.

Lagu-lagu J-Pop pasal sakura:

Naotaro Moriyama. (2003). Sakura.
Ikimono Gakari. (2006). Sakura.
GReeeeN. (2013). Sakura Color.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.