Falsafah Ketupat

0
698
views

Sambutan Hari Raya Aidilfitri akan menjelang tidak lama lagi. Dan seperti biasa, kaum Hawa akan bersilat di dapur untuk menyediakan pelbagai hidangan enak untuk dinikmati para tetamu pada pagi raya. Salah satu hidangan tradisi di Kepulauan Nusantara pada hari raya ialah hidangan ketupat. Tetapi tahukah anda, hidangan ringkas ini mempunyai pelbagai falsafah di sebaliknya?

Jika diteliti dari segi perkataan, ketupat ini sebenarnya berasal dari perkataan Jawa iaitu ngaku lepat yang bermaksud mengakui kesalahan. Sementara di Filipina pula, ketupat dikenali sebagai puso, bugnoy, patupat dan tamu. Hidangan ini mula diperkenalkan apabila Islam berkembang di Pulau Jawa. Berdasarkan rekod masyarakat tempatan, hidangan ini diperkenalkan oleh salah seorang daripada Wali Songo atau Wali Sembilan iaitu Sunan Kalijaga atau Raden Mas Said.

Jetpack Langkawi

Dalam teks kesusasteraan Melayu, ia amat istimewa di hati masyarakat dan diabadikan dalam beberapa karya seperti Hikayat Maharaja Marakarma. Dalam hikayat itu, putera Betara Karma Jaya disumpah menjadi ketupat. Sebelum kedatangan Islam, ia sebahagian daripada tradisi memuja Dewi Sri iaitu dewi pertanian dan kesuburan, pelindung kelahiran dan kehidupan, kekayaan dan kemakmuran. Dewi Sri merupakan dewi tertinggi yang pujaan masyarakat petani ketika itu terutama semasa pemerintahan kerajaan Majapahit dan Pajajaran. Selepas kedatangan Islam, ianya ditukar sebagai lambang kesyukuran kepada Tuhan.

Falsafah ketupat tidaklah berbeza mengikut lokasi kerana ia kembali berkait kepada satu iaitu menegur kesalahan atau membetulkan akhlak. Di Pulau Jawa, hidangan ini hanya dihidangkan pada hari ketujuh bulan Syawal. Ini kerana menjadi kelaziman mereka berpuasa sunat enam hari dari hari kedua hingga hari keeenam bulan mulia itu.

Tradisi tersebut dipanggil Bakda Cilik dan menjadi antara khazanah budaya masyarakat yang diperkenalkan Sunan Kalijaga. Masyarakat Jawa melihat ketupat simbol kepada penjagaan nafsu dan hati. Lihat perkataan janur atau jatining nur yang merujuk kepada daun kelapa dalam Bahasa Jawa. Janur atau jatining nur ini sebenarnya merujuk kepada hati nurani. Sementara beras yang diisi dalam ketupat itu sendiri merujuk kepada nafsu duniawi menurut budaya Jawa.

Pendek kata, ketupat sebenarnya satu nasihat kepada manusia untuk berusaha menjaga hati dari dicemari kehendak nafsu yang tidak bertepi. Keadaan hati boleh diterjemah dalam bentuk tindakan seseorang. Hati yang bersih akan menyerlahkan akhlak yang indah, dikasihi orang sekeliling dan diredhai Allah s.w.t.

Sementara hati yang keras dan hitam menterjemahkan kecenderungan kepada perbuatan noda dan sia-sia serta tidak dikasihi Tuhan dan orang sekelilingnya. Allah s.w.t berfirman dalam ayat 16, Surah Al-Hadid mafhumnya, “Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.”

Sementara anyamannya pula yang membuatkan ramai menggeleng kepala setiap kali hendak menganyam ketupat sebenarnya simbol kepada banyaknya kesalahan yang dilakukan manusia itu sendiri. Kesusahan yang dialami semasa menganyam merupakan pelbagai jenis kesilapan yang dilakukan tanpa mengira besar atau kecil, sengaja atau tidak sengaja. Bila ia dibuat secara sabar dan tekun, sesebuah ketupat yang dihasilkan sebenarnya menjadi sebuah karya seni, sekaligus menyerlahkan lagi unsur estetika dan falsafah di sebaliknya.

Bagi masyarakat Sunda pula, ketupat atau kupat turut bermaksud teguran bagi meluruskan kembali akhlak manusia. Dalam Bahasa Jawa, ia membawa definisi moral yang mendorong seseorang segera mengakui kesilapannya dan memohon maaf apabila berbuat salah. Dan ini membawa pada satu kaitan istimewa pada salah satu panggil Aidilfitri di Kepulauan Nusantara: lebaran. Lebaran, leburan, laburan atau luberan mempunyai maksud yang lebih mendalam.

Luberan lebih merujuk kepada sedekah sementara leburan merujuk kepada sedar akan taraf diri sendiri dan memohon maaf kepada insan yang lebih tinggi darjat sosialnya. Maka tidaklah mengejutkan Aidilfitri dianggap saat ‘mugi segeda lebur ing dinten menika’ atau memaafkan semua kesilapan lalu pada hari raya. Dan jika kita melihat konteks yang lebih meluas lebih-lebih lagi selepas melalui bulan Ramadan yang mulia, ia sebenarnya membawa kepada proses laburan atau proses penyucian semula diri.

Bangsaku, sungguh kita amat kaya dengan falsafah dalam perkara-perkara yang kita anggap remeh. Walau riang bergembira meraikan kemenangan pada hari mulia, hayatilah falsafah orang terdahulu agar kita jadi orang berguna untuk masa akan datang.

SUMBER

  1. Abu Talib, Muhammad Jailani. (2012). Blog Abi Hulwa. ISU BUDAYA WARISAN : Falsafah Di Sebalik Anyaman Ketupat. http://abihulwa.blogspot.com/2012/08/isu-budaya-warisan-falsafah-di-sebalik.html
  2. Mohd Hussain, Nora Lina. (2017). Sinar Harian. Pengertian dan falsafah ketupat. http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/pengertian-dan-falsafah-ketupat-1.697769
  3. Ismail, Nik Hasnah. (2018). Berita Harian. Hati bersih penentu akhlak mulia. https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/02/388410/hati-bersih-penentu-akhlak-mulia

 

Previous articleSeni Interaksi Manusia Agung
Next articlePerang Dunia Kedua – Operasi Crusader: Tobruk Bebas!
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE