5-6 tahun kebelakangan ini, siri drama seperti “House of Cards” dan “Game of Thrones” (GOT) mendapat sambutan hangat di Amerika. Drama-drama ini mempunyai persamaan dari segi usaha mendedahkan penonton kepada realiti politik kuasa (“power politics” atau “realpolitik”).

Sempena GOT musim ke-7 yang bakal ditayangkan pada 16 Julai 2017, elok juga buat sedikit kupasan cerita ini dari sudut realpolitik.

Secara literal, “Game of Thrones” bermaksud “permainan takhta”. Bukan main masak-masak atau Pokemon Go (ada orang main lagi kah) atas takhta: takhta merupakan simbol kepada kuasa politik, justeru permainan takhta membawa maksud perebutan kuasa.

Cerita GOT berlangsung di sebuah dunia khayalan bernama Westeros. Kejatuhan Raja Aerys II Targaryen telah mencetuskan perebutan kuasa antara keluarga-keluarga (“houses”) di kalangan tujuh kerajaan (“Seven Kingdoms”) Westeros. Semua keluarga bersaing untuk menjadi pemerintah Tujuh Kerajaan dan merajai Takhta Besi (“Iron Throne”) di King’s Landing (ibu kota Tujuh Kerajaan).

Dalam dunia realpolitik sebegini, semua manusia mahu memaksimakan kuasa. Dunia yang penuh dengan tipu helah dan muslihat. Cantas-mencantas menjadi lumrah. Semua nak “game each other out”.

Untuk hidup (“survive”) dalam dunia sebegini ada tiga pilihan:

(1) Jadi jahat. GOT penuh dengan watak-watak gila kuasa yang sadis: Keluarga Lannister (Tywin Lannister, Cersei Lannister, Joffrey Baratheon), Varys dan Littlefinger. Mereka sanggup buat apa saja untuk merampas dan mengekalkan kuasa. Kadang-kadang penonton terpaksa kagum dengan kepintaran (“cunningness”) watak-watak jahat ini. Mereka sentiasa ada idea untuk menjatuhkan orang lain dan menaikkan diri. Dari awal lagi mereka bertindak kejam demi mencapai cita-cita dan memenuhi nafsu kuasa.

(2) Jadi baik. Ciri-ciri utama orang baik ialah berpegang kepada janji dan mudah percaya orang. Tidak buruk sangka dengan orang. Tidak mengambil kesempatan ke atas orang. “Nice guy”. Tetapi dalam Bahasa Inggeris ada pepatah “nice guy finish last”. Jadi amat merugikan untuk jadi “nice” dalam dunia yang penuh dengan tipu muslihat. Orang macam ini kita panggil sebagai “idealis”.

Bukan tak boleh jadi baik dan jujur, tapi perlu tengok keadaan. Keluarga Stark (Ned Stark dan anaknya Robb Stark) adalah contoh mangsa idealisme. Sikap mereka yang terlalu berprinsip dan tidak fleksible akhirnya membawa mudarat kepada keluarga dan pengikut mereka. Mereka dikorban. Anak-anak mereka menjadi yatim piatu.

(3) Belajar dari orang jahat. Daenerys Targaryen (puteri Raja Aerys II), Sansa Stark, Arya Stark (anak-anak Ned Stark) dan Jon Snow semua asalnya orang baik-baik. Namun pengalaman hidup yang tragis memaksa mereka untuk mengubah diri mereka. Mereka belajar dari kesilapan ibu bapa mereka dan menyesuaikan diri dengan permainan kuasa.

Ini yang disarankan oleh Niccolò Machiavelli, sang pemikir realpolitik. Belajar bermuslihat bukan bermaksud kita menyerah diri kepada kejahatan, tetapi sebagai strategi untuk melawan kejahatan. Nasib (“Fortuna”) hanya dapat diubah melalui kebijaksanaan (“Virtù”), dan kebijaksanaan terletak pada kebolehan bertindak mengikut keperluan keadaan (“Necessità”).

Arya memperolehi “seni bermuka-muka” dari Jaqen dan berjaya membalas dendam bagi ibu dan abangnya dengan membunuh Lord Walder Frey. Daenerys menjadi pemain politik yang hebat dan matang, semakin menghampiri cita-cita untuk merampas kembali Takhta Besi milik ayahandanya. Daripada mengemis simpati penonton, mereka belajar berstrategi untuk menewaskan orang-orang jahat demi menegakkan keadilan di Westeros.

Bila sebut pasal Machiavelli, ramai yang akan terbayang ungkapan “matlamat halalkan cara”. Sebenarnya itu adalah fitnah terhadap Machiavelli. Machiavelli sendiri tak pernah berkata begitu. Apa yang Machiavelli yang cuba sampaikan ialah seorang pemimpin harus memiliki keberanian untuk bertindak demi menjaga kebaikan umum. Nak sebut istilah maslahat nanti orang marah, tapi konsepnya lebih kurang.

Ada yang berani ceburi politik dengan cita-cita menjadi pemimpin tanpa memahami prinsip realpolitik. Mereka ini samada akhirnya kena “game” atau jadi tunggangan, jauh sekali nak memimpin. Tak semua orang sesuai jadi pemimpin. Kalau rasa diri itu baik hati eloklah jadi pengikut, pemimpin spiritual, atau tukang air liur.

Bukan maksudnya kalau tak berpolitik maka tak perlu mengambil tahu pasal realpolitik. Di tempat kerja pun ada politik. Kalau anda tersepit antara dua bos yang bersaing, pandai-pandailah hidup. Ikut keselesaan samada nak “balancing” (memihak kepada bos yang lebih lemah), “bandwagoning” (memihak kepada bos yang lebih kuat) atau jadi neutral.

Dalam berkawan pun perlu jadi “realis”. Sentiasa berwaspada dengan orang yang bermuka-muka. Ingatilah bahawa kawan lebih bahaya daripada musuh: kerana musuh tidak akan mengkhianati kita, hanya orang yang bergelar kawan sahaja yang akan mengkhianati kita. Kita perlu memastikan semangat setia kawan kita tidak dimanipulasi oleh manusia durjana yang mempunyai agenda tersendiri.

Itulah nasihat Melisandre kepada Jon Snow: “It is not the foes who curse you to your face that you must fear, but those who smile when you are looking and sharpen their knives when you turn your back.”

Rasa seram? Baru kali pertama dengar benda-benda macam ini? Itulah akibat banyak sangat tengok Suri Hati Mr. Pilot. Tontonilah GOT dan belajar realpolitik.

Kalau berminat dengan kupasan GOT secara mendalam, bolehlah cari buku “Game of Thrones and Philosophy” ini.

#WinterIsHere


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Leave A Reply