Falsafah Gaara: Adakah Kita Bebas Membuat Pilihan Hidup?

1,129

Pra-tempah hanya di Shopee

Gaara telah menjadi mangsa penindasan dan penyisihan oleh ayahnya sejak dia berada di dalam kandungan ibunya lagi, iaitu Gaara terpaksa menanggung beban sebagai tuan kepada Shukaku. Dia mahu membesar menjadi seorang kanak-kanak normal. Cuba terbuka dan mahu merapatkan hubungan dengan masyarakat kampungnya, tetapi hasilnya Gaara ditakuti dan dijauhi. Sampai satu masa, Rasa (Ayah Gaara) merancang pembunuhan ke atas Gaara, tetapi gagal sehinggalah Gaara menjadi seorang yang bengis dan kejam.
.
Sekali sekala Gaara dipengaruhi oleh Shukaku yang untuk melakukan sesuatu. Kadangkala memang tindakannya dipengaruhi oleh Shukaku yang hanya Gaara mendengarinya. Tambahan pula sifat Shukaku yang secocok dengan sifat Gaara pada masa itu. Setelah bertemu dengan Naruto, segalanya berubah dan Gaara menjadi Naruto Kedua dalam siri anime itu. Ceh.

Sebelum pergi lebih lanjut. Apa yang aku nak bawa di sini adalah apa yang ahli falsafah dbincangkan berkenaan ‘Free Will’. Jadi, memang aku tak mahu sentuh apa-apa fasal agama, terutamanya Islam. Jadi, segalanya falsafah di sini. Aku sekular ke ni? Hmmm
.
1. Libertarianism

Libertarianism sinonim dengan konsep Free Will telah dibincangkan sejak zaman Tamadun Yunani lagi. Aristotle dan Epictetus menyatakan tiada apa yang menghalang kita daripada membuat pilihan. Jadi, secara umumnya idea ini menyatakan kita tidak terikat dengan apa-apa dalam melakukan apa-apa tindakan dalam hidup kita.

Kita mahu makan nasi goreng sebab memang kita mahu makan benda itu dan kita mampu memakannya. Kita mahu ke sekolah sebab kita mahu ke sekolah dan ianya semua pilihan kita tanpa terikat dengan apa-apa pun.

Libertarianism mengasaskan dua perkara yang dalam membentuk idea mereka, iaitu punca peristiwa (event causation) dan ajen punca (agent causation). Event causation menyatakan apa-apa kejadian fizikal (realiti) yang berlaku di dunia tidak akan berlaku tanpa kejadian fizikal yang sebelumnya. Contohnya, Gaara tak akan disisihkan kalau ayahnya tidak masukkan Shukaku ke tubuhnya. Yashamaru tidak akan mati kalau Rasa tidak mengarahkannya untuk membunuh Gaara. Libertarian menyatakan kejadian fizikal itu memang bersifat deterministik.
.
Agent causation pula menyatakan segala rantaian peristiwa fizikal yang berlaku tadi adalah hasil daripada minda dan kehendak. Shukaku berada dalam tubuh Gaara adalah kehendak Rasa sendiri dan itu pilihannya. Gaara mahu menjadi seorang yang kejam kerana itu pilhannya setelah disisihkan oleh masyarakat dan keluarganya.
.
Tetapi ahli falsafah yang lain melihat hujah itu tidak cukup kukuh untuk menegakkan konsep ‘Free Will’.

2. Determinism

Falsafah ini pula adalah yang paling kuat menentang konsep Free Will. Determinisim menyatakan, apa yang kita lakukan mempunyai faktor sebelumnya yang membuatkan kita melakukan perkara tersebut, termasuklah faktor dalaman. Sebarang faktor yang membuatkan kita melakukan pilihan menunjukkan kita tidak mempunyai sebarang kebebasan memilih.

Determinisim berhujah, apakah yang membuatkan seseorang itu memilih suatu pilihan itu daripada banyak-banyak pilihan yang lain? Apakah yang membuatkan Rasa (ayah Gaara) membuat pilihan untuk memasukkan Shukaku ke dalam tubuh Gaara? Apakah yang membuatkan Gaara membuat pilihan untuk berubah daripada banyak-banyak pilihan lain?
.
Faktor yang mempengaruhi keputusan dan pilihan itu menjadikan manusia tidak mempunyai kebebasan memilih bagi determinism. Rasa memilih Gaara sebab Temari dan Kankuro tidak sesuai untuk memiliki Shukaku. Gaara membuat pilihan untuk berubah menjadi seorang yang kejam kerana dia disisihkan. Pilihan-pilihan yang dibuat oleh Rasa dan Gaara ini mempunyai faktor sebelumnya yang membuatkan mereka membuat pilihan sedemikian.

Ahli falsafah Perancis, Baron D’Holbach menyatakan tiada sebarang tindakan kita yang bebas, malah segalanya yang berlaku adalah hasil daripada rantaian peristiwa yang tak pernah putus. Shukaku muncul hasil daripada konflik Kaguya dan anak-anaknya. Kampung Angin memiliki Shukaku hasil pembahagian dalam mesyuarat pertama semua kage. Sehinggalah Shukaku terjebak dalam hidup Gaara. Gaara mungkin pernah terfikir bagus sekiranya Shukaku tidak pernah wujud. Maka, apa yang berlaku pada Rasa dan Gaara adalah hasil daripada peristiwa lepas yang tidak pernah putus rantaiannya.
.
Malah Gaara membuat pilihan menjadi baik pun selepas kena basuh dengan Naruto. Maksudnya pilihan dia sendiri pun bersebab yang kelihatannya menurut Determinisim tidak bebas.

3. Compatibilism

Sekiranya Gaara tidak mempunyai Shukaku, kemungkinan Gaara akan membesar seperti Temari dan Kankuro. Menjadi seorang baik dan tidak ditindas. Kalau ikutkan itulah lumrahnya. Tetapi perubahan Gaara ketika Yashamaru cuba untuk membunuhnya, mungkin mempunyai implikasi daripada pengaruh Shukaku yang bersifat bengis dan kejam.

Aku teringat sebuah filem yang berjudul ‘Identity’ yang menayangkan seorang pesakit yang mengalami masalah split personaliti. Personalitinya ada 9 orang dan salah seorangnya adalah pembunuh. Apabila dia menjadi personaliti pembunuh tersebut, dia akan melakukan pembunuhan.

Jadi apa yang berlaku pada lelaki yang mempunyai masalah mental ini adalah ‘Free Will’ ataupun sesuatu yang bersebab (kerana mempunyai masalah split personaliti)? Apakah perubahan Gaara menjadi seorang kejam adalah hasil daripada pilihannya ataupun sebab masalah mentalnya (pengaruh Shukaku)?

Macam mana kita nak menghukum dan mendakwa lelaki yang mempunyai masalah split personaliti itu?

Di sinilah munculnya compatibilism yang cuba menyeimbangkan antara determinism dan libertarianism. Compatibilism masih menganggap perkara yang berlaku sebagai bentuk yang telah ditentukan dan tidak bebas. Tetapi sekiranya ketentuan itu berlaku hasil daripada pilihan atau dari dalam diri kita, ia masih dianggap sebagai ‘Free Will’ dan bebas membuat pilihan.

Dalam kes orang sakit mental tadi, kita tak boleh nak salahkan untuk perkara yang dia tak boleh dikawal. Sebenarnya banyak kes lain selain masalah mental ini seperti ketumbuhan yang mempengaruhi tindakan.

Ahli Falsafah kontemporari, Patricia Churchland menyatakan, dalam kes macam ini, kita hanyalah mampu mengawal untuk perkara yang kita boleh kawal. Menanyakan adakah kita bebas membuat pilihan adalah tidak relevan. Sepatutnya soalan yang ditanya adalah, berapa banyak perkara yang dapat kita kawal? Semakin banyak perkara yang kita dapat kawal, maka semakin beratlah tanggungjawab kita.

Jadi, adakah kita bebas membuat pilihan?

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.