Falsafah Dan Pendirian Seni Lakon Latifah Omar

1158
views

Seorang pelakon yang bagus adalah pelakon yang tidak hanya bergantung kepada paras rupanya. Sebuah filem cereka memerlukan lebih daripada kejelitaan yang dimilikinya oleh pelakon wanitanya.

Menurut seniwati Latifah Omar, fungsi pertama seorang pelakon ialah berlakon. Tanpa berlakon, seseorang pelakon itu ibarat sehelai kertas bunga yang ditampal dalam sesebuah filem. Latifah memasuki dunia perfileman ketika usianya 14 tahun menerusi filem Dahlia (1954). Dengan memiliki raut wajah perempuan Melayu asli dan jelita membuatkan dirinya sering terpilih untuk membintangi filem-filem di tahun 1950-an dan 1960-an.

Walau bagaimanapun, Latifah tidak hanya bergantung harap kepada raut wajahnya sahaja. Beliau sering mengkaji serta mencuba beberapa teknik lakonan untuk persediaannya berlakon di hadapan kamera.

“Pada mulanya, saya menggunakan teknik lakonan dengan pergi ke satu sudut dan berlatih berdialog secara bersendirian. Teknik ini jugalah yang digunakan oleh P. Ramlee semasa kami sama-sama berlakon di dalam filem Panggilan Pulau. P. Ramlee mampu menyerapkan watak ke dalam dirinya dengan cara begini tetapi saya tidak” kata Latifah di dalam sebuah wawancara bersama Hamzah Hussin. Bagi Latifah, teknik lakonan seperti itu tidak sesuai dengan dirinya dan membuatkan lakonannya nampak lemah.

Menurut Hamzah Hussin, Latifah banyak belajar berlakon dengan seniman Nordin Ahmad yang juga pasangan idealnya di layar perak. Selain daripada itu, Latifah juga sangat mengagumi lakonan seniwati Siput Serawak yang terkenal dengan tahap lakonannya yang sangat berkualiti.

“Sebuah watak ialah satu peribadi yang tidak bernyawa di dalam skrip. Maka itulah sebabnya boleh timbul perkataan ‘LAKONAN MACAM KAYU’ kerana ia sekadar kayu yang tidak bernyawa dan tidak berjiwa. Ia hanya hadir di dalam filem tanpa menanamkan sebarang emosi. Jika anda hanya membaca dialog, anda tidak menjadikan dialog itu sebagai suara dari emosi watak itu” ujar Latifah. Lakonan menurut kaca mata beliau adalah bagaimana seseorang itu menghidupkan dan menjiwai watak yang diserahkan, bukan sekadar membaca dialog.

Latifah Omar pernah beberapa kali menjadi wakil studio Cathay-Keris Film di Festival Filem Asia Pasifik. Ketika menghadiri festival itu, Latifah dikatakan sering berbual dan berbincang dengan penggiat seni dari negara luar tentang hal ehwal perfileman. Beliau tidak suka membuang masa dengan membeli belah di negara-negara yang menjadi tuan rumah festival filem yang dihadirinya.

Sepanjang bergelar bintang filem, Latifah Omar tidak pernah berasa puas dengan tahap lakonannya. Beliau sentiasa meninjau dan mencari kelemahan yang terdapat di dalam lakonannya yang terdahulu untuk diperbaiki. Beliau sedar lakonannya terdapat kelemahan dan rapuh, mungkin disebabkan peranannya di dalam setiap filem hampir sama iaitu menjadi mangsa kekejaman orang. Namun begitu, Latifah tidak bersikap malas untuk mengkaji skrip dan mendalami kehendak pengarah. Beliau seboleh-bolehnya ingin menyampaikan penderitaannya di dalam filem itu dengan pelbagai corak.

Sebagai seorang pelakon utama di Cathay-Keris, Latifah Omar mempunyai prinsip serta falsafahnya yang tersendiri. Menurut Hamzah Hussin, Latifah juga sering berselisih faham dengan pengarah kerana perbezaan pengertian dan interprestasi terhadap sesebuah watak. Hamzah Hussin berkata, jika perselisihan itu sampai ke kemuncak dan tidak dapat memberikan lakonan yang memuaskan pengarah, Latifah akan segera keluar dari set penggambaran dengan berkata “Boring!”

Menurut sekumpulan pengkritik filem pada tahun 1960-an, mereka berpendapat lakonan terbaik daripada Latifah Omar ialah menerusi filem Rumah Itu Dunia Aku (1964) yang diadaptasi daripada novel tulisan Hamzah Hussin. Mereka sangat berpuas hati dengan mutu lakonan Latifah yang memegang watak Lin – seorang anak gadis luar nikah yang mempertahankan kesuciannya. Menurut Latifah, sebelum skrip filem itu diserahkan kepadanya beliau telah membaca novel itu sebanyak empat kali untuk memahami serta menghayati sedalam-dalamnya watak yang bakal dilakonkan olehnya. Setelah skrip filem sampai ke tangannya, Latifah berpendapat bahawa skrip itu ditulis mengikuti novel secara jujur dan memudahkannya untuk membawa watak Lin seperti mana yang sudah dibayangkan dalam fikirannya.

Sepanjang hampir 20 tahun berlakon, Latifah Omar telah membintangi sebanyak 35 buah filem. Beliau yang pernah berkhidmat di ketiga-tiga studio Malay Film Productions, Cathay-Keris Film & Merdeka Film Studio serta menjadi salah seorang primadona filem Melayu yang paling berpengaruh. Filem yang menjadi kegemarannya ialah Patong Cendana (1965) arahan M. Amin di mana beliau berlakon sebagai Chendana – seorang gadis yang bermandi cahaya bulan untuk mengembalikan kemudaannya. Filem yang paling tidak digemari oleh beliau pula ialah Laila Majnun (1962) kerana peranannya sebagai Laila di dalam filem itu kurang mencabar selain filem itu dibuat semata-mata hanya untuk mengambil kesempatan di atas populariti Nordin Ahmad dan Latifah Omar.

Sumber:

  1. Hussin, Hamzah (1984). Kisah-kisah yang membalut legenda insan yang bernama Latifah Omar. Utusan Filem dan Fesyen, Jun 1984.
  2. Hussin, Hamzah. (2004). Memoir Hamzah Hussin: Dari Keris Film ke Studio Merdeka. Penerbit UKM.
  3. Abd Aziz, Mohd Danial. (2017). The Patriots. Latifah Omar – Primadona Filem Melayu https://www.thepatriots.asia/latifah-omar-primadona-filem-melayu/