Moving Forward As One

Falsafah Antivaksin dan Sophist Yunani: Suatu Perbandingan

670

PayLater by Grab

Tamadun Yunani Purba telah hilang ribuan tahun yang lalu. Walaupun begitu, kesan-kesan tempias pemikiran yang ditinggalkan oleh ahli falsafah langka masih dirasai hingga ke hari ini. Kota Athens telah melahirkan ramai pemikir agung semisal Socrates, Plato, Aristotle, dan ramai lagi.

Namun, kota nan agung itu juga mempunyai suatu golongan pemikir yang sering ditempelak oleh mereka, iaitu golongan Sophist, atau dikenali juga sebagai Sufastaiyah. Masyhur dikisahkan bahawa mereka sering berdebat dengan Socrates dan Plato perihal masalah-masalah falsafah seperti yang telah direkodkan dalam dialog-dialog tulisan Plato.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Walaupun mereka telah meninggalkan dunia ini sekian lama, tapi muncul kini golongan yang mewarisi pemikiran dan falsafah mereka. Golongan ini adalah orang yang menidakkan ajakan untuk disuntik vaksin, dan telah disohorkan dalam kamus, pustaka ilmiah dan wacana intelektual awam sebagai antivaksin. Mereka sering berdebat mengenai penolakan terhadap vaksin kerana tidak mempunyai keyakinan terhadapnya.

Kini, seluruh dunia telah diserang dengan wabak COVID-19 yang berasal dari negara China. Wabak tersebut menular dengan cepatnya sehingga telah menjangkiti ramai orang tanpa mengira usia, agama, etnik, bangsa, negara, warna kulit, dan sebagainya. Statistik yang dikeluarkan oleh World Health Organization (WHO) pada 31 Mei 2021 menunjukkan seramai 169,597,415 telah dijangkiti wabak tersebut di seluruh dunia dengan mencatatkan jumlah kematian yang mencecah 3,530,582.

Sudahlah begitu, muncul pula mutasi ganas virus ini yang berasal daripada negara-negara berlainan seperti United Kingdom (UK), Afrika Selatan, dan India. Mutasi ini diistilah sebagai variant of concern kerana mampu untuk menyebabkan penularan berlaku dengan lebih cepat dengan simptom yang tidak dapat dikesan. Varian-varian tersebut juga dilaporkan menyebabkan kadar kematian yang lebih tinggi dan lebih pantas. Terkini, akhbar bertarikh 30 Mei 2021 melaporkan muncul pula Varian Vietnam yang merupakan campuran Varian UK dan Varian India.

Dalam usaha untuk mengawal penularan wabak ini, badan-badan perubatan dan institusi-institusi sains menggembleng tenaga untuk mencipta vaksin baharu dalam masa secepat mungkin. Hasil daripada usaha sama mereka, maka dunia seakan diberi harapan untuk sembuh apabila terhasilnya vaksin seperti Sinopharm, Pfizer, AstraZeneca, Sputnik, Moderna dan lain-lain. Kajian-kajian saintifik yang dilaksanakan telah membuktikan bahawa vaksin-vaksin tersebut berupaya untuk menjadi “perisai” daripada dijangkiti oleh COVID-19.

Meskipun begitu, usaha murni ahli sains dan ahli perubatan untuk membantu memulihkan manusia telah direncatkan oleh golongan antivaksin ini. Di Malaysia, secara khususnya, golongan antivaksin ini semakin menjadi-jadi dalam penolakan mereka terhadap pemberian vaksin. Pelbagai alasan dikedepankan oleh golongan mereka. Ada yang lucu, ada yang tidak berasas, dan ada juga alasan yang diberikan tidak dapat diterima dek akal. Contohnya, ada yang mengatakan bahawa vaksin dibuat terlalu pantas, jadi pembuatannya tidak dapat dipercayai. Terkini, tular pula rakaman suara oleh Mak Teh yang memberikan khabar angin bahawa penyuntikan vaksin tidak memberi kesan bahkan menyebabkan ramai jururawat meninggal dunia.

Jika kita menganalisis sikap-sikap dan pemikiran-pemikiran yang ditonjolkan oleh antivaksin, kita akan dapati banyak persamaan antara mereka dengan golongan Sophist dari Yunani Purba. Falsafah yang mendasari pemikiran golongan antivaksin seakannya menyamai falsafah yang cuba untuk disebarkan oleh golongan Sophist. Walaupun jurang perbezaan tempoh ketamadunan Yunani dan ketamadunan moden sangat luas, akan tetapi paradigma pemikiran dan sikap kedua-dua golongan tersebut mempunyai rangka dan asas yang sama.

Oleh itu, tulisan ini cuba untuk membuktikan bahawa terdapat persamaan antara falsafah antivaksin dan Sophist jika dibandingkan. Persamaan-persamaan tersebut boleh disimpulkan dalam 4 frasa utama iaitu: menguasai retorik, berpegang pada relativisme, bercorak fikir skeptisisme, dan mempunyai pengaruh luas. Tulisan ini akan menelusuri persamaan-persamaan tersebut satu per satu dengan sepadat, seringkas, dan seilmiah mungkin. Walaupun begitu, tulisan ini hanya sekadar membuat perbandingan dan tidak mencuba merungkai hujahan mereka.

Yang pertama, kedua-dua golongan antivaksin dan juga Sophist menguasai ilmu retorik dan bahasa dengan sangat baik. Mari kita analisis dahulu daripada perspektif Sophist. Menurut catatan-catatan sejarah dalam karya agung Yunani Purba, Sophist merupakan suatu golongan yang merantau dari tempat ke tempat untuk mencari wang dengan mengajar anak murid. Dengan kepetahannya dalam berbahasa, berucap, dan berdebat dengan unsur retorik, mereka dapat mempengaruhi golongan bangsawan untuk mengamanahkan pengajaran anak-anak bangsawan kepada mereka.

Plato mencatatkan dalam dialognya Sophist bahawa mereka ini bijak memutar belitkan sesuatu dan sering menggunakan perkataan yang indah untuk menarik pendengar. Dengan menggunakan kepakaran tersebut, mereka menjadikannya sebagai suatu seni untuk menipu dan akhirnya mengaut keuntungan. Dengan keindahan ucapan yang memukaukan, mereka meyakinkan manusia bahawa yang salah adalah benar, dan yang benar adalah salah.

Jika dibandingkan dengan golongan antivaksin, kita akan dapati bahawa golongan antivaksin juga menggunakan retorik dalam ucapan dan penulisan mereka. Namun, wujud garis pemisah antara antivaksin dan Sophist iaitu agama. Hal ini kerana, golongan antivaksin sering menggunakan unsur retorik dengan mencantikkan tulisan, ucapan, dan penghujahan mereka dengan kalam Allah dan sabda Nabi. Hujahan-hujahan mereka berkisarkan bahawa hukum vaksin tidak tercatat dalam al-Quran dan Sunnah. Mereka juga menyatakan bahawa perubatan Sunnah atau Tibbun Nabawi lebih baik berbanding perubatan moden.

Bahkan, tular juga kewujudan individu-individu daripada kelompok ini yang sanggup untuk memfitnah Syeikh Sudais, Imam Masjidil Haram, sebagai imam kapitalis dan penjilat kerajaan hanya kerana mengambil vaksin. Mereka menulis bahawa al-Quran dan Sunnah mencatatkan bahawa wujud golongan munafik yang bersembunyi di Mekah dan Madinah, dan hanya pada era akhir zaman sahaja golongan ini akan muncul. Mereka mengkategorikan Syeikh Sudais dalam kelompok tersebut. Ramai yang terpengaruh akibat ilmu yang cetek perihal agama, lalu kedudukan mereka terjerat antara ‘menolak Quran-Sunnah jadi kafir’ dan ‘logik tak berasas’.

Seterusnya, persamaan yang dapat dilihat antara antivaksin dan Sophist juga ditonjolkan melalui pegangan mereka kepada pemikiran relativisme. Ayuh kita huraikan dahulu daripada lensa golongan Sophist. Pola fikir mereka diasaskan pada dasar bahawa setiap pendapat, pendekatan, dan pemahaman itu tiada yang benar dan tiada yang salah. Buktinya, salah seorang Sophist iaitu Protagoras pernah berkata, “man is the measure of all things, of the things that exist, they exist, for the things that not exist, they are not.” Maksud daripada ungkapan tadi adalah manusia menentukan apa yang benar dan apa yang salah mengikut kefahaman masing-masing, atau secara kasarnya, mengikut selera sendiri. Plato mengkritik mereka ini dengan menyatakan bahawa Sophist tidak pernah memberi ilmu yang benar, melainkan hanya pendapat belaka.

Persamaan antivaksin dalam isu ini sangatlah menonjol. Antivaksin sering berhujah dan berdebat dalam menzahirkan sikap mereka yang tidak ingin mengambil vaksin. Mereka enggan mendengar hujahan daripada pihak orang lain terutamanya dalam bidang sains dan kesihatan walaupun hujahan tersebut dibina atas fakta-fakta yang kukuh. Mereka menolak kajian-kajian saintifik yang telah dilakukan dan mengambil sikap mengkritik para ahli kesihatan kerana tidak mempercayai fakta-fakta yang diberikan. Mereka lebih menyukai teori-teori konspirasi perihal vaksin walhal teori tersebut tidak dapat disahihkan. Dalam perkara ini, mereka sekufu dengan Protagoras apabila menerima sesuatu pendapat hanya berdasarkan selera sendiri kerana ilmu cetek.

Jika kita analisis secara lebih mendalam mengenai isu dasar yang menyebabkan kemunculan golongan antivaksin dan Sophist, kita akan menemui jawapan bahawa asas keilmuan atau epistemologi mereka bersandarkan pada pemikiran skeptisisme. Secara etimologi, skeptisisme berasal dari bahasa Yunani yang bermaksud “penyoalan” dan juga “peraguan”. Kedua-dua sikap sering mempersoalkan dan memperagukan sesuatu sering ditunjukkan oleh golongan antivaksin dan juga Sophist.

Sophist dahulu sering meragukan dan menyoalkan pengajaran-pengajaran yang diberikan oleh Socrates, Plato, Aristotle dan juga ahli falsafah Stois. Bahkan, ada antara mereka yang meragukan mengenai kewujudan alam ini. Yang paling radikal antara mereka adalah Gorgias yang menafikan segala kewujudan dan menganggap apa yang berlaku hanyalah sekadar halusinasi sahaja serta kita tidak mampu untuk mengetahui apa yang benar dan apa yang salah. Epistemologi ini yang telah membawa mereka untuk berfaham relatif.

Begitu juga golongan antivaksin yang mengambil pendekatan sangat skeptik apabila mengutarakan pendapat-pendapat mereka perihal vaksin. Mereka sering bersoal-bersoal mengenai kandungan dalam vaksin kerana meragukan mengenai isu halal dan haram walaupun telah para mufti telah memfatwakan vaksin sebagai halal. Mereka berpendapat bahawa orang yang mencipta vaksin juga meletakkan mikrocip untuk mengesan kedudukan manusia di atas muka bumi.

Lalu, mereka mengambil jalan mudah dengan menyimpulkan bahawa vaksin ini merupakan agenda Yahudi yang ingin mengawal umat Islam di akhir zaman ini. Apabila diberikan penerangan berdasarkan fakta, mereka mengunjurkan bahawa setiap pendapat boleh benar dan juga boleh salah. Jika diperhatikan, sikap ini benar-benar sama seperti kaum Sophist.

Akhir sekali, jika dicermati persamaan antara antivaksin dan Sophist, kita akan menjumpai satu fakta yang tidak diragukan iaitu kedua-dua golongan ini mudah mempengaruhi dan juga mempunyai pengaruh yang luas. Dahulu, saking berpengaruhnya kaum Sophist, mereka mampu untuk memperdayakan golongan bangsawan supaya menghantar anak-anaknya untuk menuntut ilmu dengan mereka. Kini, golongan antivaksin juga menunjukkan sisi yang sama.

Ada antara golongan antivaksin yang mempunyai akaun Instagram yang followers mencecah puluhan ribu orang. Buktinya, antara akaun antivaksin yang sangat aktif ialah *a*z*l O*m*n yang mempunyai capaian followers sehingga 31.7k. Ada juga individu antivaksin yang pernah sohor kerana merupakan bekas pelakon seperti *u* *a*ya. Tidak kurang juga ada individu antivaksin yang terdiri dari ostad-ostad terkenal yang mempunyai ramai anak murid.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Di saat semua orang sedang merana akibat merebaknya wabak COVID-19 dan menjejaskan semua sektor ekonomi di Malaysia serta menggugat segenap aspek kehidupan, para ahli sains dan ahli perubatan telah mencuba sedaya upaya untuk merawat, memulih, dan mencegah virus ini daripada terus menular. Antara sumbangan terbesar mereka adalah penerokaan sains dengan kemampuan untuk mencipta vaksin dengan kadar sesegera mungkin.

Namun, hadirnya golongan antivaksin dengan kerancuan pemikirannya telah mengganggu-gugat usaha murni para saintis. Golongan ini tidak ubah seperti kaum Sophist sama ada dari aspek perbicaraan, pemikiran, keilmuan, dan juga pempengaruhan. Maka saya akhiri karangan ini dengan pernyataan Ibnu Rusydi untuk renungan bersama: “Jika ingin menguasai orang yang bodoh, maka bungkuslah kebatilan dengan kemasan agama.”

Kiriman artikel oleh Muhammad Shuib bin Rosli, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan (BPLB), dari Universiti Utara Malaysia (UUM). 

Ruangan komen telah ditutup.