Falsafah Agung Pada Tarian Zapin Melayu

0
453
views

Ketamadunan Melayu sudah lama dikaji sejak zaman berzaman oleh orang asing. Antara gelaran yang sering diletakkan ke atas orang Melayu ialah Gentlemen Of The East. Ia kerana kebudayaan, sikap dan latar masyarakat orang Melayu adalah penuh kesopanan dan kelembutan. Ini dapat dibuktikan pada falsafah yang wujud bagi kebanyakan budaya Melayu. Hmmm… apa kata saya mulakan dengan… tarian zapin? Oh ya, tarian yang terkenal dan seringkali dikaitkan dengan negeri Johor ini ada 1001 rahsia untuk dibongkarkan!

Meskipun tarian ini dipercayai datang dari bumi Arab sendiri, atau lebih tepat dari bumi Hadramaut itu sendiri, namun apabila sampai kepada orang Melayu ia telah mengalami proses asimlasi dan adaptasi dengan budaya Melayu itu sendiri. Atas sebab itulah, tarian zapin hari ini mempunyai falsafah yang mengambarkan estekika bangsa Melayu. Ia akan penuh dengan sifat lemah lembut dalam perlakuan, kehalusan dalam perlakuan dan juga tertibnya dalam pergaulan .

Penari lelaki mempunyai tatagerak yang berbeza daripada seorang penari wanita. Seorang penari lelaki dalam tarian zapin harus kelihatan maskulin, megah, tegap dan gagah. Ini adalah ciri-ciri seoprang lelaki yang dituntut oleh tamadun Melayu.

Kalau diperhatikan, lagak dan gerak penari Zapin yang kelihatan seperti mengepung penari wanita dalam tarian zapin bertujuan untuk melambangkan peranan seorang lelaki untuk melindungi kaum wanita daripada segala marabahaya, sesuai dengan sifat seorang lelaki sebagai pelindung kaum wanita. Kaum lelaki dilarang sama sekali untuk meniru penggerakkan tari dan lenggok kaum wanita.

Bagi penari wanita pula, tatagerak tubuh mereka lebih tidak dibenarkan membuka langkah tari yang terlalu luas. Tarian seorang penari wanita haruslah tidak terlalu menonjol, dan ciri-ciri kejelitaan seorang gadis Melayu itu harus dipaparkan melalui gerak tubuh yang menggambarkan pemalu dan kehalusan. Dilarang sama sekali unsur erotis. Goyangan pinggul dan tangan tidak boleh keterlaluan. Lambaian tangan pula harus berada di bawah paras bahu, dan tidak dibenarkan sama sekali untuk mengangkat tangan melebihi paras ketiak.

Bahkan, tangan dan kaki harus berada pada paras dan gaya tertentu, seperti tangan seorang penari wanita tidak boleh terlalu tinggi hayunannya, manakala henjut kaki pula tidak boleh terlalu keras dan kuat, kerana semua sikap itu ialah sikap kaum lelaki, bukannya wanita. Sekali imbas, ciri-cirinya adalah ciri gadis Melayu terakhir, yang kita semua cari.

Liuk dalam tarian zapin ialah penggerakan tubuh penari yang menunduk sambil berpusing ke kiri dan kanan. Liuk tarian zapin yang dipersembahkan dalam tarian zapin membawa falsafah bahawa setiap mereka yang bernama Melayu harus merendah diri, tidak angkuh, sombong dan membangga diri yang keterlaluan.

Lebih mengasyikkan, kiraan hayunan dalam tarian Zapin yang biasanya melibatkan pengunaan angka 2, 3, 4, 6 dan 7 dan tidak angka 1 dan 5 kerana angka 1 membawa kepada perlambangan KETUHANAN dan angka 5 membawa kepada perlambangan RUKUN ISLAM. Seolah-olah angka itu dieklusifkan pada amalan dan pendirian tertentu dalam agama Islam.

Kesimpulannya, janganlah anak Melayu menghina budaya mereka sesuka hati tanpa mengetahui bahawa nenek moyang kita telah menerapkan falsafah-falsafah yang sangat mengasyikkan, sesuai dengan budaya bangsanya, sesuai dengan agama bangsanya, dan setiap yang dicipta dan wujud dalam tamadun Melayu, InsyaALLAH akan terselit hakikat sebuah ketamadunan yang sangat unggul! Justeru, kekalah berbangga pada bangsa Melayu kita kerana pada itu, terdapat 1001 hikmah yang ditinggalkan oleh nenek moyang untuk dipasang sebagai identiti dan pakaian kita. InsyaALLAH…

Rujukan:

1. Mohd Anis Md Nor (2002) Falsafah Seni Persembahan Melayu di Sebalik Tarian Zapin

2. Artikel Berita Harian bertarikh 13/8/2016 bertajuk Zapin Melayu Terus Berevolusi

Previous articleIkhtiar Itu Ialah Bukti Syukur
Next articleI’m not Malays, I’m Malaysian – Retorik Yang Mengelabui Mata Insan
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE