Falsafah Persatuan Takut Bini (Pertabi)

2,746

Pra-tempah hanya di Shopee

“Menikahlah. Jika kamu mendapat isteri yang baik, kamu akan bahagia. Jikalau mendapat yang jelik, kamu akan menjadi filsuf.”

“Bernikah atau tidak (membujang), kedua-duanya akan kamu sesali.”

Quote di atas diucapkan Socrates, seorang ahli falsafah Yunani tersohor. Tahukah anda yang dia mempunyai seorang isteri bernama Xanthippe. Masyhur yang isterinya ini pernah mencurahkan air panas atas kepala Socrates saat dia berdiskusi falsafah. Cemburu punya penangan. Betul la perempuan ni tak suka diduakan..hatta dengan falsafah sekalipun.
Tetapi bila ditanyakan mengapa Socrates tidak menceraikan isterinya yang garang?

Jawab Socrates; “Aku ikut contoh penunggang kuda yang mahu menjadi mahir. Tidak seperti kalian, minat haiwan-haiwan jinak. Kuda untukku mestilah bersemangat, tiada dolak-dalih dalam keyakinan. Jikalau dapat menghadapi makhluk liar sebegitu, tentulah dapat mengadapi apa pun jua. Sebegitulah aku, aku ingin menghadapi perangai manusia. Ini sebab aku memilih isteriku. Aku tahu jika aku dapat menghadapi perangainya, aku pasti dapat menghadapi perangai orang ramai.”

Maulana Jalaluddin Rumi dalam Mathnawi menceritakan sebuah kisah:

Pada suatu hari, seorang murid bertolak untuk berjumpa gurunya. Sampai sahaja di depan rumah guru, dia pun mengetuk pintu. “Knock knock”, pintu terbuka dan seorang perempuan dengan muka masam muncul.

“Kau nak apa?”

“Saya nak jumpa guru…”

Belum habis murid itu bercakap..terus kena maki dengan perempuan tadi. Tak pasal-pasal.

“Kau cakap dengan lelaki tak guna tu..potpetpotpet..” Rupa-rupanya, perempuan ini adalah isteri gurunya. Bekeng semacam. Kajian menunjukkan perempuan boleh bercakap hampir 20 ribu patah perkataan sehari. Bayangkan berapa banyaknya pula jika berleter?

Setelah lama menadah telinga mendengar leteran, si murid pun diberitahu lokasi gurunya. Dia lekas pergi untuk mencarinya. Isterinya kata ada kat hutan.

Sampai sahaja di hutan, si murid melihat sekeliling mana tahu gurunya ada. Tiba-tiba dia mendengar ngauman harimau. Mula-mula si murid ketakutan, tapi bila sahaja makhluk itu mendekat, dia tersenyum. Gurunya sedang menunggang harimau!

Terus ditanyakan, “Guru, bagaimanakah tuan mendapat karamah ini.”

Jawab guru, “Karamah ini berkat aku bersabar dengan perangai isteriku.”

Kholas.

Dalam teks lain, Rumi berkata,

“Siang dan malam engkau sentiasa berjuang, berusaha mengubah akhlak lawan-jenismu, untuk membersihkan ketidaksucian mereka dan memperbaiki kesalahan-kesalahan mereka. Lebih baik mensucikan dirimu sendiri melalui mereka daripada mencuba munsucikan mereka melalui dirimu sendiri. Ubahlah dirimu sendiri melalui mereka. Temuilah mereka dan terimalah apa sahaja yang mereka katakan, walaupun dari sudut pandangmu ucapan mereka itu terdengar aneh dan tidak adil.

Pada hakikat dan persoalan inilah, Rasulullah Muhammad bersabda, “Tidak ada kerahiban dalam Islam.” Jalan para rahib adalah tinggal bersendirian di gunung. Lelaki hidup tanpa perempuan serta berpaling daripada dunia. Allah menunjukkan jalan lurus dan tersembunyi kepada nabi. Jalan apakah itu? Pernikahan. Agar kita dapat menanggung ujian kehidupan bersama dengan lawan-jenis, mendengarkan permintaan mereka, agar mereka melayan kita dengan keras, dan dengan cara ini menghaluskan akhlak kita.”

PERTABI. Pertubuhan Takut Bini.

Sebenarnya bukan takut bini, tapi bini tak takut kita. Hehe…jawapan otai.

Suatu perkara yang dikongsi ahli falsafah dan ahli sufi adalah pernikahan. Dengan nikah, boleh mengubah diri kita. Sama ada menjadi ahli falsafah ataupun ahli sufi. Dengan hidup bersama, kita merenungi makna kehidupan.

Serious question. Betul ke suami takut bini?

Jawapannya tidak. Takut itu hanya pada lafzi semata-mata, sedang hakikat yang sebenar adalah kasih-sayang. Bagaimana? Takut itu membawa maksud takut menyakiti dan takut melukakan. Semakin sayang kepada seseorang, jua membawa makna semakin takut kehilangan. Semakin menjaga, jua membawa makna semakin takut berjauhan. Semakin dipelihara, jua membawa makna semakin takut akan pemergian.

Islam mengangkat martabat suami di atas isteri. Suami nombor 1, isteri nombor 2. Suami berhak dilayan seperti raja, isteri berhak dilayan seperti permaisuri. Mematuhi permintaan suami adalah kewajiban, mematuhi permintaan isteri adalah ihsan. Lelaki adalah pemimpin kepada kaum perempuan.

Jikalau difahami, ia tidaklah bermaksud suami menindas isteri. Sebenarnya ia adalah suatu tanggungjawab di bahu suami bagi menjaga isteri. Tanggungjawab seorang pemimpin.
Al-Quran & Hadis banyak menekankan tanggungjawab besar seorang pemimpin. Perlu berlaku adil. Tidak boleh berat sebelah. Kena ada kemampuan. Kena ada kebijaksaan. Tidak boleh ikut hawa nafsu. Hidup berpandukan wahyu. Selamatkan keluarga daripada api neraka. Kerana pemimpin akan ditanya depan Allah kelak. Banyak lagi la.

Allah berfirman: “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita dengan apa yang Allah lebihkan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain dan dengan apa yang dinafkahkan dari harta kamu.” (Surah An-Nisaa’, ayat 34)

Disebutkan dalam tafsir al-Qurtubi, Ibnu Abbas berkata: “Darjat kelebihan yang disebutkan dalam firman Allah, suami mempunyai satu tingkatan kelebihan pada isterinya, mengisyaratkan dianjurkan lelaki untuk bergaul dengan baik dan bersikap lapang terhadap isteri dalam hal harta dan akhlak. Yakni, yang lebih utama ialah sebaik-baiknya suami membebani tugas terhadap dirinya sendiri.”

Rasulullah bersabda:

سَيِّدَ الْقَوْمِ خَادِمُهُمْ

Maksudnya: “Pemimpin suatu masyarakat itu merupakan khadam bagi mereka.
Seolah-olah pemimpin itulah khadam. Jadi macam suami tu takut bini. Sebenarnya tidak. Yang ditakutkan adalah takut gagal menggalas tanggungjawab. Takut culas atau cuai. Inilah definisi pemimpin yang bertanggungjawab. Keluarga adalah institusi ummah yang pertama. Baik keluarga, baiklah umat islam.

Rasulullah bersabda, “Lelaki (suami) adalah pemimpin bagi keluarganya dan kelak ia akan ditanya (dimintai pertanggungjawaban) tentang mereka.” (Riwayat al-Bukhari)

Sabda Nabi yang bermaksud: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya di antara mereka. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (Riwayat Ahmad)

Rasulullah bersabda, “Barang siapa beriman kepada Allah SWT dan hari akhir, hendaklah ia tidak mengganggu tetangganya. Jagalah pesanku tentang kaum perempuan agar mereka diperlakukan dengan baik. Sebab mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok. Tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. Jika engkau berusaha meluruskannya, tulang itu akan patah. Jika engkau membiarkannya, tulang itu tetap bengkok. Oleh kerana itu jagalah pesanku tentang kaum perempuan agar mereka diperlakukan dengan baik.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rumi dalam Mathnawi mengungkapkan, isteri mengatasi suaminya yang bijaksana. Berbeza pula jika watak lelaki itu jahil, garang dan biadap, suami pula yang mengatasi isteri. Siapa yang mengatasi atau bersuara dalam rumahtangga ditentukan oleh sifat kasih sayang dan kelembutan manusiawi. Tanpanya, rumahtangga tidak ubah seperti kandang haiwan yang didiami binatang bersifat marah dan berahi semata-mata.

Pembaca semestinya pernah membaca kisah masyhur Saidina Umar. Yang mana seorang sahabat itu dimarah isterinya. Maka dia pun pergi ke rumah amirul mukminin Umar al-Khattab untuk dapatkan nasihat, macam mana nak control bini dia.

Control volume pun jadi la. Sampai je kat depan rumah Umar, sekali dengar dengan Umar-umar sekali kena leter dengan bini dia daa. Lelaki tu pun nak balik. Tapi, Umar sempat perasan lelaki tu datang. Jadi Umar pun panggil lelaki itu dan tanya kenapa datang. Sahabat itu pun luahkan la masalah dia, ingatkan Umar tak hadap masalah sama, sekali Umar pun 2×5.

Jadi Umar al-Farouq pun bagi nasihat, “Bagaimana aku boleh marah kepada isteriku kerana pertama dialah yang masak makananku, kedua dialah yang mengadun dan memasak rotiku, ketiga dialah yang mencuci bajuku dan keempat dialah yang menyusui anak-anakku, padahal semua itu bukanlah kewajipannya.”

Banyakkan sabar, nasihat Umar.

“Kerana isteriku, aku merasa tenteram (untuk tidak berbuat dosa). Maka, aku harus mampu menahan diri dengan perangainya.”

“Wahai Amirul Mukminin, isteriku juga demikian,” kata lelaki itu.

Umar pun menjawab, “Maka, hendaknya engkau mampu menahan diri kerana yakinlah hal tersebut hanya sebentar saja.”

Mengalah tidak bermakna kalah.

Ingat, beras kita beli!

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.