Fakta Yang Perlu Diketahui Berkenaan Dunkirk

0
761
views

Semua sedia maklum Pertempuran Perancis merupakan titik paling rendah bagi pihak Bersekutu. Manakan tidak, pasukan mereka dimalukan sehingga ke tahap terpaksa berundur dan berkampung di Dunkirk, menanti masa untuk diselamatkan. Ini memaksa pihak British melancarkan Operasi Dinamo (Operation Dynamo) untuk menyelamatkan lebih 300,000 askar British dan Perancis yang terperangkap antara 26 Mei hingga 4 Jun 1940. Peristiwa ini turut diadaptasi oleh pengarah filem terkenal, Christopher Nolan untuk filem terbarunya, Dunkirk yang disiarkan di pawagam tahun lepas. Tapi tahukah anda ada perkara yang tidak diketahui berkenaan Dunkirk?

1. BRITISH SAJA MEMPUNYAI ANGKATAN TENTERA MEKANIKAL PADA TAHUN 1940

Jetpack Langkawi

Kita sangka pada awal Perang Dunia Kedua (WWII), kelengkapan tentera British bersifat lapuk dan ketinggalan zaman. Sementara taktik peperangan yang dipelopori kepimpinan tentera mereka bersifat kolot. Hakikatnya, kelengkapan tentera British hampir sama dengan kelengkapan tentera Jerman. Mesingan Bren misalnya dilihat boleh diharap dan lebih tepat berbanding mesingan MG34 Jerman yang mempunyai reputasi menakutkan. Sementara dari segi uniform pula, mereka mempunyai uniform paling moden ketika itu.

Pasukan Ekspedisi British (BEF) saja yang mempunyai angkatan tentera mekanikal jika dibandingkan dengan tentera Nazi Jerman. Dalam 135 divisyen yang digunakan untuk menyerang Perancis, hanya 16 saja yang bersifat mekanikal. Sementara baki 119 divisyen lagi menggunakan tentera berkuda dan infantri. Dari segi kereta kebal, mereka jauh lebih hebat berbanding unit Panzer yang digunakan tentera Nazi dan BEF mempunyai lebih banyak set radio berbanding rakan sekutu mereka, Perancis.

Jadi di sebalik semua kelebihan ini, mengapa mereka tetap kalah? Jawapannya terletak pada saiz divisyen mereka yang terlalu kecil iaitu 10 divisyen sahaja. Ini bermakna mereka hanya boleh memainkan peranan sebagai tentera sokongan kepada sekutu mereka, tentera Perancis dan Belgium. Dan apabila kedua-dua tentera ini tumbang, mahu tidak mahu mereka perlu berundur bersama-sama rakan sekutu mereka. Bagi Britain, sebuah negara pulau yang mempunyai empayar laut yang luas, tumpuan pasti diberi kepada Tentera Laut Diraja (Royal Navy) dan Tentera Udara Diraja (RAF). Sementara Perancis pula mempunyai bilangan tentera yang ramai. Ideanya ialah Britain mengetuai perang di laut, Perancis mengetuai perang di darat dan kedua-duanya menyumbang kepada kekuatan tentera udara.

2. PARANOID DENGAN TELEFON

Seperti semua sedia maklum, Jeneral Maurice Gamelin merupakan individu bertanggungjawab mengetuai tentera Perancis dan British semasa Pertempuran Perancis. Dan sehinggalah pemecatannya pada 19 Mei 1940, Gamelin dianggap arkitek yang merancang strategi terbaik untuk menewaskan kemaraan tentera Nazi Jerman. Taktik beliau berdasarkan taktik Perang Dunia Pertama (WWI) iaitu perang yang berlangsung pada masa lama dan bersifat statik.

Kalau kita lihat telahan taktiknya itu, WWII itu juga mengambil masa lama berbanding WWI. Bezanya ialah ia bukan bersifat statik. Rejim Nazi Jerman sentiasa mencuba untuk menang dengan pantas dan mempunyai kemahiran untuk mengatasi pelbagai situasi yang diberi. Strategi ini sebenarnya dipaksa ke atas mereka berikutan kekurangan sumber yang boleh digunakan. Tetapi yang membezakan mereka dari WWI ialah penggunaan radio yang dilihat lebih pantas dan para komander diberi kebebasan untuk beroperasi.

Entah di mana silapnya, Gamelin lebih suka menggunakan talian telefon dan penghantar mesej berkuda berbanding radio. Alasan beliau ialah mengelak maklumat penting dan sulit dipintas oleh tentera Nazi. Di markasnya di Paris, tiada telefon disediakan atas arahannya. Ini mengundang masalah besar kerana Gamelin tidak mengetahui situasi sebenar di medan pertempuran dan gagal berhubung dengan para komander tentera yang bertempur. Jika menggunakan penghantar mesej berkuda atau telefon pula, talian telefon akan dipotong sementara penghantar mesej kuda pula akan hilang, gagal pulang atau lewat menghantar mesej diperlukan. Dan ini sebenarnya punca bagaimana tentera Perancis tumbang dan gagal menghalang kemaraan tentera Nazi Jerman.

3. HARI TERBURUK LUFTWAFFE

Kita semua sedia maklum jentera tentera udara Jerman atau Luftwaffe memerintah langit dengan sewenang-wenangnya semasa Pertempuran Perancis. Tetapi tahukah anda pada hari pertama pertempuran, ia merupakan hari terburuk mereka. 353 pesawat terhempas atau ditembak jatuh pada hari itu dan ramai juruterbang mereka dijadikan tawanan perang. Namun kehilangan terbesar ialah kematian ramai anggota krew penerbangan di mana kebanyakan mereka diambil dari sekolah-sekolah penerbangan. Luftwaffe gagal menggantikan mereka yang telah pergi ini tatkala Berlin melancarkan Operasi Barbarossa pada Jun 1940.

4. MOL TIMUR

Pegawai kanan tentera laut yang diberi tugas menyelia pemindahan tentera di Dunkirk ialah Kapten Bill Tennant. Tennant tiba pada 27 Mei dan diberitahu mereka hanya boleh memindahkan 45,000 tentera jika bernasib baik. Dengan kemudahan jeti musnah dan bagan pelabuhan tidak boleh digunakan, beliau berhubung dengan Dover untuk menghantar semua jenis kapal tanpa mengira saiz untuk berlayar ke Dunkirk untuk menyelamatkan tentera yang terperangkap. Proses pemindahan amat perlahan dan mengambil masa lama.

Melihat situasi semakin genting, Tennant melihat Luftwaffe tidak menyerang dua mol panjang yang menjangkau sehingga 1,600 kaki ke laut. Tiada cara untuk mengakses mol di sebelah barat tetapi mol timur yang bermula dari dinding jeti dilihat mudah diakses. Bagaimanapun, ramai melihat ia lebih kepada pemecah ombak berbanding sebagai sebuah jeti dan tidak berupaya untuk menarik kapal yang berlabuh di situ. Itu tidak menghalang Tennant menyuruh kapal stim Queen of the Channel untuk menguji mol tersebut dan berlabuh di tepi dinding itu. Selepas diuji, mol tersebut bertahan tanpa sebarang kesukaran.

5. PERANG BRITAIN BERMULA DI DUNKIRK

Kalau ikut rekod rasmi, Perang Britain berlaku pada 10 Julai 1940 tetapi ia sebenarnya bermula apabila RAF digerakkan untuk melindungi kapal-kapal yang berlayar ke Dunkirk dan Pas de Calais pada 20 Mei tahun sama. Luftwaffe diberi peranan oleh kepimpinan perang Jerman untuk menyekat proses pemindahan dan RAF memastikan objektif mereka tidak tercapai. Walaupun pihak tentera di bawah tidak melihat kelibat mereka, mereka berjaya menembak jatuh 326 pesawat musuh. Namun harga yang dibayar agak mahal iaitu kehilangan 121 pesawat yang ditembak jatuh tentera musuh.

6. KEBENARAN PERINTAH BERHENTI HITLER

Pada 24 Mei, Adolf Hitler mengarahkan semua divisyen kereta kebal Panzer untuk berhenti dan tidak meneruskan kemaraan ke Dunkirk. Dan ini mewujudkan teori bahawa Hitler mahu memberi peluang kepada tentera British melarikan diri. Sebenarnya, ini bukan saja berkisar ketidakcekapan beliau sebagai panglima tentera tetapi juga unsur dengki dalam kalangan kepimpinan tentera Nazi. Arahan menghentikan divisyen ini sebenarnya dikeluarkan oleh Jeneral Paul Ludwig Ewald von Kleist atas alasan bimbang ianya terlalu jauh dan sukar dikejar unit tentera infantri. Arahan tersebut ditetapkan selama 24 jam dan disokong oleh Field Marshall Gerd von Runstedt.

Bagaimanapun sebaik diketahui oleh ketua staf tentera Jeneral Franz Halder, beliau segera membatalkan arahan tersebut dan mengarahkan divisyen meneruskan kemaraan ke Dunkirk dari sebelah utara. von Runstedt yang berang kerana dimalukan Halder segera memaklumkan perkara tersebut kepada Hitler. Die Fuhrer yang tidak tahu-menahu pasal ini terus naik darah dan mengarahkan perintah Halder dibatalkan dengan arahan von Runstedt dikembalikan semula. Namun Hitler terlepas peluang untuk memberi pukulan maut kepada kerajaan pimpinan Winston Churchill di London. Sekiranya beliau menguatkuasakan arahan Halder, pasukan BEF pasti akan dihapuskan dan Churchill mahu tidak mahu terpaksa mempertimbangkan perjanjian damai dengan rejim Nazi Jerman. Dan pilihan sebegini pasti akan meruntuhkan kerajaan Churchill dalam masa singkat.

7. KAPTEN KRIKET ENGLAND

Antara tentera British yang berjaya diselamatkan ialah bekas pemain kriket Douglas Jardine yang pernah mengetuai pasukan kriket kebangsaan antara 1932-1933. Setahun selepas itu, Jardine bersara dan bekerja sebagai penulis dan wartawan walaupun mempunyai kelayakan sebagai peguam. Pada Ogos 1939, Jardine menyertai Tentera Wilayah (Territorial Army) dan diserap masuk ke Rejimen Diraja Berkshire bila perang meletus beberapa minggu selepas itu. Apabila BEF dihantar ke Perancis, beliau dihantar ke Perancis dan menjalankan tugas dengan cemerlang. Namun sebelum dibawa pulang dari Dunkirk, beliau tercedera dan terpisah dengan kebanyakan anak buahnya. Ini menyebabkan Jardine orang terakhir dibawa pulang dari Dunkirk menggunakan kapal HMS Verity. Ironinya, rakan baiknya ialah seorang pembaling dari Yorkshire bernama Hedley Verity dan turut menamakan anaknya, Douglas sempena nama Jardine. Verity terbunuh semasa di Sicily pada Julai 1943 semasa mengetuai kompeninya menyerang tentera Jerman.

8. ORANG TERAKHIR DUNKIRK IALAH SEORANG JENERAL

Orang terakhir yang meninggalkan Dunkirk bukan calang-calang reputasinya. Orang yang dimaksudkan ialah Mejar Jeneral Harold Alexander yang juga pemangku komander BEF yang dilantik pada 31 Mei. Askar-askar terakhir sudah menaiki kapal sekitar 9.00 malam pada hari Ahad bersamaan 2 Jun 1940. Pada ketika itu, perimeter sekitar Dunkirk sudah runtuh dan walaupun pihak Perancis berusaha menafikan cubaan tentera Nazi Jerman, mereka gagal mengekang asakan artileri Nazi. Pada jam 11.30 malam, Alexander yang diiringi oleh Tennant meronda kawasan sekitar Dunkirk dan memanggil mana-mana tentera yang masih ada. Melihat tiada respon dan berpuas hati kerana tugas mereka sudah selesai, mereka memberitahu melalui radio, “BEF sudah dipindahkan. Kembali sekarang.” Mereka kemudian berlayar pulang ke England.

9. KENDERAAN BRITISH UNTUK BARBAROSSA

Walaupun sudah tiada kelibat tentera British di Dunkirk, masih ada 70,000 tentera British yang masih terperangkap di selatan, terbunuh, cedera atau dijadikan tawanan perang. Mereka turut meninggalkan 76,000 tan peluru, 400,000 tan bekalan dan 2,500 senjata api. Selain itu, 64,000 kenderaan mereka turut ditinggalkan. Kebanyakan semua ini kemudian digunakan untuk kempen seterusnya termasuk kempen Operasi Barbarossa di Rusia. Pada ketika itu, tentera Wehrmacht menggunakan 2,000 jenis kenderaan yang mempunyai alat ganti berbeza dari gasket dan pengagih hingga pam minyak. Tidak banyak kenderaan yang dibawa ke sebelah timur kembali semula ke sebelah barat.

SUMBER

Holland, James. (2017). History Extra. 9 things you (probably) didn’t know about Dunkirk. https://www.historyextra.com/period/second-world-war/9-things-you-probably-didnt-know-about-dunkirk/

Previous articleLokasi Sebenar Nabi Daud a.s Menentang Raja Jalut
Next articleMahasiswa Suka Membaca: Kenapa Kena Baca Buku Setiap Hari?
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE