Fakta-Fakta Menarik Mengenai Sesumpah

114

1. Nama saintifik sesumpah adalah Chamaeleonidae. Sesumpah adalah haiwan reptilia herbivor yang tinggal secara sendirian di kawasan hutan tropika dan gurun.

2. Saiz sesumpah berbeza mengikut spesies. Sesumpah terbesar pernah direkodkan adalah Parson’s Chameleon (Calumma parsonii) dengan saiz sekitar 68cm dengan berat 700gm, sebesar kucing rumah. Takhta ini dikongsi bersama dengan spesies Malagasy giant chameleon (Furcifer oustaleti) , dengan ukuran 68.5cm dan berat 67gm. Sesumpah terkecil pula yang pernah direkodkan adalah Brookesia micra dengan saiz kurang dari 30mm bagi yang dewasa, sedikit besar berbanding semut.

3. Sesumpah mempunyai lengkungan penglihatan yang mencecah 360º, atau lengkungan penglihatan yang sempurna. Sesumpah juga mempunyai pandangan jenis panorama. Ini adalah kerana mata sesumpah berada di kedua-dua sisi kepala dengan pergerakan mata yang tidak terhad. Ini ditambah lagi dengan kebolehannya mengawal setiap satu mata secara sendiri tanpa menjejaskan penglihatan mata yang satu lagi, ini membuatkan sesumpah mempunyai dua jenis pandangan, iaitu monocular dan binocular.

4. Selain mampu melihat ‘wavelength’ warna biru, merah dan hijau seperti mata manusia, sesumpah juga mampu melihat warna yang berada dalam spektrum frekuensi ultraviolet (UV).

5. Sesumpah mampu menukar sisik warnanya secara serta merta mengikut kehendaknya sendiri. Kebanyakan haiwan menukarkan warna tubuh badan mereka dengan menggunakan pigment warna dalam sel kulit mereka. Ini berbeza dengan sesumpah kerana sesumpah menukar warna badannya dengan memantulkan semula cahaya yang terkena pada sisik tubuhnya. Sisik tubuh ini dikenali sebagai iridophore cells. Apabila dalam keadaan tenang, sisik ini berada dalam keadaan rapat antara satu sama lain, menyebabkan ia memantulkan spektrum cahaya bergelombang rendah seperti warna biru. Apabila sesumpah terangsang, ia menyebabkan kulitnya meregang lantas menjarakkan setiap sel iridophore antara satu sama lain, lalu memantulkan spektrum cahaya bergelombang tinggi seperti merah, kuning dan jingga. Walaubagaimanapun, warna asal sesumpah bukanlah berwarna biru. Ini kerana disebalik sisik ini, sesumpah mempunyai kulit berwarna kuning. Apabila digabungkan dengan warna biru, maka terhasillah warna utama sesumpah, iaitu hijau, yang secara kebetulan sama dengan warna persekitarannya.

6. Sangkaan bahawa sesumpah menukarkan warna badan untuk mengelakkan diri dari pemangsa (camouflage) adalah suatu tanggapan yang salah. Tujuan utama sesumpah menukar warna sisiknya adalah untuk berkomunikasi antara satu sama lain, mempamerkan mood dan dominasi, serta panggilan untuk mengawan.

7. Kulit sesumpah juga terdapat suatu lapisan sel kulit tebal bertindak yang memantul haba daripada spektrum cahaya inframerah (infrared). Hal ini tidaklah membantu dalam proses pertukaran warna, akan tetapi lebih kepada untuk menangkis haba dan mengekalkan suhu badan yang lebih sejuk.

8. Sesumpah mempunyai lidah yang teramat panjang, dengan ukuran dua kali ganda tubuh badannya sendiri (dari hujung tanduk ke pangkal ekor). Lidah ini bertujuan untuk menangkap serangga kecil sebagai makanan. Ianya terdiri daripada lapisan otot, tisu elastik dan tulang yang boleh dilenturkan. Sesumpah yang bersaiz lebih kecil mempunyai keupayaan menembak lidahnya jauh lebih pantas daripada sesumpah bersaiz besar. Bahkan, sesumpah dinobatkan antara penembak otot / pergerakan otot paling pantas di dunia, dengan kepantasan 50g, 5 kali ganda lebih pantas dari pesawat tempur F16.

9. Sesumpah mampu menghasilkan suatu bendalir melekit dihujung lidahnya yang mempunyai likatan 400 kali ganda lebih likat daripada air liur manusia. Uniknya cecair ini, ia hanya akan menjadi melekit apabila menyentuh sesuatu yang sedang dalm keadaan bergerak, contohnya pergerakan lidah sesumpah menembak dan menarik apabila mengena sasaran. Cecair ini sehingga kini sedang dikaji saintis untuk menghasilkan kejuruteraan penghasilan gam yang lebih baik.

10. Hujung lidah sesumpah mempunyai bentuk cembung (convex) saat ia ditembak kearah mangsa. Sejurus sebelum ia mengena pada mangsa, sekumpulan ikatan otot yang berada dikawasan sebelah dalam lidah digelar pouch retractor mengecut, menghasilkan hujung lidah yang berbentuk cekung (concave) seperti suatu suction cup. Tindakan ini, digabungkan dengan kelikatan cecair lidah serta kepantasan tembakan lidahnya mampu menyebabkan tangkapan yang sempurna buat sesumpah.

11. Kaki sesumpah dibentuk mengikut sistem tertentu. Bagi kaki hadapan, sesumpah mempunyai 2 jari kaki dari sebelah luar, dan 3 jari kaki dari sebelah dalam. Manakala untuk kaki belakang, terdapat 2 jari kaki dari sebelah dalam, 3 jari kaki dari sebelah luar. Ini membolehkan mereka ‘menggenggam’ dahan pokok sama seperti manusia menggunakan ibu jari untuk menggenggam sesuatu.

12. Ekor yang kukuh serta boleh menggenggam juga antara sebab mengapa sesumpah begitu mudah bergerak dicelah-celah dahan (arboreal movement) dengan pelbagai posisi unik. Oleh sebab inilah ekor sesumpah tidak boleh tumbuh semula seperti keluarga cicak yang lain.

13. Sesumpah juga bergerak kehadapan dan kebelakang dalam ritma berulang-ulang (jerky movements) untuk menyamarkan dirinya seperti dedaunan yang dibelai angin bagi mengelakkan dari didekati pemangsa.

#SNJoker

Rujukan :

Parson’s Chameleon 
https://www.britannica.com/animal/Parsons-chameleon

Malagasy Giant Chameleon
https://www.aqualog.de/…/blog…/the-malagasy-giant-chameleon/

Brookesia micra Chameleon 
https://www.pri.org/…/brookesia-micra-worlds-smallest-chame…

Chameleon’s Perfect Vision
https://animals.mom.me/unusual-chameleons-eyes-2288.html
https://asknature.org/strategy/eyes-give-360-vision/…

Chameleon’s Color Change 
https://www.google.com/…/amp.livescience.com/50096-chameleo…

Chameleon’s Tongue Speed
https://news.nationalgeographic.com/…/160105-chameleons-to…/
Buku : Weird Nature: An Astonishing Exploration of Nature’s Strangest Behavior – John Downer, 2 Mac 2002

Sticky Tongue of a Chameleon
https://news.nationalgeographic.com/…/chameleon-tongue-mucu…

Concave Tongue 
https://www.nature.com/n…/2000/001019/full/news001019-3.html

Tails and Toes
https://animals.sandiegozoo.org/animals/chameleon

Chameleon Jerky Movements
http://reptilis.net/lacertil…/chamaeleonidae/locomotion.html

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.