Fakta-Fakta Menarik Mengenai Oktoberfest Yang Kita Harus Tahu

0
1921
views

Seperti yang kita ketahui baru-baru ini, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan penganjuran pesta arak Oktoberfest di sebuah pusat beli-belah di ibu negara. Dan kita pasti menjangkakan amukan sesetengah pihak yang menganggap pihak berkuasa menafikan ‘hak’ mereka. Walaupun jawapan konkrit telah diberi oleh pihak berkuasa terutama pihak polis, pihak-pihak sebegini masih berkeras dan cuba menegakkan benang basah mereka. Apa sebenarnya Oktoberfest ini? Di sini, saya menyediakan beberapa fakta pelik tapi benar tentang Oktoberfest.

1. ‘ITU ASALNYA PESTA KAHWIN.’

Bagi yang baru saja mencari Oktoberfest pasti mengaitkan ia dengan arak. Tetapi hakikatnya, ia sebenarnya bermula sebagai pesta meraikan Raja Bavaria, Raja Ludwig I dan Maria Theresenia dari Saxonia. Perkahwinan diraja ini berlaku di Theresienwiese, di mana upacara ini terus berlangsung sehingga ke hari ini. Pada mulanya, perkahwinan pasangan diraja ini diraikan dengan perlumbaan kuda. Namun pada tahun 1819, ia digantikan dengan pedati-pedati bir dan satu edik: parti perlu dianjurkan bila menghampiri musim luruh. Untuk pengetahuan semua, Oktoberfest dianjurkan pada setiap tahun tetapi beberapa kali dibatalkan pada tahun-tahun tertentu. Pada tahun 1870, pesta ini dibatalkan kerana Perang Prussia-Perancis. Dua kali ia dibatalkan kerana wabak taun dan hiperinflasi pada era 1920-an. Semasa Perang Dunia Kedua, Oktoberfest turut dibatalkan atas sebab keselamatan.

Figure 1: Oktoberfest pada asalnya ialah meraikan perkahwinan diraja Raja Ludwig I.

2. ‘ENCIK, SILA TUNJUK GELAS ANDA.’

Jika anda meminati pasukan Bayern Munich, pasti anda perasan gelas minuman satu liter yang dipanggil Masskrugs yang dipegang mereka semasa mempromosikan Oktoberfest. Dan ini menjadi idaman mana-mana pengunjung untuk memiliki gelas tersebut bila pergi ke pesta ini. Tetapi jika ada berangan nak membawanya keluar secara senyap-senyap, lupakanlah. Ini kerana gelas-gelas tersebut dimiliki dewan-dewan bir atau pemilik tanah di situ. Dan mereka meletakkan pengawal-pengawal keselamatan pada bahagian gelas tersebut diletakkan semasa pengunjung mengambilnya dari khemah-khemah yang menyediakan bir tersebut. Tahun lepas sahaja, pengawal keselamatan berjaya mendapatkan semula 226,000 Masskrugs dari diambil oleh pengunjung. Jika anda tidak bernasib baik dan ditahan, anda akan didakwa atas kesalahan mencuri. Jika anda nak juga gelas tersebut, ia sebenarnya dijual di Oktoberfest

 

Figure 2: Antara gelas Masskrug yang digunakan semasa Oktoberfest.

3. SEPTEMBERFEST

Memang betul kalau ikut logik, pesta sebegini dianjurkan pada bulan Oktober tetapi pihak berkuasa meminda tarikh tersebut pada pertengahan bulan September. Alasan mereka ialah pada ketika itu, cuaca masih lagi panas dan tidak terlalu sejuk semasa menghampiri musim luruh. Dan pindaan ini turut dibuat bagi menarik lebih ramai orang menghadiri Oktoberfest. Acara ini bermula pada Sabtu pertama selepas 15 September dan berlangsung antara 16-18 hari serta tetap berakhir pada bulan Oktober.

4. HARGANYA BUATKAN ORANG TERPENGARUH

Bagi pengunjung Oktoberfest di Jerman, bir terbaik untuk diminum ialah bir Munich. Tetapi kosnya boleh membuatkan mata mereka terbeliak. Ini kerana kos pengeluaran bir semakin meningkat dari tahun ke tahun. Purata harga bir Munich ketika ini ialah $12. Ia sedikit mahal berbanding purata harga satu dekad terdahulu iaitu $8.50. Walaupun harganya agak mahal, namun kandungan alkohol antara tujuh hingga lapan peratus dan harga sebotol air mineral ialah $9, itu tidak menghalang mereka minum. Berdasarkan statistik, pengunjung Oktoberfest minum 7.5 juta liter bir Munich. Dan bagi penduduk tempatan, jika mereka melihat ada pengunjung sudah terbaring atas jalan atau tapak pesta kerana mabuk, mereka ada gelaran khas bagi pengunjung sebegini. Pengunjung sebegini dipanggil Bierleichen atau mayat-mayat bir..

 

Figure 3: Keadaan pengunjung yang mabuk yang mendapat gelaran bierleichen. Kredit: http://www.neatorama.com/2012/09/27/Bierleichen/

5. MAKANAN PESTA

Dalam tempoh 17 atau 18 hari, pengunjung Oktoberfest makan 500,000 hidangan ayam panggang dan 120,000 sosej khinzir. Dan pada tempoh sama, mereka turut makan 118 ekor lembu dan 53 ekor anak lembu. Jika ada menyangka pesta ini ialah pesta makanan terbesar di dunia, salah lagi. Di Cincinatti, Ohio, ia merupakan tapak kepada pesta Oktoberfest terbesar di Amerika Syarikat. Di sini, penganjur menganjurkan pertandingan makan bratwurst tahunan. Pada tahun 2011, pemenang berjaya memenangi hadiah wang tunai $2,000 selepas makan 35 bratwurst dalam tempoh 10 minit.

6. ‘TUNGGU DATUK BANDAR KATA BOLEH’

Bermula pada tahun 1950, pengunjung Oktoberfest tidak boleh minum melainkan Datuk Bandar Munich kata boleh. Upacara bermula pada pukul 12 tengah hari diikuti 12 tembakan kehormatan. Kemudian Datuk Bandar membuka tong bir pertama dan menjerit, “O’ zapft is!” (ianya dibuka dalam bahasa Austro-Bavaria). Setelah itu, beliau menyerahkan gelas bir pertama kepada Menteri-Presiden Negeri Bavaria sebagai tanda pesta bermula. Jangan terkejut jika ternampak pengunjung berkongsi bir dengan pelajar-pelajar sekolah. Ini kerana had umur untuk minum arak di Jerman ialah 16 tahun. Jika mereka diiringi ibu bapa mereka, maka had umurnya ialah 14 tahun.

Waqaf Saham

7. ‘SIAPA ADA HILANG BARANG…. DAN KANAK-KANAK.’

Satu lumrah bagi mana-mana pengunjung tertinggal atau kehilangan barangan peribadi bila berada di tempat awam terutama tapak pesta seperti Oktoberfest. Setiap tahun, bahagian Hilang dan Jumpa Oktoberfest menerima 4,000 barang hilang di tapak pesta. Antara barang yang selalu hilang sepanjang tahun-tahun penganjuran ialah 350 telefon bimbit, 520 dompet yang tidak dituntut, 425 kunci, 1300 pakaian dan perhiasan serta sepasang gigi palsu. 48 kanak-kanak turut hilang tetapi berjaya dijumpai dan dikembalikan semula kepada ibu bapa atau penjaga mereka. Selain itu, bahagian hilang dan jumpa turut menemui topi keledar Viking, tongkat dan kerusi roda elektrik.

 

Figure 4: Antara barang yang selalu hilang semasa Oktoberfest ialah telefon bimbit.

8. PESTA TERBESAR

Pesta Oktoberfest yang terbesar pernah dianjurkan bukannya di Munich, Jerman seperti ramai sangkakan. Sebaliknya ia berlaku di sebuah bandar bernama Kitchener-Waterloo di Kanada. Sejak ia dianjurkan pada tahun 1969, ia menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong. Setiap tahun, Oktoberfest di situ menarik kehadiran antara 750,000 hingga sejuta orang.

Selain di Kitchener-Waterloo, di sesetengah tempat turut menganjurkan Oktoberfest mengikut versi mereka. Seperti mana yang cuba dilakukan di Malaysia, pesta ini turut dianjurkan di Denver, Blumenau (Brazil), Lima (Peru), Hong Kong, Bangalore (India) dan Bandaraya Ho Chi Minh (Vietnam). Dan jangan terkejut jika ada mendengar berita Oktoberfest turut dianjurkan di Tebing Barat. Pesta tersebut diadakan di bandar Taybeh, satu-satunya bandar yang mempunyai kilang bir di Palestin.

9. ‘DILARANG MASUK.’

Jika ada individu yang nak memasuki Oktoberfest tetapi dihalang oleh pihak penganjur, maka kena tengok apa kesalahan yang dilakukan sehingga tidak dibenarkan masuk. Bagi pihak penganjur, mereka berbuat demikian atas alasan nak menjaga prestij pesta tersebut dari dicemari oleh individu-individu sebegini. Ada dua kes di mana dua personaliti terkenal dihalang dari memasuki Oktoberfest:

a) Pada tahun 2006, pewaris empayar perhotelan Hilton, Paris Hilton pergi ke Oktoberfest dengan memakai pakaian tradisional Bavaria, dirndl bagi mempromosikan jenama sebuah wain yang ditinkan. Tetapi tindakan Hilton mendapat kecaman penduduk tempatan kerana menyalahgunakan dirndl untuk tujuan komersial. Berikutan itu, pihak penganjur melarang beliau dari masuk ke pesta tersebut.

b) Legenda Arsenal yang kini berkhidmat sebagai orang nombor tiga Arsene Wenger, Jens Lehmann turut mengalami nasib sama tetapi atas sebab berbeza. Semasa beliau masih lagi aktif bermain bersama kelab Vfb Stuttgart, Lehmann menghadiri Oktoberfest beberapa jam selepas Stuttgart kalah dalam satu perlawanan dengan FC Cologne. Bagi pemain bola sepak, lazimnya mereka perlu mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan untuk keluar lebih-lebih lagi pada hari perlawanan. Dan bila cerita ini tersebar luas, penganjur tiada pilihan selain melarang Lehmann masuk ke pesta tersebut.

 

Figure 5: Jens Lehmann antara individu yang pernah dilarang memasuki Oktoberfest.

 

10. APLIKASI UNTUK ACARA BERUSIA 202 TAHUN

Walaupun pesta ini berusia 202 tahun, ini tidak menghalang penganjur untuk cuba mengikut peredaran semasa. Dua hari selepas pesta ini bermula, aplikasi Oktoberfest dimuat turun sebanyak 750,000 kali oleh pengunjung. Aplikasi ini digunakan untuk mengukur tahap alkohol dalam badan dan berapa lama masa diperlukan untuk kembali pulih. Aplikasi tersebut mengira tahap alkohol dan masa yang diperlukan dengan mengambil ukuran ketinggian, berat dan jumlah alkohol yang diambil. Ada juga aplikasi digunakan untuk cari jodoh seperti aplikasi ‘Wiesn mengorat dan jumpa’ (Wiesn flirt and find). Tetapi kalau itu berakhir dengan kegagalan, pengunjung boleh saja mencuba permainan simulasi menghantar bir di khemah-khemah bir.

11. ‘SEKALI PALSU DAA…’

Pada tahun 2004, polis Bavaria berjaya menahan dan menamatkan sindiket penjualan kupon palsu untuk Oktoberfest. Kumpulan penipu ini mahu menjual 30,000 ribu kupon palsu ini kepada orang tengah pada harga 3 Euro dan dijual semula kepada pengunjung dengan harga 5 Euro. Pelayan-pelayan pesta yang perasan akan kewujudan kupon ini segera memberitahu pihak berkuasa dan mereka mengesan tiket ini dicetak di Yugoslavia. Pihak berkuasa menganggarkan sekiranya kupon itu berjaya dijual habis, kilang bir terbesar di Bavaria boleh mengalami kerugian hampir 500,000 Euro.

12. GELAS DAN PERGADUHAN

Bila mana manusia sudah mabuk, pasti pertimbangan mereka akan terjejas. Dan jika anda gabungkan elemen emosi dan senjata dengan mabuk, ia pasti akan berakhir dengan buruk. Masskrugs memang digunakan sebagai gelas bir tetapi ia juga berpotensi sebagai senjata dalam pergaduhan dan ini dipandang serius oleh pihak polis. Tahun lepas saja, 58 pergaduhan dilaporkan pada pihak berkuasa di mana ada sesetengah kes pengunjung melemparkan gelas ke arah penduduk tempatan. Pada tahun 2010, seorang penduduk tempatan yang naik angin memukul seorang pelancong Kanada dengan gelas itu. Pada hari yang sama, seorang pelancong Austria turut mengalami nasib sama. Tidak seperti pelancong Kanada yang berjaya mengelak dari sebarang kecederaan, pelancong Austria itu pula mengalami pendarahan dalam otak. Sekiranya si pelaku ditahan, mereka akan didakwa atas tuduhan menyerang dengan senjata merbahaya. Hukuman bergantung kepada umur dan kecederaan yang dialami mangsa. Hukuman penjara bagi si pelaku antara penjara enam bulan hingga penjara seumur hidup.

SUMBER:

Pankalla, Maya. Reader’s Digest. 13 Fun Facts About Octoberfest. http://www.readersdigest.ca/travel/canada/13-oktoberfest-fun-facts/

Previous articleThe Ghazi Attack: Pertempuran Jerung Besi Di Lautan Periuk Api
Next articlePenyingkiran Pluto Daripada Jemaah Planet
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here