Evolusi Dinasti Phra Ruang Dalam Pembinaan Monumen Purba

0
334
views

Apabila Sri Indraditya membina dinasti Phra Ruang yang baru di bumi Sukhothai, mereka bukanlah bangsa yang hebat dalam seni bina candi. Pada ketika bangsa Khmer sudah amat maju dalam pembinaan monumen purba yang tinggi melangit, bangsa Tai ini masih tercari-cari identiti seni dan budaya mereka.

Wat Aranyik; antara wat tertua di Sukhothai
Gambar bot Wat Aranyik. Gambar diambil oleh Lucien Fournereau, Le Siam Ancien

Gambar pertama posting ini menunjukkan binaan awal wat yang digunakan oleh para sami Buddha Theraveda di Sukhothai. Lihatlah sendiri akan binaan mudahnya, tidak begitu berseni. Lihat pula gambar seterusnya, ia adalah Wat Phra Phai Luang yang dibina oleh orang Khmer, penguasa bumi Sukhothai sebelum dinyah keluar oleh bangsa Tai. Saksikanlah perbezaannya. Untuk berlaku adil pada Sri Indraditya, pembinaan Wat Aranyik ada ‘caveat‘-nya. Mungkin sahaja Wat Aranyik ini dibina dengan cepat dan mudah, cukup ada ruangan bot dan kuti untuk kegunaan para sami Buddha, tetapi kualiti pembinaannya masih jauh terkebelakang jika hendak dibandingkan dengan Wat Phra Phai Luang.

Wat Phra Phai Luang yang wujud sebelum adanya kerajaan Sukhothai
Ciri-ciri Khmer pada prang Wat Phra Phai Luang

Untuk rekod, Thailand sebelum kedatangan bangsa Tai dihuni oleh bangsa Mon di sebelah barat dan selatan manakala bangsa Khmer menguasai bahagian tenggara negara ini. Mon kemudiannya membentuk konglomerat Dvaravati yang kemudiannya kekuasaan bangsa ini jatuh kepada bangsa Khmer. ‘Politico-religious‘ bangsa Khmer yang berpusat di Angkor memang hebat dan menguasai benua Siam ini sebelum kedatangan bangsa Tai dari selatan China. Sebab itulah banyak binaan candi berciri binaan Khmer yang dapat dilihat dari Sukhothai hinggalah ke Buriram dan wilayah seterusnya di timur Thailand.

Tetapi bukan kekurangan bangsa Tai yang aku nak highlight-kan… sebaliknya aku nak menceritakan bagaimana dalam masa yang singkat mereka telah menguasai ilmu dan kebolehan membina monumen purba yang besar-besar dan cukup berseni. Kebolehan bangsa Tai mengadaptasi kesenian bangsa Khmer dan clan Tai di utara (Lanna) dan selatan Sukhotai banyak membantu seni ukir dan seni bina kerajaan ini.

Kompleks Wat Maha That yang terkenal

Lihat gambar seterusnya pula, iaitu Wat Maha That, monumen purba paling agung dalam sejarah panjang dinasti Phra Ruang. Wat ini dibina pada zaman Raja Ram Khamhaeng dan terus diperindahkan lagi oleh raja selepas beliau, Leothai.

Waqaf Saham

‘False-cella‘ dan stupa kecil yang menjadi ikon binaan Melayu Sriwijaya ada pada Wat Maha That

Leothai membawa pengukir Melayu dari Tenasserim (Tanah Sari) untuk menambahbaik ukiran pada prang/prasat utama candi ini. Keempat-empat menara Wat Maha That dibina semula mengikut seni bina Sriwijaya. Sebab itulah jika diperhatikan betul-betul terdapat unsur-unsur binaan Melayu Sriwijaya pada bahagian ‘false cella‘ pada prang tersebut.

Selain menerapkan seni bina Burma yang berasal dari Martaban dan seni bina Sinhala yang berasal dari Sri Lanka pada binaan monumen purba, raja Sukhothai pada abad ke-14 juga menghidupkan kembali seni bina Khmer pada salah satu binaan candi yang bernama Wat Si Sawai. Ia boleh dilihat pada seni bina prang yang mempunyai ciri-ciri Khmer Tua tetapi susunan dan kehalusan ukirannya lebih kepada seni bina Tai.

Wat Si Sawai

Banyak lagi yang boleh diperkatakan tentang adaptasi ukiran Sukhothai ini, contohnya stail ukiran patung Buddha yang pelbagai, ukiran jataka dan lainnya, tetapi ia mungkin subjek yang agak membosankan buat kalian 🙂

Setelah jatuhnya kerajaan Sukhothai, kerajaan Ayutthaya yang lebih dinamik dan moden mengadaptasi lebih banyak budaya, seni ukir dan seni bina dari bangsa lain sama ada melalui penaklukan atau asimilasi sosiobudaya dan geopolitik.

Sesuatu yang boleh kita pelajari daripada sejarah kerajaan Sukhothai adalah kebolehan beradaptasi yang kemudiannya menghasilkan evolusi budaya dan kemampuan kerajaan ini membina struktur yang gah dan megah hasil daripada dasar keterbukaan raja-rajanya.