Bagi setiap pendaki, impian mereka ialah menakluk puncak Gunung Everest. Bagi mereka, menakluk puncak gunung tertinggi di dunia itu merupakan pencapaian tertinggi dalam aktiviti pendakian gunung. Tetapi tidak ramai tahu, ini kini menjadi kluster jangkitan Covid-19 di Nepal dengan bilangan kes semakin bertambah dari hari ke hari.

Mengikut laporan terbaru, 17 kes jangkitan positif dilaporkan dengan kesemua pesakit dirawat di sebuah hospital di Kathmandu. Kesemua pesakit merupakan pendaki yang mendapat rawatan di kem-kem pendakian sebelum dihantar ke ibu negara Nepal itu untuk rawatan selanjutnya.

Tetapi sekiranya anda perasan, tiada liputan berita tentang kisah ini di media arus perdana. Jika ada pun, ia akan dinafikan sekeras-kerasnya oleh kerajaan Nepal sebagai satu khabar angin dan menafikan wujud kes sedemikian di Gunung Everest.

Ramai percaya Kathmandu berbuat demikian kerana tidak mahu kehilangan sumber pendapatan dari segi pelancongan dan penjelajahan ke Gunung Everest. Dari segi pengeluaran permit pendakian sahaja, Nepal meraih kutipan sebanyak AS$4 juta (RM16.5 juta).

Pendakian ke gunung-gunung Himalaya termasuk Everest merupakan sumber ekonomi utama Nepal. Tetapi disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda pada tahun lepas, semua aktiviti pendakian dihentikan dengan Gunung Everest ditutup kepada semua pengunjung.

Bagi mana-mana pendaki yang ingin mendaki Gunung Everest, mereka perlu menjalani prosedur ketat iaitu disahkan negatif Covid-19 tiga hari sebelum penerbangan ke Nepal. Kemudian mereka perlu menjalani kuarantin wajib selama 10 hari di hotel penginapan. Sekiranya ujian saringan mereka negatif pada hari kelima, maka mereka dibenarkan menjalani baki kuarantin di rumah.

Tetapi dengan pendedahan kes yang berlaku di situ, kluster jangkitan pendaki bakal memberi impak besar kepada Nepal. Seperti India, Kathmandu juga berdepan lonjakan kes selepas dibadai gelombang kedua jangkitan Covid-19.

Persatuan Penyelamat Himalaya yang menguruskan klinik perubatan di kem pendakian utama mengesahkan 17 kes positif membabitkan pendaki yang dibawa ke Kathmandu. Berikutan situasi yang semakin membimbangkan, pihak persatuan meminta mana-mana pasukan ekspedisi pendakian agar melaporkan kes pendaki yang sakit sebelum mereka dibawa keluar ke ibu negara untuk rawatan.

Salah seorang pakar perubatan di klinik berkenaan, Dr Prakash Kharel mengakui bilangan pendaki yang mengalami simptom sama Covid-19 seperti demam dan kerap batuk semakin meningkat. Lantaran ramai pendaki menunjukkan simptom-simptom lain, pasukan perubatan berusaha memastikan mereka diasingkan sebelum dibawa keluar.

Begitupun, untuk mengenalpasti sama ada pendaki dijangkiti Covid-19 atau tidak bukan satu tugas mudah. Ini kerana antara perkara yang perlu dihadapi mereka semasa pendakian ialah penyakit altitud dengan sesetengah simptomnya hampir serupa dengan Covid-19 seperti kerap batuk, sakit badan dan demam. Antara pendaki yang berdepan masalah ini ialah pendaki Norway, Erlend Ness.

Ness diuji positif Covid-19 sebanyak tiga kali di dua buah hospital berbeza di Kathmandu. Pada awalnya, dia disangka mengalami penyakit altitud tetapi disahkan positif Covid-19 selepas dibawa ke Kathmandu. Selain Ness, seorang sherpa dalam rombongan pendakiannya turut disahkan positif Covid-19.

Beliau kemudiannya dirawat di hospital selama lebih sembilan hari sebelum disahkan pulih pada 22 April lepas. Ness ketika ini tinggal bersama beberapa orang rakan di Kathmandu. Pakar kesihatan bimbang walaupun pendaki seperti Ness pulih atau menyesuaikan kembali dengan altitud semasa, mereka boleh saja menjadi ejen penyebar jangkitan terutama bila berada di bandar seperti Kathmandu.

Justeru, mereka menasihatkan sebarang aktiviti penyesuaian altitud perlu dibuat kawasan kaki pergunungan daripada kembali ke bandar. Kebimbangan pihak berkuasa Nepal berkenaan isu ini ada asasnya. Sehingga 26 April, 394 permit mendaki Everest dikeluarkan oleh Kathmandu sekaligus membenarkan lebih 1,500 kakitangan sokongan berada di kawasan berkenaan.

Melihat kepada penularan kes di Gunung Everest, ia membuatkan sesiapa saja tertanya-tanya mengapa kemudahan ujian saringan tidak disediakan di situ. Dr Kharel mendedahkan pihak persatuan berusaha menyediakan kemudahan ujian saringan di kem utama tetapi tidak mendapat kebenaran oleh pihak kerajaan.

Disebabkan ketiadaan kemudahan ujian saringan, sesetengah pasukan ekspedisi mengadakan inisiatif membawa kit-kit ujian saringan Covid-19 bersama mereka. Kit ini digunakan untuk menguji pendaki yang kurang sihat. Sekiranya ada yang disahkan positif Covid-19, ini membolehkan pihak ekspedisi mengasingkan dan membawa mereka kembali ke Kathmandu.

Dengan kemunculan kes-kes baru ini, barulah pihak kerajaan berusaha membendung kes jangkitan di Gunung Everest. Semasa ditemubual oleh BBC. seorang pegawai yang enggan dikenali memberitahu sebarang kes yang disahkan positif sepatutnya dilaporkan kepada mereka. Dari situ, mereka dapat menjalankan pengesanan dan pengasingan mana-mana individu yang dikelaskan sebagai kontak rapat pesakit untuk saringan dan kuarantin.

Bagaimanapun, komen sebegini boleh diibaratkan sudah terhantuk, baru terngadah. Dan kini, terima kasih kepada kelewatan pihak Nepal dalam mencegah penularan Covid-19 di kawasan berkenaan, Everest kini menjadi sebahagian daripada ribuan kluster jangkitan yang dilaporkan di seluruh dunia.

RUJUKAN:

Singh Khadka, N. (2021). Covid cases at Everest base camp raise fears of serious outbreak. BBC News.

Yip, W. (2021). Mount Everest: Coronavirus reaches world’s tallest peak. BBC News.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.