Euthanasia: Simpati Atau Kejam?

110

“Katakanlah, “Aku tidak berkuasa mendatangkan mudarat dan tidak (pula) manfaat kepada diriku melainkan apa-apa dikehendaki Allah.” Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila telah tiba ajal kepada mereka, maka mereka tidak dapat menangguhkannya walaupun sesaat dan tidak (pula) mendahulukan(nya).” Surah Yunus, ayat 49

Setiap manusia yang hidup pasti akan mati. Suatu kehidupan pasti disusuli kematian. Penghijrahan roh ini merupakan sunnatullah. Hal ini pasti dan memang kita akui. Namun, pernahkah anda melihat situasi satu keluarga yang diminta untuk membuat keputusan sama ada meneruskan hayat pesakit dengan alat bantuan pernafasan atau menamatkan hayat pesakit itu dengan menanggalkan bantuan alat pernafasan tersebut?

Persoalannya, jika keluarga memilih untuk menanggalkan alat bantuan pernafasan, adakah ‘pemergian’ pesakit itu memang suratan ajalnya ataupun pesakit itu ‘dipaksa pergi’? Jika ‘dipaksa pergi’, mungkinkah tindakan ini bertentangan dengan sunnatullah? Bagaimanakah pula jika pesakit sendiri yang meminta untuk ditamatkan riwayatnya? Tindakan ini diistilahkan sebagai euthanasia.

Eutanasia berasal daripada Bahasa Greek. “Eu” bermaksud “baik” manakala “Thanatos” bermaksud “kematian”. Dalam perkataan yang mudah, uetanasia diertikan sebagai sengaja menamatkan riwayat hidup seseorang dengan jelas dan nyata atas permintaan si mati. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, euthanasia didefinisikan sebagai (ubat) perbuatan mematikan seseorang yang menanggung azab penyakit yang tidak dapat disembuhkan atas dasar perikemanusiaan supaya pesakit tersebut tidak berpanjangan mengalami azab.       

Eutanasia terdiri daripada empat jenis iaitu eutanasia pasif, eutanasia aktif, eutanasia bukan sukarela, dan pembunuhan dibantu oleh doktor atau ahli fizik. Eutanasia pasif bermaksud menamatkan riwayat hidup seseorang dengan semula jadi seperti menanggalkan peralatan sokongan hidup, memberhentikan respirator, memberhentikan prosedur perubatan atau memberhentikan pemberian ubat dan air, membenarkan pesakit itu terdehidrat, enderit, atau matu kelaparan, tidak membekalkan Cardio Pulmonary Resuscitation (CPR), membiarkan jantung berhenti, dan mati secara semula jadi, serta memberikan pesakit dos ubat penahan sakit dalam kadar yang tinggi untuk mengawal kesakitan, menyebabkan kemungkinan ubat penahan sakit itu akan menindas respirasi dan menyebabkan kematian yang lebih awal daripada yang sepatutnya.

Eutanasia aktif pula melibatkan pembunuhan seseorang melalui tindakan secara tidak langsung, sebagai menunaikan permintaan daripada orang yang dibunuh itu yang biasanya tidak tahan menanggung derita kesakitan. Eutanasia bukan sukarela merupakan pembunuhan seseorang yang tidak meminta bantuan secara jelas dan nyata dalam kematiannya untuk melakukan eutanasia.

Kes ini selalunya berlaku kepada pesakit yang berada dalam keadaan koma (Persistent Vegetative State) yang tidak ada harapan atau kemungkinan untuk pulih seperti sediakala. Dalam pembunuhan dibantu oleh doktor atau Physician Assisted Suicide, mereka yang mempunyai pengetahuan tentang eutanasia misalnya, doktor akan memberikan bimbingan, nasihat dan cara kepada seseorang individu yang lain untuk melakukan eutanasia secara sendiri. Bimbingan dan cara tersebut yang dilakukan dengan niat yang jelas untuk mengajar pesakit, sehingga dia faham untuk melakukan eutanasia dan akan membantu memudahkannya untuk membunuh diri.

Sejarah penentangan euthanasia bermula melalui sumpah hippokratik oleh ahli perubatan Greek, Hippocrates (bapa perubatan) yang menyatakan: “Saya tidak akan memberi ubat yang menyebabkan kematian kepada sesiapa pun jika diminta mahupun dicadangkan.”

Isu euthanasia menjadi semakin hangat diperdebatkan oleh kebanyakan negara terutamanya di Amerika Utara dan Eropah sejak abad ke-19 lagi. Penggubalan akta anti-euthanasia (mengharamkan pembunuhan diri dengan bantuan) dalam undang-undang Amerika digubal di New York pada 10 Disember 1828. Hal ini telah menyebabkan beberapa negeri di Amerika Syarikat seperti California dan Dakota turut menggunakan akta tersebut sebagai contoh di setiap negeri masing-masing.

Manakala di antara tahun 1857 dan 1865, Suruhanjaya New York yang diketuai oleh Dudley Field telah merangka kod jenayah yang melarang sebarang bentuk bantuan dalam pembunuhan diri terutamanya dalam pembekalan kepada individu tertentu dengan sebarang ubat atau senjata yang boleh menyebabkan maut walaupun niat orang tersebut yang hendak mengambil nyawanya sendiri telah diketahui.

Walau bagaimanapun, setelah beberapa tahun menyelidik dan mengesahkannya, selari dengan kemajuan dalam teknologi perubatan, Amerika Syarikat pada masa kini mula membenarkan kematian di institusi perubatan tertentu dan menimbang semula akta anti-euthanasia tersebut. Mengikut kajian terdahulu, negara Belanda telah menemukan jalan yang menyarankan agar mempraktikkan euthanasia.

Sebelum tahun 1973, euthanasia tidak dibenarkan di Belanda. Sejak saat itu, para pengamal perubatan dan jururawat secara aktif terlibat dalam pembunuhan pesakit yang belum sedia untuk mati. Pada tahun 1990, 9% dari kes kematian di Belanda dilaksanakan oleh para pengamal perubatan. Setengah dari kes ini adalah pesakit yang dibunuh tanpa persetujuan mereka.

Manakala bagi pihak penyokong idea euthanasia yang pertama adalah pada abad ke-16 oleh Thomas More. Dia berpendapat bahawa apabila seseorang pesakit menghidapi penyakit yang tidak dapat diubati dan dia menderita disebabkan penyakit tersebut, dia haruslah dinasihatkan supaya mematikan diri.

Pesakit tersebut sepatutnya menyedari bahawa penyakitnya yang langsung tidak dapat diubati akan menjadi beban kepada orang lain dan penderitaannya akan menyebabkan orang lain berasa kasihan. Pada tahun 1889, Nietzsche, seorang ahli falsafah Jerman menyokong kematian secara sukarela dengan karya falsafahnya yang bertajuk Thus Spoke Zarathustra.

Many die too late, and some die too early. yet strange sounds the precept: “Die at the right time!” Die at the right time! So teacheth, Zarathustra. …My death, praise I unto you, the voluntary death, which cometh unto me because I want it. Nietzsche -Thus Spoke Zarathustra

Manakala pada tahun 1895, seorang peguam Jerman bernama Jost telah menyediakan sebuah buku bertajuk Killing Law. Jost menekankan bahawa hanya mereka yang menghidap penyakit maut boleh diizinkan kematian jika mereka sendiri meminta untuk dimatikan.

Sokongan isu euthanasia di Jerman diteruskan dengan penerbitan sebuah buku kecil bertajuk “The Release of the Destruction of Life Devoid of Value” pada tahun 1920 oleh dua orang profesor Jerman, Alfred Hoche dan Karl Binding yang menyokong pengambilan nyawa makhluk yang tidak bernilai.

Mereka juga berpendapat bahawa seseorang pesakit yang meminta bantuan untuk mati berhak untuk mendapatkan bantuan tersebut daripada pengamal perubatan jika di bawah keadaan yang terkawal. Buku inilah yang telah menjadi asas panduan nonvoluntary (bukan sukarela) euthanasia kepada Nazi Jerman.

Pada tahun 1935, satu persatuan yang menyokong euthanasia sukarela, iaitu Voluntary Euthanasia Society (VES) telah dibentuk di England pada tahun 1935. Persatuan tersebut adalah merupakan jenis persatuan yang pertama kali ditubuhkan di seluruh dunia.

VES ditubuhkan dengan tujuan mengesahkan euthanasia sukarela supaya mereka yang menderita daripada penyakit serius boleh mendapatkan bantuan untuk mati apabila mereka memintakannya.  Beberapa tahun kemudian, persatuan euthanasia Amerika Syarikat iaitu Euthanasia Society of America (ESA) juga ditubuhkan pada tahun 1938 oleh Charles Francis Potter.

Banyak kisah sejarah berkenaan eutanasia yang menarik. Namun sejarah eutanasia yang paling menarik ialah Action T4 yang berlaku pada zaman Nazi. Bermula pada bulan Oktober 1939, huru-hara daripada letusan Perang Hitler tersebar luas berikutan arahan melakukan pembunuhan rahmat kepada mereka yang sakit dan tidak berkeupayaan.

Action T4 Code ialah program Eutanasia Nazi untuk menghapuskan kehidupan yang dianggap tidak bernilai dengan penumpuan bermula kepada bayi yang baru dilahirkan dan kanak-kanak. Bidan dan doktor perlu mendaftarkan kanak-kanak yang berusia tiga tahun ke atas yang menunjukkan tanda-tanda kecacatan seperti terencat akal, kurang upaya, dan seumapamanya. Kaedah ini termasuklah pengedaran borang soal selidik daripada Kementerian Kesihatan Reich.

Program Eutanasia nazi berkembang dengan pantas, dengan peluasan skopnya kepada program kurang upaya yang merangkumi kanak-kanak remaja dan orang dewasa. Manakala pada bulan Oktober 1939, Hitler melalui amanatnya memerintahkan supaya mereka yang didapati menghidap sesuatu penyakit, yang tidak boleh dan sukar untuk diubati, setelah menjalani diagnosis dengan teliti terhadap tahap penyakit tersebut, harus diberikan pembunuhan rahmat yang berupa kematian kepadanya.

Kekejaman semasa pemerintahan Hitler, dinilai melalui tulisannya seperti berikut, “Jika anda tiada kuasa untuk melawan kesihatan diri sendiri, maka hak anda untuk hidup sudah tiada lagi atau sampai ke penghujungnya.” Eutanasia boleh dikategorikan sebagai bantuan namun diklasifikasikan sebagai kejam. Hal ini kerana ada pihak yang boleh menerimanya dan ada juga pihak yang menolaknya. Tindakan ini umumnya dilihat melanggar undang-undang di banyak negara di dunia seperti Malaysia, Singapura, United Kingdom dan beberapa negeri di Amerika Syarikat.  

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa negara yang membenarkan eutanasia seperti Belgium, Netherlands (Belanda) dan Luxembourg. Para penyokong eutanasia percaya bahawa negara tidak boleh mengganggu hak seseorang untuk mati. Namun, para penentang eutanasia mempunyai pendapat yang berbeza dan meletakkan asas bahawa tiada sesiapa yang boleh menentukan bilakah seseorang itu akan mati kecuali Tuhan.

Di Malaysia, tindakan eutanasia adalah jelas melanggar undang-undang. Sesiapa yang melakukan eutanasia adalah dilihat melakukan cubaan untuk membunuh. Tindakan eutanasia salah di bawah Kanun Keseksaan. Malah, jika seseorang itu cuba membunuh dirinya sendiri, ia turut bertentangan dengan Kanun Keseksaan.

Berdasarkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan, sesiapa yang cuba untuk mengambil nyawanya sendiri tetapi gagal setelah mengambil beberapa langkah untuk melaksanakannya adalah telah melakukan kesalahan jenayah dan boleh disabitkan dengan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam tahun 2011 Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-97 telah membuat keputusan, iaitu setelah mendengar dari pakar-pakar yang terlibat memberi penjelasan, bahawa –

“… Dalam keadaan di mana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa jantung dan/atau otak pesakit telah berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada lagi harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada bantuan sokongan pernafasan, … tindakan memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan tersebut adalah dibenarkan oleh Islam kerana pesakit telah disahkan mati oleh pakar perubatan dan sebarang rawatan tidak lagi diperlukan.

Begitu juga dalam kes di mana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa pesakit tiada harapan untuk sembuh dan pesakit telah dibenarkan pulang, maka tindakan memberhentikan rawatan utama dan hanya rawatan sokongan (conventional treatment) diteruskan adalah dibenarkan oleh Islam ke­rana keadaan seumpama ini tidak termasuk dalam amalan Eutanasia yang diharamkan.”

Seterusnya, “…menghentikan hayat seseorang sebelum dia di­sahkan mati dengan menggunakan apa-apa cara dan bersandarkan kepada apa-apa alasan adalah haram dan dilarang oleh Islam.”

Muzakarah memutuskan juga bahawa “perbuatan mempercepatkan kematian melalui amalan Euta­nasia (sama ada Eutanasia vo­luntary/atas kehendak sendiri, non-voluntary/yang pasif atau involuntary/yang menolak rawatan) atau ‘mercy killing’ adalah haram menurut Islam kerana perbuatan ini menyamai perbuatan membunuh dan bertentangan dengan etika perubatan di Malaysia.”

Jawatankuasa Fatwa juga telah mengatakan bahawa asas kepu­tusan yang dibuat ialah “Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’, ayat 92 yang bermaksud: “Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja” dan Ha­dis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh an-Nasa’ie yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu mengharapkan kematian, jika seseorang itu baik, boleh jadi ia menambahkan kebaikan dan jika seseorang itu berbuat dosa boleh jadi dia bertaubat (dan mengharap reda Allah).”

Agama-agama yang lain juga menolak eutanasia. Agama Kristian misalnya, juga menganggap nyawa itu pemberian Tuhan. Tuhan yang meminjamkan jasad itu kepada manusia dan kemudiannya ditiupkan roh ke dalam jasadnya itu lalu bermulalah kehidupannya. Atas sebab itu, maka hanya Tuhan yang berhak menamatkan atau mengambil nyawa itu semula. Agama Kristian juga berpandangan bahawa eutanasia merupakan tindakan seseorang yang membunuh diri dan sesiapa yang membunuh diri itu dianggap melakukan dosa.

Agama Buddha juga menolak eutanasia. Bagi agama Buddha, kehidupan termasuk dalam perkara yang bersangkut paut dengan kematian yang ditentukan oleh Karmanya. Menurut agama Buddha, membunuh diri atau eutanasia dianggap melanggar undang-undang alam atau Karma yang ditentukan.

Oleh itu, sesiapa yang melakukannya seolah-olah mereka melanggar Karma seseorang individu tersebut. Begitu juga dengan agama Buddha yang berpendapat bahawa apabila seseorang itu melakukan perbuatan membunuh diri atau eutanasia, akan memberikan impak negative kepada Karma seseorang individu itu. Agama Hindu percaya bahawa perbuatan itu merosakkan Karma dan memberikan kesan yang tidak baik terutama apabila seseorang itu mengalami proses kelahiran semula, pada suatu masa kelak.

Agama Islam berpendirian setiap nyawa adalah amat bernilai. Hanya Allah SWT yang berhak menentukan hidup dan mati setiap hamba-Nya. Manusia tidak ada apa-apa kuasa atau tanggungjawab untuk menentukan kematian orang lain. Begitu juga mana-mana pengamal perubatan yang tidak boleh menyuntik ubat atau racun bagi mempercepat proses kematian orang lain disebabkan alasan tiada harapan untuk sembuh.

Terdapat tiga kategori kes yang melibatkan euthanasia iaitu nonvoluntary euthanasia, voluntary euthanasia dan involuntary euthanasia.

Non-voluntary Euthanasia

(a)                    Karen Ann Quinlan, Amerika Syarikat Pada April, 1975, Karen Ann Quinlan yang berumur 21 tahun telah dimasukkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dalam beberapa jam sahaja, dia telah mengalami koma yang tidak dapat dipulihkan. Kedua-dua ibu bapanya yang menganut Roman Catholics, mengetahui bahawa anak perempuan mereka tidak rela berada dalam keadaan tersebut. Setahun kemudian, Karen memasuki keadaan vegetatif persisten.

Pada masa itu, mahkamah-mahkamah membenarkan alat bantuan pernafasannya dihentikan tetapi tiub penyuapan masih diteruskan dan dia hidup sehingga Jun 1985. Akhirnya, dia meninggal dunia disebabkan oleh penyakit pneumonia. Keluarganya menerima beribu-ribu surat simpati dan kebanyakannya berpendapat bahawa keluarga Karen tidak sepatutnya membiarkan Karen menderita selama ini.

(b)                    Tony Bland, United Kingdom Pada 1992, Mahkamah Tinggi United Kingdom membenarkan euthanasia mangsa kemalangan Hillsborough, Tony Bland yang berada dalam keadaan koma dengan menghentikan tiub-tiub penyuapannya. Ibu bapa Tony Bland, Allan dan Barbara, menyokong tindakan mahkamah dan berasa lega atas k eputusan tersebut. Tony Bland, pada umur 22, mengalami kerosakan otak yang teruk akibat kemalangan keruntuhan tempat duduk stadium apabila dia dan penyokong-penyokong bola sepak lain yang sedang berhimpit-himpit untuk memasuki stadium Hillsborough pada bulan April 1989.

Seramai sembilan puluh lima peminat telah mati dalam kejadian itu. Dalam Mahkamah Tinggi, para pengamal perubatan Tony Bland dari Hospital Besar Airedale, dan pakar-pakar lain dalam bidang perubatan mengatakan bahawa dia boleh hidup selama lima tahun tetapi dia tidak akan pulih. Jika tiub penyuapan dikeluarkan dia akan mati dalam beberapa hari. Akhirnya, Tony meninggal dunia akibat penyahhidratan sembilan hari selepas tiub penyuapannya dikeluarkan.

(c)                    Again Isna Nauli, Indonesia Satu permohonan untuk melakukan euthanasia pada tarikh 22 Oktober 2004 telah dibuat oleh seorang suami bernama Hassan Kusuma ke Mahkamah Negeri Jakarta Pusat kerana tidak sanggup melihat isterinya yang bernama Again Isna Nauli, 33 tahun, terlantar koma selama 2 bulan dan di samping itu, ketidakmampuan untuk menanggung beban bayaran perawatan turut menjadi alasannya untuk permohonan tersebut. Kes ini merupakan salah satu contoh bentuk euthanasia yang di luar keinginan pesakit. Permohonan ini akhirnya ditolak oleh Mahkamah Negeri Jakarta Pusat, dan setelah menjalani perawatan intensif maka keadaan terakhir pesakit (pada 7 Januari 2005) telah mengalami kemajuan dalam pemulihan kesihatannya

(d)                   Terri Schiavo, Amerika Syarikat Terri Schiavo (41 tahun) telah meninggal dunia di negeri Florida, pada 31 Mac 2005, 13 hari setelah Mahkamah Agung Amerika Syarikat memberikan keizinan untuk mengeluarkan salur makanan yang selama ini `menghidupkan’ pesakit dalam koma ini. Terri mula koma pada tahun 1990 setelah terjatuh di rumahnya dan ditemui oleh suaminya, Michael Schiavo dalam keadaan kegagalan jantung berfungsi.

Disebabkan oleh penghentian nafas dalam masa yang panjang, dia mengalami kerosakan otak yang kritikal akibat kekurangan oksigen. Menurut kalangan paramedik, kegagalan jantung itu disebabkan oleh ketidakseimbangan unsur potasium dalam tubuhnya. Oleh sebab itu, pengamal perubatannya kemudian didakwa atas kesalahan praktik dan terpaksa membayar ganti rugi besar atas kecuaian dalam penilaiannya iaitu tidak menemukan keadaan yang membahayakan ini pada pesakitnya.

Setelah Terri Schiavo berada dalam keadaan koma selama 8 tahun, maka pada bulan Mei 1998 suaminya, Michael Schiavo membuat permohonan ke mahkamah agar salur alat bantu makanan pada isterinya dikeluarkan agar isterinya dapat meninggal dengan tenang.

Namun ibubapa Terri Schiavo iaitu Bobert dan Mary Schindler menyatakan keberatan dan menentang niat menantu mereka. Dua kali salur makanan telah dilepaskan dengan izin mahkamah, tetapi beberapa hari kemudian, salur makanan tersebut dipasang kembali atas perintah hakim yang lebih tinggi.

Ketika akhirnya hakim memutuskan bahawa salur makanan boleh dilepaskan, maka para penyokong keluarga Schindler melakukan segala yang boleh untuk menggerakkan Senat Amerika Syarikat agar membuat undangundang yang memerintahkan Mahkamah Persekutuan untuk meninjau kembali keputusan hakim tersebut.

Undang-undang ini disokong oleh Dewan Perwakilan Amerika Syarikat dan ditandatangani oleh Presiden George Walker Bush. Tetapi, berdasarkan undang-undang di Amerika, kekuasaan kehakiman tidak bergantung dengan sebarang kuasa yang lain, akhirnya hakim persekutuan membenarkan keputusan hakim terdahulu

(e)        Dr. Park, Korea Selatan Pada tahun 2002, di Korea Selatan, terdapat seorang pesakit wanita berusia 68 tahun yang menderita penyakit sirosis hati. Setelah dirawat selama tiga bulan, seorang pengamal perubatan bernama Park yang berumur 30 tahun, telah mencabut alat bantu pernafasan atas permintaan anak perempuan pesakit tersebut.

Pada Disember 2002, anak lelaki pesakit tersebut meminta polis untuk menyiasat kakaknya berserta dengan pengamal perubatan tersebut atas tuduhan melakukan pembunuhan. Dr. Park kemudian mengatakan bahawa dia tidak bersalah dan hanya menunaikan permintaan anak perempuan pesakit agar alat bantu pernafasan tersebut tidak dipasangkan.

Seminggu sebelum kematiannya, pesakit tersebut amat menderita disebabkan oleh penyakit sirosis hati yang telah mencapai peringkat akhir dan pengamal perubatan mengatakan bahawa walaupun alat bantu pernafasan tidak dicabut, kemungkinan besar pesakit tersebut hanya dapat bertahan selama 24 jam sahaja.

Voluntary Euthanasia

(a) Dr. Nigel Cox, United Kingdom Pada tahun 1992, Dr. Nigel Cox mencabar undang-undang secara terbuka dan bersetuju kepada permintaan Puan Boyes yang berumur 70 tahun untuk menjalankan euthanasia sukarela aktif. Puan Boyes berada dalam keadaan kritikal sehingga beliau akan menjerit jika sesiapa menyentuh tubuhnya.

Ubat biasa tidak dapat melegakan penderitaannya. Dalam hari-hari terakhirnya, setelah membuat permintaan yang berterusan, akhirnya Dr. Cox memberinya satu suntikan kalium klorida dan akhirnya Puan Boyes meninggal dunia. Akibatnya Dr. Cox telah digantung kerja dan dihukum oleh mahkamah.

(b) Sue Rodriguez, Kanada Sue Rodriguez seorang ibu berusia awal tiga puluhan, menghadapi penyakit Lou Gehrig. Dia mengetahui bahawa otot-ototnya akan merosot hingga boleh menyebabkan tercekik sehingga mati dalam keadaan sedar diri. Oleh itu, dia meminta mahkamah supaya membenarkan pengamal perubatan membantu dia dalam memilih saat kematian untuk menenteramkannya. Akan tetapi, permintaannya ditolak dan dia terpaksa meneruskan hidupnya dalam ketakutan. Akhirnya pada bulan Februari 1994, seorang pengamal perubatan telah melanggar undang-undang dan membantunya untuk meninggal dunia.

Involuntary Euthanasia

Dianne Pretty menghadapi penyakit neuron motor kritikal. Dia dan suaminya merayu kepada mahkamah agar tidak memberikan dakwaan terhadap suaminya jika suaminya membantu dia membunuh dirinya tetapi permintaan tersebut telah ditolak. Akhirnya, Dianne Pretty telah mati di hospital dalam keadaan yang dia tidak inginkan. Seorang perakam dokumentari berjaya merekodkan penderitaan Dianne Pretty semasa melawan penyakitnya dan ini membuat kesnya amat terkenal di England

Euthanasia berlaku apabila manusia hilang rasa hormat pada kehidupan manusia itu sendiri. Sekiranya manusia mengerti dan menghormati kesucian dari kehidupan maka mereka tidak akan memutuskan untuk mengakhiri kehidupannya dengan cara yang sedemikian. Bagi yang menyokong perlaksanaan euthanasia, mereka menerbitkan karya-karya sendiri dan menubuhkan persatuan tetapi bagi sebahagian yang membantah, mereka bertindak melalui penggubalan undang-undang. \

Ini membuktikan bahawa isu euthanasia tidak dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat dan tindakan ini dianggap sebagai pembunuhan, walaupun tujuan awalnya adalah untuk menamatkan hidup pesakit yang tidak dapat menahan kesakitan yang kritikal. Oleh itu, manusia perlu bijak dalam mentafsir dan menganalisis sebelum mengaplikasikan serta mengamalkan etika yang betul agar tidak membawa kepada berlakunya perkara-perkara negatif yang boleh melanggar fitrah manusia dan syariah Islamiah.

RUJUKAN:

1.  Wujudkah pilihan mati cara terhormat?,       http://www.utusan.com.my/rencana/utama/wujudkah-pilihan-mati-cara-terhormat-1.62438

2.   Wujudkah pilihan mati cara terhormat?      https://asklegal.my/p/eutanasia-pesakit-larangan-resusitasi-hak-mati

3. The legality of euthanasia from the Malaysian and Islamic perspectives.https://www.researchgate.net/publication/311673683_The_legality_of_euthanasia_from_the_Malaysian_and_Islamic_perspectives_An_overview

4.        Kompilasi Muzakarah.http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/KOMPILASI_MUZAKARAH_MKI_2016.pdf

6.  Pembantaian terhadap para Penyandang Cacat.https://encyclopedia.ushmm.org/content/id/article/the-murder-of-the-handicapped

7.  Sejarah Euthanasia Dunia. https://keperawatanreligionnabilah.wordpress.com/materi-2/sejarah-euthanasia-dunia/

8.  Mengenali makna euthanasia.http://www.utusan.com.my/rencana/utama/mengenali-makna-euthanasia-1.381347

9.  Euthanisia Melanggar Etika.http://eprints.utm.my/id/eprint/50168/1/FarahwahidaMohdYusof2013_Euthanasiamelanggaretika.pdf

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.