Escapism: Buku Merah Jangan Lupa Bawa Moga-Moga Belum Tamat Tempoh

827

Saya teringatkan sebuah lirik lagu yang bertajuk “Bawa Aku Pergi” yang dinyanyikan oleh Zizan Razak dan Kaka pada tahun 2013. Lagu ini mengisahkan tentang kehidupan seorang anak muda remaja yang dambakan kehidupan fantasi dan ingin mengajak teman lelakinya lari keluar dari dunianya yang mungkin kelam dan menyedihkan. Liriknya seperti ini :

Oh, buku merah jangan lupa bawa
moga-moga belum tamat tempoh
kali ini kita pergi lebih lama
pergi lebih jauh, ayuh

Bawa aku pergi
pacu laju-laju
kita lari dari realiti
bawa aku pergi
pacu laju lagi
malah kita
tak perlu kembali

Lari keluar mengembara ke seluruh pelusuk dunia, mengamati permandangan indah dan menimba pengalaman baru memang idaman semua orang terutama muda mudi yang masih panjang usianya dan kuat kudratnya. Apatah lagi sekarang kita hidup dalam generasi baru yang di istilahkan oleh Simon Sinek sebagai generasi Z atau Milennial.

Generasi Milennial secara umumnya berorientasikan kepada kebebasan hidup, merantau, pergi kemana sahaja yang mereka suka. Sosial media pun turut menyumbang kepada gejala memaparkan sisi kehidupan siapa yang lebih gembira, tenang dan bebas. Semakin banyak kita muat naik ke dalam sosial media kita akan berasa lebih puas.

Sudah banyak kajian saintifik yang diterbitkan yang menunjukkan bahawa sosial media banyak menyumbang ke arah peningkatan depresi dan anxiety (murung dan bimbang) kerana setiap hari kita terkesan dengan perbandingan hidup kita dengan ramai orang. Kalau kawan kita di sosial media ada lima ribu akaun, kita terpaksa bandingkan kehidupan kita secara tak langsung dengan sejumlah lima ribu akaun itu.

Seperti kita tahu capaian sosial media telah di programkan oleh engineer mereka untuk selari dengan minat kita. Bagaimana? Menerusi fungsi carian yang kita taip malah suara kita pun dirakamkan oleh syarikat besar ini tanpa kita sedar. Kalau seseorang itu banyak mencari bahan ilmiah mungkin tidak begitu terkesan dengan budaya perbandingan yang tak sihat, akan tetapi bagaimana dengan anak muda yang seluruh hidupnya berorientasikan kepada hiburan.

Tentulah kesannya lama kelamaan dirasai oleh mereka dek kerana lambakan informasi berkaitan minatnya setiap hari terpapar secara automatik. Di negara Kanada kini syarikat Facebook dan Youtube sedang buat tempoh percubaan untuk menghilangkan pengguna dari nampak jumlah “like” dan “viewer” pada akaun milik orang lain sebab dalam proses mengurangkan risiko penyakit mental yang semakin membimbangkan.

Kita sedia maklum bahawa para ahli psikologi dan saintis telah pun mengkaji secara dalam berkenaan implikasi penggunaan internet pada anak muda generasi Z yang semakin lama meningkatkan kadar sakit mental.

Perbandingan Like dan Viewer sedikit sebanyak akan merancakkan lagi perasaan untuk terikut-ikut dengan trend seperti melancong, kahwin, belajar sampai Phd, ada anak dan sebagainya. Seboleh-bolehnya semua yang orang buat kita hendak penuhkan dalam hidup kita secara segera dan serentak.

Kita bimbang bila bertemu kawan dan sahabat handai kita tertinggal salah satu dari apa yang orang lain sedang miliki. Kita rasa seronok dengan benda itu walhal kita sedia maklum yang manusia akan paparkan sisi baik-baik sahaja, sejuta kisah duka disebalik layar kehidupan tentulah disorok dengan rapi.

Contoh mudah, kita selalu terkejut apabila dikejutkan dengan berita perpisahan dikalangan artis, selebriti dan orang yang umumnya dia kelihatan bahagia. Kita lihat bagaimana Elvis Presley meninggal dunia, bagaimana Chester Benington meninggal dunia, bagaimana Sully meninggal dunia, bagaimana The Rev Mike drummer Avenged Sevenfold meninggal dunia?

Kita nampak akaun sosial media mereka dipenuhi dengan peminat yang ramai, lagu digilai ramai, harta yang banyak dan menimbun. Saya rasa kalau berjimat cermat boleh hidup sampai tujuh keturunan tanpa bekerja macam orang biasa. Sebab keindahan yang kita tonton itu tidak seperti yang kita bayangkan pun.

Firman Allah SWT:

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Surah al-Hadid : 20)

Dr Wahbah al-Zuhaili ketika mentafsirkan ayat ini beliau berkata:

“Sesungguhnya maksud yang utama dan pokok dari ayat ini adalah menegaskan akan hinanya dunia dan agungnya keadaan akhirat. Oleh kerana itu, Allah SWT menerangkan dunia dengan lima sifat atau spesifikasi, iaitu:

Pertama, dunia adalah permainan. Ini adalah tipikal bagi anak-anak yang sangat suka bermain sehingga letih dan menghabiskan tenaga mereka sedemikian rupa, dan kemudiannya hal itu berakhir tanpa ada sebarang faedah dan tenaga mereka terbuang sia-sia.

Kedua, dunia adalah hiburan dan huru-hara belaka. Ini adalah tipikal anak-anak muda, yang biasanya tidak memberika sesuatu melainkan penyesalan.

Ketiga, dunia adalah perhiasan. Ini adalah tipikal kaum perempuan, yang tujuan utamanya adalah menutupi kekurangan.

Keempat, saling membangga-banggakan diri dengan hal-hal yang fana, adakalanya dengan nasab, kemampuan dan potensi material, kekuatan fizik, dan lain-lain.

Kelima, dunia adalah tempat untuk saling bersaing dalam banyaknya harta dan anak. (Lihat Tafsir al-Munir, 14/353)

Escapism, Kecemburuan Tidak Realistik

Menurut kamus Dictionary APA (American Psychological Association) yang dimaksudkan dengan “Escapism” ialah :

“The tendency to escape from the real world to the delight or security of a fantasy world.”

Suatu kecenderungan untuk selamatkan diri atau lari dari dunia realiti kepada dunia yang lebih bersifatkan fantasi untuk berasa selamat. Walaupun begitu, seorang ahli Psikoterapi Dr Michael J. Hurd berpendapat kita perlu bezakan antara “escapism” dengan “refueling” yang mana membawa dua maksud yang berbeza dari segi tindakan psikologi.

Kata beliau “refuel” lebih kepada berehat sebentar dari menghadapi hiruk pikuk kehidupan yang melemaskan kepada buat sesuatu aktiviti untuk “me time” iaitu berehat seperti menonton rancangan television, membaca buku, mendengar muzik dan sebagainya.

Perkara sebegini sangat digalakkan dalam psikologi positif untuk segarkan kembali fikiran selepas berhempas pulas menyelesaikan masalah kehidupan seharian. Setelah bertenaga, kembalilah semula untuk menghadap realiti.

Ini berbeza dengan istilah “escapism” yang maknanya lebih tidak sihat dari segi psikologi kerana tingkah laku seseorang cuba pisahkan dirinya dari realiti hidupnya sendiri, tidak bertanggungjawab atas diri sendiri dan buat perkara yang membawa kesan negatif.

Sebagai contoh, kita lihat kawan kita berkahwin pada usia sebaya dengan kita lantas kita hendak menirunya kerana kita bimbang kita tertinggal perkara penting dalam hidup. Walhal realitinya, dari aspek kewangan dirinya dan kawannya berbeza, belum lagi semak latar belakang keluarga, ekonomi, keutamaan, kesihatan dan sebagainya.

Setiap orang memiliki latar kehidupan yang jauh berbeza menurut aspek yang pelbagai.

Saya ingat lagi semasa saya di bangku sekolah menengah, selepas mengambil keputusan SPM saya rasa resah sebab ada subjek penting yang tidak memungkin saya untuk mengikut jejak abang saya masuk ke alam universiti dan kolej. Padahal rezeki saya ialah buat sijil bahasa arab dahulu kemudian barulah layak menyambung ke peringkat Diploma.

Semasa di peringkat Diploma pula saya ada berasa bimbang tentang alam pekerjaan. Saya pernah kata pada seorang pensyarah Bahasa Melayu yang saya hendak menjadi guru, namun pensyarah tersebut meremehkan keinginan dan cita-cita saya kerana melihat masalah disiplin saya yang agak tidak menentu sejak masuk semester akhir sehingga di kaunseling.

Padahal ketika itu saya ada sedikit masalah keluarga, dan setelah masuk sesi kaunseling alhamdulillah keputusan baik dan saya berjaya juga menjadi seorang guru sekolah. Setelah tamat pengajian saya bimbang pula tentang jodoh, dan begitulah setiap fasa kehidupan kita selalu bimbang benda yang belum berlaku dan tidak yakin dengan rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah swt melalui qada’ dan qadarnya.

Anak Muda & Krisis Ikon Kehidupan

Saya teringat sebuah buku yang berjudul “Risalah Pemuda Muslim” hasil karya Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik, di dalamnya dihimpunkan persiapan-persiapan rapi tentang persediaan anak muda dalam mendepani cabaran hidup yang penuh konflik tentang “apa aku nak buat dalam hidup?” sebab anak muda perlukan ikon contoh untuk dia jadikan sebagai sandaran kepercayaan dan pedoman.

Saya yakin saranan yang dikemukakan oleh Dr Maszlee Malik dalam bukunya itu kalau setiap anak muda lakukan mereka tiada masa hendak berfoya-foya dan buat aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang manfaat. Tiada masa juga untuk mengikuti pelbagai trend semasa yang dangkal dan meloyakan perasaan bila kita lihat.

Budaya “social validation” atau erti kata lain meminta perhatian dan momohon simpati orang lain dengan cara berswafoto sendirian dan menaikkan gambar lalu membuat ayat sedih-sedih kononnya sendirian dalam hidup adalah disebabkan gemar membuat perbandingan diri dengan kehidupan orang lain.

Selain dari itu, buku yang bagus juga untuk dijadikan pegangan secara asas ialah “Ikon Syabab 1”, “Ikon Syabab 2” dan yang terbaru “Ikon Rijal” hasil karya Dr Umar Muhammad Noor yang banyak menyisipkan contoh-contoh pribadi ringkas dikalangan para sahabat nabi, tabi’en dan generasi salaf terdahulu yang terpelihara.

Kebanyakan anak muda menjadikan ikon mereka itu dikalangan selebiriti dan artis kerana ikon sebegini mudah dicapai dalam talian internet dan menyusup dalam hiburan tempat untuk syahwat bergelora anak muda diraikan. Para pendakwah pun boleh menggunakan medium hiburan dan alat sosial media sebagai tempat untuk menarik perhatian mereka.

Saya teringat sebuah artikel yang ditulis oleh Dr Zul Azlin seorang pakar psikiatri yang menulis tentang “Tolong Jangan Bunuh Diri” di The Malaysian Medical Gazette yang mana beliau berpesan kepada para ahli akademik agar merakyatkan ilmu, keluarkan ilmu yang beku dari dalam jurnal dan kertas saintifik ke bawah dalam bentuk mudah. Para agamawan yang tidak cuma selesa dengan bermodalkan hadis-hadis yang tidak berpandukan fatwa terkini berkenaan isu semasa lagi-lagi berkenaan penyakit mental.

Beliau juga mengistilahkan agamawan yang lebih cepat menghukum masalah moral seperti “bunuh diri” sebagai ahli neraka dengan gelaran Moralistik-Punitif ialah yang berpegang kepada tafsiran agama yang tidak selari dengan kehendak maqasid dan kurang empati. Bukanlah kita hendak menafikan ayat-ayat ancaman (al-Tarhib) namun disana ada keperluan untuk dimasak dalil-dalil berkenaan dengan timbangan Fiqh al-Mizan iaitu Fekah Pertimbangan menerusi perspektif maqasid syarak.

Maka akhir sekali peranan semua pihak dari masyarakat, cendiakawan dan juga agamawan amatlah mustahak untuk melibatkan diri dalam masalah sosial yang semakin hari semakin meruncing dan meresahkan kita semua.

Soalan terakhir yang kita wajar fikirkan bersama saat ini adakah masalah budaya escapism ini hasil dari hubungan sesama kita kurang berkualiti? Sehingga smartphone dijadikan kiblat kehidupan, bukan lagi orang sekeliling terdekat.

Artikel dikirimkan oleh Saifuddin Hamizan untuk The Patriots.

RUJUKAN

  1. Escapism vs. Refueling: Good? Bad? Or Indifferent? https://drhurd.com/2015/03/18/escapism-vs-refueling-good-bad-or-indifferent/
  2. APA Dictionary of Psychology https://dictionary.apa.org/escapism
  3. Escapism and Contemporary Life https://www.psychologytoday.com/us/blog/the-consciousness-question/201310/escapism-and-contemporary-life
  4. “Tolong Jangan Bunuh Diri” – Dr Zul Azlin Razali https://www.mmgazette.com/tolong-jangan-bunuh-diri-dr-zul-azlin-razali/
  5. AL-KAFI #1059: SIFAT KEHIDUPAN DUNIA (TAFSIR SURAH AL-HADID AYAT 20) https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3041-al-kafi-1059-sifat-kehidupan-dunia-tafsir-surah-al-hadid-ayat-20

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.