Gilgamesh adalah raja negara-kota Uruk pada fasa tamadun Sumer yang watak baginda sendiri popular dalam mitologi Mesopotamia terutamanya dalam manuskrip puisi Epic of Gilgamesh yang ditulis pada fasa empayar Akkad, sekitar akhir millennium kedua SM. Berkemungkinan Gilgamesh memerintah sekitar tahun 2800 dan 2500 SM dan baginda disembah oleh rakyatnya seperti dewa mereka sendiri. Gilgamesh kemudian menjadi figura terpenting dalam kisah lagenda Sumer pada fasa dinasti Ur Ketiga (2112 – 2004 SM) dan dicatat dalam teks sastera Sumer.

Epic of Gilgamesh pula adalah manuskrip puisi yang berasal dari tamadun Mesopotamia Kuno yang menjadi antara karya sastera terawal dunia. Manuskrip yang mengandungi 5 buah puisi mengisahkan tentang pengembaraan raja bernama Bilgamesh (sebutan Gilgamesh dari bahasa orang Sumer). Terdapat dua versi manuskrip ini iaitu versi Akkad dan Babylonia Lama tapi isi kandungan kedua-dua versi ini hampir sama dengan kisah yang asal.  Yang beza hanyalah penceritaan kembali oleh penulis Akkad dan Babylonia Lama dalam versi mereka untuk memelihara kisah lagenda Gilgamesh ini.

Tablet Epic of Gilgamesh yang ditemui di Ninevah kemudian disimpan dalam Muzium British, London.

Apa yang menariknya Epic of Gilgamesh sehingga raja Uruk ini menjadi popular dalam kalangan rakyatnya, seterusnya menjadi kebanggaan para generasi empayar Akkad dan Babylonia Lama?  Mari kita mengenali Gilgamesh dan kehidupannya melalui puisi epik ini.

Kisah Gilgamesh dari puisi ini bermula dari pemerintahan baginda sebagai raja Uruk. Baginda adalah raja yang k3jam dan menindas rakyatnya sendiri kerana statusnya sebagai demigod (mempunyai keturunan dewa-dewi) menjadikan baginda bongkak dan memandang hina rakyatnya yang berstatus manusia. Tindakan Gilgamesh ini mengundang kemurkaan para dewa-dewi, maka dewa Anu iaitu bapa segala dewa-dewi Mesopotamia Kuno menciptakan makhluk bernama Enkidu, sebagai senjata menghukum Gilgamesh.

Enkidu kemudian turun ke Bumi dan memulakan pengembaraan ke kota Uruk. Semasa mengembara, dia bertemu dengan seorang pelacur kuil bernama Shambat. Pelacur kuil pada fasa ini adalah penyembah dewa-dewi yang melakukan hubungan s3ks sebagai bentuk penyembahan kepada tuhan mereka. Misi Shambat adalah menggoda Enkidu dan menjinakannya untuk biasakan Enkidu dalam dunia manusia. Maka, selepas pertemuan tersebut, mereka berdua melakukan hubungan intim selama 2 minggu.

Setelah Enkidu dijinakan, dia teruskan pengembaraan ke Uruk untuk memberi amaran kepada Gilgamesh. Gilgamesh ingkar akan arahan yang Enkidu utuskan kemudian mereka berdua bertarung. Di akhir pertarungan, Gilgamesh menang namun baginda kagum dengan kekuatan Enkidu, kemudian mereka berdua menjadi sahabat karib. Dalam manuskrip teks Sumer yang pertama mencatatkan tentang kehidupan Gilgamesh, Enkidu adalah hamba Gilgamesh manakala tablet kedua Epic of Gilgamesh pula menyatakan Enkidu adalah peneman yang setaraf dengan status Gilgamesh.

Sepanjang mereka bersahabat, Gilgamesh dan Enkidu mengembara ke Hutan Cedar, hutan yang terkenal dalam mitos Mesopotamia Kuno. Mereka berdua harus menempuhi 7 buah gunung. Tiba di Hutan Cedar, mereka berdua mula tumbangkan pokok yang meliar di hutan tersebut. Tindakan mereka mengundang kemarahan penjaga hutan bernama Humbaba (sebutan orang Akkad kepada Huwawa).

Berhadapan dengan Humbaba, Gilgamesh ketakutan dan mula memohon bantuan dewa sembahannya iaitu Dewa Shamash (Dewa Utu iaitu dewa matahari). Utu terus membutakan mata Humbaba dengan meniupkan 8 jenis angin ke matanya. Humbaba menyerah kalah dan memohon ampun kepada Gilgamesh tetapi Gilgamesh dan Enkidu tetap menghukumnya dengan mem3nggal kepala.

Kedua-dua sahabat itu kemudian pulang ke Uruk. Kepulangan mereka disambut oleh Dewi Ishtar (Dewi Inanna iaitu dewi kesuburan dan seks) dan dia meminta Gilgamesh menjadi pasangan hidupnya. Gilgamesh menolak lamaran Ishtar kerana tidak mahu dirinya menjadi mangsa aniaya Ishtar seterusnya setelah Ishtar aniaya para kekasih lamanya.

Ishtar murka dan ingin membalas dendam dengan meminta bantuan ayahnya Dewa Anu memberikan Lembu Syurga (Bull of Heaven) kepadanya. Ishtar kemudian mengarahkan Lembu Syurga menyerang Gilgamesh. Akhirnya, Gilgamesh dan Enkidu berjaya menumbangkan Lembu Syurga dan memberikan jantung lembu itu kepada Dewa Shamash sebagai korban sembahan.

Semasa Gilgamesh dan Enkidu berehat di takhtanya, Ishtar berdiri di dinding kubu Uruk dan memaki-hamun Gilgamesh. Enkidu yang tidak selesa akan makian tersebut mula memotong bahagian paha Lembu Syurga, kemudian humban ke muka Ishtar. Ishtar merasa terhina akan tindakan Enkidu, kemudian mengarahkan para pelacur bawahannya meratapi kematian Lembu Syurga. Manakala Gilgamesh mengadakan keraian bagi menyambut kemenangannya melawan Lembu Syurga.

Setelah sekian lama Enkidu menetap bersama sahabatnya, dia mengalami mimpi berkenaan pertemuan antara dewa Anu, Ea, dan Shamash yang membincangkan tentang pemilihan antara Gilgamesh atau Enkidu yang bakal menerima hukuman m4ti kerana kesalahan membvnuh Lembu Syurga. Mereka bertiga bersepakat bahawa Enkidu dipilih menerima hukuman tersebut. Selepas mimpi tersebut Enkidu jatuh sakit. Enkidu alami mimpi lagi iaitu melihat permandangan alam kematian dan terus meninggal dunia. Gilgamesh begitu sedih dan meratapi atas kem4tian sahabatnya, kemudian mengebumikan mayatnya.

Untuk menghilangkan kesedihannya, Gilgamesh memulakan pemgembaraan baru iaitu pergi ke kediaman seorang manusia yang terselamat dari Banjir Besar iaitu Utnapishtim. Gilgamesh sebenarnya mencari keabadian hidup kerana baginda risau tentang hayatnya yang tidak berkekalan. Maka, Utnapishtim adalah kunci kepada keabadian yang Gilgamesh maksudkan kerana Utnapishtim dikatakan peroleh keabadian hidup setelah bencana besar itu.

Pengembaraan ke kediaman Utnapishtim penuh dengan pelbagai cabaran. Pertama, Gilgamesh perlu berhadapan dengan sekumpulan singa yang menjaga gerbang masuk ke gunung. Kemudian, setelah Gilgamesh tiba di puncak Gunung Mashu, baginda bertembung dengan pasangan suami isteri berbadan kala jengking dan mereka mampu memancarkan sinar radiasi. Apabila Gilgamesh menyatakan misinya, pasangan tersebut membenarkan baginda meneruskan misi.

Halangan ketiga Gilgamesh adalah baginda perlu menempuh kegelapan malam selama 12 hari sebelum menemui cahaya mentari. Kemudian baginda menemui sebuah taman yang indah yang terapung di atas laut dan bertemu pelayan wanita yang suci bernama Siduri. Pada mulanya Siduri melarang Gilgamesh memasuki taman itu namun Gilgamesh tidak endahkan larangan tersebut.

Siduri kemudian menarik Gilgamesh untuk bertemu seorang pendayung feri dewa-dewi bernama Urshanabi. Ursahanabi membawa Gilgamesh menyeberang laut dan akhirnya menemui kediaman Utnapishtim. Saat Gilgamesh mahukan keabadian hidup, Utnapishtim memberikan syarat bahawa untuk mencapai keabadian itu, baginda haruslah berjaga tanpa tidur. Syarat ini telah gagal kerana Gilgamesh terlelap semasa berjaga dan tidur selama 7 hari.

Utnapishtim seterusnya memberikan cara lain untuk peroleh keabadian iaitu mengekalkan keremajaannya. Ada sebatang pokok tumbuhan yang mampu mengekalkan keremajaan yang bernama ‘Plant of Heatbeat’. Gilgamesh berjaya menemui tumbuhan tersebut kemudian membawanya pergi. Malangnya tumbuhan tersebut dimakan oleh ular semasa Gilgamesh mandi di laut.

Kisah ular memakan Plant of Heatbeat inilah menjadikan ular mempunyai upaya menanggalkan kulit sendiri. Hampa akan kehilangan tumbuhan itu, Gilgamesh kembali ke Uruk dan mempersembahkan keagungan kotanya kepada Urshanabi. Kisah kembara Gilgamesh tamat di sini saja.  Lembaran terakhir Epic of Gilgamesh adalah penulisan semula dari puisi Sumer “Gilgamesh, Enkidu, dan Netherworld”, kisah mengenai pengembaraan sahabat baik ini di alam kematian.

Tidak pasti apa yang berlaku kepada Gilgamesh ketika kembali ke Uruk. Mungkin baginda menjadi raja yang berjiwa rakyat dan memajukan kotanya. Tapi kita hanya spekulasi saja kerana kisah hidup Gilgamesh sebenar masih kabur kerana kekurangan sumber utama selain puisi Epic of Gilgamesh, puisi-puisi Sumer, dan tablet Senarai Raja-Raja Sumer yang mencatakna nama Gilgamesh sebagai raja Uruk. Maka, Gilgamesh yang kita kenal sekarang adalah raja negara-kota yang bercampur-baur antara kisah benar dan mitos.

Sekarang, Gilgamesh menjadi tokoh sejarah tamadun Mesopotamia Kuno. Dalam permainan video telefon pintar FGO (Fate/Grand Order), Gilgamesh mempunyai dua jenis Servant. Pertama adalah kelas Archer. Dikatakan Gilgamesh ini adalah Gilgamesh yang angkuh sebelum menemui Enkidu. Servant kedua adalah kelas Caster, kelas di mana Gilgamesh menjadi raja yang berwibawa setelah menempuh kembara bertemu Utnapishtim. FGO juga mempunyai watak Enkidu sebagai Servant kelas Lancer dan Ishtar sebagai Servant kelas Archer.

Gilgamesh dari FGO (Kelas Archer)
Gilgamesh dari FGO (Kelas Caster)

Pengajaran dari kisah dalam Epic of Gilgamesh? Persahabatan memutuskan batasan hierarki kelas seseorang, antara raja dan rakyat seperti hubungan Gilgamesh dan Enkidu. Kehidupan Gilgamesh ini menjadi pengajaran kepada genearasi raja seterusnya supaya raja perlu menjaga hubungan baik dengan rakyat sendiri. Pengajaran inilah yang mendorong generasi rakyat Akkad dan Babylonia Lama untuk menulis kembali kisah lagenda ini selain mengekalkan mitos dewa-dewi mereka.

RUJUKAN:

Dalley, Stephanie (1989), Myths from Mesopotamia: Creation, the Flood, Gilgamesh, and Others, Oxford, England: Oxford University Press

Foster, Benjamin R., ed. (2001). The Epic of Gilgamesh. Translated by Foster, Benjamin R. New York: W.W. Norton & Company

George, Andrew R. (2003) [1999, 2000], The Epic of Gilgamesh: The Babylonian Epic Poem and Other Texts in Akkadian and Sumerian, Penguin Classics (Third ed.), London: Penguin Books

Powell, Barry B. (2012) [2004], “Gilgamesh: Heroic Myth”, Classical Myth (Seventh ed.), London, England: Pearson, pp. 336–350

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.