Entelodon: Khinzir Dari Neraka

5,184

Khinzir adalah sejenis spesis dari keluarga mamalia yang mempunyai sejarah panjang bersama manusia dalam bidang penternakan. Khinzir juga sinonim sebagai sumber makanan seperti haiwan ternakan lain. Omnivor, berbadan gempal, berkaki pendek dan hidungnya yang pesek menjadi simbolik penting untuk megenali spesis khinzir. Daging khinzir walaupun menjadi kegemaran kepada penggemar daging, daging yang mempunyai parasite dan bakteria yang berbahaya untuk tubuh badan manusia menjadikan masyarakat Muslim melarang sebarang konsumi dalam kalangan mereka selain ia adalah perintah Tuhan.

Namun, tahukah anda bahawa sekitar 30 juta tahun lalu, ada ‘moyang’ kepada spesis khinzir yang lebih ganas dan lebih menakutkan sehingga moyang itu digelar para saintis sebagai Hell Pigs atau Terminator Pigs?

Entelodon, adalah sejenis spesis mamalia yang telah pupus dalam keluarga Entelodontidae. Bertubuh seperti khinzir liar tapi mempunyai kepala yang lebih besar dari tubuhnya dengan saiz 65 cm, dan berketinggian 1.35 meter adalah ciri fizikal Entelodon. Pada awalnya Endelodon mempunyai hubungan genetik dengan khinzir. Setelah disiasat lebih lanjut, Entelodon ternyata mempunyai hubungan genetik lebih dekat dengan ikan paus dan badak air.

Ciri teristimewa dari Entelodon adalah susunan giginya yang sempurna. Enteledon mempunyai kesemua gigi iaitu, gigi kancing, gigi taring (dari haiwan karnivor) dan gigi geraham (dari haiwan herbivor) yang menjadikan Entelodon adalah haiwan omnivor.

Habitat asal spesis Entelodon biasanya berada di Amerika Utara. Dalam habitatnya, Entelodon adalah pemangsa teratas dalam rantai makanan, setanding dengan harimau dan singa hari ini. Dengan kelajuan pantasnya, Entelodon mampu memburu mangsa seperti unta (moyang kepada spesis unta sekarang, bertubuh kecil) dan badak sumbu (juga moyang kepada badak sumbu sekarang, bertubuh kecil) yang cekap melarikan diri. Kemudian membunuh mangsanya cuma menggunakan tandukan dari kepala besarnya. Rahang Entelodon juga membunuh kerana hanya satu gigitan mampu memecahkan tengkorak mangsa sehingga hancur.

Sehingga ke 20 juta tahun lalu, iklim dunia yang merubah (masuk ke zaman Ais) telah menyebabkan unta dan badak sumbu mengalami kesukaran untuk hidup sehingga melakukan migrasi atau pupus di habitat sendiri. Entelodon juga mengalami krisis yang sama kerana undang-undang alam telah ditentukan: Pemangsa kehilangan sumber makanan jika populasi mangsa berkurangan. Jadi Entelodon perlu berevolusi untuk menjadi spesis lebih besar dan gergasi bersesuaian dengan mangsa herbivor gergasi pada zaman itu. Spesis Entelodon yang berevolusi itu dinamakan sebagai Dinohynus.

GAMBAR 1: Perbandingan saiz Enteledon (kiri) dan Dinohynus (kanan) dengan manusia

Hadirnya Dinohynus dengan kepala bersaiz 90 cm dan ketinggian 2 meter melebihi Entelodon, kelangsungan spesis Entelodon dapat bertahan lama dengan memburu mangsa herbivor gergasi. Namun, legasi khinzir ganas ini tidak dapat kekal lama. Kehadiran spesis bear dog yang berasal dari Asia, berhijrah ke Amerika Utara yang lebih bijak memburu secara berkumpulan, menjadikan spesis bear dog sebagai saingan terkuat Dinohynus.

Populasi Dinohynus semakin berkurang kemudian pupus selamanya, mungkin kerana kehadiran spesis bear dog yang berwatakan seperti spesis serigala yang menyebabkan Dinohynus yang biasanya memburu bersendirian tidak dapat bersaing dengan kebijaksanaan pemangsa yang memburu secara berkumpulan.

Walaupun legasi Entelodon telah hilang dan tiada penyambung waris genetik di zaman kini, Entelodon tetap ‘dinobatkan’ sebagai Khinzir dari Neraka atau Khinzir Pemusnah.

GAMBAR 3: Dinohynus (kanan) mengancam Bear Dog

SUMBER:

  1. Prehistoric Predator, Rancangan Dokumentari TV.
  2. Agustí, J and Antón, M (2002). Mammoths, Sabertooths, and Hominids: 65 Million Years of Mammalian Evolution in Europe.
  3. Joeckel, R.M. A functional interpretation of the masticatory system and paleoecology of entelodonts. Retrieved from jstor.org

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.