Enochian: Bahasa Para Malaikat Yang Dilenyapkan Tuhan

4,199

Kisahnya bermula pada abad ke-16 M, daripada seorang ahli akademik yang mahir dalam ilmu matematik, menguasai ilmu astronomi dan astrologi serta pelajar lulusan dari Saint John’s Colllege di Cambridge, iaitu Dr. John Dee. Dr. John menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Mork Lake, London. Atas dasar kepintaran dan kebolehan beliau dalam menguasai bidang ilmu yang dipandang tinggi, maka beliau diserap masuk bekerja sebagai salah seorang ilmuwan yang berkhidmat kepada kerajaan pimpinan Ratu Elizabeth I.

Ketika awal hidupnya, Dr. John kurang mempercayai ataupun tidak tertarik dengan paranormal bahkan kisah mistik mahupun alam ghaib. Ketertarikannya terhadap kisah mistik, alam ghaib dan paranormal muncul ketika beliau mula terlalu obses dengan kajian sains yang dilakukannya.

Beliau memulakan pelbagai eksperimen sains yang bersangkut-paut dengan alam ghaib. Kegilaannya berkelanjutan apabila beliau cuba menyahdikodkan maksud-maksud yang disampaikan di dalam Book of Enoch (salah satu bahagian dari kitab Bible). Dr. John sangat mempercayai yang segala ilmu pengetahuan yang mempunyai hubungkait dengan alam lain tersimpan kemas di dalam Book of Enoch.

Aktiviti Dr. John dalam kegiatan ini bermula sekitar tahun 1581 ketika beliau memasuki umur 54 tahun sehinggalah ke tahun 1585.

Pada tahun 1581, Dr. John menuliskan di dalam catatan peribadinya bahawa Tuhan telah mengirim beberapa malaikat untuk berkomunikasi secara langsung dengannya tanpa hijab.

Setelah kejadian ini, maka Dr. John berjinak-jinak menyertai persatuan okultis (penganut ilmu tersembunyi seperti sihir atau magis kuno) yang dipimpin oleh Edward Kelley.

Pada tahun 1582 M, John Dee dan pengikut okultisme rapatnya, Edward Kelley mengakui telah melakukan komunikasi dua hala dengan para malaikat. Sepanjang dalam ritual ‘scrying sessions’ (menggunakan bola kaca atau permukaan bercermin), mereka mengaku telah menerima sebuah ilmu bahasa, bahasa para malaikat dari langit iaitu bahasa Enochian.

Bahasa ini terdiri daripada abjad yang jauh beza rupanya dengan abjad bahasa lainnya mahupun dari tulisan tamadun purba tetapi beberapa patah perkataan dalam bahasa ini dikatakan menyerupai dalam abjad atau loghat dalam bahasa Inggeris. Bahasa ini dinamakan sebagai bahasa Enochian dan mempunyai sebanyak 250 perkataan serta 21 abjad. Selain dinamakan Enochian, bahasa ini juga mempunyai pelbagai nama yang lain, iaitu:

  1. Angelical.
  2. Celestial Speech.
  3. First Language of God-Christ.
  4. Adamical (bahasa yang digunakan oleh Adam dan Hawa ketika mereka berada di syurga).

Contoh perkataan dari bahasa Enochian:

  1. Ooaono dan mooah (sebutan yang panjang).
  2. Poambd, smnad dan noncf (sebutan yang sulit).
  3. Lsrahmp, Laoaxrp, Htmorda, Alhctga dan Aaetpio (sebutan yang mudah). Selalunya nama ini disandarkan kepada raja, tuhan dan entiti yang tidak dikenali.
  4. Angelard, Babalond, Christeos, Levith-mong, Luciftias, Nazarth, Paracleda, Paradial, Paradiz dan Salman (sebutan yang dikenali umum).

Teori lain mengatakan, abjad Enochian seakan-akan menyerupai abjad Rom. Pembaca boleh melihat gambar dibawah. Adakah ia menyerupai abjad dalam tulisan Rom?

MENGAPA DINAMAKAN ENOCHIAN?

Diantara para tokoh di dalam kitab suci agama Kristian, Bible, Enoch merupakan salah seorang sosok yang memiliki pengetahuan dalam bidang ilmu mistik dan sihir berikutan Enoch tidak mati bahkan jasadnya diangkat Tuhan lalu dibawa ke syurga sepertimana dipetik dari Hebrews ayat 5: “Kehidupannya diambil, dia tidak mengalami kematian”. Dr. John mengakui Enoch merupakan manusia terakhir yang mengetahui bahasa Enochian setelah Adam.

Di dalam agama Islam pula, Enoch dikenali sebagai Nabi Idris a.s. Masih ingatkan pembaca tentang kisah Nabi Idris a.s yang memohon kepada Allah swt untuk dibawa berjalan di syurga sehingga baginda tidak mahu kembali ke dunia? Ya, Enoch dan Idris a.s adalah dua orang sosok yang sama tetapi mempunyai nama yang berbeza dalam agama Islam dan agama Kristian.

APAKAH ITU SCRYING SESSIONS?

Salah satu bentuk sesi ritual yang dijalankan oleh Dr. John bersama para pengikut okultisme lainnya menggunakan bola kaca atau kaca bercermin obsidian, yang mana Dr. John sendiri mengakui ia merupakan salah satu portal melihat alam ghaib.

Pada sekitar 15 minit awal, kesemua para okultisme akan membacakan doa memuji Tuhan dan Malaikat. Kadang-kala ritual ini memakan sama selama tempoh satu jam. Setelah ritual ini disempurnakan, maka Dr. John yang bertugas sebagai pengarah program ritual akan meletakkan bola kaca (batu peramal) di atas sebuah meja.

Setelah diletakkan kemas, maka Dr. John akan menyeru para malaikat untuk muncul di hadapannya (di dalam bola kaca). Ketika memasuki babak klimaks ini, Dr. John dan Edward akan mencatat segala ilmu atau pesanan yang disampaikan oleh malaikat termasuk berita dari masa depan seperti efek ilmu sihir atau magis kepada dunia, perubahan sistem politik di benua Eropah dan kedatangan hari akhirat. Kesemua rekodnya ini disimpan di dalam beberapa buah manuskrip dan catatan miliknya. Dr. John tidak pernah memberitahu fungsi bahasa ini di dalam ritualnya.

Salah satu mantera ataupun pesanan yang dicatatkan oleh Dr. John dan Edward Kelley dalam bahasa Enochian adalah:

“Mádriaks di-es praf lil kis miká-olz sánir ká-ózgo od fisis balzizras yaida”.

DIMANAKAN REKOD BAHASA ENOCHIAN INI DITEMUI?

Segala catatan, kajian mahupun pengamatannya selama mempelajari ilmu Enochian ini direkodkan dengan kemas ke dalam sebuah catatan yang lengkap dalam bahasa Enochian. Dua buah manuskrip tersebut merupakan dua buah versi bahasa Enochian, iaitu:

  1. Books of the Mysteries (ada lima bahagian) dikarang oleh Dr. John.
  2. Liber Loageth dikarang oleh Edward Kelley.

Di dalam kedua buah manuskrip ini, tulisan Enochian ditulis dari kanan ke kiri, tetapi diantara kedua buah manuskrip ini, catatan milik Edward Kelley diyakini sebagai yang asli kerana beberapa helaian atau isi penulisan manuskrip milik Dr. John hilang tanpa jejak.

BAGAIMANA PENGAKHIRAN HIDUP KEDUA ORANG TERSEBUT?

Dr. John meneruskan kerjayanya sebagai seorang ahli kimia dan menetap di England sehinggalah ke akhir hayatnya. Beliau meninggal dunia pada tahun 1608 M ketika berusia 81 tahun.

Edward pula berpindah ke Prague dan berkhidmat kepada Raja Rudolph. Beliau meninggal dunia pada tahun 1595 M, ketika berusia 40 tahun, setelah beliau jatuh daripada sebuah menara istana ketika melarikan diri apabila kegiatanya dalam menciptakan sebuah serum kimia membuat emas diketahui oleh Raja Rudolph.

ADAKAH BAHASA INI MASIH DIGUNAKAN PADA ZAMAN SEKARANG?

Ya.

Oleh sebab kehilangan beberapa bahagian penting inilah, para ilmuwan mengungkapkan beberapa teori bahasa Enochian sebagai bahasa yang paling awal di atas muka bumi atau bahasa magis yang pernah menguasai bumi pada suatu ketika dahulu sebelum dilenyapkan oleh Tuhan.

Sehinggalah ke saat ini, bahasa Enochian kekal menjadi sebuah tanda tanya kepada para okultis moden dan walaupun status keshahihanya masih diperdebatkan tetapi ia digunakan oleh pelbagai pihak luar, seperti:

  1. Hermetic Order of the Golden Dawn.
  2. Aleister Crowley.
  3. Israel Regardie.
  4. Church of Satan.

Pada tahun 1994, sebuah filem berjudul Stargate menggunakan bahasa Enochian dan Hieroglif Mesir di dalam filem tersebut.

Jadi, bagaimana pendapat para pembaca? Adakah Enochian merupakan bahasa para malaikat yang diturunkan kembali kepada Dr. John dan Edward Kelley ataupun ia merupakan bahasa imaginasi ciptaan antara kedua orang tokoh okultisme ini?

Tiada siapa yang tahu.

Baik, begitulah penerangan ringkas mengenai bahasa Enochian. Ditulis hanya untuk menambahkan ilmu pengetahuan sahaja.

RUJUKAN:

Enochian: The Mysterious Lost Language of Angels, Ancient Origins.

The Complete Enochian Dictionary: A Dictionary of the Angelic Language oleh Donald C Laycock, Edward Kelly dan Dr John Dee.

Encyclopedia of Angels oleh Richard Webster.

-TAMAT –

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.