Tak ramai yang tahu siapakah Permaisuri Melayu ini, terutama di Malaysia. Namun sejarah beliau sangat berkait dengan Empayar Johor. Jika anda kenal Raja Ali Haji yang menulis Tuhfat Al Nafis, dan pernah membaca kitab tersebut maka anda pasti tahu siapakah sosok Raja Hamidah ini. Mungkin perjuangan beliau kurang terkenal kerana beliau tidak mengetuai angkatan perang dan tidak bertempur di medan perang seperti Srikandi Melayu yang lain di Aceh, Banjarmasin, Patani dan Jawa. Namun perjuangan beliau sebenarnya tidak kurang penting dan bermakna dalam lembaran sejarah ketamadunan empayar Melayu Johor Riau Lingga.

Raja Hamidah atau Engku Puteri lahir sekitar tahun 1774. Beliau merupakan anak perempuan pertama Raja Haji, Yang Dipertuan Muda Riau Lingga IV (1778-1874). Ibunya adalah dari Perak, puteri kepada Daeng Kamboja. Ketika dilahirkan, ayahnya, Raja Haji masih bestatus Kelana Putera Jaya, iaitu jawatan bakal Yang Dipertuan Muda. Tugasnya menjaga ceruk rantau, dan memerangi musuh. Sebagai puteri seorang Panglima, maka Raja Hamidah telah dibesarkan dalam tradisi istana, kebangsawanan dan tradisi perang.

Tetapi, Raja Haji juga sangat taat beragama, menghargai ulama. Beliau telah membawa banyak ulama, untuk mengajar ilmu agama mahupun ilmu lain di istana dan kepada para pembesar. Oleh itu, Engku Puteri Raja Hamidah dibesarkan dalam tradisi adat yang kuat, baik tradisi adat Melayu melalui Ibunya, mahupun adat Bugis dari pembesar keturunan Bugis. Beberapa sumber menyebutkan Raja Hamidah sebagai seorang perempuan yang elegan, anggun, berwibawa, cerdas dan bijaksana.

Peranan Engku Puteri dalam sejarah Empayar Johor dapat dilihat setelah beliau berkahwin dengan Sultan Mahmud III. Perkawinannya dengan Sultan Mahmud, adalah sebuah perkawinan politik. Ketika perkawinan itu terjadi, Sultan Mahmud sudah berumur 50 tahun, dan mempunyai tiga isteri. Yang pertama, Engku Puan, puteri Bendahara Pahang, seorang permaisuri gahara. Yang kedua, Encik Makoh, keturunan Bugis, dan yang ketiga Encik Manam, keturunan Melayu. Raja Hamidah sedar bahawa dengan perkawinan itu, dia mempunyai tiga tugas berat:

Pertama, ia adalah NIKAHUL SIASAH atau perkawinan politik untuk meredakan konflik politik antara suku Melayu dan suku Bugis, akibat perebutan kuasa Yang Dipertuan Muda Riau Lingga antara Tengku Muda Muhammad (Putera Temenggung Abdul Jamal) dengan Raja Ali (putera Daeng Kamboja). Konflik ini, berlangsung lebih dari 8 tahun (1795 -1803). Tengku Muda Muhammad berasa berhak sebagai Yang Dipertuan Muda, karena dialah yang ditugaskan dan diangkat oleh Sultan Mahmud sebagai Raja Muda. Setelah Belanda menang melawan Riau (1784), satu perjanjian di atas kapal perang Utrecht telah mensyaratkan bahwa jawatan Yang Dipertuan Muda tidak boleh diberikan kepada keturunan Bugis.

Raja Ali, berasa marah kerana jawatan itu hak keturunan Bugis dan sudah diikrar dalam Sumpah Setia Melayu-Bugis. Persengketaan politik ini agak unik dan jika ditelusuri sebenarnya bukan sengketa antara suku etnik Melayu dan Bugis tetapi adalah diantara kaum kerabat sendiri juga. Raja Ali adalah anak Daeng Kamboja, cucu Daeng Perani. Sementara Tengku Muda Muhamamad anak Raja Maimunah dan Raja Maimunah ini, adalah anak Daeng Perani. Jadi yang berkelahi dan berebut kuasa itu, adalah cucu-cucu Upu Daeng Perani. Satu mewakili dinasti Bugis, yang satu mewakili dinasti Melayu Johor. Tapi darah kedua pihak itu sudah bercampur baur.

Untuk meredakan konflik ini, maka diadakan satu persetiaan. Orang penting disebalik perdamaian ini adalah Raja Lumu, Sultan Selangor yang disebut Sultan Salahuddin, ayah saudara sepupu dua tokoh tersebut. Raja Lumu dalam sejarah Riau Lingga memang menjadi tokoh kuat pihak Bugis. Beliau tidak disenangi pihak pembesar Melayu, seperti Temenggung Johor, Bendahara Pahang, dan Tun Dalam Raja Terengganu. Kemudian dimenterailah satu perdamaian di Kuala Bulang pada September 1803.

Isi perdamaian tersebut ialah, Sultan Mahmud sebagai keturunan Melayu yang berkuasa akan mengahwini Raja Hamidah keturunan Bugis, bagi menghapuskan perseteruan Melayu dan Bugis. Jika lahir putera dari perkahwinan tersebut maka ditubuhnya akan mengalir darah Melayu dan Bugis dan akan menjadi keturunan Bugis-Melayu pertama di tahkta kerajaan Johor Riau Lingga. Sebelum ini semua Sultannya berdarah Melayu yang sangat kuat, kerana takhta Sultan memang menjadi hak orang-orang keturunan Melayu. Itulah beban politik yang diletakkan dibahu wanita yang berusia 29 tahun itu.

Sebagai puteri berdarah Bugis, pihak Pembesar Bugis, ingin Engku Puteri menjaga kepentingan Bugis. Baik dalam istana, mahupun kepentingan ekonomi. Oleh sebab perkahwinan Mahmud dan Engku Puteri kemudiannya tidak menghasilkan waris, maka pihak pembesar Bugis mahu campur tangan Raja Hamidah dalam menaikkan Tengku Husin anak tirinya, kerana darah bugisnya lebih besar, dia juga putera yang sulung. Bukan Tengku Abdurrahman, yang darah Melayunya lebih besar tetapi bukan putera dari permaisuri Melayu gahara.

Raja Hamidah mempunyai pengetahuan yang luas, kecerdasan, keteguhan, dan pemahaman luas tentang politik serta adat istiadat negeri. Beliau banyak belajar dari sepupunya Raja Ibrahim, Sultan Selangor, tentang pemerintahan, dan sering berkunjung ke Selangor, Melaka, dan negeri lain di Semenanjung. Sebenarnya menurut sejarawan beliau adalah Think Tank Sultan Mahmud. Beliau menjadi penasihat, dan pengawal adat istidat dan budaya kerajaan Melayu Johor Riau Lingga. Oleh sebab itulah agaknya, kemudian Sultan Mahmud, memberinya tugas sebagai pemegang Regalia Kerajaan. Barbara Watson Andaya menegaskan peranan besar Engku Puteri dalam Kerajaan Johor Riau, dan dipetik sebagai berkata:

“Engku Puteri mungkin telah ditewaskan dalam perbalahan demi takhta kerajaan Johor-Riau, tetapi pengaruh baginda dalam aspek hidup Riau kekal meluas. Misalnya, sebuah syair yang mendendangkan tentang perkahwinan anak seorang kapitan Riau Cina menceritakan penglibatan baginda dalam upacara ini, dan majlis perkahwinan tersebut diadakan dalam istananya sambil menuruti adat-adat bangsa Melayu.

Baginda menguasai beberapa pulau, serta perolehannya. Melalui pendapatan ini, baginda bangkit menjadi pemimpin utama dalam aktiviti-aktiviti kesusasteraan dan agama. Pendatang-pendatang asing turut berasa kagum akan penglibatan baginda. Ditulis pada 1843, seorang pemerhati Belanda menghuraikan ciri-ciri wanita Bugis yang tinggi nilai kebudayaannya apabila menyentuh tentang Engku Puteri.”

Seorang Pegawai Tentera British bernama Peter J. Begbie yang pernah bertemu dengan Engku Raja Hamidah dipetik sebagai berkata: ‘She was, a fine, intelligent old lady’. Menurut Begbie, ketegasan beliau terlihat semasa berlaku konflik takhta diantara Tengku Husin dengan Tengku Abdurrahman. Setelah Tengku Abdurrahman dilantik oleh Yam Tuan Muda Djaafar sebagai Sultan Riau Lingga, Engku Puteri dipetik oleh Begbie sebagai berkata:

‘Who elected Abdurrahman as sovereign of Johor? Was it my brother Raja Djaafar, or by what law of succession has it happened? It is owing to this act of injustice that the ancient empire of Johor is fast falling to decay’

Regalia Kerajaan adalah supremasi tertinggi bagi Raja-Raja Melayu. Sebuah negeri dan Raja tidak sah dan berdaulat jika pelantikannya tidak menggunakan Regalia. Sebab itu pemegang Regalia adalah penjaga adat istidat, dan tradisi Istana. Ia juga lambang maruah dan martabat kerajaan. Jika hilang atau rosaknya maruah kerajaan, maka hancur dan runtuhlah harga diri bangsa. Bagi kerajaan Melayu, sebuah negeri boleh ditaklukkan dan dikuasai tetapi Sultannya boleh membuka negeri baru. Selagi Regalia Kerajaan tidak dirampas, dan masih dipegang oleh Raja, maka selagi itulah kedaulatan negeri itu masih utuh. Sebab itulah, siapapun yang diberi tugas menjaga Regalia adalah seorang yang tinggi martabatnya.

Selesai perkawinannya dengan Sultan Mahmud, Sultan telah menganugerahkan beliau Pulau Penyengat sebagai mas kahwin dan tapak istana. Sultan Mahmud juga membahagikan wilayah ekonomi antara pihak Melayu dan Bugis. Engku Puteri dan pihak Bugis akan memiliki Pulau Penyengat dan kawasan sekitarnya, sebagai “daerah permakanan”. Maka di pulau Penyengat lah Yang Dipertuan Muda Riau Lingga akan menjalankan pentadbiran. Manakala Lingga dan sekitarnya menjadi kawasan “permakanan” pihak Melayu, melalui Tengku Abdurrahman, putera Sultan Mahmud.

Engku Puteri menjadi benteng kuat yang memegang, memelihara, dan pengawal alat kebesaran dan kedaulatan kerajaan. Sebab itu lah beliau rela berselisih paham dengan abangnya Raja Djaafar, Yang Dipertuan Muda Riau Lingga, ketika Raja Djaafar menetapkan Tengku Abdurrahman sebagai pengganti Sultan Mahmud dan bukan memilih putera sulung Sultan, Tengku Husin. Engku puteri menganggap Raja Djaafar melanggar adat dan tradisi kerajaan Johor Riau Lingga. Sebab itu beliau tidak mahu menyerahkan Regalia kerajaan kepada Tengku Abdurrahman. Beliau telah membawa pusaka tersebut ke istananya di Penyengat, dan membiarkan Raja Djaafar melantik Sultan Abdurrahman pada tahun 1812 tanpa Regalia.

Tetapi peranan beliau yang lebih berat sebagai seorang Permaisuri ialah ketika kuasa asing ingin merampas Regalia tersebut. Pertama ialah ketika Inggeris menggunakan politik jahat untuk memecahkan Empayar Johor Riau. Mereka, menggunakan Tengku Husin yang gagal menjadi Sultan serta kelompok Temenggung Johor yang berasa disingkirkan dengan cara melantik Tengku Husin menjadi Sultan Singapura. Untuk melantik Tengku Husin sebagai Sultan, mereka berusaha mendapatkan Regalia Kerajan. Mereka menyuruh Tengku Husin memujuk Engku Puteri menyerahkan Regalia kepadanya. Tetapi Engku Puteri telah menolak kerana beranggapan tindakan anak tirinya itu melanggar adat dan akan memecah belahkan kerajaan Riau.

Mereka cuba merasuah Engku Puteri dengan menawarkan wang sekitar 50.000 ringgit Sepanyol. Tetapi beliau tetap menolak, dan berasa terhina dengan tawaran itu. Beliau menganggap Inggeris biadap dan mahu merampas kedaulatan Riau. Akhirnya sebab gagal memiliki Regalia, mereka telah mencuri perabung Istana Engku Puteri, dan dibawa ke Singapura dan dijadikan simbol adat pelantikan. Begitulah pentingnya Ragalia dalam kedaulatan seorang Raja Melayu. Tengku Husin akhirnya dilantik sebagai Sultan Singapura, dan sejak itu Empayar Johor pecah dua. Riau Lingga dibawah Sultan Abdurrahman, dan Singapura, Johor dan Pahang dibawah Sultan Husin Syah.

Namun sejak dilantik sebagai Sultan Riau Lingga, Sultan Abdurrahman merasakan dirinya belum berdaulat, kerana tidak mempunyai Regalia. Pada awal tahun 1822, kerana gagal memujuk Engku Puteri untuk menyerahkan Regalia, Baginda telah mengirim utusan kepada Gabenur Jendral Belanda di Batavia. Gabenur Batavia, kemudian menugaskan Gabenur Melaka untuk memujuk Engku Puteri menyerahkan Regalia. Tetapi tawaran itu ditolak mentah-mentah. Beliau menyatakan dengan keras bahawa Regalia Kerajaan Johor Riau Lingga adalah kedaulatan negeri, dan hanya boleh dimiliki oleh seseorang yang benar-benar menjunjung tinggi adat dan tradisi Melayu.

Oleh sebab Belanda khuatir Inggeris akan mengambil kesempatan menguasai Riau Lingga melalui Sultan Abdurrahman, maka Gabenur Melaka dan Andrian Kock, bersama pasukannya telah mengepung istana Engku Puteri Hamidah. Akibat diancam dengan senapang dan pedang, Regalia itu akhirnya dirampas dari tangan perempuan berusia hampir setengah abad itu. Namun beliau sempat memekik kepada Gabenur Melaka bahawa Regalia tersebut, telah hilangan kesakralan atau wibawanya kerana diambil secara paksa.

Sultan Abdurrahman yang mendengar berita rampasan Regalia tersebut telah pulang semula ke Riau Lingga dari Pahang. Pada November 1822, Baginda ditabalkan semula sebagai Sultan Riau Lingga lengkap dengan Regalia. Sejak peristiwa rampasan tersebut bencana silih berganti menimpa kerajaan Riau Lingga. Belanda sedikit demi sedikit telah merampas kuasa dari Sultan dan akhirnya memecat Sultan Riau Lingga, seperti Sultan Mahmud Muzaffarsyah, 1857 dan terakhir Sultan Abdurrahman Muaazzamsyah, 1911. Maka berakhirlah Empayar Melayu tersebut.

Walaupun Regalia tersebut akhirnya terlepas dari tangan beliau, namun pengaruh, kewibawaan dan kuasa beliau sebagai bangsawan Melayu-Bugis Empayar Johor di Penyengat tetap terlihat dalam sejarah.

Sepanjang perjuangannya, Engku Puteri Raja Hamidah tidak menembak Pemuras mahupun Lela, tidak menghayun pedang atau menghunuskan Keris. Namun beliau melawan dengan integriti, pendirian dan ketajaman kata-kata. Beliau berjuang dalam politik istana untuk menghalang pihak asing yang ingin memecah belahkan negeri Melayu.

Wanita hebat ini akhirnya meninggal dunia pada 5 Ogos 1844 di Pulau Penyengat. Walaupun tak ramai anak Melayu kini yang kenal siapa beliau, namun sejarah memahat beliau sebagai wanita yang berprinsip serta amanah dengan tugas yang diberikan. Beliau berjuang untuk mempertahankan budaya dan maruah orang Melayu dari diperkotak katik oleh penjajah. Sekian, wallah hu a’lam.

~ASJ~

Sumber:

• Rida K Liamsi, Kertas Kerja Seminar Peringatan 200 Tahun Raja Ali Haji, diselenggarakan oleh Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Pemprov Kepulauan Riau, Pulau Penyengat, Tanjungpinang, Provinsi Kepulauan Riau, Sabtu, 29 November. 2008.

• Hasan Junus, Engku Puteri Raja Hamidah, Pemegang Regalia Kerajaan, Unri Press, Pekanbaru,Riau, 2002.

• Barbara Watson Andaya, Gender, Islam and the Bugis Diaspora in Nineteenth and Twentieth-Century Riau, Dalam jurnal Sari Vol 21, ATMA, UKM. 2003.

• Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji (Verginia Matheson, Ed), Tuhfat Al Nafis, Fajar Bakti SDN.BHD, Kuala Lumpur.

GAMBAR: Elfira Loy melakonkan watak ENGKU PUTERI RAJA HAMIDAH dalam drama Arka Raja Haji.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) UKM. Bukan pakar sejarah tetapi peminat seumur hidup.

Leave A Reply