Enam Tahap Kejelikan Dosa Mengumpat

0
547
views

Ghibah (غِيبَة) > mengumpat > bergosip > cerita panas > mengata > membawang

(Mengumpat) + (memotong bawang/kenduri) = membawang.

Istilah moden dalam Alam Melayu yang kini telah luas digunakan yang merujuk kepada aktiviti-aktiviti gosip dan mengata perihal orang lain yang dilakukan sambil menjalankan aktiviti bersama-sama, samada memotong bawang ataupun semasa berkumpul beramai-ramai bersempena suatu majlis. Normalisasi sifat buruk ini yang wujud dalam kalangan masyarakat Melayu sedikit sebanyak mempengaruhi budaya tempatan. Ia termasuk penggunaan istilah daripada mengumpat kepada membawang, daripada penjagaan hubungan baik kepada perseteruan dalam masyarakat, daripada sangka baik kepada curiga dan sebagainya.

Namun, sebagai seorang Melayu Muslim yang hidup dalam masyarakat, sewajibnya mengetahui dan mengamalkan larangan mengumpat dari firman Allah s.w.t yang bermaksud : ‘..dan jangan pula setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentu kamu benci memakannya. Takutlah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat : 12)

Perkongsian saya pada kali ini adalah bagaimana tafsiran Badiuzzaman Said Nursi, seorang tokoh ulama Turki tentang ghibah (umpat) yang dimuatkan dalam koleksi penulisan beliau iaitu Risale-i Nur (Risalah al-Nur – Surat-surat Cahaya) yang penuh dengan hikmah dan seolah-oleh jelas bahawa perbuatan mengumpat itu sangat buruk dan jelik bermula dari sekecil-kecil perkara kepada sebesar-besar perkara.

Tentang Ghibah – oleh Badiuzzaman Said Nursi

باسمه – وإن من شيء إلا يسبح بحمده

Oleh sebab satu ayat al-Quran yang merupakan contoh daripada penghinaan dan larangan menjadikan ghibah (mengumpat) sangat dibenci dalam enam peringkat secara penuh bermukjizat menunjukkan secara sempurna bahawa ghibah adalah satu perkara yang amat keji pada pandangan al-Quran, maka ia tidak meninggalkan apa-apa keperluan kepada penjelasan lain. Ya, tidak boleh ada penjelasan selepas keterangan al-Quran; malah tidak diperlukan kerana ia sudah cukup jelas.

Justeru, al-Quran mencela celaan dengan enam peringkat dalam ayat – أيحب أحدكم أن يأكل لحم أخيه ميتا  – dan melarang keras perbuatan ghibah dalam enam tahap. Ketika ayat ini ditujukan secara langsung kepada orang-orang yang melakukan ghibah, maknanya adalah seperti berikut: “Memang dimaklumi bahawa huruf Hamzah ( أ – yang bermaksud tandatanya – apakah/adakah/apa) pada permulaan ayat adalah soalan dengan makna ‘adakah’. Makna soalan itu memasuki semua perkataan dalam ayat tersebut seperti air (mudah). Setiap perkataan mengandungi suatu hukum dan hikmah yang tersembunyi”.

Pertama – Melalui huruf hamzah ( أ ), ayat ini berkata: “Adakah akal kamu yang menjadi tempat soalan dan jawapan telah tiada sehingga ia tidak dapat memahami sesuatu yang buruk sebegini?

Kedua – Melalui lafaz يحب (yuhibbu – suka), ayat ini berkata: “Adakah hati kamu yang menjadi tempat perasaan suka dan benci telah rosak sehingga ia menyukai satu perkara yang amat dibenci?”

Ketiga – Melalui kalimah أحدكم (ahadukum – salah seorang daripada kamu), ayat ini berkata: Apakah yang telah berlaku kepada kehidupan bermasyarakat dan ketamadunan kalian yang mendapat nyawanya daripada Jemaah (bermasyarakat) sehingga ia boleh menerima perbuatan yang meracuni hidup kalian sebegini?”

Keempat – Melalui ungkapan أن يأكل لحم (an ya’kula lahma – memakan daging), ayat ini berkata: Apa yang telah berlaku kepada sifat keinsanan kalian sehinggakan kalian tergamak mengoyak-rabakkan sahabat kalian sebegini dengan gigi seperti binatang buas?”

Waqaf Saham

Kelima – Melalui kalimah أخيه (akhihi – saudaranya), ayat ini berkata: Adakah rasa belas dan silaturrahim kalian telah tiada sehingga kalian tergamak menggigit peribadi maknawi seorang yang dizalimi yang merupakan saudara kalian dalam banyak sudut sebegini dengan cara yang kejam?” dan “adakah akal kalian sudah tiada lagi sehingga kalian tergamak menggigit anggota tubuh badan kalian dengan gigi kalian sendiri seperti orang gila?”

Keenam – Melalui kalimah ميتا (mayta – dalam keadaan mati/bangkai), ayat ini berkata: Di manakah sanubari kalian? Adakah fitrah kalian telah rosak sehingga kalian tergamak melakukan perbuatan yang amat dibenci seperti memakan dagingnya terhadap saudara kalian yang mulia?”

Maknanya, manfaat ayat ini dan petunjuk daripada setiap kalimahnya secara berasingan, didapati bahawa mencela dan melakukan ghibah adalah dicela dari segi akal, hati, sifat kemanusiaan, sanubari, fitrah dan semangat bangsa.

Justeru lihatlah bagaimana ayat ini secara ringkas melarang jenayah itu dalam enam peringkat dan mencela celaan melalui enam tahap secara bermukjizat. Ghibah ialah senjata hina yang paling banyak digunakan oleh golongan yang suka bermusuh, berdengki dan keras kepala. Orang yang memiliki kemuliaan diri tidak akan pernah merendahkan dirinya kepada senjata keji ini dan tidak akan menggunakannya. Sebagaimana seseorang yang masyhur telah berkata:

أكبر نفسي عن جزاء بغيبة فكل اغتياب جهد من لا له جهد

Maksudnya: “Aku menghindarkan diriku daripada menghukum (orang lain atau musuh) dengan ghibah (kerana) setiap ghibah ialah ‘usaha’ bagi mereka yang tiada usaha.”

Ghibah ialah, jika orang yang diumpati itu ada dan dia dengar, nescaya dia akan merasa benci dan berkecil hati. Jika orang yang melakukan ghibah berkata benar, sesungguhnya itulah ghibah. Jika dia berdusta, ia adalah ghibah serta fitnah. Sesungguhnya perkara itu ialah dosa yang dua kali ganda lebih buruk.

Ghibah hanya dibenarkan dalam beberapa perkara tertentu;

Pertama – Menyatakannya dalam bentuk aduan kepada seseorang yang bertanggungjawab supaya orang itu dapat membantu menghilangkan kemungkaran dan keburukan yang dimaksudkan daripada orang yang diadu dan mengambil kembali hak pengadu daripada yang diadu.

Kedua – sekiranya seseorang mahu berkerjasama dengan seseorang yang lain. Dia berbincang dengan kamu, maka tanpa niat buruk dan semata-mata untuk kemaslahatan dan untuk memberikan hak perbincangan, kamu berkata: “Jangan bekerjasama dengannya kerana kamu akan kerugian”.

Ketiga – Jika tujuannya bukanlah untuk menghina dan menonjolkan bahkan untuk memberitahu dan memaklumkan sesuatu, contohnya seseorang berkata: “Orang tempang dan samseng itu telah pergi ke tempat sekian sekian.”

Keempat – Orang yang diumpat itu adalah seorang fasiq iaitu orang yang tidak malu dengan kejahatan bahkan berbangga dengan keburukan yang telah dilakukannya dan dia berasa seronok dengan kezalimannya. Tanpa rasa malu dia melakukannya secara terang-terangan.

Maka, ghibah hanya dibenarkan pada perkara-perkara tertentu seperti ini tanpa niat yang buruk dan hanya kerana kebenaran dan kemaslahatan. Jika tidak, sebagaimana api memakan habis kayu api, umpatan juga memakan habis amalan-amalan soleh. Jika seseorang telah melakukan ghibah ataupun telah mendengarnya secara rela; pada waktu itu dia perlu berkata – اللهما اغفرلنا ولمن اغتبناه (wahai tuhan kami, ampunilah kami dan mereka yang telah kami umpati). Kemudian apabila dia bersua dengan orang yang pernah diumpati, dia perlu berkata “maafkan saya”.

Daripada penulisan Badiuzzaman Said Nursi yang penuh berhikmah, harapnya dapatlah memberikan kefahaman kepada Melayu Muslim supaya tidak terjebak ‘membawang’ sama ada sebagai pemula umpatan ataupun pendengar setia umpatan yang mana kedua-duanya sama-sama terlibat dalam jenayah ini. Tidak lupa juga kepada generasi muda supaya janganlah terlalu mudah terasa dengan pertanyaan-pertanyaan daripada pakcik makcik yang bertujuan untuk bertegur sapa dan tidak lupa juga kepada mereka yang berstatus mulut puaka untuk sentiasa menjaga lidah daripada berkata perkataan yang dibenci agama dan masyarakat.

Sekian.

Rujukan

Al-Quran.

Said Nursi. (2012). Tentang Ghibah, Risalah Keikhlasan dan Ukhuwwah, (pp. 99-103). Isparta, Turki: Altınbaşak Neşriyat.