1. Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan

Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak negara yang hilang identitas agama, Islam menjadi agama persektuan di Tanah Melayu. Wallahua’lam, ntah bagaimana rundingan itu berlaku sehingga Inggeris ‘merelakan’ peruntukan itu. Sungguh, tanah ini tanah bertuah dalam peliharaan Allah. Peruntukan berkenaan Islam yang sedia ada di dalam Perlembagaan telah memberi peluang kepada para pembuat dasar, pengamal undang-undang dan penafsir undang undang menegakkan fungsi sebenar Islam secara menyeluruh di Malaysia.

Bukan itu sahaja, peruntukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan di dalam Perlembagaan bukanlah satu kebetulan, ia adalah usaha, jihad dan ketegasan oleh para pejuang kemerdekaan kita dalam perundingan proses kemerdekaan. Sudah pasti para pemimpin kita terdahulu telah mengambil kira latar belakang sejarah, budaya dan ketamadunan di Tanah Melayu. Walaubagaimana pun, peruntukan itu tidak menghalang ‘agama’ lain diamalkan secara aman.

Di dalam Perlembagaan Persekutuan, diperuntukkan beberapa perkara yang berkait dengan Islam. Di antara peruntukan penting yang berkaitan dengan kedudukan Islam ialah Perkara 3, 11, 12(2) dan 150 (6A)10 (baca lanjut buku Islam dan Perlembagaan, Abdul Aziz Bari).

Sekali imbas, peruntukan-peruntukan tersebut ialah, pengisytiharan Islam sebagai agama persekutuan bagi Persekutuan, kebenaran menggunakan wang awam untuk tujuan-tujuan Islam, Kedudukan mahkamah syariah di dalam sistem perundangan.

Walaupun ada perbezaan tafsiran dari ahli-ahli perundungan berhubung Islam agama persekutuan, tafsiran yang diberikan oleh Hashim Yeop Sani (1973) menjelaskan bahawa Perkara 3 itu sangat jelas dan tidak boleh diputarbelitkan lagi bahawa agama negara ialah Islam.

Pada Jadual Kesembilan, Senarai Dua, telah ditetapkan bahwa hal ehwal Islam sebagai sesuatu yang terletak di dalam bidang kuasa negeri Berkenaan Perkara 3(1) yang menyebut: “Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

2. Kedaulatan Raja-Raja Terpelihara

Kita berundur ke tahun 1 April 1946 sebentar, yang mana pada tahun itu Malayan Union yang diluluskan di Parlimen British pada 10 Oktober 1945 telah isytiharkan dengan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Pertama. Malayan Union merupakan gabungan negeri-negeri Melayu dengan negeri-negeri Selat (tidak termasuk Singapura). Dalam Mayalan Union, Raja-Raja Melayu berada di kedudukan masing-masing tetapi dalam bidang kuasa yang sangat terhad, iaitu berkaitan tentang agama Islam dan adat Istiadat orang Melayu sahaja. Pihak British sebaliknya terus memerintah melalui sebuah majlis penasihat yang diluluskan oleh gabenor Malayan Union.

Lalu, berlaku kebangkitan orang Melayu menolak Malayan Union yang disifatkan sangat tidak adil kepada mereka sebagai tuan rumah selain merendahkan martabat Raja-Raja Melayu. Mereka bangun pertahankan kedudukan istimewa dan Raja-Raja Melayu. Melihat keberanian orang Melayu turun menolak Malayan Union dalam jumlah yang besar, Raja-Raja Melayu telah mengorak langkah menyambut penolakan itu secara terbuka dan telah menghantar perwakilan ke London.

Dipendekkan cerita, akhirnya Bristih mengalah dan Malayan Union dibatalkan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan oleh Bristih pada 1 Februari 1948. Perjanjian Negeri 1948 kemudian menjadi batu asas kepada terma pembinaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Proses rundingan yang berlaku selepas Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946 menghasilkan kemajuan pada 1948 dan 1957.

Menurut Datuk Wan Ahmad Fauzi (Pakar Perundangan), rundingan antara Raja-Raja Melayu dengan Kerajaan British yang mewakili Negeri-Negeri Selat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan sementara tahun 1948 selanjutnya Kerajaan Yang di-Pertuan Agong melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, bermaksudkan sebuah persekutuan yang kuat untuk berdepan dengan ancaman luar dan mampu berdikari.

Selain itu, menurut Datuk Wan Fauzi juga, rundingan itu antara lain untuk memohon perkenan Raja-Raja Melayu untuk mendelegat sebahagian kuasa kerajaan-kerajaan negeri mereka kepada Kerajaan Persekutuan dan sistem kerajaan berpersekutuan yang tetap mengekalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Hasilnya termaktublah Jadual 9 dan lain-lain peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang bersifat agihan bidang kuasa kepada Persekutuan. Sekiranya rundingan berlandaskan terma Persidangan London 1956 tidak berjaya, pastinya kerajaan negeri-negeri Melayu akan kekal sebagai entiti bebas merdeka tanpa ikatan Persekutuan.

Kita wajar berterima kasih kepada Raja-Raja Melayu yang bersetuju ‘menyerahkan’ sebahagian besar kuasa para Duli Yang Maha Mulia kepada pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu walaupun mereka sebenarnya ‘owner’ kepada tanah dan jajahan takluk mereka. Jasa para Baginda sebaagai punca kuasa kepada persekutuan sepatutnya dikenang sebagai pengorbanan yang sangat agung. Syukur, kerana kita masih punyai Raja sebagai payung agama dan bangsa sementara ada negara terus porak peronda setelah kehilangan takhta Sultan dan Raja akibat p3rang.

3. Raih Kemerdekaan Tanpa P3rang

Sebelum, 31 Ogos 1957, tarikh keramat yang menjadi rentetan kronologi tidak wajar dilupakan ialah pada 2 Januari 1956. Pada tarikh itu, rombongan kemerdekaan pimpinan bapa kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman al Haj yang mewakili Perikatan yang terdiri daripada Tunku sendiri, S.H. Lee dan T.H. Tan di satu pihak dan satu pihak lagi mewakili Raja-raja Melayu iaitu Dato Panglima Bukit Gantang (Menteri Besar Perak), Abdul Aziz Abdul Majid (Menteri Besar Selangor), Dato’ Wan Idris Wan Ibrahim (Timbalan Menteri Besar Johor) dan Dato’ Nik Ahmad Kamil (bekas Menteri Besar Kelantan). Rombongan yang transit di Pakistan terlebih dahulu ini bertujuan untuk berunding dengan pegawai British sebagai usaha menuntut kemerdekaan.

Rundingan kemerdekaan bermula pada 18 Januari 1956. Pihak kerajaan British diwakili oleh Allen Lennox Boyd. Rundingan tersebut membincangkan pelbagai masalah termasuklah masalah Raja-raja Melayu, kedudukan pegawai-pegawai awam British yang sedang berkhidmat di Tanah Melayu dan lain-lain langkah peralihan yang perlu diputuskan sebelum kemerdekaan serta tarikh kemerdekaan yang menurut Tunku perlu disegerakan.

Rundingan tersebut mengambil masa selama tiga minggu dan Tunku Abdul Rahman bersama rombongan telah mencapai kejayaan luar biasa yang menatijahkan perjanjian Merdeka (baca:Perjanjian London) secara rasmi pada 8 Februari 1956, bersama Lennox Boyd dalam satu istiadat sederhana di Lancester House.

Antara isi Penjanjian London itu adalah Tarikh kemerdekaan ditetapkan 31 Ogos 1957, Suruhanjaya bebas gubal Perlembagaan, Konsep Raja Berperlembagaan dan Kuasa pusat dibahagikan dengan kuasa negeri diteruskan.

Ketika saya berada di Seberang, antara perkara yang sering didebatkan orang teman-teman saya di Indonesia ialah betapa mereka sangat patriot dan berbangga dengan kemerdekaan Republik yang tercapai dengan p3rang dan darah. Mereka mendakwa Malaysia tidak kental, tidak berani, dapat merdeka pun kerana Inggeris yang bagi. Saya diam dan kemudian mencelah,

“Itu bermaksud pemimpin kami hebat berdiplomasi, kami menang tanpa perlu berp3rang dan korban nyawa. Bukan kah itu kerana kepintaran ? Ayuh dengar apa kata Tun Szu, “The wise warrior avoids The Battle”. Cara Malaysia mendapat kemerdekaan penuh dengan seni p3rang terulung.” bidas saya.

Mereka angguk-angguk bersetuju.

4. Sikap Berlapang Dada Yang Luar Biasa Dari Orang Melayu

Kemenangan besar UMNO dan MCA dalam pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur pada Februari 1952 telah mendorong rundingan antara UMNO (baca: Parti Pekembar) dan MCA agar membentuk pakatan secara serius. Perundingan ini bertujuan mencari titik temu dan kerjasama antara dua kumpulan etnik terbesar dalam menuntut kemerdekaan.

Antara syarat kemerdekaan oleh British adalah berlaku kerjasama antara Melayu dan Bukan Melayu lalu perkara ini telah berjaya dibuktikan oleh Perikatan (Gabungan Parti Melayu – UMNO, Cina -MCA dan India- MIC). Pemimpin Melayu UMNO mesti menunjukkan wajah kesatuan agar Bristih mempercayai mereka untuk diberikan kemrdekaan. Kerjasama antara kaum ini terus erat dan telah dibuktikan dalam beberapa pilihan raya.

Tunku Abdul Rahman menegaskan,

“…orang Melayu sedia memberikan hak-hak munasabah dan patut kepada orang bukan Melayu. Orang melayu telah memberikan pengorbanan yang begitu banyak daripada hak-hak sebagai bumiputera Tanah Melayu kepada bangsa-bangsa bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri yang berbudi sebegitu banyak seperti yang diperbuat oleh orang Melayu. Sungguhpuna ada jaminan hak-hak istimewa orang Melayu dalam Perjanjian Persekutuan, tetapi ia tidak sekali-kali mencegah dan menyekat bangsa-bangsa yang bukan Melayu daripada mencapai kesenangan dan kejayaan dan lagi sehingga sekarang hak-hak istimewa Melayu itu masih belum menghasilkan keadaan yang setaraf antara orang Melayu dengan bukan Melayu.” (Malaya Merdeka, dipetik dari Ramlah Adam, 1993).

Semangat ini juga diakui oleh pemimpin bukan Melayu seperti yang disebut oleh T.H Tan:

“…mereka dengan penuh rela menyokong calon-calon Parti Perikatan berbangsa Cina dan India. Bukan sahaja mereka melepaskan kerusi-kerusi yang tidak syak lagi boleh menjadi milik mereka, malah mereka bekerja keras, sedaya upaya untuk calon-calon Cina dan India. Dan amat membanggakan, tidak satu pun calon Cina dan India, 17 orang kesemuanya yang hilang kerusi mereka. Saya menyanjung pemimpin – pemimpin mereka UMNO yang membuat pengorbanan ini dan memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada usah kemerdekaan Tanah Melayu’ (Malaya Merdeka, dipetik dari Ramlah Adam, 1993).

5. Nilai Tradisi Tetap Terpelihara Erat

Unsur-unsur tradisi yang telah wujud ratusan tahun terus dipelihara dalam perlembagaan. Unsur tadisi berperanan menstabilkan sistem politik negara dan laporan yang dibuat oleh Suruhanjaya Reid menekankan betapa pentingnya perlembagaan mengambil kira faktor-faktor sejarah, tradisi, ekonomi dan sosial yang wujud sebelum 1957 (Abdul Aziz Bari, 2001). Unsur tradisi menurut Mohd Salleh Abas (1985) meliputi:

i. Bahasa Kebangsaan.
ii. Agama Persekutuan
iii. Kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak.
iv. Pemerintahan Beraja

Malah, unsur tradisi yang tersebut sentiasa dilindungi dibawah Akta Hasutan. Erti kata lain, tiada pihak boleh menjadikan membangkitkan isu sensitif di atas secara terbuka.

6. Keharmonian dan Kesejahteraan kaum

Sesungguhnya Tanah Melayu yang berdaulat ini sangat unik. Takdirnya, bumi bertuah ini telah menjadi payung kepada banyak kaum dan etnik. Walaupun perlembagaan memberi peruntukan keistimewaan kepada kedudukan orang Melayu dan bumpiutra Sabah dan Sarawak, kaum-kaum lain tetap dijaga keselamatan dan hak-hak mereka dan ini menjadi salah satu tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi mereka hak-hak mereka yang sah menurut peruntukan.

Perkara 153 jelas menyatakan kedudukan keistimewaan orang Melayu tanpa menafikan kepentingan sah kaum-kaum lain. Kepelbagaian kaum yang hidup satu bumbung penuh harmonis menjadikan Malaysia unik dan popular di mata dunia. Rasis dan chauvinis bukan musuh melayu sahaja, tetapi musuh semua kaum yang cintakan keamanan.

Secara umum, perkara-perkara yang menyentuh hubungan etnik dalam perlembagaan Malaysia boleh dirujuk dalam perlembagaan pada perkara 8, perkara 10 (4), perkara 3B, perkara 150 (6a), perkara 152 dan perkara 153.

Kesimpulan

Saya menulis ini kerana saya merasakan ‘mood’ patriotik dari kalangan bangsa semakin kendur. Tidak dinafikan drama tamil politik arahan ‘warlord’ mengundang rasa rimas jelata lalu ‘fed up’ dengan para pemimpin. Kita mesti bijak bezakan antara karenah politik kepartian, politikus dengan zat negara itu sendiri.

Saya telah berpeluang berkunjung banyak negara dan saya telah rasai perbandingannya. Saya ingin tegaskan bahawa Malaysia tetap paling unik dan terbaik. Meskipun begitu, saya perlu jujur mengakui bahwa kita boleh menjadi lebih baik. Ayuh anak bangsaku, kemerdekaan ini sangat mahal dan mesti dihargai. Cintai negara dan para Raja melayu sebagai pemerintah sebenar bukan ahli politik yang kalah menang, datang dan pergi

Kita adalah generasi yang memegang amanah menjaga kemerdekaan dan ini lebih payah dan sukar. Semoga negara bertuah ini terus dalam rahmat Allah. Amin

#SalamMerdeka
#KesejahteraandanKemakmuran


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

ANGAH SUNAN merupakan pendakwah bebas, penerbit dan penulis prolifik. Anak Jati Pulau Manis, Terengganu ini telah menghasilkan beberapa buah buku merangkumi bidang fiqh, tauhid - tasauf, travelog sejarah dan terjemahan (arab - melayu). Selain itu, pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor ini juga pernah terlibat dalam pembikinan Dokumentari Merah Laut Sulu di Jolo, Selatan Filipina pada tahun 2015. Link FB : www.facebook.com/angahsunan

Comments are closed.