Empayar Khmer merupakan sebuah negara yang berkuasa di Asia Tenggara dari tahun 802 hingga 1431 M, ditubuhkan oleh masyarakat yang dikenali dengan nama yang sama. Pada zaman kemuncaknya, wilayah kekuasaan empayar ini merangkumi kebanyakan wilayah Kemboja, Thailand, Laos, dan selatan Vietnam moden.

Menjelang kurun ke-7 M, masyarakat Khmer mula mendiami kawasan di sepanjang Sungai Mekong – sungai ketujuh terpanjang di dunia – bermula dari delta hingga ke sempadan Kemboja-Laos moden, di samping daerah antara sungai dan tasik Tonle Sap hingga ke barat dan kawasan yang memanjang di sepanjang sungai Tonle Sap (yang mengalir dari tasik hingga ke sungai, bercantum dengan sungai Mekong di delta).

Empayar Khmer ketika di zaman kemuncaknya.

Ketika itu, terdapat beberapa buah kerajaan yang saling berp3rang antara satu sama lain, sambil kesenian dan kebudayaan mereka pula menerima pengaruh yang kuat daripada India berikutan wujudnya rangkaian laluan perdagangan antara mereka dan sub-benua tersebut.

Agama yang paling berpengaruh di rantau berkenaan adalah Hinduisme, disusuli oleh Buddhisme, yang turut bercampur-aduk dengan kepercayaan animisme dan kultus-kultus tradisional. Antara kota penting yang wujud pada masa itu ialah Angkor Borei, Sambor Prei Kuk, Banteay Prei Nokor dan Wat Phu.

Menurut sejarah, seorang tokoh bernama Jayavarman II, yang dipercayai berasal-usul dari sebuah tempat bernama Java – tidak pasti sama ada ia merujuk kepada Pulau Jawa di Asia Tenggara ataupun tidak, mengepalai pasukan tenteranya dan menewaskan kerajaan-kerajaan kecil yang wujud di rantau berkenaan sekaligus mendirikan sebuah kerajaannya sendiri. Pada tahun 802 M, beliau menggunakan gelaran chakravartin yang bermaksud “raja sejagat’, dan tarikh tersebut diambil sebagai tarikh permulaan empayar beliau.

Dengan menjadikan Angkor sebagai pusat pemerintahan, kurun-kurun yang berikut menyaksikan empayar Khmer melebarkan kekuasaannya, terutama ke arah utara (memasuki dataran Khorat) dan barat, hingga ke lembangan Chao Praya dan wilayah-wilayah yang lebih jauh daripada itu.

Keadaan di timur bagaimanapun menyaksikan situasi yang berbeza: sejarah menyaksikan betapa beberapa kali juga Khmer terpaksa berp3rang dengan dua buah bangsa jiran yang cukup berkuasa, iaitu Cham (di Vietnam tengah moden) dan Vietnam (di Vietnam utara moden).

Walaupun Khmer berjaya meraih sejumlah kemenangan, misalnya pada tahun 1145 M yakni sewaktu ibu kota Cham, Vijaya, berjaya ditakluk, mereka tidak pernah berhasil menyerap sepenuhnya wilayah-wilayah Cham. Keadaan sebaliknya berlaku buat Cham dan Vietnam yang masing-masing menikmati kemenangan, khususnya Cham yang sempat membalas dendam dengan menjarah Angkor (1177 M) dan mengasak kekuatan Khmer hingga ke ambang kejatuhannya.

Sepanjang berlalunya sejarah empayar Khmer, raja-raja mereka mencurahkan banyak usaha dan masa dalam menundukkan pemberontakan yang dicetuskan oleh bangsawan-bangsawan yang cuba merebut kemerdekaan, atau mereka yang mengatur konspirasi menggulingkan raja. Keadaan sebegini seringkali berlaku susulan kemangkatan raja, memandangkan hak pewarisan takhta kebiasaannya diperebutkan sesama mereka.

Bangsa Khmer merupakan jurubina yang terkemuka, dan hal ini jelas terbukti apabila wilayah mereka dipenuhi dengan kuil-kuil monumental, takungan-takungan air bersaiz besar (disebut sebagai baray), terusan-terusan, dan rangkaian jalan raya yang luas dan dilengkapi dengan pelbagai macam jambatan – jalan utamanya sahaja mencecah 800 km panjang.

Angkor Wat yang dianggap sebagai candi paling mengagumkan di dunia, merupakan sebuah mikrokosmos bagi agama Hindu dan dianggap sebagai kompleks keagamaan terbesar di dunia – meliputi kawasan seluas 200 hektar. Pembinaan kompleks ini mengambil masa selama 30 tahun dan ia dimulakan sekitar tahun 1122 M oleh salah seorang raja terulung Khmer, iaitu Suryavarman II.

Raja teragung dalam sejarah empayar Khmer ialah Jayavarman VII (memerintah 1181-1215 M). Beliau bertanggungjawab menghalau bangsa Cham yang men4kluki Angkor, membebaskan kerajaan dari cengkaman anarki, dan seterusnya melancarkan kempen ketenteraan ke atas Champa.

Projek-projek pembinaan yang diusahakan oleh beliau juga cukup menakjubkan: beliau membina banyak candi, monumen, jalan raya, hospital, dan kompleks Angkor Thom – sebuah kota di dalam kota Angkor. Jayavarman turut berjasa dalam meluaskan wilayah empayar hingga ke kemuncaknya.

Angkor Wat, Kemboja

Nama sebenar Angkor ialah Yashodharapura (“Kota penegak-kegemilangan”), dan pada masa-masa perdananya, ia merupakan kota paling besar di dunia dengan keluasan mencecah seribu kilometer persegi, hampir setanding dengan keluasan Los Angeles di Amerika Syarikat moden. Jumlah populasi Angkor sukar untuk dianggarkan, namun sejarahwan meletakkan angkanya sekitar sejuta orang.

Bangsa Khmer dikenali sebagai masyarakat yang gemar membuat keraian, justeru wujud pelbagai macam keraian dalam sepanjang tahun. Acara gusti, lumba kuda, sabung ayam, bunga api, bermain muzik dan menari merupakan aspek penting dalam budaya mereka. Kebanyakan aktiviti jual-beli dalam kalangan mereka dijalankan oleh kaum perempuan. Raja dan golongan elit pula lazim menaiki tandu sambil dipayungi dari panas matahari. Empayar ini menyaksikan wujud bermacam-macam bentuk agama, dengan agama Hindu sebagai agama pilihan (namun tidaklah mesti ekslusif) raja-raja sebelum ianya diganti oleh Buddhisme.

Empayar Khmer terbahagi kepada kira-kira 23 buah wilayah, yang disokong oleh pentadbiran yang cekap dan barisan menteri yang ramai lagi menyeluruh hingga ke peringkat kampung-kampung. Bancian penduduk sering dilakukan secara berkala. Walaupun sistem bancian ini dianggap sebagai kunci kepada kepesatan/kemakmuran empayar, pegawai-pegawai tinggi yang mengelolakannya lazim bersikap culas sehingga menjadi antara wabak yang merosakkan empayar Khmer.

Faktor kemunduran dan kejatuhan akhir empayar Khmer mempunyai hubungan rapat dengan perpindahan bangsa Thai pada kurun ke-12-14 M. Bangsa ini mendiami wilayah utara empayar, yang secara kasarnya berlokasi di kawasan sempadan China dan Asia Tenggara: iaitu Yunnan. Rupa bumi di sana bersifat kasar dan bergunung-ganang, dan di situ jugalah berdirinya kerajaan Thai yang dikenali sebagai Nanchao.

Atas sebab-sebab yang tidak diketahui, masyarakat Thai berpindah ke selatan dalam gerombolan-gerombolan kecil. Bangsa Thai muncul pertama kali dalam rekod sejarah sebagai tentera upahan yang berkhidmat untuk empayar Khmer, dan bilangan mereka meningkat sejurus selepas pengaruh mereka bertebaran ke serata kawasan. Perpindahan bangsa ini semakin mendadak sewaktu Monggol melancarkan kempen ketenteraan yang menggegarkan China, dan sewaktu Monggol men4kluki Yunnan pada tahun 1253 M, keadaan bangsa Thai kian meruncing.

Beberapa tempoh kemudian, Thai menubuhkan kerajaan-kerajaan kecil yang tersendiri, dengan kerajaan yang paling menonjol terletak di sebelah barat empayar Khmer. Kian lama, pengaruh kerajaan-kerajaan ini kian meningkat, dan mereka pun mula menyerang dan men4kluk wilayah-wilayah Khmer.

Pada waktu itu juga, ekonomi Khmer merudum dek terjejasnya takungan-takungan air yang menjadi sandaran utama empayar akibat peningkatan keladak. Pada tahun 1431 M, Kerajaan Ayutthaya yang merupakan kerajaan bangsa Thai menguasai Angkor sekaligus menamatkan pemerintahan Khmer secara rasmi.

TERJEMAHAN:

Rodrigo Quijada Plubins. (12 Mac 2013). Khmer Empire. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/Khmer_Empire/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.