Tamadun Inca merupakan sebuah adikuasa yang berpusat di pantai barat Amerika Selatan. Tamadun agung ini mencapai masa-masa perdananya pada kurun ke-15 hingga kurun ke-16 Masehi. Pada zaman keemasannya, wilayah Empayar Inca terbentang dari Quito, Ecuador di utara hingga ke Santiago, Chile di selatan. Empayar Inca merupakan empayar terbesar di benua Amerika dan salah satu faktor yang menyumbang kepada keulungan tersebut adalah sistem rangkaian jalannya, yang dikenali sebagai jalan raya diraja atau qhapaq nan.

RANGKAIAN JALAN YANG LUAS


Jalan-jalan di Empayar Inca dianggarkan terbentang sepanjang 40 00km (24 854 batu) dan kesan-kesan runtuhannya masih boleh ditemui di negara-negara moden yang pernah menjadi sebahagian daripada tamadun ini, iaitu Ecuador, Peru, Bolivia, Chile dan Argentina.

Machu Picchu, gunung-ganang dan jalan-jalan binaan kaum Inca dapat dilihat dari runtuhan Wayna Picchu

Terdapat dua jalan raya utama yang menghubungkan antara wilayah utara dan wilayah selatan empayar ini. Salah satu jalan tersebut terbentang di jalan pesisiran sementara jalan yang lain pula terletak lebih jauh ke pedalaman, merentangi tanah tinggi Andes. Selain itu, terdapat juga jalan-jalan alternatif dan beberapa batang laluan yang jauh lebih kecil dan sempit.

Sebahagian daripada laluan ini terhubung kepada dua jalan raya utama. Sementara itu, ada pula jalan-jalan yang dibina di luar wilayah kekuasaan Empayar Inca. Laluan-laluan sebegini berfungsi untuk memudahkan aktiviti perdagangan atau kempen ketenteraan yang dilancarkan ke atas wilayah-wilayah jiran.

Di sepanjang jalan-jalan yang penting, terdapat batu tanda jarak yang diletakkan untuk menandakan jarak antara satu lokasi dengan satu lokasi dalam unit jarak tamadun Inca, iaitu topo di mana satu topo bersamaan dengan 7 kilometer (4.3 batu).

Peta menunjukkan Sistem Jalan Tamadun Inca di seluruh Amerika Selatan

MENYERAP KEMUDAHAN JALAN DARI TAMADUN PURBA

Di samping itu, penting untuk dinotakan bahawa kaum Inca tidaklah membina kesemua jalan ini dari awal. Sebahagian daripada jalan-jalan tersebut pada asalnya dibina oleh tamadun-tamadun lain yang pernah mendiami kawasan yang dikuasai oleh kaum Inca itu. Antaranya seperti Wari, Tiwanaku, dan Chimu. Apapun, jurutera-jurutera Empayar Inca melanjutkan pembinaan jalan-jalan lama ini di samping melakukan penambahbaikan ke atasnya.

Selain itu, jalan-jalan baru yang dibina di atas permukaan yang sukar hanya dimulakan oleh akum Inca. Antaranya seperti jalan yang terbentang di kawasan jurang, sungai, gurun dan bahkan lereng-lereng gunung. Jalan di Gurun Atacama, Chile dan Tasik Titicaca adalah dua contoh pembinaan jalan penting yang dilakukan oleh kaum Inca.

Jambatan gantung Q’eswachaca yang terletak di atas Sungai Apurimac, Quehue, Cusco, Peru

BERISTIREHAT DI CHASKIWASI DAN TAMBOS

Selain membina kemudahan jalan, kaum Inca juga mendirikan stesen-stesen kecil (dikenali sebagai chaskiwasi) di sepanjang jalan. Kadangkala, stesen yang lebih besar (dikenali sebagai tambos) diletakkan pada jarak sekitar 20 km (12 batu) di antara satu lokasi dengan satu lokasi yang lain. Stesen-stesen seperti ini membolehkan para pengembara berehat semasa dalam perjalanan.

Secara umum, jalan-jalan ini digunakan bagi tujuan rasmi empayar. Sebagai contoh, ia digunakan untuk membolehkan tentera-tentera Inca berangkat dengan lebih mudah dalam rangka memelihara keamanan empayar mahupun melancarkan penaklukan. Selain itu, jalan-jalan ini turut digunakan sebagai laluan perdagangan. Ufti daripada kaum-kaum taklukan Inca juga dihantar ke pusat pentadbiran dengan menggunakan jalan-jalan ini. Memandangkan tamadun Inca tidak meraih akses terhadap teknologi roda, maka barangan sebegini lazimnya diangkut di atas haiwan seperti llama ataupun orang-orang yang diupah khusus untuk mengangkut barangan tersebut.

Sistem jalan ini juga digunakan oleh para pegawai pentadbiran semasa melaksanakan urusan-urusan rasmi empayar. Antaranya seperti menegakkan keadilan dan menyelenggara rekod-rekod pentadbiran. Di samping itu, kaum Inca turut meletakkan beberapa orang utusan di sepanjang jalan yang bertugas untuk menghantar pesanan dari satu kota ke satu kota lain.

Pandangan udara Lembah Suci tamadun Inca sebagaimana yang dilihat dari bukit di Pisaq, berhampiran Cusco, Peru

Utusan-utusan ini lazimnya diletakkan di stesen-stesen yang berjarak antara 6 hingga 9 kilometer antara satu sama lain. Dianggarkan bahawa maklumat yang mereka bawa itu boleh berjalan sejauh 240km (149 batu) dalam masa sehari. Selain pesanan, para utusan ini juga bertugas mengangkut barangan mudah rosak seperti ikan segar yang baru sahaja ditangkap dari pantai untuk dihidangkan di meja-meja makan para bangsawan Inca.

Walau bagaiamanpun, masyarakat awam terlebih dahulu perlu meraih izin rasmi sebelum dibenarkan menggunakan jalan-jalan ini. Selain itu, pihak penguasa turut meletakkan tol di beberapa lokasi seperti jambatan di mana mereka perlu membayar cukai sebelum dapat melintasinya.

Pada setiap tahun, masyarakat asli Quechua di Peru akan menjalankan tradisi purba yang bertujuan mengenang jasa nenek-moyang mereka. Tradisi ini berlangsung selama 3 hari di mana mereka akan menenun tali jambatan Q’eswachaka yang merupakan salah satu dari sekalian banyaknya rangkaian jalan yang dibina oleh kaum Inca.

PEMBINAAN YANG WUJUD SEHINGGA KINI

Sebahagian daripada jalan yang dibina oleh kaum Inca ini masih terpelihara sehingga ke hari ini. Sejumlah 273 tapak telah pun diberikan status Warisan Dunia oleh UNESCO. Ketahanan rangkaian jalan yang dibina oleh kaum Inca ini melangkaui ketahanan jalan-jalan yang dibina di zaman moden. Menurut laporan, banyak jalan moden yang hancur akibat dibadai banjir bah pada setiap tahun. Namun, jalan-jalan binaan kaum Inca tetap jua kukuh menggagahi rintangan-rintangan alam semula jadi selama berkurun-kurun.

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

Wu Mingren. (9 Oktober 2019). Inca Empire Constructed Over 40 000 Kms of Roads and Superhighways in 100 Years. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/inca-empire-constructed-over-40000-kms-roads-and-superhighways-100-years-021248


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.