Empat Kod Etika Yakuza

1,872

Sekalipun, diakui sebagai kumpulan sindiket jenayah di Jepun, kumpulan Yakuza tetap terus bergerak aktif secara balik tabir dan juga terang-terangan. Perkara dibalik tabir terlalu banyak yang turut melibatkan dunia korporat hari ini. Secara terang-terangan pula ada secara fizikal dengan adanya pejabat dan alamat yang tertera tanpa sembunyi.

Namun, pergerakan Yakuza yang dikawal secara ketat tanpa terus dinyahkan oleh pihak autoriti dikatakan oleh kerana Yakuza punyai kod etikanya yang tersendiri. Kod etika inilah yang membezakan ia dengan kumpulan mafia di seluruh dunia. Namun, jika disemak setiap kod ini serta realiti operasi Yakuza. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

The Jinggi: Kod etika Yakuza

Kod etika ini adalah kod mengurus diri atau sikap seseorang yang telah pun dipatuhi sejak beratus tahun dahulu. Sesiapa sahaja yang melanggar kod ini bukanlah Yakuza yang bermaruah atau ia sebenarnya bukan kelompok Yakuza. Terdapat empat kod dalam The Jinggi ini iaitu;

1) Larangan menggunakan, menjual dan mengedar dadah secara tidak sah

2) Larangan mencuri

3) Larangan merompak

4) Larangan melakukan aksi yang tidak senonoh atau pun perbuatan yang berlawanan dengan sifat kesatria (Ninkyodo)

Yakuza dan operasi dadah

Yakuza meletakkan kod etika agar tidak perlu terlibat dengan dadah kerana mereka beranggapan bahawa dadah bakal meragut kehidupan seseorang. Maka, ia akan merampas juga keadilan terhadap nyawa seseorang itu. Kod etika pertama ini mementingkan konsep keadilan kepada individu dan juga komuniti.

Dalam jurnal tulisan Peter Hill, beliau telah menceraikan mengikut peratusan, bagaimana Yakuza mendapatkan keuntungan. Dalam peratusan itu, nampaknya sumber pendapatan Yakuza paling tinggi datangnya dari penjualan Amphetamine (sejenis dadah) sebanyak 34%. Data pendapatan ini dikeluarkan oleh Agensi Polis Kebangsaan (Jepun) pada tahun 1989.

Pada tahun 2010, polis Jepun berjaya membanteras 188 kes penyeludupan dadah. Dalam 37 kes ini, sekurang-kurangnya mesti akan ada satu ahli Yakuza yang terlibat dan ditahan.

Dalam jurnal tulisan Andrew Rankin pula ada menyatakan operasi perdagangan dadah yang diuruskan Yakuza adalah pada tahap antarabangsa. Contohnya, Yakuza membayar  beberapa geng di Korea Selatan untuk proses pembuatan amphetamines yang dilakukan di fasiliti rahsia sekitar Thailand dan China sebelum diseludup masuk ke Jepun. Yakuza juga ada melakukan kerjasama dengan beberapa kumpulan lain di negara Asia berlainan untuk penyeludupan dadah.

Yakuza dalam operasi pencurian dan rompakan

Yakuza percaya kepada konsep keadilan. Jadi, rompakan akan merampas makna hidup seseorang dan juga keadilan peribadi seseorang itu. Malah, mencuri dari ramai orang adalah lebih buruk berbanding mencuri dari seorang sahaja. Dalam budaya Yakuza, tindakan ini boleh dihukum mati.

Namun, secara realitinya, pada tahun 1989, sumber pendapatan operasi Yakuza datang dari aktiviti-aktiviti haram seperti penipuan, rompakan dan sebagainya sebanyak 9.2%.

Menurut Andrew Rankin lagi, dalam merompak ini, Yakuza telah melakukan kerjasama dengan geng dari China. Dikala Yakuza sibuk di bandar, geng China ini akan melakukan kerjanya di kawasan pekan. Geng ini tadi akan merompak termasuklah mencuri mesin ATM. Keuntungan dibahagi dengan kumpulan Yakuza.

Namun, tetap ada kejadian rompakan besar yang dilakukan oleh kumpulan besar Yakuza. Pada Disember 2009, ahli Yamaguchi-gumi ditahan kerana melakukan rompakan dengan keganasan. Pada Ogos 2011, ahli Sumiyoshi-kai ditahan kerana mempunyai hubungan dengan rompakan di kedai barang kemas

Dalam beberapa kejadian terpencil, ketua Yakuza sendiri tak menahan diri dari melanggar kod etika ini. Seorang ketua Yakuza di Kyoto berumur 61 tahun pernah ditahan kerana mencuri dompet dari locker di rumah mandi awam.

Yakuza ingin menunjukkan jiwa kesatria

Kod etika keempat berkaitan aksi kesatria (ninkyodo). Asasnya, kod ini mahu menyatakan bahawa kumpulan Yakuza mesti mempunyai sifat keadilan, tanggungjawab dan menyelamatkan orang lain daripada kesengsaraan. Di atas panduan inilah, maka tidak terkejut untuk melihat kumpulan Yakuza menjadi adiwira dikala berlaku bencana besar di Jepun.

Ini terbukti ketika berlaku tsunami sekuat 9 skala ritcher di Tohoku, Jepun. Yakuza adalah kumpulan pertama yang sampai dengan 70 buah trak dengan membawa bekalan bantuan bernilai USD 500,000. Apabila cuba dihubungi pihak media, tiada suatu kumpulan pun mahu memberi kenyataan. Seolah-seolah merendah diri dan ikhlas membantu.

Namun, disebalik sifat kesatria dalam kejadian ini. Kumpulan Yakuza telah mengambil kesempatan dengan menjadi broker mendapatkan pekerja dari para gelandangan untuk membersihkan kawasan terjejas yang merbahaya. Keuntungan diambil dari setiap pekerja itu. Tidak pasti, jika kod ‘kesatria’ ini digunakan sebaiknya atau sekadar menunggang.

Kod etika dalam realiti operasi Yakuza

Setelah melihat secara permukaan keempat-empat kod etika ini beserta realitinya, nampaknya tiada satu pun yang dipatuhi sebaiknya.

Ada beberapa pendapat mengatakan bahawa budaya seperti mencuri dan merompak pada mulanya tiada dalam budaya Yakuza. Namun, desakan untuk mendapatkan sumber kewangan setelah pelbagai tekanan diberikan oleh pihak autoriti, maka peluang apa-apa pun digunakan untuk mendapat wang.

RUJUKAN:

  1. Andrew Rankin, ‘Recent Trends in Organized Crime in Japan: Yakuza vs the Police, & Foreign Crime Gangs’ Part 2,’ The Asia-Pacific Journal Vol 10, Issue 7, No 1, February 20, 2012.
  2. Peter Hill, ‘Heisei Yakuza: Burst Bubble and Botaiho’, Sociology Working Papers, Paper Number 2002-10
  3. The Yakuza Code Of Ethics: Compliance In the Underworld. http://www.japansubculture.com/the-yakuza-code-of-ethics-compliance-in-the-underworld/
  4. Jingi: The Yakuza Code of Ethics. https://yakuza-mob-roleplay.fandom.com/wiki/Jingi%3A_The_Yakuza_Code_of_Ethics

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.