Empat Imam Dalam Satu Waktu Solat Di Masjidil Haram

1,268

Seorang pengembara terkenal dunia Islam, Abu Abdillah Muhammad bin Ibrahim al-Lawati atau lebih dikenali sebagai Ibnu Batuttah dalam catatannya yang dikenali sebagai Rihlah Ibnu Batuttah (Pengembaraan Ibnu Batuttah) pernah berkunjung ke kota Makkah al Mukarammah dan menunaikan haji di Masjidil Haram sepanjang pengembaraanya.

Ibnu Batuttah menceritakan bahawa orang Islam pada masa itu bersolat jemaah di Masjidil Haram bukannya berimamkan satu imam seperti sekarang ini, tetapi sebanyak 4 imam berlainan mazhab dalam setiap waktu solat. Maknanya, dalam setiap waktu solat, akan ada 4 imam dengan kelompok mazhab masing-masing akan bersolat mengikut imam dan pegangan mazhab fikah masing-masing.

Yang dimaksudkan 4 imam dari 4 mazhab ini tidak lain dan tidak bukan ialah mazhab Hanafi, Hanbali, Maliki dan Syafii (termasuklah kelompok Syiah menjadikan jumlah kelompok umat Islam yang bersolat di Masjidil Haram pada masa itu ialah sebanyak 5 kelompok.

Dalam catatannya, Ibnu Batuttah menceritakan bahawa kelompok bermazhab Syafii diberi penghormatan untuk memulakan solat jemaah dahulu sejurus selepas azan, kemudian diikuti mazhab Maliki, Hanbali, Hanafi kemudian barulah Syiah secara bergilir-gilir.

Kedudukan tempat imam dan pengikut mazhab masing-masing berdiri ketika waktu solat juga dinyatakan oleh Ibnu Batuttah;

  • Mazhab Syafii :

Terletak di lingkaran antara Rukun Yamani dan Rukun Iraqi berdekatan dengan perigi Zam-Zam. Imam mazhab Syafii berdiri di hadapan Makam Ibrahim.

  • Mazhab Maliki :

Terletak di lingkaran antara Rukun Yamani dan Rukun Syami.

  • Mazhab Hanbali :

Terletak di lingkaran antara Rukun Yamani dan sudut dinding Kaabah yang menempatkan Hajarul Aswad.

  • Mazhab Hanafi :

Terletak di antara lingkaran antara Rukun Iraqi dan Rukun Syami bertentangan dengan Hijir Ismail dan saluran Mizab.

Sebab itulah kalau kita lihat dan belek gambar lama kota Makkah dan Masjidil Haram (yang pada masa itu belum ada bangunan-bangunan tinggi dan bukit-bukit di sekeliling kota Makkah pun boleh dilihat jelas), kita akan lihat terdapat pondok-pondok yang dibina di sekeliling Kaabah yang digelar sebagai Makam Imam Mazhab Empat.

Makam Imam Mazhab Empat ini bukanlah kubur dan bukan juga batu tempat berpijak seperti Makam Ibrahim, tetapi pondok-pondok tempat para imam mazhab masing-masing berdiri ketika mengetuai solat jemaah di kalangan pengikutnya.

Keadaan sedemikian berterusan pada zaman Empayar Turki Uthmaniah dan Kerajaan Hejaz, sehinggalah selepas kota Makkah dikuasai oleh Arab Saudi dan keturunan Dinasti Sa’ud, di mana pondok-pondok ini diruntuhkan dan semua jemaah di Masjidil Haram kemudiannya menunaikan solat jemaah dengan satu imam tanpa mengira mazhab.

Persoalan pertama yang muncul di minda kita apabila mengetahui cerita ini;

Adakah seluruh umat Islam pada masa itu terlalu taksub dan fanatik terhadap mazhab masing-masing sehingga tidak mahu berimamkan imam yang tidak semazhab dengannya?

Sesungguhnya justeru kerana mereka tidak bersikap taksub dan fanatik dengan mazhab masing-masinglah maka perkara tersebut terjadi. Ini jelas kerana setiap mazhab tidak saling menyalahkan antara sesama mereka, mereka saling hormat menghormati pendapat pihak lain selagimana ianya berdasarkan kepada ijtihad yang diterima dan mereka tidak ingin hendak mendabik dada mengenai kelebihan mazhab mereka kepada orang lain.

Maka atas adab dan tasamuh (toleransi) yang tinggi serta meraikan perbezaan pendapat yang dianggap antara rahmat dalam Islam, setiap mazhab Ahlus Sunnah wal Jama`ah diberi ruang untuk beribadah dalam Masjidil Haram mengikut pandangan dan pegangan mazhab masing-masing.

Sungguh keberadaan sholat 4 Imam dengan jemaah masing-masing tersebut membuktikan sikap tasamuh dan toleransi sesama umat yang tinggi,  malangnya segelintir pihak telah membuat tanggapan yang silap bahawa ianya tanda umat BERPECAH BELAH.

Apakah benar, ketika itu umat Islam menjadi berpecah-belah? Jawapannya adalah sebaliknya, kerana sejarah telah membuktikan bahawa kala itu umat Islam adalah umat yang bersatu dan kuat sehingga menguasai dunia. Justeru kekuatan umat Islam itu adalah pada kepelbagaian dan perbezaan pendapat yang ditangani dengan sikap tasamuh yang tinggi serta saling hormat-menghormati. Di situlah kunci perpaduan umat yang sejati.

Dari sudut sejarah,  keempat-empat imam dan pengikutnya didapati sentiasa mengamalkan toleransi yg tinggi,  hormat menghormati,  perpaduan,  bahkan tiada sebarang masalah pun di antara pengikut mazhab-mazhab empat tersebut hingga menggugat perpaduan ummah.

Cerita mengenai wujudnya Makam Imam Empat Mazhab di Masjidil Haram satu ketika dahulu kini hanya menjadi sejarah yang menunjukkan betapa Islam amat menghormati perbezaan pendapat di kalangan umatnya dalam perkara-perkara furu’ atau khilafiyyah.

Kita juga harus sedar dan faham bahawa kewujudan mazhab–mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafii dan Hanbali dan perbezaan pendapat di kalangan mereka bukanlah bermaksud PERPECAHAN dalam Islam. Sebenarnya, perkembangan mazhab ialah satu cabang pemikiran dan pendapat ulama-ulama muktabar yang tersusun secara sistematik. Ulama mazhab yang Empat berjaya membawa agama Islam beserta umatnya ke arah penyusunan gaya pemikiran Islam yang termaju, sistematik dan berjaya selepas era Rasulullah s. a. w dan sahabatnya.

Para ulama dan ahli intelektual Islam dari masa lampau sehingga sekarang terus mengadakan ijtihad dalam pelbagai perkara dan masalah yang berlaku. Perbezaan pendapat timbul kerana penafsiran para alim ulama terhadap suatu ayat al Quran dan hadis tidak seragam namun sama-sama mempunyai hujah yang kukuh. Mereka hanya berselisih faham dalam masalah fikah namun pegangan tauhid dan akidah tetap sama. Mereka sama-sama Ahlul Sunnah wal Jamaah.

Bagaimana seseorang itu boleh terlalu taksub terhadap mazhabnya sedangkan keempat-empat imam pengasas mazhab semuanya saling berkait antara satu sama lain? Imam Hanbali pernah belajar dengan Imam Syafii manakala Imam Syafii juga pernah belajar dengan Imam Malik di Madinah serta menghafal kitab al Muwatta’ karangan Imam Malik, dan Imam Malik juga pernah belajar dari Imam Abu Hanifah.

Kewujudan makam mazhab empat di Masjidil Haram dalam lipatan sejarah Islam pada zaman dahulu telah membuktikan bahawa umat Islam sentiasa bersatu dan mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur sesama mereka walaupun mempunyai perbezaan sesama mereka. Pengikut mazhab-mazhab saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan setiap di kalangan mereka diberi ruang solat masing-masing di Masjidil Haram.

Betapa indahnya perpaduan dan sifat toleransi di kalangan umat Islam pada masa dahulu kan?

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.