Elon Musk Dan Perlancaran Roket Paling Berkuasa Dalam Sejarah

0
1054
views

Beberapa belas jam yang lepas, syarikat SpaceX milik Elon Musk telah melancarkan roket terkuat dan terbesar di dunia bernama Falcon Heavy.

Kalau dibandingkan dengan pelancaran roket Korea Utara, pelancaran Falcon Heavy lebih mengacau jiwa dan menimbulkan perasaan “unsettling”. Roket Korea Utara sekadar boleh mencetuskan perang, tapi roket SpaceX mampu mengubah keadaan manusia (“human condition”) buat selama-lamanya.

SpaceX ditubuhkan oleh Musk untuk membolehkan orang ramai travel ke luar angkasa. Walaupun ini bukan kali pertama syarikat swasta melancarkan roket, namun pelancaran Falcon Heavy merupakan sebahagian daripada cita-cita Musk untuk menjajah planet Marikh (“Mars colonization”) atau mewujudkan penempatan kekal manusia di Marikh menjelang tahun 2024, seperti dalam cerita “Interstellar”. Kewujudan roket Falcon Heavy membolehkan pengangkutan manusia dan kargo daripada bumi ke Marikh dilaksanakan dengan mudah dan kos efektif.

Musk juga sempat mengirim sebiji kereta Tesla Roadster ke orbit Marikh. 100 tahun yang lepas, idea penjelajahan dan penjajahan manusia ke atas angkasa lepas hanya wujud dalam novel Sci-Fi, kini ia semakin menjadi kenyataan.

Sejarah penjelajahan manusia di angkasa lepas bermula 60 tahun yang lepas dengan pelancaran satelit pertama dalam sejarah manusia iaitu Sputnik oleh Soviet Union pada 4 Oktober 1957. Pelancaran Sputnik menimbulkan reaksi seperti “first step toward escape from men’s imprisonment to the earth” dan “mankind will not remain bound to the earth forever” yang melihat ia sebagai langkah pertama untuk melepaskan manusia daripada bumi.

Reaksi-reaksi sebegini membimbangkan seorang pemikir falsafah bernama Hannah Arendt, penulis “The Origins of Totalitarianism” (1951) dan “Eichmann in Jerusalem” (1963). Pelancaran Sputnik mendorong Arendt untuk menulis buku “The Human Condition” (1958) yang menjelaskan fenomena “earth-alienation” yang bakal timbul daripada penghijrahan manusia keluar dari bumi.

Selain earth-alienation, Arendt juga melihat tren sains dan teknologi yang lain seperti penghasilan organisme secara makmal dan pemanjangan usia manusia ke tahap infiniti bakal melahirkan masa depan yang bersifat “posthuman” (pasca-manusia, maksudnya tidak lagi bersifat manusia).

Masihkah kita bergelar manusia selepas meninggalkan bumi? Sekira ya, apakah jenis kemanusiaan (“humanity”) apabila kita berada di Marikh? Ini bukan soal samada kita masih mampu menjalankan fungsi sebagai manusia (makan, tidur, bernafas) tapi perubahan makna manusia yang selama ini berkait rapat dengan kehidupan bumi (“earthly life”).

Tiada lagi ungkapan “langit dan bumi” sebab bumi bukan lagi tempat kita memijak, ungkapan “bulan dan bintang” tidak lagi relevan kerana kita berada di jauh dari bulan. Di bumi, kita boleh membezakan benda-benda “natural” (semula jadi) dan “artificial” (buatan manusia). Tapi di Marikh nanti, semua adalah buatan manusia termasuk ekosistem. We are no longer the same humans then.

Masalah ini tidak dapat diselesai melalui sains semata-mata. Diskusi tentang falsafah dan etika perlu untuk mengerti semula makna “manusia” demi menghadapi “posthuman reality” yang bakal melanda kita.