Elemen Tamadun Rom Dalam Game Of Thrones

206

Sebut pasal Game of Thrones, pasti sudah sedia maklum dengan dunia fiksyen drama bersiri terbitan HBO itu. Drama bersiri ini sudah memenangi banyak anugerah termasuk 47 anugerah Primetime Emmy termasuk Drama Bersiri Terbaik untuk tahun 2015, 2016 dan 2018. Drama ini juga turut menaikkan profil beberapa bintang sebagai bintang utama Hollywood seperti Sophie Turner (Sansa Stark), Emilia Clarke (Daenerys Targaryen) dan Jason Momoa (Khal Drogo). Tetapi tanpa kita sedar, banyak elemen sejarah terutama Rom dipinjam dan diadaptasi dalam drama bersiri berkenaan.

Dinding Martin/The Wall

Dinding Hadrian

The Wall atau Dinding Martin (sempena nama penulis saga George RR Martin) ini sebenarnya diambil dari Dinding Hadrian yang didirikan orang Rom untuk mempertahankan Britannia yang dikuasai mereka ketika itu dari serangan orang gasar dari belah utara.

The wall dalam filem.

Dan seperti Dinding Hadrian, dinding ini melindungi tujuh kerajaan yang berkuasa di Westeros dari ancaman Free Folk seperti dicatatkan dalam buku-buku nukilan Martin. Bagi tentera Rom yang berkawal di Dinding Hadrian, proses ketamadunan yang berlaku di bandar-bandar dikuasai mereka melambangkan struktur dan keamanan. Manakala di utara pula, ia melambangkan kekecohan dan anarki.

Tetapi jika dilihat dari sudut lain, setiap orang mempunyai pandangan berbeza berkenaan Dinding Hadrian dan ini diakui sendiri oleh cendekiawan-cendekiawan Rom. Dalam satu tulisannya yang direkodkan sebelum pembinaan dinding berkenaan, sejarawan Tacitus membayangkan kata-kata seorang pemimpin puak Caledonia bernama Calgacus yang berusaha mempertahankan wilayahnya dari ancaman penjajahan yang dibawa Rom.

Calgacus mengisytiharkan, “Merompak, membunuh, menjarah – semua ini dilakukan atas sebab palsu bagi sebuah empayar. Bila ianya sudah habis, maka mereka memanggilnya keamanan.” Ketegangan antara puak-puak Caledonia dengan Empayar Rom dilihat mirip kepada permusuhan orang Free Folk dengan tujuh kerajaan yang berkuasa di Westeros. Malah, pemimpin mereka Mance Rayder dilihat lebih suka mati dalam keadaan mengerikan berbanding mengkhianati komitmennya terhadap kebebasan.

Perang Lima Raja (War of the Five Kings)

5 Raja yang berebutkan takhta Westeros.

Perang Lima Raja atau War of the Five Kings merupakan perang saudara yang tercetus di Westeros selepas kemangkatan Raja Robert I atau Robert Baratheon (Mark Addy). Konflik ini membabitkan Putera Joffrey Baratheon (Jack Gleason), dua bapa saudara Joffrey iaitu Stannis (Stephen Dillane) dan Renly Baratheon (Gethin Anthony), Robb Stark (Richard Madden) dan Balon Greyjoy (Patrick Malahide).

Konflik ini tercetus gara-gara fitnah yang dibawa Petyr Baelish (Aidan Gillen) yang mahu membolot lebih banyak kuasa untuk dirinya dan keluarga Baelish. Tetapi jika anda perasan, perang yang diadaptasi oleh Martin ini mirip kepada satu tempoh ketidakstabilan politik Rom yang dipanggil Tahun Empat Maharaja atau Year of the Four Emperors.

Tahun Empat Maharaja ini merupakan satu tempoh di mana perang saudara tercetus selepas kemangkatan Maharaja Nero yang membunuh diri pada 68 Sebelum Masihi. Dengan kemangkatan baginda, tiada lagi waris maharaja yang datang dari keluarga Augustus Caesar dan ini membuka ruang kepada pemimpin-pemimpin tentera berebut kuasa untuk menabalkan diri mereka sebagai maharaja.

Tacitus menceritakan tempoh berkenaan sebagai satu tempoh yang menakutkan dan kesannya terhadap manusia tetapi pada masa sama turut mendedahkan kuasa sebenar Rom bukan lagi terletak di tangan maharaja dan senat tetapi di tangan pihak tentera. Mereka ini berada di perbatasan tetapi masih ada masa untuk kembali ke Rom dan menuntut hak mereka. Krisis berkenaan diakhiri dengan kejayaan Vespassian memiliki takhta Rom dan sekaligus memulakan pemerintahan di bawah dinastinya pula.

Senibina

Essos merupakan satu benua yang terletak di sebelah timur Westeros dan di sini, ia mempunyai pelbagai monumen yang menarik. Sesetengah daripadanya diinspirasikan daripada monumen-monumen yang wujud semasa era Empayar Rom. Arena-arena gladiator termasuk satu yang ditinjau Tyrion Lannister di Meeren sebenarnya diambil dari Colosseum, sebuah arena yang dibina Dinasti Flavian sebagai tuan rumah acara-acara hiburan bersifat kejam dan zalim bagi rakyat Rom.

Titan of Braavos

Begitu juga dengan patung Titan of Braavos, sebuah patung besar yang memantau pelabuhan berkenaan. Patung Titan ini sebenarnya diambil dari kisah patung Colossus of Rhodes yang menonjolkan dewa matahari Helios dan dianggap antara tujuh keajaiban dunia purba. Tidak seperti Titan of Braavos, runtuhan patung itu sudah diketahui sejak zaman purba lagi.

Patung ini dibina sebagai dedikasi kepada kejayaan mereka mengatasi ancaman tentera Alexander the Great/Iskandar Agung pada abad ketiga Sebelum Masihi dan mengambil masa 12 tahun untuk disiapkan. Dan tidak seperti imej kapal-kapal melalui kakinya seperti dibayangkan oleh penglipur lara Zaman Pertengahan, ia berada di hadapan pintu masuk pelabuhan sehinggalah ia musnah 60 tahun kemudian akibat gempa bumi.

Patung Colossus menjadi inspirasi kepada patung Titan of Braavos

Biarpun ada yang mencadangkan supaya patung tersebut dibina semula, ada yang tidak bersetuju kerana menganggap pembinaan patung sebegitu sebenarnya mengundang kemurkaan dewa-dewi mereka. Atas sebab itulah, patung Colossus tidak dibina semula dan runtuhannya terus kekal di situ selama 800 tahun. Ia menjadi tumpuan ramai pelancong termasuk dari Rom. Antara pengunjung Rhodes yang terkemuka ialah Pliny the Elder/Pliny Si Tua yang mengagumi elemen kejuruteraan yang berjaya direalisasikan orang Rhodes terhadap patung berkenaan.

Gerak-geri sang antagonis

Setiap drama memerlukan antagonis yang baik dan Game of Thrones tidak perlu melihat jauh kerana nama Cersei Lannister (Lena Headey) menjadi sebutan ramai peminat. Cersei dianggap amat melindungi putera-puterinya, bercita-cita besar dan punya nafsu tersendiri termasuk terhadap kembarnya sendiri Jaime Lannister (Nikolaj-Coster Waldau). Baginda juga merasakan dirinya berharap dapat menjadi seorang lelaki kerana sebagai lelaki, apa yang diajar sudah pasti berbeza dengan apa yang diajar terhadap dirinya sebagai seorang wanita.

Cersei Lannister

Impian Cersei ini sebenarnya dikongsi oleh ramai wanita pada zaman antikuiti termasuk seorang puteri Rom Timur bernama Anna Comnena/Anna Komnene. Comnena sentiasa berangan mahu bertukar tempat dengan suaminya yang tidak subur agar dapat menggulingkan kekandanya yang juga Maharaja Rom Timur ketika itu, John II Komnenos. Ini berdasarkan kisah yang dibawa penglipur lara bernama Choniates tetapi ia tidaklah benar seperti didakwa. Bagaimanapun, kisah-kisah sebegini turut menceritakan pelbagai aspek yang menyelubungi wanita-wanita hebat dalam kamar istana Rom.

Contohnya, Livia merupakan permaisuri maharaja pertama Rom merangkap cucu saudara Julius Caesar, Augustus. Baginda dikatakan mengatur pembunuhan dua cucu kesayangan Augustus bernama Gaius dan Lucius bagi membolehkan puteranya sendiri mengambil alih takhta. Dan ada juga yang bertindak berani dengan mendakwa Livia juga bertanggungjawab membunuh suaminya sendiri melalui kaedah racun.

Pembebasan hamba

Kalau diikutkan di Westeros, sebarang bentuk perhambaan adalah dilarang dan selepas Daenerys mendarat di Slaver’s Bay, beliau melancarkan kempen tersusun dalam menamatkan perhambaan. Kaedah ini sebenarnya wujud semasa era Yunani dan Rom.

Sejujurnya, Rom dan Yunani mengangkat elemen perhambaan dalam masyarakat mereka dan turut mengeksploitasi keuntungan dari perdagangan hamba yang digerakkan menerusi aktiviti penjarahan dan perluasan wilayah. Aktiviti sebegini turut dinyatakan dalam pelbagai karya sastera termasuk Iliad yang dinukil oleh Homer. Dalam satu catatannya, Hector yang juga putera raja dari Troy membayangkan isterinya sendiri, Andromache ditawan dan dijadikan sebagai hamba selepas kejatuhan Troy.

Walaupun kaedah Daenerys yang dianggap demokratik melebihi mekanisme pembebasan hamba yang digerakkan Rom dan Yunani, kaedah pembebasan Rom dan Yunani itu memang wujud. Proses ini dipanggil manumission (perubahan dari hamba kepada individu yang dibebaskan dari belenggu perhambaan). Wujud perbezaan antara orang merdeka dengan individu yang dibebaskan tetapi kedua-duanya berhak mendapat hak kerakyatan Rom.

Proses ini boleh dilaksanakan apabila tuan-tuan mereka memasukkan hambanya yang mahu dibebaskan dalam wasiat mereka sebagai ganjaran kepada khidmat setia semasa hayat pemiliknya. Dan dalam sesetengah kes walaupun ia agak jarang, ada juga hamba yang menyimpan wang dari perbelanjaan mereka untuk membeli kebebasan mereka. Proses ini membolehkan mereka mendapat kerakyatan Rom yang membenarkan mereka berniaga, mendapat perlindungan undang-undang Rom, mengundi dalam pilihan raya, mewariskan kerakyatan dan kekayaan mereka kepada anak-anak mereka.

SUMBER

Haimson Lushkov, Ayelet. (2017). Power plays and scheming queens: the ancient history behind Game of Thrones. https://www.historyextra.com/period/ancient-greece/power-plays-and-scheming-queens-the-ancient-history-behind-game-of-thrones/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.