Eksperimen Psikologi Terhadap 3 Pesakit Yang Mengaku Diri Sebagai Jesus Christ

3045
views

Pernahkah anda tertanya tentang bagaimana minda manusia ini berfungsi? Walaupun pelbagai kejadian misteri wujud dan terjadi dalam dunia, minda manusia ini masih belum dapat “dipecahkan kod sekuritinya”.

Artikel kali ini adalah tentang eksperimen psikologi sebenar yang berlaku di sebuah hospital mental Amerika Syarikat. Eksperimen ini berkenaan 3 individu penghuni hospital yang menghidap skizofrenia jenis paranoia mengaku diri mereka sebagai Jesus Christ.

Permulaan

Semua ini bermula dalam lingkungan tahun 1940an. Dua orang pesakit wanita dimasukkan ke sebuah institusi mental di Maryland, Amerika Syarikat, kerana mereka berdua mengaku diri mereka sebagai “Virgin Mary” @ Maryam.

Ditakdirkan pada suatu hari, mereka berdua berkesempatan untuk bertemu dan berbual sesama mereka. Setelah beberapa minit dalam perbualan, salah seorang daripada mereka memperkenalkan diri beliau sebagai,

“Mary, ‘Mother’ of God.”

Mendengar akan perkara itu, menyebabkan pesakit wanita seorang lagi itu menjawab;

“You can’t be my dear.”

Dan seakan tidak dapat menerima apa yang diucapkan pesakit pertama menyebabkan beliau menambah;

“You must be crazy, I am the ‘Mother’ of God.”

Pesakit pertama walau bagaimanapun tetap menegaskan bahawa beliau adalah “Virgin Mary” dengan kata-kata berikut:

“I’m afraid it’s you who are mixed up, I am Mary.”

Tidak diketahui mereka berdua, perbualan mereka itu didengari oleh seorang staf hospital yang mendengarkan mereka berdua berdebat bahawa siapa “Virgin Mary” yang sebenar. Ia hanya selepas beberapa ketika, mereka berdua berdiam diri, seolah-olah sedang ‘memproses’ maklumat yang baru diterima otak mereka.

Dan menakjubkan, akhirnya salah seorang dari pesakit itu akhirnya ‘sedar’ daripada delusi yang menyelimuti diri beliau dengan kata-kata berikut;

“Kalau awak Mary, maka saya adalah Anne, ibu awak.”

Dengan itu, perdebatan tentang siapa “Virgin Mary” yang ‘sebenar’ akhirnya dapat dibuktikan dan mereka berdua berdamai sambil berpelukan.

Dalam beberapa minggu selepas sedar dari delusi beliau, pesakit wanita itu bertindak balas dengan baik terhadap rawatan yang diberikan di institusi mental tersebut. Dan tidak lama kemudian, beliau telah disahkan pulih dan pelepasan beliau dibenarkan pihak institusi mental itu.

Anekdot kes klinikal pesakit wanita itu kemudian diterbitkan di dalam sebuah majalah, “Harper’s Magazine” pada tahun 1955. Salah seorang daripada pembaca, iaitu pakar psikologi sosial Dr.Milton Rokeach, meneliti kes itu dengan tekun sekali.

Ilham Dr.Milton Rokeach

Selain daripada kes “Virgin Mary” itu, Dr.Rokeach terlebih dahulu sedar akan kewujudan kes seorang pesakit mental yang mengaku diri sebagai tuhan namun beliau berjaya disembuhkan [sekurangnya untuk sementara sahaja] setelah diletakkan bersama-sama seorang lagi pesakit yang turut mengaku diri beliau tuhan.

Ia berdasarkan catatan ahli falsafah dari Perancis iaitu Voltaire, tentang kisah seorang lelaki tidak siuman yang malang dikenali sebagai Simon Morin.

Dikatakan bahawa, apabila beliau ditempatkan bersama seorang lagi pesakit yang mengaku sebagai tuhan, Simon Morin sedar dari delusi beliau sendiri.

Ini kerana menurut Voltair, Simon Morin menggunakan logik akal beliau, iaitu “cuma ‘seorang’ sahaja boleh menjadi tuhan.” Justeru, dengan pesakit seorang lagi itu berkeras bahawa beliau adalah tuhan, maka Simon Morin membuat kesimpulan, “Aku bukanlah tuhan yang sebenar.”

Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak bertahan lama, kerana dikatakan Simon Morin kembali kepada keadaan asal beliau, iaitu delusi mempercayai bahawa beliau adalah tuhan. Ini menyebabkan pihak berkuasa pada ketika itu menjatuhkan hukuman supaya beliau dipancang dan kemudian dibakar pada tahun 1663 oleh kerana kata-kata kufur yang beliau ucapkan.

Dengan kes-kes logik akal serta konfrontasi yang akhirnya mampu membantu menyedarkan delusi pesakit mental ini, Dr.Milton Rokeach kemudian membuat keputusan untuk bereksperimen akan perkara tersebut.

Dan eksperimen psikologi itu bermula dengan pencarian subjek @ pesakit yang mempunyai delusi yang sama, iaitu mempercayai bahawa mereka adalah “Jesus Christ”.

Pencarian Pesakit Dan Hospital Mental Ypsilanti

Keadaan Hospital Ypsilanti setelah ditutup pada tahun 1990

Melalui pejabat Dr.Vernon Stehnman yang merupakan Timbalan Pengarah Bahagian Kesihatan Mental di negeri Michigan, Amerika Syarikat, pertanyaan dibuat kepada lima buah hospital mental di negeri tersebut berkenaan pesakit yang mempunyai delusi ‘menjadi orang’ yang sama.

Objektif disini adalah untuk mencari dua orang atau lebih individu yang mempunyai delusi sama di dalam kalangan 25,000 orang pesakit yang berada dibawah jagaan institusi mental negeri tersebut.

Akhirnya, mereka mengenalpasti 3 orang individu yang mempercayai bahawa mereka adalah “Jesus Christ”. 2 individu menetap di Hospital Mental Ypsilanti, Michigan. Manakala seorang lagi di tempat lain dan bakal dipindahkan ke Hospital Mental Ypsilanti bagi mengambil bahagian di dalam eksperimen Dr.Milton Rokeach.

Dr.Milton Rokeach, diambil pada tahun 1970

Urusan pemindahan salah seorang pesakit tersebut diarahkan oleh Dr.Rokeach kepada seorang lagi pakar perubatan dan penyelia Hospital Mental Ypsilanti yang bernama Dr.Yoder.

Pemindahan ini akhirnya akan menyaksikan pertembungan 3 individu yang masing-masing mengaku mereka adalah “messiah” yang diturunkan bagi menyelamatkan umat manusia.

Usai melaksanakan tugas pemindahan pesakit, Dr.Yoder kemudian melepaskan tanggungjawab terhadap ketiga-tiga pesakit itu dibawah penjagaan Dr.Rokeach dan pesakit tersebut kemudiannya ditempatkan di Wad D-23 Hospital Mental Ypsilanti.

Salah 1 wad di Hospital Ypsilanti

Hospital Mental Ypsilanti ini terletak di negeri Michigan. Ia dibuka pada tahun 1931 dan mempunyai kapasiti asal 1000 buah katil. Semasa eksperimen psikologi Dr.Rokeach ini sedang dijalankan, terdapat lebih 975 orang pesakit yang ditempatkan di hospital ini. Bagi pihak perubatan pula, terdapat 25 orang doktor yang bertugas sebagai pakar psikologi.

Walaupun dengan nisbah perbezaan yang ketara diantara staf perubatan dan pesakit, ia tidak menjadi masalah kepada staf perubatan. Ini kerana mereka terlibat dalam program terapeutik psikologi dan projek kajian secara berkumpulan yang direka khas bagi membantu meningkatkan teori pemahaman dan mengamalkan rawatan psikoterapi terhadap mereka yang sakit mental.

Setelah 3 hari mereka ditempatkan di Wad D-23 tersebut, pada tarikh 1 Julai 1959, ketiga-tiga pesakit @ subjek eksperimen dipanggil ke sebuah bilik berhampiran dengan wad mereka untuk memperkenalkan diri masing-masing.

Bilik yang akan menjadi tempat mereka berbual pada masa-masa akan datang ini boleh digambarkan sebagai bilik yang biasa sahaja. Hanya memiliki beberapa perabot yang tidak akan mencetuskan perasaan ketidakselesaan terhadap pesakit. Setibanya mereka di dalam bilik tersebut, mereka disambut oleh kepulan asap yang datangnya dari tembakau yang dihisap Dr.Milton Rokeach.

Dr.Milton Rokeach memperkenalkan diri beliau dan 3 orang lagi pembantu di dalam eksperimen ini kepada ketiga-tiga pesakit mental tersebut. Dr.Rokeach menjelaskan kepada mereka bahawa bilik ini akan menjadi tempat dimana mereka akan menghabiskan kebanyakan masa bersama. Ketiga-tiga pesakit yang duduk berhadapan pasukan pengkaji eksperimen psikologi ini dengan tekun mendengar segala penerangan yang diberikan Dr.Rokeach.

Mengenali 3 Orang Pesakit Dalam Eksperimen

3 orang pesakit mental yang didiagnos menghidap skizofrenia jenis paranoia yang menjadi subjek dalam eksperimen ini adalah Joseph Cassel, Clyde Benson dan Leon Gabor.

Mereka bertiga ini mempunyai delusi bahawa mereka adalah “Jesus Christ”. Mereka kemudian diminta untuk memperkenalkan diri masing-masing.

1. Joseph Cassel.

“Nama saya Joseph Cassel.” Kata beliau. Dr.Rokeach kemudian bertanya lagi, “Ada apa-apa lagi yang awak ingin beritahu kami?”

“Ya.” Jawab Joseph. “Saya adalah tuhan.”

Joseph Cassel, atau nama ketika lahir diberi Josephine Cassel, adalah seorang pesakit lelaki yang berumur 58 tahun. Beliau telah dimasukkan ke hospital mental sejak 20 tahun yang lalu.

Mempunyai kepala yang botak dan sering kali tersenyum dan menyengih walaupun kehilangan separuh daripada gigi bahagian depan beliau. Poket baju dan seluar beliau sentiasa kembung dipenuhi oleh barangan seperti cermin mata, tembakau, pensel, sapu tangan, buku dan majalah.

Sebelum mengalami delusi ini, Joseph menyara hidup beliau bekerja sebagai kerani dan penulis. Joseph seringkali melemparkan bahan bacaan yang diletakkan berhampiran jendela bilik tersebut semasa beliau sangka tiada yang melihat perbuatan itu. Walaupun beliau bukan berasal dari England mahupun pernah melawati negara itu, dikatakan bahawa beliau sangat teringin untuk ‘kembali’ ke England. Diantara ketiga-tiga pesakit, Joseph Cassel boleh dikatakan sebagai baik kelakuannya.

2. Clyde Benson

Kemudian seorang lagi pesakit yang paling tua diantara mereka bertiga memperkenalkan diri. “Nama saya Clyde Benson.” Kata beliau. Suara beliau yang agak perlahan ini merupakan suara yang sama digunakan ketika berbual.

Berumur 70 tahun, Clyde Benson juga turut menghidap penyakit dementia dimana beliau akan lupa perkara tentang dirinya sendiri. Walau bagaimanapun, kadang-kala apabila beliau waras, Clyde Benson akan teringat akan peristiwa beliau bekerja di landasan kereta api dan memancing. Clyde mempunyai tubuh yang agak tinggi, dan disebabkan umur yang lanjut, beliau sudah kehilangan hampir kesemua gigi.

Apabila ditanya Dr.Rokeach sama ada beliau mempunyai nama lain, Clyde Benson menjawab; “Well, I have other names, but that’s my vital side and I made God five and Jesus six.”

3. Leon Gabor

Leon merupakan pesakit yang paling muda diantara mereka bertiga dengan umur 38 tahun. Beliau dibesarkan oleh ibunya yang beragama kristian dan turut dikatakan bahawa ibu Leon juga bergelut dengan masalah kesihatan mental beliau sendiri.

Ianya pada 5 tahun sebelum ini, apabila ketika ibu Leon pulang ke rumah dari rutin harian di gereja, mendapati bahawa Leon memusnahkan salib krisitian yang digantung serta pelbagai lagi perhiasan berkenaan kristian. Leon kemudian mengarahkan ibu nya untuk berhenti menyembah ‘tuhan palsu’ itu dan menyembah beliau sebagai ‘tuhan sebenar’. Sejak dari peristiwa itu, Leon dimasukkan ke hospital mental.

Leon mempunyai fizikal tubuh yang agak kurus dan tinggi. Selain itu, Leon juga petah berbicara dan sentiasa meletakkan kedua-dua tangan dihadapan beliau supaya dia dapat melihatnya.

Apabila diminta untuk memperkenalkan diri, Leon menjawab, “Ia dinyatakan di dalam sijil kelahiran saya bahawa saya adalah Dr.Domino Dominorum et Rex Rexarum, Simplis Christianus Pueris Mentalis Doktor.”

Ayat dalam bahasa latin yang membawa maksud, “Lord of Lords, and King of Kings, Simple Christian Boy Psychiatrist.”

Tambah beliau lagi, “Ia turut dinyatakan di dalam sijil kelahiran saya bahawa saya adalah kelahiran semula ‘Jesus Christ’ dari Nazareth.”

Selesai pengenalan diri Leon, Joseph dengan segera membantah kata-kata Leon itu sebentar tadi dengan hujah berikut;

“Dia [Leon] berkata, dia adalah kelahiran semula Jesus Christ, saya tak faham, saya tahu siapa saya. Saya adalah tuhan, christ dan roh kudus. Dan kalau saya bukan, saya tidak akan mengatakan sebegitu. Saya adalah christ. Saya tidak mahu mengatakan saya adalah tuhan, christ dan roh kudus. Saya tahu ini adalah rumah [institusi] mental dan awak perlu lebih berhati-hati.”

Setelah membiarkan Joseph menghamburkan protes beliau terhadap Leon, Leon menjawab:

“Encik Cassel, tolong! Saya tidak bersetuju dengan kenyataan kamu mengatakan bahawa semua orang gila di tempat ini. Ada diantara mereka di sini yang tidak gila. Setiap individu itu ibarat ‘rumah’ sendiri. Tolong ingat tu.”

Waktu itu, Dr.Rokeach hanya memerhatikan dan membiarkan sahaja ‘perdebatan’ diantara Joseph dan Leon. Pada masa yang sama, perhatian Dr.Rokeach teralih kepada Clyde Benson dan bertanyakan pendapat beliau tentang apa yang ditelagahkan oleh Joseph dan Leon.

Clyde menjawab: “Saya adalah lambang kepada kelahiran semula. Ya.. saya adalah sama seperti Jesus, melambangkan kelahiran semula..” Clyde kemudian bergumam seorang diri.

Dr.Rokeach kemudian ingin mendapatkan kepastian tentang apa yang dituturkan oleh Clyde dan bertanya, “Adakah kamu katakan bahawa kamu ini tuhan?”

Jawab Clyde, “Betul tu, saya adalah tuhan, Christ dan roh kudus.”

Secara tiba-tiba ketertiban serta budi bahasa yang ditonjolkan pada awal sesi ini tidak lagi dilihat akibat dari jawapan Clyde itu. Clyde dan Joseph berteriak dan bertempik diantara satu sama lain untuk membuktikan bahawa diri masing-masing adalah tuhan. Perkara ini berlarutan sepanjang sesi sehingga ia berakhir. Leon hanya diam memerhatikan dengan tekun pertelingkahan yang sedang berlaku diantara Clyde dan Joseph.

Berakhirnya sesi pada hari itu, Leon menggambarkan bahawa sesi ini seolah “penderaan mental” dan sesi ini adalah cubaan Dr.Rokeach untuk “brainwash” mereka.

Berdasarkan pemerhatian dalam sesi pengenalan ini serta fakta kes disebalik pesakit “Virgin Mary” dan Simon Morin, Dr.Rokeach mendatangkan sebuah hipotesis bahawa terdapat kemungkinan untuk mengubah sedikit atau menghapuskan terus delusi yang dialami jika ketiga-tiga pesakit ini.

Ia dilakukan dengan meletakkan mereka dalam situasi atau ‘dipaksa’ berhadapan dengan kontradiksi terbesar yang boleh difikirkan akal manusia, iaitu dua orang atau lebih individu mendakwa identiti mereka sama.

Untuk membuktikan hipotesis beliau, Dr.Rokeach mencipta pelbagai situasi atau ‘pembolehubah’ di dalam eksperimen psikologi ini bagi mencabar identiti mereka bertiga untuk 25 bulan mendatang.

Selain itu, beliau turut mempersiapkan sebuah kumpulan kawalan (“control group”) yang terdiri daripada kalangan 3 orang pesakit wanita yang turut mengalami delusi identiti. Walau bagaimanapun, kumpulan penyelidik tidak akan cuba untuk mempertikaikan identiti pesakit wanita ini, tidak seperti Joseph, Clyde dan Leon.

Ini kerana dengan mengambil kira perkembangan delusi pesakit kumpulan kawalan ini, Dr.Rokeach berharap untuk meletakkan penanda aras bagi mengukur kesan yang akan terjadi disebabkan peningkatan interaksi psikologi.

Bermulanya Eksperimen

Bagi memaksimakan perhubungan serta interaksi diantara Joseph, Clyde dan Leon, Dr. Rokeach menempatkan katil mereka berdekatan diantara satu sama lain di dalam Wad D-23. Selain itu, Dr. Rokeach turut menempatkan tempat duduk mereka berdekatan ketika di dewan makan. Beliau turut mengaturkan supaya mereka bertiga bersama-sama bekerja di pusat mencuci pakaian institusi mental tersebut.

Perkara ini dibuat oleh Dr. Rokeach supaya mereka bertiga terus menerus berhadapan dengan ‘delusi’ mereka sendiri melalui interaksi sesama mereka.

Kemudian, pembantu Dr. Rokeach seramai tiga orang ditugaskan untuk melakukan aktiviti berkumpulan secara harian serta mengekori dan melaporkan aktiviti mereka ini setelah sesi psikoterapi berkumpulan mereka berakhir. Seminggu sekali, Dr.Rokeach sendiri akan ke fasiliti tersebut bagi menguji keadaan psikologi mereka bertiga.

Minggu demi minggu berlalu, dan pada suatu hari ketika sesi bersama Dr.Rokeach, beliau bertanya kepada mereka bertiga: “Kamu rasa, mengapa kamu di hospital ini?”

Clyde Benson, yang paling tua diantara mereka bergumam sambil menyatakan dia adalah pemilik bangunan ini, serta tanah-tanah berhampiran dan ditugaskan menjadi penjaga kepada kawasan ini.

Manakala Joseph, dengan ‘bangganya’ berkata bahawa bangunan ini adalah kubu terakhir England dan beliau ditugaskan untuk mempertahankannya.

Leon, yang paling kurang tempoh masanya di hospital mental (5 tahun) adalah satu-satunya pesakit yang mengakui beliau adalah pesakit mental, namun masih berkeras dalam delusinya. Leon seterusnya menyalahkan pendakwa raya yang cemburu kerana meletakkan beliau untuk melalui seksaan di wad mental.

Kemudian Dr. Rokeach bertanya lagi, “Kamu rasa mengapa saya meletakkan kamu semua bersama-sama di sini?”

Clyde dengan keras hati enggan menjawab serta membuat sebarang tekaan tentang pertanyaan yang diajukan Dr.Rokeach.

Joseph bagaimanapun menegaskan bahawa kehadiran beliau di sini adalah untuk menyedarkan yang lain iaitu [Clyde & Leon] bahawa mereka itu gila. Selain daripada itu, beliau turut menegaskan bahawa beliau adalah satu-satunya ‘tuhan’.

Seterusnya, jawapan Leon mempunyai kebenaran disebaliknya iaitu, beliau mengatakan bahawa Dr. Rokeach meletakkan mereka bertiga di sini supaya ketiga-tiga mereka berlawan serta berkonfrontasi diantara satu sama lain. Leon juga berpendapat bahawa pasukan penyelidik ini mencuba untuk “brainwash” mereka.

Minggu demi minggu berlalu di dalam diskusi eksperimen tersebut menyaksikan ketegangan diantara mereka semakin meningkat.

Perdebatan menjadi lebih hangat dan mereka bertiga semakin bersemangat membuktikan bahawa masing-masing adalah ‘tuhan sebenar’. Pada masa yang sama, soalan yang diajukan pasukan penyelidik seakan ingin mencetuskan konfrontasi.

Setiap pesakit kemudian kelihatan sukar untuk bertenang dan berkelakuan rasional. Ada kalanya bertindak bertempik, mengamuk, serta memberi ancaman diantara satu sama lain seakan menjadi kebiasaan di dalam ataupun di luar sesi psikoterapi tersebut.

Pada suatu hari, ketika Leon sedang beratur dalam barisan ingin mengambil makanan, seorang pesakit secara tiba-tiba bertanya kepada Leon, “Eh, kau masih fikir yang kau ni tuhan ke?”.

Leon menjawab, “Tuan, saya ini sememangnya tuhan.”

Pesakit yang bertanya tadi berpaling ke arah seorang lagi pesakit lelaki yang juga sedang beratur dan berkata, “Lelaki ni fikir dia ni tuhan, gila kan dia?”.

Secara kebetulan pula, lelaki tersebut adalah Joseph, yang membalas kenyataan tersebut dengan nada marah, “Dia bukan tuhan, akulah!”.

Clyde yang tidak jauh dari tempat itu kedengaran menjerit dan berkata, “Tidak, bukan dia! Akulah!”

Pertengkaran mereka bagaimanapun tidak terbatas secara lisan sahaja, kerana pada suatu hari, pergaduhan secara fizikal telah terjadi diantara Clyde dan Leon. Ia terjadi semasa sesi psikoterapi berkumpulan mereka bertiga.

Leon secara tiba-tiba mengatakan bahawa Adam di dalam kitab Bible itu adalah lelaki berkulit hitam. Clyde yang marah akan kenyataan dibuat oleh Leon telah menumbuk tepat pada sebelah kanan pipi Leon. Walaubagaimanapun, Leon tidak membalas perbuatan Clyde itu dan sesi tersebut kembali berjalan seperti biasa.

Ini bukanlah satu-satunya kejadian yang melihatkan mereka bertumbuk diantara satu sama lain akibat perbezaan ‘pendapat’ diantara mereka.

Namun begitu, lama-kelamaan boleh dikatakan perkara menakjubkan telah terjadi apabila mereka menjadi lebih rapat dan hormat-menghormati satu sama lain disebabkan mungkin kerana sering meluangkan masa bersama.

Adakalanya, perdebatan tentang siapa ‘tuhan sebenar’ itu hanya dibalas dengan gelak tawa sinis daripada dibalas dengan kekerasan atau bertempik sesama mereka.

Dengan berlalunya masa dan demi untuk mempertahankan delusi masing-masing, mereka bertiga mencipta delusi baharu.

Clyde membuat spekulasi bahawa Joseph dan Leon ini sudah mati, dan mereka berdua adalah mayat yang dikawal oleh alat elektronik.

Manakala Leon pula mengatakan bahawa Clyde dan Joseph adalah penyamar yang hanya inginkan perhatian dan turut mengatakan bahawa Clyde dan Joseph ini dikawal mesin. Turut disertakan terma merepek seperti “electrical imposition” yang dibuat-dibuat.

Joseph bagaimanapun mengatakan bahawa beliau memerhatikan Clyde dan Leon yang mengaku sebagai ‘tuhan’ ini adalah pesakit mental di hospital mental, membuatkan beliau berfikir serta membuktikan bahawa kedua-dua Clyde dan Leon ini gila.

Beberapa bulan berlalu, Dr.Rokeach akhirnya membubarkan kumpulan kawalan pesakit wanita atas sebab-sebab seperti bajet yang tidak mencukupi selain daripada masalah tiga pesakit wanita itu seolah tidak menunjukkan sebarang kepentingan signifikan.

Bagaimanapun, sesi kumpulan Clyde, Joseph dan Leon tetap diteruskan seperti biasa dan ditingkatkan lagi ‘seksaan’ mereka bertiga.

Demi untuk menguji sejauh mana mereka benar-benar percaya pada delusi mereka ini, Dr. Rokeach memberikan mereka bertiga keratan artikel akhbar palsu mengatakan bahawa di dalam artikel tersebut, Dr.Rokeach sedang memberi pengajian tentang kajian beliau mengenai 3 orang pesakit yang mengakui diri mereka sebagai ‘tuhan’.

Leon kemudian membacakan artikel palsu itu untuk didengari semua dan serta merta sedar bahawa ia adalah tentang mereka.

Ini membuatkan raut wajah Leon bertukar muram. Clyde pula seakan menerima kejutan terbesar dan hanya berdiam diri mendengar apa yang dibacakan oleh Leon. Mereka bertiga dikatakan menangis dan sedar sementara daripada delusi mereka, namun ia tidak bertahan lama. Mereka kembali percaya bahawa diri masing-masing adalah “Jesus Christ”.

Selepas itu, Leon dilaporkan berkata seperti berikut kepada Dr.Rokeach:

“Apabila psikologi digunakan untuk merunsingkan, ia bukanlah psikologi lagi. Kau bukan sedang membantu individu itu, kau sedang merunsingkan dia. Dan bila kau merunsingkan dia, kau memperkecilkan kebijaksanaan kau sendiri.”

Dengan kata-kata itu, Leon pun meninggalkan bilik tersebut.

Persoalan Etika Dr.Milton Rokeach.

Dr. Rokeach meningkatkan konfrontasi terhadap pesakit dengan menghantarkan mereka surat palsu yang kononnya dikirim oleh kenalan mereka.

Joseph menyangka beliau menerima surat daripada ‘Dr.Yoder’, seorang pegawai perubatan dan penyelia hospital mental Ypsilanti, tetapi sebenarnya surat itu ditulis oleh Dr.Rokeach sendiri.

Dr. Rokeach mempunyai idea bahawa desakan daripada individu berkedudukan tinggi mungkin mampu untuk mempengaruhi kepercayaan dan kelakuan pesakit.

Walaupun telah diberi amaran dan telah dinasihati oleh pembantu kajian eksperimen tersebut tentang soal moral serta pelanggaran etika, Dr. Rokeach masih berkeras kerana beliau berpendapat bahawa manhaj atau kaedah ini “tiada kerugian jika dilakukan, manakala ia sangat berfaedah jika berjaya.”

Surat pertama oleh ‘Dr.Yoder’ kepada Joseph mendesak supaya Joseph berhenti berkata bahawa beliau berasal dari England, namun Joseph masih berkeras. Kemudiannya, ditulis di dalam surat akan datang mendesak Joseph menghadiri gereja. Dan setelah didesak beberapa kali, barulah Joseph akur.

Selain itu, dengan menyamar, Dr. Rokeach turut meletakkan wang ke dalam sampul surat itu untuk Joseph berbelanja di kedai serbaneka institusi mental tersebut.

Mungkin dengan pemberian wang ini, Dr. Rokeach ingin mendapatkan kepercayaan Joseph dan mengaturkan supaya Joseph lebih menurut arahan yang disertakan di dalam surat. Di dalam surat tersebut, ‘Dr.Yoder’ memanggil Joseph dengan gelaran “Anak ku” dan Joseph pula membalas panggilan ‘Dr.Yoder’ dengan panggilan “Bapa ku yang tercinta”.

Seterusnya, Dr.Yoder palsu itu memberikan Joseph bekalan ubatan, walaupun sebenarnya itu adalah ubatan placebo. Walau bagaimanapun, Joseph memperlihatkan tindakbalas positif kesan daripada pengambilan ubat tersebut.

Namun begitu, Dr.Rokeach yang menyamar, serta merta memutuskan bekalan ubatan kepada Joseph. Ini menyebabkan Joseph kecewa dan bertindak mengutus surat kepada individu paling berkuasa ketika itu iaitu Presiden Kennedy, memohon supaya beliau dilepaskan dari institusi mental tersebut.

Leon juga seperti Joseph turut menjadi ‘mangsa’ kepada penipuan Dr.Rokeach. Beliau menerima sepucuk surat palsu daripada isteri khayalan yang berada di luar hospital mental tersebut, mengatakan bahawa isterinya itu akan melawat Leon dalam masa terdekat.

Leon pada mulanya bersikap skeptik dan tidak mempercayai surat itu datangnya daripada isteri beliau. Kesan daripada ‘cubaan penipuan’ tersebut, Leon menjadi lebih murung dan kurang menghormati serta bertindak kasar terhadap staf wanita di hospital.

Namun ini tidak menghalang Dr.Rokeach dari terus menghantar surat demi surat kepada Leon dan menyamar sebagai isterinya. Hasil dari ‘penipuan’ berterusan ini membuat Leon percaya kepada ‘ilusi kebenaran’ dan mula mempercayai bahawa surat-surat tersebut ditulis ‘isteri’ beliau sendiri.

Di dalam surat tersebut, ‘isteri’ beliau mengatakan bahawa dia akan melawat Leon dalam masa terdekat. Leon dengan terujanya bersiap dan mandi serta bercukur apabila tiba tarikh pertemuan yang dijanjikan mereka berdua. Namun setibanya waktu dijanjikan, Leon dikecewakan apabila ‘isteri’ beliau tidak hadir ke hospital tersebut untuk melawat. Perkara ini berulangkali terjadi dan membuat Leon sangat kecewa dan marah disebabkan perkara itu.

Selain daripada surat-surat palsu tersebut, Dr.Rokeach “pergi lebih jauh” apabila mengupah seorang wanita cantik bernama Cik Anderson untuk berinteraksi bersama Leon.

Dr.Rokeach ingin menguji sekiranya perasaan cinta itu mampu untuk membuat Leon mengabaikan delusi beliau dan kembali normal. Namun seperti eksperimen awal yang lain, kaedah ini menemui jalan buntu apabila Leon mula sedar bahawa Cik Anderson juga berlakon untuk mendapatkan perhatian beliau.

Ini membuat Leon lebih kecewa dan beranggapan bahawa semua di hospital tersebut cuba untuk mempermainkan perasaan beliau.

Leon akhirnya enggan bertemu dengan Cik Anderson dan enggan ke sesi psikoterapi berkumpulan. Dan pada suatu hari, Leon dilaporkan berkata, “Kebenaran itu adalah rakanku, dan aku tidak punya sesiapa.”

Pengakhiran

Eksperimen “Three Christ” itu akhirnya ditamatkan pada 15 Ogos 1961. Setelah hampir 25 bulan dalam eksperimen, dua daripada tiga pesakit tersebut iaitu Clyde dan Joseph tidak pulih dari delusi bahawa mereka itu ‘tuhan’ @ “Jesus Christ”. Leon bagaimanapun berhenti dari mengaku beliau ‘tuhan’, namunmempunyai delusi baharu iaitu beliau mula menggelar diri sebagai “Dr. Righteous Idealized Dung” serta mempercayai bahawa beliau sebenarnya makhluk lagenda Yeti.

Dr.Rokeach kemudian menerbitkan sebuah buku tentang eksperimen psikologi tersebut pada tahun 1964 yang bertajuk “Three Christ of Ypsilanti”.

Pada tahun 1981, Dr.Rokeach melakukan revisi buku beliau yang bertajuk “Some Second Thoughts About the Three Christs: Twenty Years Later.” Turut diakui dalam buku kedua tersebut, tentang pelanggaran etika serta cubaan Dr. Rokeach menjadi ‘tuhan’ dalam eksperimen terhadap ketiga-tiga pesakit itu dengan cara penipuan dan kawalan terhadap rutin harian mereka.

Berikut adalah tulisan Dr.Rokeach di dalam buku tersebut;

“While I had failed to cure the three Christs of their delusions, they had succeeded in curing me of mine—of my God-like delusion that I could change them by omnipotently and omnisciently arranging and rearranging their daily lives within the framework of a “total institution. I came to realize, dimly at the time but increasingly more clearly as the years passed, that I really had no right, even in the name of science, to play God and interfere around-the-clock with their daily lives.”

Kredit:

The Three Christ of Ypsilanti by Milton Rokeach. New York Review of Books. ISBN 978-1-59017-398-5.

Three Thrown Over the Cuckoo’s Nest. Retrieved from: https://www.damninteresting.com/three-thrown-over-the-cuck…/

The True Story Behind The Failed Psychological Experiment Of The Three Christs of Ypsilanti. Retrieved from: https://allthatsinteresting.com/three-christs

Jesus, Jesus, Jesus. Retrieved from: https://slate.com/…/the-three-christs-of-ypsilanti-what-hap…