27 Januari setiap tahun diraikan sebagai hari memperingati peristiwa Holocaust. Tarikh tersebut dipilih kerana pada hari itu, tahanan-tahanan dari kem tahanan Auschwitz-Birkenau dibebaskan, majoritinya berbangsa Yahudi. Selain orang Yahudi, bangsa lain seperti Roma dan Slavik turut menjadi mangsa kekejaman rejim Nazi Jerman. Maka tidaklah mengejutkan bahawa mereka juga diingati pada hari tersebut. Tetapi dalam pada itu, tidak ramai tahu bahawa orang kulit hitam juga menjadi mangsa kekejaman rejim Nazi.

Pada abad ke-19, sesetengah negara Afrika dijadikan sebagai wilayah jajahan Empayar Jerman. Antara negara yang terkesan ketika itu ialah Togo dan Namibia. Tetapi itu tidak bermakna Jerman menerima mereka sepenuhnya. Walaupun pada akhir abad ke-19 dan sebelum Perang Dunia Pertama (WWI), perkahwinan campur masih lagi dibenarkan, sesetengah pegawai koloni enggan membenarkan ia berlaku. Alasan mereka, perkahwinan campur sebegini menggugat bangsa kulit putih Jerman. Menjelang tahun 1912, isu ini dibincangkan di Reichstag (Parlimen Jerman) di mana mereka bimbang anak-anak yang lahir dari perkahwinan campur ini boleh mendapat kerakyatan Jerman, sekaligus membawa kepada hak pengundian, boleh berkhidmat dalam tentera dan memegang jawatan awam seperti mana orang kulit putih Jerman.

Dan selepas WWI, wujudnya satu istilah dipanggil ‘Rhineland Bastards’ kepada anak-anak kacukan Afrika-Jerman. Mereka ini lahir hasil daripada hubungan wanita Jerman-askar koloni Afrika. Media Jerman sering menyiarkan laporan palsu mengatakan mereka merogol wanita Jerman. Namun hakikatnya, penduduk tempatan menganggap mereka berbudi bahasa dan popular kerana tidak menunjukkan perasaan dendam terhadap warga Jerman berbanding tentera Perancis sendiri. Berbanding laporan propaganda Jerman yang dijadikan hujah untuk memerangi mereka oleh rejim Nazi, hanya 400-600 kanak-kanak saja yang dilahirkan dari hubungan sebegitu berbanding jumlah populasi 20,000-25,000 warga kulit hitam di Jerman ketika itu.

Tetapi itu tidak menghalang ramai dari mengecam dan menyelar orang kulit hitam sebagai perosak kehebatan bangsa kulit putih Jerman. Buktinya, coretan Adolf Hitler dalam memoirnya, Mein Kampf, “Orang Yahudi bertanggungjawab membawa orang-orang kulit hitam ke Rhineland dengan idea merosakkan bangsa kulit putih yang mereka benci. Dari situ, orang Yahudi boleh mengurangkan tahap politik dan budaya bangsa kulit putih agar bangsa ini dapat didominasi oleh mereka.” Dalam catatan lain, Hitler turut menyifatkan plot di Rhineland sebahagian daripada plot Perancis berikutan peningkatan penduduknya yang berkulit hitam.

Dan selepas Hitler naik sebagai Cancelor Jerman dan penguatkuasaan Undang-Undang Nuremberg, kebanyakan golongan minoriti Jerman dilayan seperti bangsa asing di negara sendiri termasuk orang kulit hitam. Bagi memburukkan lagi keadaan, timbul satu kajian dari seorang ahli antropologi Jerman bernama Dr Wolfgang Abel berkenaan kanak-kanak Afrika-Jerman dan Asia-Jerman. Dalam kajian tersebut, Abel menyifatkan kanak-kanak kacukan ini agresif, psikotik dan dianggap lemah berbanding kanak-kanak bangsa Aryan. Beliau turut menyifatkan wanita yang mengandungkan anak-anak ini tercemar kerana menjadi medium bagi bangsa asing untuk melahirkan anak-anak sebegini.

Akibatnya,  pada tahun 1937, Gestapo diarahkan mengumpul orang kulit hitam seramai mungkin. Ramai dibunuh, dihantar untuk dimandulkan atau dipaksa jadi bahan uji kaji manusia. Bagi orang kulit hitam bukan warga Jerman pula, mereka tidak dihantar pulang. Kebanyakan mereka turut dibunuh atau dipenjarakan tanpa bicara. Dan bagi ‘Rhineland Bastards’ pula, mereka dipaksa menjalani proses pemandulan seperti diarahkan oleh rejim. Berdasarkan rekod, lebih 400 proses pemandulan direkodkan tetapi ada yang terselamat dari proses tersebut seperti Hans Massaquoi. Massaquoi terselamat berikutan status beliau sebagai cucu kepada raja puak Vai di Liberia, Momolu Massaquoi. Pihak Nazi mahu mempergunakan status beliau sekiranya mereka berjaya merampas semula wilayah-wilayah Afrika yang terlepas dari tangan Jerman selepas WWI. Bagi wanita-wanita Jerman yang mengandung hasil dari hubungan dengan lelaki berketurunan Afrika, mereka dipaksa menggugurkan kandungan.

Selain dipaksa menjalani proses pemandulan, mereka juga dinafikan hak bekerja, hak kerakyatan dan hak untuk berkahwin dengan lelaki atau wanita kulit putih Jerman. Kanak-kanak kulit hitam pula dinafikan hak bersekolah dan ramai tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran ke universiti atau mendapatkan latihan profesional. Dan apabila peluang bekerja semakin berkurangan, warga Afrika-Jerman ini turut dipaksa berlakon dalam filem-filem propaganda Nazi yang memaparkan kepulangan koloni-koloni Afrika kepada Jerman sebagai sumber pendapatan. Lebih buruk, ada juga dipaksa menjadi sebahagian daripada hiburan sarkas di mana mereka dipaksa memakai skirt rumput, duduk di hadapan pondok lumpur dan berlagak seperti orang gasar. Warga Jerman yang menonton akanketawa dan mengejek mereka tanpa mengetahui orang yang digelakkan itu sebenarnya boleh berbicara dalam Bahasa Jerman. Berdasarkan statistik, 400 zoo manusia wujud di Jerman pada tahun 1930-an. Selepas ia diharamkan pada tahun 1939, mereka dipaksa bekerja sebagai buruh paksa dan dilabel buruh asing semasa Perang Dunia Kedua (WWII).

Ada sesetengah askar kulit hitam yang bernasib baik berkhidmat sebagai tentera Wehrmacht semasa WWII. Tetapi bilangan mereka amat sedikit. Namun itu tidak menghalang mereka dari mendaftar sama ada dengan Hitler Youth atau Wehrmacht. Dan ada juga warga kulit hitam bukan kerakyatan Jerman yang mendaftar sebagai askar upahan semasa kempen di Afrika bersama Afrika Korp dan Timur Tengah. Ini yang mendorong Wehrmacht menubuhkan legion tertentu seperti dalam satu kes, Legion Arab Bebas yang ditubuhkan oleh Mufti Baitulmaqdis, Mohammed Amin al-Husseini. Semasa kempen Nazi di Tunisia, ramai warga Arab Tunisia dikerah menyertai legion tersebut.

Berdasarkan rekod, tiada polisi rasmi berkenaan warga kulit hitam Jerman. Cadangan polisi rasmi berkenaan mereka pernah dipertimbang oleh ketua Schutzstaffel (SS), Heinrich Himmler semasa mengadakan tinjauan berkenaan bilangan populasi kulit hitam di Jerman dan negara-negara jajahan Nazi Jerman. Himmler pernah mempertimbang untuk mengumpulkan mereka seperti mana yang dilakukan populasi Yahudi tetapi ia tidak pernah dilaksanakan. Walau bagaimanapun, itu tidak menghalang rejim dari menahan dan memenjarakan mereka dalam kem-kem tahanan Nazi. Antara mangsa kekejaman rejim:

a) Hilarius Gilges merupakan seorang artis jalanan Afrika-Jerman berusia 24 tahun dan merupakan anak jati Dusseldorf, Jerman. Merupakan anak kepada seorang pekerja tekstil wanita Jerman dan lelaki Afrika yang tidak dikenali, pegawai-pegawai SS menahannya bukan saja atas sebab warna kulit tetapi juga kerana pendirian politiknya yang berbeza. Dan semasa dalam tahanan, mereka menyeksa dan membunuh Gilges, sekaligus menjadikan dirinya mangsa pembunuhan pertama di Dusseldorf semasa pemerintahan rejim. Sebagai memperingati Gilges, sebuah plaza di bandar itu dinamakan sempena namanya pada tahun 2003.

b) Valaida Snow merupakan bintang jazz yang meningkat naik. Berbakat dalam bidang nyanyian dan tarian, wanita jelita ini juga mahir bermain alat muzik termasuk saksofon dan klarinet. Pada tahun 1939, rakannya yang juga pejuang pembebasan Perancis, Josephine Baker memberi amaran akan kemunculan rejim Nazi dan menasihatkan Snow untuk pulang ke Amerika Syarikat. Tetapi Snow pergi ke Denmark, salah satu negara yang dijajah Nazi. Di situlah, beliau ditahan dan dipenjarakan di kem tahanan Wester-Faengle. Selepas 18 bulan dalam tahanan, Snow dibebaskan sebagai pertukaran tawanan dan kembali ke New York dalam keadaan hampir mati dan mempunyai berat 65 paun. Beliau kembali semula ke pentas sebagai penghibur tetapi trauma yang membelenggunya semasa dalam tahanan mengubah dirinya menjadi orang yang berbeza.

c) Mahjub bin Adam Mohamed merupakan askar yang berkhidmat dengan Jerman semasa WWI di koloni Timur Afrika Jerman. Selepas tamat perang, Mahjub berhijrah ke Jerman dan berkahwin dengan seorang wanita dari Sudetenland. Dan seperti ramai warga kulit hitam Jerman, beliau berlakon dalam beberapa filem yang memerlukan watak orang kulit hitam. Dan pada masa ini juga, Mahjub turut mempunyai hubungan dengan beberapa wanita Jerman dan mendapat beberapa orang anak. Rejim Nazi tidak menyukai apa yang dilakukannya lalu beliau ditahan atas tuduhan merosakkan kesucian bangsa Aryan. Mahjub ditahan tanpa bicara di kem tahanan Sachsenhausen dan meninggal dunia tiga tahun kemudian. Mahjub diberi penghormatan sebagai lelaki kulit hitam pertama diberikan memorial di Jerman sebagai mangsa kekejaman rejim Nazi.

Dendam rejim Nazi Jerman tidak terhenti pada warga kulit hitam Jerman saja, ia termasuk mana-mana warga kulit hitam yang dianggap memusuhi rejim. Semasa Perang Perancis, ramai askar Perancis termasuk askar-askar dari koloni mereka ditawan. Dan mereka menjadi mangsa jentera propaganda Jerman yang menganggap mereka sebagai hamba kepada Perancis yang memerangi rejim atas alasan menyelamatkan tamadun manusia dari jadi mangsa rejim. 3,000 pegawai dan tentera Afrika-Perancis ini dihukum bunuh semasa dalam tahanan. Dan jika ada yang merasakan mereka mendapat layanan saksama dalam kem, anda salah. Mereka turut didiskriminasi dan mendapat layanan lebih buruk berbanding rakan tawanan yang berkulit putih. Dan sebagai tambahan, tiada sebarang usaha merekodkan bilangan askar atau orang awam berkulit warna yang terbunuh semasa kempen Afrika Korp di Afrika Utara atau di Timur Tengah. Walaupun ada yang berhujah perang berlaku di kawasan gersang, tetapi itu juga menunjukkan sikap diskriminasi dan tiada usaha untuk mengiktiraf mereka yang terbunuh ini.

Mungkin atas sebab inilah, mengapa respon Jerman terhadap krisis pelarian yang melanda Eropah bercampur-campur. Pengajaran yang diambil dari peristiwa Holocaust dan respon kelompok liberal terhadap usaha kemanusiaan ini seharusnya dipuji. Namun pada masa sama, respon kelompok pelampau haluan kanan yang bimbang akan situasi imigran ini. Ia sebenarnya merujuk pada satu visi masyarakat Jerman sejak tahun 1945; idea walau seberhak mana kelompok ini diberi peluang di Jerman, selagi mana mereka bukan berkulit putih, selagi itulah mereka tidak layak digelar warga Jerman.

Walau bagaimanapun, pengakhiran rejim Nazi Jerman selepas WWII ini bukan bermakna pengakhiran kepada diskriminasi Afro-Jerman. Ini kerana timbul satu laporan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi amaran kepada pelancong-pelancong kulit hitam dari tidak pergi ke kawasan-kawasan gelap dan tinggi risiko jenayah. PBB turut menyiasat dakwaan guru-guru Jerman sengaja memberi gred rendah kepada kanak-kanak Afro-Jerman dan berlakunya diskriminasi dari segi pekerjaan terhadap kelompok ini.

SUMBER

  1. Apocalypse: The Second World War. (2009). National Geographic. Episod 2: The Crushing Defeat. https://www.youtube.com/watch?v=ESw9e0E2qZk
  2. Rosenhaft, Eve. (2016). The Conversation. What happened to black Germans under the Nazis? https://theconversation.com/what-happened-to-black-germans-under-the-nazis-53599
  3. Quinn, Shannon. (2017). Listverse. 10 Facts About The African Experience In Nazi Germany. http://listverse.com/2017/11/19/10-facts-about-the-african-experience-in-nazi-germany/
  4. Oduah, Chika. The Huffington Post. The Afro-German Experiment Under Hitler. https://www.huffingtonpost.com/chika-oduah/the-afrogerman-experience_b_9234700.html

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.