Ejen Ali: Realiti Masa Depan Manusia

6,163

“Throughout history, the rich and the aristocracy always imagined that they had superior skills to everybody else, which is why they were in control. As far as I can tell, this wasn’t true. The average duke wasn’t more talented than the average peasant. He owed his superiority only to unjust legal and economic discrimination.

However, by 2100 the rich might really be more talented, more creative and more intelligent than the slum-dwellers. Once a real gap in ability opens between the rich and the poor, it will become almost impossible to close it.”

— Yuval Noah Harari

Ejen Ali: The Movie memberikan gambaran masa depan manusia — paling jelas sudut sosial dan teknologi. Menurut Harari, di masa lalu, jurang perbezaan kaya dan miskin hanyalah pada pemilikan kekayaan. Namun, 100 tahun akan datang, jurang ini bertambah jauh bukan saja pemilikan, tetapi kemahiran kerana yang kaya mampu meningkatkan kemahiran dirinya dengan memiliki pelbagai teknologi canggih.

Yang kaya akan mampu menjadi semakin pandai dan semakin pintar kerana pemilikan teknologi pintar yang canggih. Memiliki maklumat dengan lebih banyak, pantas dan maju. Sampai satu masa, orang yang lemah fizikal pun boleh jadi kuat melalui bioteknologi apabila berduit kerana memiliki teknologi tersebut.

Saya dapat melihat gambaran ini dalam Ejen Ali: The Movie. Simbol kemiskinan yang ditayangkan dalam filem ini bukan sekadar jurang kelas berduit dan tidak berduit, tetapi juga jurang kelas pemilikan teknologi dan kelas yang tidak memilikinya. Kita dapat lihat, betapa kuatnya fokus dalam filem yang mana kelas miskin bergantung kuat kepada teknologi. Mereka tidak cari makanan, kerja ataupun wang, mereka mencari teknologi untuk hidup. Ini serius antara elemen menarik dalam filem Ejen Ali. Konflik yang timbul antara kelas ini telah melahirkan watak antagonis yang cukup hebat.

Anda mungkin anggap Ejen Ali untuk kanak-kanak, tetapi perkembangan watak antagonis telah memberikan persoalan moral kepada penonton yang mungkin kanak-kanak tak mampu fikirkan.

Biasanya tema watak cerita kanak-kanak hanya menumpu pada hitam dan putih, baik dan buruk, betul dan salah. Tetapi animasi Ejen Ali mengkaburkan antara dua pola itu dan memunculkan dilema. Premis masalah jurang sosial tadi telah melahirkan perkembangan watak yang baik dalam memicu persoalan moral antara watak protagonis dan watak antagonis. Pada saya, itu antara keadilan perkembangan watak yang patut ditonjolkan pada era kini.

Animasi ni juga banyak menumpu pada teknologi canggih IRIS yang mempunyai kemampuan mengawal peranti di sekeliling pemakainya. Tahukah anda, teknologi IRIS sebenarnya bukan lagi fiksyen. Ia sedang dibangunkan oleh Elon Musk iaitu Neuralink. Peranti yang bersambung dengan neuro dalam otak dan membolehkan manusia untuk mengawal pelbagai peralatan dan peranti di sekeliling mereka.

Elon Musk mencipta Neuralink bertujuan untuk membantu orang sakit seperti lumpuh supaya mereka dapat menjalankan kehidupan seharian mereka dengan lebih baik tanpa menyusahkan orang lain. Mungkin anda melihat IRIS hanya bertujuan membanteras jenayah, tetapi ia dapat lakukan lebih daripada tujuan itu seperti yang Musk usulkan untuk projek Neuralink.

Animasi ini juga memberikan gambaran bagaimana “jiwa” dan “intelek” orang yang telah mati dapat disimpan dalam bentuk data dan dimuat naik ke dalam komputer atau peranti gajet. Teknologi ini belum ada tetapi ia telah menjadi teknologi spekulatif dalam kalangan saintis.

Ejen Ali: The Movie dapat memberikan kesedaran bahawa pembangunan teknologi pada hari ini sebahagiannya bermula dari sains fiksyen yang memberikan inspirasi dan aspirasi serta pemangkin kepada manusia ketika era 50 hingga 60-an.

Animasi ini sedikit memberikan refleksi tentang penguasaan teknologi ke atas manusia. Namun, filem Ejen Ali memberikan anti-tesis bahawa teknologi hanyalah peralatan, yang penting siapa yang gunakannya. Animasi ini agak beremosi, ada seorang budak di depan saya tadi menangis ketika klimaks. Saya juga rasa tersentuh. Serius elemen emosi dalam filem disampaikan dengan begitu baik. Animasi dan aksi dalam animasi ini sangat terbaik. Persembahan cerita, perkembangan watak, garapan emosi, semua terbaik.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.