Ego Dan Kebiadaban Migrasi Era Globalisasi

0
682
views

Prof. Dietrich Jung dari Universiti Denmark Selatan merupakan kenalan lama Jabatan Sejarah UIAM dan merupakan seorang berkebangsaan Dani-Jerman yang ceria, ramah dan jelas lontaran buah fikirannya.

Beliau mengupas dapatan kajian beliau terhadap minoriti Muslim di Eropah. Saya dapati situasi anti-orang dagang di sana lebih kurang dengan yang di sini. Masyarakat jelak dengan sikap ego kelompok globalis yang percaya mereka berhak mendapat layanan sama rata hatta di negeri orang sedangkan setiap anak negeri itu jelas mempunyai hak keistimewaan yang unik kerana mereka memikul bagasi beban sejarah masa lampau negeri mereka yang tidak ada pada orang dagang, hatta jarang wujud perasaan simpati dan empati terhadap memori peribumi tersebut.

Kegagalan kerajaan liberal demokrat melindungi hak peribumi dan pelbagai bentuk pembulian yang datang dari arah luar menyebabkan masyarakat mula beralih arah menjadi kelompok dalaman dan memberi kepercayaan kepada blok Kanan dan Kebangsaan dan yang lebih ekstrem adalah dengan mula mendekati, walaupun dalam mukadimah yang teragak-agak akan tokoh-tokoh autokrat seperti Donald Trump.

Waqaf Saham

“Zaman liberal sudah berakhir di Eropah tidak seperti pada zaman saya masih kecil dahulu”, kata beliau.

Di Eropah yang berlainan realitinya dengan Kepulauan Britain, Amerika dan Rusia, ia bukan masalah siapa anda atau dari mana anda tapi lebih kepada persoalan bagaimana anda membentuk rupa kekitaan yang dapat diterima semua. Atas sebab itu profesor menyatakan bahawa katalog penerimaan dan tidak penerimaan identiti orang dagang adalah berbeza-beza mengikut negeri kerana pengalaman yang ditempuhi masyarakat negeri tersebut beserta konteksnya juga adalah berbeza. Masalah kemasukan orang dagang ini akan menyebabkan pertembungan nilai antara perkumpulan peribumi dan orang dagang.

Masalah ini agak jarang didengari dalam kalangan masyarakat klasik Melayu kerana kita mempunyai hukum adat dan adab yang menggarisi tatacara kita keluar masuk menjadi dagang ke negeri orang dan secara amnya ia merupakan hikmah budi yang ada pada hampir semua masyarakat Timur yang purana sehingga datangnya era globalisasi telah mencipta satu sistem baharu mobilasi masyarakat dunia yang biadab. Permasalahan ini menghasilkan keperluan baharu untuk umat Islam mencorak satu garis panduan dan sistem migrasi, yakni juzuk baharu dan komprehensif ‘Fikah Migrasi’ yang majoritinya melibatkan umat Islam.

Pepatah kita ada mengatakan “dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung” dan “masuk kandang kambing mengembek masuk kandang lembu menguak”, menjadi sintesis kepada corak pembauran kelompok orang dagang yang bertandang. Tolak ansur kedua-dua pihak mengandaikan, pertama proses mempertahankan hak dan identiti peribumi, manakala kedua orang dagang pula diberi ruang untuk mengekalkan rupa asal mereka namun dimasukkan nafas peribumi sebagai satu bentuk persepakatan kebudayaan. -t