EA Vs Reddit: Kapitalis Vs Komuniti Internet

2830
views

Tahun lepas merekodkan satu peristiwa yang boleh dikira bermakna buat komuniti maya terutamanya komuniti permainan video (gaming). Buat pertama kalinya sebuah post di Reddit membawa impak yang besar sehingga menyebabkan sebuah syarikat kerugian berbillion dollar,memaksa akta baru untuk dibincangkan dan juga membuka mata semua orang dalam industri. Mungkin ramai di Malaysia tidak tahu tentang perkara ini,tapi saya ingin berkongsi cerita ini kerana ia memberi pengajaran bahawa sesiapa sahaja (walaupun anda hanya duduk di kerusi berkongsi post di internet) boleh membawa perubahan. Inilah dia EA ( Electronic Arts ) vs Reddit.

Sebelum bermula mari kita kenal dulu siapa yang bertanding:

Di bucu kanan ( Electronic Arts )

Electronic Arts (EA) adalah antara syarikat permainan video terbesar di dunia dengan nilai bersih menjangkau sehingga 33 billion US dollar dan keuntungan tahunan sehingga 4 billion us dollar setahun. EA memiliki banyak IP (intellectual property) antaranya yang paling popular di Malaysia adalah FIFA, Need For Speed, Battlefield dan juga Command and Conquer.

Pada tahun 2013, EA mengumumkan yang mereka menerima hak eksklusif dari Disney untuk membangunkan dan menerbitkan permainan video dari francais Star Wars. Ini menjadikan EA satu-satunya syarikat permainan yang boleh menerbitkan permainan video dari Star Wars sehingga tahun 2023. EA tidak membuang masa dan terus menerbitkan permainan video Star Wars Battlefront pada tahun 2015 dan Star Wars Battlefront 2 pada tahun 2017. Star Wars Battlefront 2 lah yang menjadi pemangkin pertarungan ini.

Di Bucu Kiri (Reddit)

Reddit adalah satu platform pengumpul berita, berita sosial di dunia maya (seperti forum). Dengan lebih mudah kita boleh menyamakan reddit ni dengan forum-forum seperti lowyat.net. Ditubuhkan pada tahun 2005 oleh Steve Hoffman dan Alexis Ohanian, Reddit kini mempunyai 243 juta pengguna yang menjadikannya laman sesawang ke-8 terbesar di dunia. Sesiapa sahaja pengguna berdaftar boleh memuat naik gambar, teks, video ataupun pautan ke reddit dan pengguna berdaftar boleh “upvote” ,“ downvote”, ataupun komen pada post tersebut.

Reddit mempunyai banyak saluran (atau “subreddit”) yang beroperasi mengikut minat pengguna, seperti subreddit untuk sains, teknologi dan juga permainan video. Ada juga subreddit yang didedikasikan khas untuk peminat siri, filem atau permainan video tertentu. Untuk pertarungan ini subreddit yang terlibat adalah subreddit khusus untuk Star Wars Battlefront (r/StarWarsBattlefront).

Kronologi Pertarungan

Star Wars Battlefront adalah sebuah permainan video aksi tembak menembak yang bersandarkan pada francais filem Star Wars. Diterbitkan pada tahun 2015, ia adalah remake dari permainan video klasik dengan nama yang sama. Terbitan yang pertama,Star Wars Battlefront 1, walaupun mencatat jualan yang memberansangkan (14 juta salinan dalam masa 6 bulan), ia menerima kritikan hebat dari peminat permainan video terutamanya dari segi kandungan (semua permainan hanya atas talian, dan tiada kempen pemain solo (single player campaign). EA berjanji untuk menambah kandungan untuk pemain solo yang tidak bermain atas talian pada keluaran keduanya (Star Wars Battlefront 2), tetapi dalam diam EA menambah format mikrotansaksi dalam Star Wars Battlefront 2 untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Pada awal November 2017, EA mengumumkan yang Star Wars Battlefront 2 (SWBF2) sudah boleh dimiliki awal dalam tempoh percubaan untuk mereka yang melanggan servis EA Access. Ketika itulah peminat mendapati sesuatu yang tidak kena. SWBF2 dipenuhi dengan sistem mikrotransaksi sehinggakan watak-watak, atau karakter yang popular di dalam Star Wars (seperti Darth Vader dan Luke Skywalker) dikunci sehinggalah anda membayar amaun tertentu ataupun dengan bermain lama untuk membolehkan karakter tersebut ‘dibuka kuncinya’. Ianya boleh diperumpamakan seperti anda membayar RM 15 untuk menonton filem, tetapi anda tidak boleh menonton penamat filem tersebut sehingga anda membayar lagi RM 5 untuk menonton pengakhiran filem. Begitulah teruknya sistem mikrotransaksi dalam SWBF2.

Peminat menjadi berang dan meluahkan perasaan di Reddit. Seorang pengguna u/TheHotterPotato membuat analisis terperinci (menggunakan Excel spredsheet) dan membuat kesimpulan yang ia memerlukan sehingga 40 jam tempoh bermain untuk membolehkan watak-watak tersebut ‘dibuka kuncinya’.  Pengguna bernama u/MBMMaverick meluahkan kekesalannya di Reddit dan berhasrat untuk membatalkan pembeliannya dan meminta pemulangan duit dari EA. EA membalas post tersebut dengan jawapan paling politik yang “tujuan mereka hanyalah untuk memberi perasaan bangga dengan kejayaan mereka membuka kunci untuk karakter-karakter yang mereka ingini”. Komen tersebut menjadi komen yang paling banyak “downvote” dalam sejarah Reddit dengan 607,000 downvote.

Impak

Post tersebut mendapat perhatian media-media elektronik seperti Kotaku, The Verge dan juga media-media utama seperti BBC. EA memberi respons dengan berjanji untuk membuang sistem mikrotransaksi sepenuhnya dari SWBF2. Tetapi segalanya sudah terlambat, saham EA jatuh merundum menyebabkan EA kerugian sehingga 3 billion US Dollar. Jualan SWBF2 mereka merosot berbanding iterasi yang lepas

Sesetengah negara seperti Belgium berhasrat untuk mengharamkan penjualan SWBF2 dan Chris Lee seorang ahli politik Amerika memberi tentangan yang keras terhadap praktis EA dan berhasrat untuk mengkaji akta untuk mengawal selia sistem mikrotransaksi dalam permainan video. Walaupun EA hanya hilang 3 billion USD dari nilai mereka yang berjumlah 33 billion itu,tetapi semua orang dalam industri sudah mula membuka mata mereka untuk mengawal selia sistem mikrotransaksi dalam permainan video supaya lebih adil kepada pengguna

Kesimpulan

Ini bukan kali pertama diserang komuniti maya seperti ini. EA pernah diundi sebagai syarikat paling terburuk di Amerika untuk dua tahun berturut-turut pada tahun 2012. Ianya tahun yang sama didedahkan bahawa kilang Apple di China beroperasi dalam keadaan yang sangat teruk sehingga memaksa orang membunuh diri. Bagi peminat peminat permainan video, keadaan permainan video mereka lebih penting dari nyawa orang di China. Tapi itu bukan mesej artikel ini, mesejnya adalah jika satu post tentang permainan video sahaja boleh membawa impak sebegini rupa, bagaimana jika post itu berkenaan dengan isu-isu yang lebih penting?

Rujukan:

https://www.rockpapershotgun.com/2012/04/05/erm-ea-voted-worst-company-in-america/

https://www.reddit.com/r/StarWarsBattlefront/comments/7cff0b/seriously_i_paid_80_to_have_vader_locked/

https://kotaku.com/a-guide-to-the-endless-confusing-star-wars-battlefront-1820623069

https://en.wikipedia.org/wiki/Star_Wars_Battlefront_II_(2017_video_game)

https://en.wikipedia.org/wiki/Electronic_Arts

https://en.wikipedia.org/wiki/Reddit

Sumber Gambar:

https://me.me/i/who-would-win-the-entire-redit-comunity-one-greedy-boi-19427899

https://www.digitaltrends.com/computing/may-the-force-be-with-gpu-star-wars-battlefront-now-free-with-amd-fury-cards/