Yeah! E3 2019 baru sahaja melabuhkan tirainya. Satu acara yang gilang gemilang buat peminat industri permainan video di seluruh dunia. Buat yang tidak mengetahui, E3, ataupun Electronic Entertainment Expo merupakan ekspo tahunan terbesar industri permainan video yang diadakan di Los Angeles.

Ketika ekspo inilah syarikat-syarikat permainan video besar seperti Microsoft, Sony dan Nintendo akan mempersembahkan permainan-permainan video baharu terbitan mereka, dan jika ada, konsol terbaharu yang akan mewarnai industri permainan video dalam tahun-tahun mendatang. E3 kali ini tidak kurang hebatnya dan menjanjikan pelbagai pengumuman dan kisah-kisah menarik bagi peminat permainan video di luar sana.

Dilangsungkan dari 12-14 Jun, E3 kali ini sangat menarik dan memberi sedikit gambaran tentang masa depan industri permainan video pada masa akan datang. Di sini saya rumuskan dan ulaskan segala yang berlaku ketika ekspo terbesar permainan video ini berlansung.

Yang Baru….

Gambar 2: Halo Infinite
Sumber: https://venturebeat.com/2019/06/09/halo-infinite-debuts-in-holiday-2020-with-project-scarlett-game-console/

Kebanyakan mereka yang menonton E3 mengharap atau menanti pengumuman permainan-permainan video yang baru. Dan E3 kali ini penuh dengan pengumuman permainan-permainan video yang baharu tidak kiralah sama ada dari syarikat yang besar mahupun syarikat indie. Kita ada permainan video RPG Star Wars baharu (Star Wars: Jedi Fallen Order) yang dibikin oleh Respawn Entertainment (pembikin Titanfall dan Apex Legends) dan diterbitkan oleh EA.[1]

Selain itu kita juga ada permainan video dari Bethesda seperti Ghostwire: Tokyo yang dibikin oleh pencipta The Evil Within.[2] Tidak dilupakan juga Deathloop yang dibikin oleh Arkane Studios, pencipta Dishonored.[3] Ubisoft pula tidak ketinggalan dengan pengumuman Gods & Monsters yang dibikin oleh pasukan yang sama yang menghasilkan Assassin’s Creed Odyssey.[4]

Bagi peminat sekuel pula, ada beberapa permainan video sekuel yang diumumkan. Antaranya Halo: Infinite, Dying Light 2, Borderlands 3 dan juga Doom: Eternal. [5] Nintendo juga tidak ketinggalan dan mengumumkan sekuel kepada permainan video popular mereka, The Legend of Zelda: Breath of the Wild, Luigi Mansion 3 termasuklah Pokemon Sword and Shield.[6] Jelaslah, E3 kali ini menjanjikan pelbagai permainan video yang baharu, cukup untuk memuaskan selera peminat permainan video di luar sana.

Yang Menggembirakan dan Menggemparkan….

Gambar 3: Keanu Reeves!!!!!!!
Sumber: https://reviewjunkies.com/cyberpunk-2077-official-cinematic-trailer-ft-keanu-reeves-e3-2019/

Dalam acara yang besar seperti ini, sudah tentulah akan ada pengumuman dan berita yang menggemparkan dan juga menggembirakan peminat. Antara yang menarik perhatian adalah pengumuman tarikh perlancaran untuk remake Final Fantasy VII yang sangat-sangat dinantikan peminat. Selain itu kita juga ada pengumuman remastered bagi Final Fantasy VIII, salah satu lagi permainan video klasik yang cukup diminati peminat Final Fantasy.[7]

Peminat siri Call of Duty pasti bergembira apabila mengetahui yang Captain Price akan kembali dalam siri Call of Duty:Modern Warfare. Bagi peminat Marvel pula, Square Enix mengumumkan tentang permainan video Avengers yang dibikin oleh Crystal Dynamics, pembikin Tomb Raider. Permainan video dari Hideo Kojima juga didedahkan dengan tarikh perlancaran membuatkan peminat melonjak kegembiraan. [8]

Microsoft tidak ketinggalan apabila mengumumkan konsol terbaharu Xbox, yang dipanggil sebagai Project Scarlett.[9] Seorang pembangun permainan video wanita, Ikumi Nakamura mencuri tumpuan peminat (dan menjadi sohor kini di Twitter) dengan lagak bersahaja dan comelnya ketika mengumumkan permainan videonya di atas pentas. [10]Tapi kisah itu semua hanyalah cebisan dengan impak yang minima kepada peminat.

Peristiwa yang paling menggemparkan berlaku apabila Keanu Reeves naik ke atas pentas dan mengumumkan tarikh perlancaran permainan video Cyberpunk 2077. Ia adalah sesuatu yang sangat tidak dijangka dan Keanu Reeves akan memainkan salah satu watak dalam permainan video itu, Johnny Silverhand. Wargamaya meledak dengan berita ini menjadikan momen ini sebagai antara momen terbaik sepanjang E3 2019.[11]

Yang Menjelikkan….

Gambar 4: Video Game Marvels’ Avengers
Sumber: https://www.digitalspy.com/tech/a28045555/marvels-avengers-video-game-xbox-ps4-costumes-change-fan-backlash/

Jika ada berita yang menggembirakan, sudah tentulah ada berita yang menjelikkan dan mengecewakan peminat. Yang pertama adalah permainan video Avengers yang diumumkan oleh  Square Enix.

Peminat tidak menyukai dengan wajah dan rupa watak-watak dalam permainan video tersebut yang kelihatan jauh benar dengan watak dalam filem. Selain dari itu rekaan wataknya juga tidak sedap dipandang mata mewujudkan rasa tidak senang dalam kalangan peminat. Peminat menyuarakan kekecewaan mereka di platform maya, dan walaupun ada balasan dari Square Enix, peminat masih tetap tidak berpuas hati. [12]

Bethesda, antara syarikat permainan video yang terkemuka (Skyrim, Fallout) juga hadir dengan sidang media yang rata-ratanya mengecewakan peminat. Kebanyakan permainan video baru yang mereka umumkan adalah permainan video mudah alih dan mereka nampaknya semakin terjerumus ke dalam perangkap kapitalis yang mementingkan keuntungan semata-mata. [13]

Electronic Arts (EA)? Tak perlulah saya ulas mengenai EA. Sidang media mereka sangat membosankan dan hanya menawarkan satu sahaja permainan video yang layak diulas (Star Wars: Jedi Fallen Order).

Yang Menghilangkan Diri…..

Gambar 5: The Last of Us Part II
Sumber: https://www.reddit.com/r/thelastofus/comments/aiymr6/the_last_of_us_part_2_ellie/

Bagi peminat Playstation di Malaysia, pasti anda semua sedar yang ada sesuatu yang menghilangkan diri di E3 tahun ini. Ya, betul. Sony mengumumkan dalam penghujung tahun 2018 bahawa mereka tidak akan menyertai E3 tahun ini. Disebabkan itulah tiada pengumuman permainan video eksklusif yang baharu dari Sony tahun ini, termasuklah The Last of Us Part II yang cukup dinanti-nantikan peminat. [14]

Pun begitu Sony tidak melupakan peminatnya, apabila mengumumkan tarikh untuk permainan video Death Stranding, dan mengumumkan sedikit sebanyak tentang konsol mereka, iterasi ke-5, Playstation 5.[15]

Yang turut menghilangkan diri adalah VR (Virtual Realiti) ataupun teknologi realiti maya. Jika kita melihat pada E3 tahun-tahun sebelum ini, hampir semua penerbit permainan video akan mengumumkan permainan VR yang terbaharu dari mereka, ataupun sedikit sebanyak mendedahkan kolaborasi mereka dalam menghasilkan permainan video VR. Tahun ini? Lansung tiada, termasuklah dari Microsoft sendiri yang mempunyai peranti AR mereka sendiri, HoloLens.[16]

Yang Menanti di Ufuk…..

Gambar 6: Google Stadia
Sumber: https://www.trustedreviews.com/news/google-stadia-vs-project-xcloud-3843808

Jadi jika penerbit dan pemain utama industri permainan video tidak menumpukan perhatian mereka pada teknologi realiti maya, apa yang sebenarnya yang menjadi tumpuan mereka?

Sedar ataupun tidak, industri permainan video sekarang sedang bergerak ke arah servis penstriman. Sama seperti Netflix, teknologi ini bermaksud, pemain hanya perlu membayar cas bulanan dan bermain permainan video dari atas talian (di mana sahaja platform) tanpa perlu memuat turun permainan video itu dalam platform yang anda miliki.[17]

Ini bermaksud permainan video tidak lagi memerlukan perkakasan dan kemampuan grafik yang hebat lagi, dan ianya boleh dimainkan di mana sahaja, asalkan ada talian internet yang pantas. [18]Hampir semua pemain industri menumpukan perhatian mereka dalam teknologi penstriman ini, termasuklah dari Microsoft sendiri, yang mengumumkan xCloud.[19]

Lanskap industri permainan video akan berubah sekali lagi, di mana Microsoft kali ini nampaknya bukan lagi bersaing dengan Sony, tetapi terpaksa bersaing dengan Google dan produk strim permainan video mereka, Google Stadia.[20] Google membuat sidang media pada E3 2019 kali ini dan menawarkan beberapa koleksi permainan video yang menarik antaranya Baldur’s Gate 3, Doom: Eternal serta Watch Dogs: Legion.[21]

Ramai pemain utama industri nampaknya meletakkan kepercayaan mereka bahawa pengstriman permainan video bakal merubah rupa bentuk industri permainan video. Nintendo juga tidak ketinggalan apabila mereka bakal menawarkan servis langganan melalui Nintendo Switch. Sony juga sama apabila melakukan kerjasama strategik bersama Microsoft.[22]

Apa-apapun jelas bahawa industri permainan video kini berada dalam satu titik peralihan. E3 yang akan datang pastinya menjanjikan banyak perkara yang baharu dan mungkin juga kejutan buat peminat industri permainan video.

NOTA KAKI:

[1] (Statt, 2019)                                                                                                                     

[2] (Morton, 2019)

[3] (Wald, 2019)

[4] (Ip, 2019)

[5] (Pino & Swider, 2019)

[6] (Webster, 2019)

[7] (Pereira, 2019)

[8] (E3 2019 games: Here are the biggest games from the show, 2019)

[9] (Good, 2019)

[10] (Ryan, 2019)

[11] (Kuchera, 2019)

[12] (Serrels, 2019)

[13] (Bethesda Have Truly Lost It – Bethesda E3 2019 Review, 2019)

[14] (Makuch, 2019)

[15] (Makuch, 2019)

[16] (Stein, 2019)

[17] (McDonald, 2019)

[18] (McDonald, 2019)

[19] (Newton, 2019)

[20] (Conditt, 2019)

[21] (Pereira, E3 2019 News Recap & Rewatch: Google Stadia Connect — Price, Games, Release Date Revealed, 2019)

[22] (Warren, 2019)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.