Durbar – Sidang Agung Bangsa Melayu

499

Durbar berasal daripada perkataan Urdu Parsi ‘Darbar’ yang bermaksud istana raja. Dalam konteks sejarah negara kita, Durbar merujuk kepada perhimpunan atau perjumpaan yang dihadiri oleh sultan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) serta pegawai-pegawai yang mewakili kerajaan imperialis British. Pada ketika itu, Durbar dianggap sebagai menyuarat kelas tertinggi dalam carta negara kerana ahli-ahli yang menghadirinya bukan calang-calang jawatan. Durbar juga adalah perintis utama kepada tertubuhnya Majlis Raja-Raja Melayu seperti yang kita lihat pada hari ini.

Seperti yang sedia maklum, NNMB merupakan gabungan negeri Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak yang mempunyai Residen sebagai ‘penasihat’ utama sultan. Masalah timbul apabila sistem pentadbiran antara negeri yang tidak selaras dan memerlukan British melakukan penyelarasan yang segera. Maka, Durbar telah diusulkan oleh Pesuruhjaya Tinggi NNMB pada waktu itu, Frank Swettenham.

Sir Frank Swettenham

Menerusi catatan  Frank Swettenham, dia menganggap pembentukan Durbar sebagai sebuah kejayaan yang amat mustahil. Hal ini kerana baginya bukan sesuatu yang biasa apabila semua sultan-sultan dapat duduk semeja dalam satu upacara bersama. Baginya, kesudian para sultan untuk berkumpul merupakan satu detik bersejarah dalam kalangan bangsa Melayu.

Usul penubuhan Durbar telah diutarakan sejak tahun 1896 lagi. Namun mesyuarat pertama tidak dapat dilakukan pada tahun yang sama akibat kesihatan Sultan Abdul Samad (Selangor) yang gering pada ketika itu memaksa mesyuarat ditangguhkan. Apabila keadaan mengizinkan, maka pada tanggal 13 Julai 1897 berlansungnya persidangan Durbar pertama yang berlansung selama empat hari.

Rakyat Malaysia secara umumnya wajar mengingati tarikh bersejarah ini kerana peristiwa inilah yang menggambarkan sikap diplomasi para pemimpin kita dalam menyikapi sikap British yang angkuh menjarah tanah air kita. Malah, kebijakan dalam berdiplomasi jugalah yang memberikan kita kemerdekaan negara 60 tahun selepas Durbar pertama.

Durbar yang pertama telah diadakan di Istana Negara, Kuala Kangsar, Perak. Sebab utama mengapa British memilih Kuala Kangsar sebagai tuan rumah adalah kerana mereka meyakini akan kesediaan Sultan Idris (Perak) dalam menerima jemputan. British juga selalu meminta nasihat dan pendapat Sultan Idris dalam soal polisi dan pentadbiran negeri, seterusnya menjadikan baginda sebagai raison d’etre. Bukan calang-calang ya baginda sultan!!

Durbar pertama dihadiri oleh empat orang sultan negeri; Sultan Idris (Perak), Sultan Ahmad (Pahang), Sultan Abdul Samad (Selangor) dan Tuanku Muhammad (Negeri Sembilan). Manakala British diwakili oleh Charles Mitchel (Gabenor NNS), Frank Swettenham (Pesuruhjaya Tinggi NNMB), Hugh Clifford (Pahang), JP Rodger (Selangor) dan Treacher (Perak). Negeri Sembilan pada waktu itu tidak mempunyai residen akibat kematian penyandangnya, Martin Lister.

Pada Durbar pertama, tidak banyak hasil signifikan yang memberi kesan secara lansung terhadap pentadbiran British. Sidang tersebut hanya bertujuan untuk memperlihatkan kepada para raja Melayu tentang struktur pentadbiran dan birokrasi dalam NNMB. Di samping itu, para sultan juga membincangkan perihal kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

Sultan Idris Tunjuk Taring

Duli Yang Maha Mulia Almarhum Paduka Seri Sultan Idris Murshidul Adzam Shah

Durbar kedua telah diadakan pada tahun 1903 di Kuala Lumpur, pusat pentadbiran NNMB. Untuk menjayakan persidangan agung ini, British telah memperuntukkan RM80000. Persidangan berlansung selama empat hari. Tidak seperti Durbar yang pertama, kali ini para raja telah menyuarakan pandangan dan signal yang jelas terhadap pentadbiran British.

Frank Swettenham juga menyebut bahawa Durbar kedua menyaksikan ketokohan Sultan Idris yang tanpa selindung mengutarakan menyatakan kegusaran baginda. Sultan Idris dalam ucapannya ketika sidang menyebut bahawa baginda terus-terang tidak percaya akan kata-kata orang putih.

Baginda juga menyatakan ketidakpuashatian dengan menuntut agar lebih ramai orang Melayu diserap masuk ke dalam perkhidmatan awam dan dilantik memegang jawatan-jawatn penting. Kata baginda lagi bahawa British bersikap pilih kasih dengan meminggir dan memandang rendah terhadap keupayaan orang Melayu.

Tidak cukup dengan itu, baginda Sultan Idris juga membantah dengan tegas akan idea penggabungan NNMB dengan berkias bahawa tiada dua nakhoda dalam satu kapal. Pada ketika itu, British mula menunjukkan minat dengan idea kesatuan yang akhirnya melahirkan sistem pentadbiran Malayan Union yang dibantah keras oleh orang Melayu. Baginda juga tanpa segan-silu mengingatkan kepada British akan isi Perjanjian Pangkor yang menyatakan Residen Jeneral hanya bertindak sebagai penasihat sultan sahaja.

Hal ini memandangkan penasihat seolah-olah bertindak di luar batasan kuasa apabila sering menggunakan paksaan terhadap sultan. Tuanku Muhammad juga tidak ketinggalan dalam tuntutan baginda yang meminta agar British menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan kerajaan. Namun idea ini dibantah oleh Treacher dengan alasan Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa komunikasi dalam kalangan penjawat awam.

Durbar telah dimansuhkan oleh pihak British dengan penubuhan Majlis Mesyuarat Persekutuan pada tahun 1909. Hal ini berlaku apabila British melakukan susun atur dengan menuntut keterlibatan para sultan dari negeri-negeri lain. British sedar akan kepentingan suara raja Melayu yang menjadi suara rasmi bangsa dalam memperjuangkan nasib orang Melayu pada ketika itu. British juga sentiasa berhati-hati dalam membuat polisi agar segala tindak-tanduk mereka selari dengan hasrat para sultan. Oleh itu, hubungan Istana-British sentiasa dipelihara dan dijaga sebaik yang mungkin.

Istilah ‘Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada’ amat sinonim dengan realiti peradaban tamadun Melayu. Dahulu, para raja, ulama, panglima dan rakyat jelata bersatu-padu berjuang melawan musuh penjajah. Mereka juga berjuang dalam mengukuhkan identiti Melayu agar yang tidak pupus dek polisi dan dasar penjajah yang mahu melunturkannya. Hingga kini, identiti Melayu yang diangkat menjadi simbol nasional telah ditentang dengan hebat oleh puak-puak yang tertentu.

Pastinya tindakan mereka ini umpama mencabuli perjuangan para leluhur kita. Ia juga adalah suatu bentuk pengkhianatan terhadap negara dan bangsa secara seluruhnya. Sikap dan pemikiran kita sebagai rakyat yang bebas perlu seiring dalam menyambut kemerdekaan negara yang memasuki ulang tahun ke-62. Bak kata Altimet ‘ dah merdeka di jasad, harus bebas di akal’.

RUJUKAN:

Asal-usul majlis durbar. Retrieved from http://www.majlisraja-raja.gov.my/index.php/bm/component/content/article/8-kategori/21#section=p2

Riwayat duli yang maha mulia almarhum paduka seri sultan idris murshidul adzam shah tokoh kesultanan melayu yang intelektual. Retrieved from https://wangsamahkota.wordpress.com/2010/06/19/riwayat-duli-yang-maha-mulia-almarhum-paduka-seri-sultan-idris-murshidul-adzam-shah-tokoh-kesultanan-melayu-yang-intelektual/

Persidangan Raja-Raja Melayu DURBAR Kedua. Retrieved from https://pekhabar.com/h-i-d-s-persidangan-raja-raja-melayu-durbar-kedua/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.