Dunia Tanpa Tembok II: Nasib Etnik Uyghur

3419
views

Selain persaingan geopolitik China dan negara-negara serantau, isu-isu dalaman China juga sering menjadi tumpuan orang ramai, terutamanya isu yang ada kaitan dengan rekod hak asasi manusia China.

Pada tahun 2018, sekali lagi isu mengenai hak asasi manusia penduduk etnik Uyghur di Xinjiang menjadi isu. Laporan beberapa media antarabangsa seperti Reuters yang mendakwa PBB mengesahkan penahanan 1 juta etnik Uyghur telah oleh kerajaan China telah mencetuskan protes terhadap China, bersolidariti atas nasib umat Islam.

Namun dakwaan tersebut bukanlah datang dari PBB secara rasmi. Ia dibangkitkan oleh Gay McDougall semasa sesi semakan Committee on the Elimination of Racial Discrimination iaitu semakan tentang kepatuhan China terhadap ICERD yang diadakan pada 10 Ogos. McDougall sendiri tidak spesifik tentang sumber. Tapi cerita itu telah disebarkan oleh kumpulan-kumpulan seperti Voice of America dan Radio Free Asia yang merupakan media propaganda AS.

Laporan-laporan ini mendakwa bahawa punca berlakunya penahanan dan penyeksaan terhadap Uyghur kerana kepercayaan mereka. Mereka melihat China di bawah pemerintahan Xi cuba mewujudkan kembali kultus personaliti seperti di zaman Mao Zedong (1949-1976) yang mengharamkan ideologi selain komunisme. Jadi, etnik Uyghur sebagai umat Islam menjadi sasaran utama kempen brainwashing yang dianjurkan oleh Parti Komunis. Mereka dipaksa untuk meninggalkan amalan agama seperti bersolat, berpuasa dan tidak memakan makanan haram.

Namun kejadian yang sama tidak berlaku kepada umat Islam yang lain, misalnya Hui yang merupakan majoriti di daerah Ningxia. Mungkin kerana ia dilakukan secara rahsia, tapi sebab yang lebih utama ialah kerajaan China tidak memusuhi umat Islam tetapi lebih kepada memerangi gerakan separatis Uyghur yang sudah lama berakar di Xinjiang.

Xinjiang merupakan salah satu daripada 5 kawasan yang diberi taraf autonomi bersama-sama Mongolia Dalaman, Tibet, Guangxi, Ningxia kerana majoriti penduduknya ialah etnik Uyghur. Namun semangat separatis telah lama wujud menuntut kemerdekaan Xinjiang, dan di antara gerakan yang paling terkenal ialah Pergerakan Kemerdekaan Turkestan Timur (East Turkestan Independence Movement). 

Kalau Turki ada masalah separatis Kurd, Rusia ada masalah separatis Chechen, maka China ada masalah Uyghur. Orang Uyghur melihat diri lebih kepada etnik Turkik yang tidak berkongsi identiti dengan orang Han iaitu etnik majoriti China. Mereka berbeza dengan Hui yang telah berasimilasi dengan Han dari segi budaya malah rupa fizikal. Nama “Uyghur” sebenarnya dicipta oleh Sheng Shicai, warlord yang memerintah Xinjiang dari tahun 1933-1944.

Malah, sejarah pemerintahan China di Xinjiang hanya bermula pada tahun 1759. Dinasti Qing telah menggabungkan Dzungaria dan Tarim Basin sebagai satu entiti dan dinamakan sebagai Xinjiang yang bermaksud “sempadan baharu”.

Pada penghujung Dinasti Qing, Yaqub Beg dari Kokand di Asia Tengah telah mendirikan negara bernama Yettishahar Uygʻur Davlati (1864-1877) di Xinjiang, mengambil kesempatan ke atas pemberontakan Hui dari tahun 1862-1877 di sebelah Ningxia, Shaanxi dan Gansu. Yaqub Beg mendapat sokongan daripada Rusia dan Britain yang masing-masing ingin memaksimakan pengaruh mereka ke dalam Asia Tengah. Malah Yaqub Beg juga diiktiraf sebagai amir oleh Khalifah di Istanbul atas dasar pan-Turkisme. Namun China telah berjaya menawan semula Xinjiang pada tahun 1878.

Hasrat kemerdekaan telah membawa kepada penubuhan Republik Turkestan Timur Pertama pada tahun 1933-1934 dan Republik Turkestan Timur Kedua pada tahun 1944-1949. Republik kedua ditubuhkan dengan bantuan Soviet yang ketika itu cuba memperluaskan kuasanya ke dalam China yang berada di bawah kerajaan nasionalis. Selepas kerajaan komunis ditubuhkan di China pada 1949, Soviet tidak lagi bercampur tangan dalam urusan Xinjiang.

Namun gerakan pemisah tidak pernah berhenti. Untuk menyelesaikan masalah, kerajaan China memperkenalkan dasar Great Leap West pada tahun 1999 yang sebenarnya ialah Hanifikasi iaitu pemindahan penduduk Han ke Xinjiang dengan tujuan untuk mengurangkan identiti Uyghur. Namun tindakan China hanya mengundang bantahan yang lebih keras. Insiden keganasan menjadi semakin kerap malah kumpulan militan yang berkaitan dengan Al-Qaeda juga mula meresap masuk ke Xinjiang.

Atas sebab geopolitik, China tidak akan sesekali membenarkan Xinjiang merdeka. Ini kerana Xinjiang merupakan kunci kepada China untuk menjayakan strategi dua lautan (two-oceans strategy). Strategi dua lautan ini bertujuan untuk menjadikan Lautan Hindi sebagai kawasan perairan kepada Lautan Pasifik di bawah kawalan AS. 

Oleh kerana China tidak bersempadanan dengan Lautan Hindi, maka China perlu bergantung kepada dua negara yakni Pakistan dan Myanmar untuk mencapai Lautan Hindi. Itu sebabnya China mempunyai hubungan khas dengan dua buah negara ini. Melalui hubungan khas antara China dan dua negara ini, China telah pun membina infrastruktur di Pakistan dan Myanmar sebelum OBOR diumumkan.

Mengikut strategi dua lautan ini, sekiranya laluan China di sebelah Pasifik disekat, China akan terus menggunakan pelabuhannya di Gwadar, Pakistan dan pelabuhan Sittwe, Myanmar sebagai pelabuhan. Barangan import tersebut seterusnya akan diangkut melalui jalan raya Karakorum yang menyambungkan Pakistan dan Xinjiang, China atau jalan darat yang menyambungkan Myanmar dan Yunnan, China.

Bayangkan kalau tiada Xinjiang, bagaimana strategi dua lautan China boleh berjaya. Soal kedaulatan Xinjiang berkaitan dengan hidup dan mati China, justeru isu Xinjiang amat sensitif dan dilihat sebagai perkara  non-negotiable bagi China. 

Tidak kira samada tuduhan mengenai pembersihan etnik ke atas Uyghur itu fakta atau rekaan oleh pihak-pihak yang berkepentingan seperti Turki yang cuba memperluaskan kuasa menerusi sentimen pan-Turkisme (keserumpunan Turki dan Uyghur) atau Jepun yang cuba mensabotaj China di luar dan dalam, China tidak sesekali akan kompromi dalam isu Xinjiang. Isu ini akan terus menghantui China selagi China menjumpai formula yang dapat menyelesaikan masalah identiti Uyghur yang menjadi punca persengketan.


Ini ialah petikan artikel daripada buku DUNIA TANPA TEMBOK II. Untuk membaca lebih banyak ulasan-ulasan kritikal dan ilmiah di atas berkenaan isu semasa, anda boleh dapatkan DTT II pada pautan (Beli:
https://goo.gl/xe4G2u).

Cover Dunia Tanpa Tembok II