Dunia Tanpa Tembok II: Keruntuhan Orde Antarabangsa Liberal

906
views

Memasuki tahun 2018, isu yang paling banyak dibincangkan dan diperdebatkan dalam kalangan ahli akademik bidang hubungan antarabangsa (IR) dan pembuat dasar luar ialah keruntuhan orde antarabangsa liberal (liberal international order).

Pada 27 Julai 2018, sekumpulan sarjana IR telah menerbitkan sebuah petisyen bertajuk “Preserving Alliances” di akhbar New York Times yang menyatakan sokongan mereka kepada orde antarabangsa liberal yang tengah “diserang” oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Antara mereka ini termasuk sarjana tersohor seperti Joseph Nye dan Kathryn Sikkink dari Harvard, Michael Doyle dan Robert Jervis dari Columbia, Robert Keohane dan John Ikenberry dari Princeton dan Stephen Krasner dari Stanford.

Pelajar IR pasti tidak rasa asing dengan nama-nama tersebut kerana mereka merupakan sarjana terkemuka dalam aliran liberalisme. Mereka kurang senang dengan Trump kerana mereka melihat dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Trump telah menyimpang daripada nilai teras Amerika Syarikat (AS).

Antara dasar Trump yang paling dipertikaikan ialah kenaikan tarif (cukai ke atas barangan import) yang bertujuan untuk melindungi industri tempatan. Apa yang mereka khuatiri ialah tindak balas negara lain yang turut menaikkan tarif, situasi yang akan mencetuskan perang perdagangan (trade war) dan mengugat perdagangan bebas antara negara.

Mereka tidak bersetuju dengan Trump yang suka mengambil tindakan sehala (unilateral) tanpa berunding dengan negara-negara sekutu terlebih dahulu. Ia seolah-olah tidak wujud istilah sekutu dalam kamus Trump. Di bawah slogan “America First”, negara-negara yang mengikut rapat AS selama ini seperti Kanada dan Jepun semuanya terkena “tembakan” Trump. Kepentingan mereka dikorbankan untuk kepentingan AS semata-mata.

Trump turut menyerang kredibiliti institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), dengan mendakwa ia telah merugikan AS dan mengugut untuk menarik AS keluar daripada WTO. Pertama kali dalam sejarah sejak tahun 1945, ada seorang presiden AS membuat ucapan menolak “globalisme” semasa di Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada September 2018.

Bagi sesetengah pemerhati politik antarabangsa, tindakan-tindakan Trump ini agak tidak masuk akal. Bagi mereka, apa yang Trump buat ini sedang menghancurkan sistem antarabangsa bernama orde antarabangsa liberal yang dibina oleh AS bersandarkan kepada prinsip multilateralisme iaitu semangat kerjasama pelbagai hala.

Sejarah orde antarabangsa liberal bermula pada tahun 1945, tahun di mana Perang Dunia Kedua (1939-1945) tamat. Antara elemen penting dalam orde ini ialah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan untuk menjaga keamanan dunia dan juga pertubuhan ekonomi antarabangsa seperti IMF, World Bank dan GATT (General Agreement on Tariffs and Trade).

Kesemua institusi ini mengatur dunia berdasarkan prinsip-prinsip institusi antarabangsa, perdagangan bebas, demokrasi dan hak asasi manusia yang merupakan prinsip teras dalam gagasan liberal internationalism.

Pendukung liberal internationalism atau liberal internationalist percaya bahawa prinsip-prinsip ini akan dapat mengurangkan atau memansuhkan peperangan dan konflik antara negara. Menerusi institusi antarabangsa, pencerobohan negara terhadap negara lain dapat dielakkan menerusi mekanisme keselamatan kolektif (collective security). Menerusi perdagangan bebas, kebergantungan ekonomi antara negara dapat diwujudkan. Justeru, negara tidak perlu berperang untuk mendapatkan sumber ekonomi. Sementara demokrasi mewujudkan kerajaan yang mendahulukan kebajikan rakyat berbanding peperangan.

Percubaan pertama untuk membina sebuah orde antarabangsa berdasarkan liberal internationalism berlaku selepas Perang Dunia Pertama. Woodrow Wilson, Presiden AS dari tahun 1913-1921 telah melibatkan AS dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918). Dalam Persidangan Keamanan Paris (1919) yang membincangkan masa depan dunia pasca-perang, Wilson mengemukakan “14 Points” yang menyeru negara-negara pemenang untuk mewujudkan perdagangan bebas, menghormati hak penentuan diri (self-determination) untuk mendirikan negara sendiri dan membentuk sebuah institusi antarabangsa bernama Liga Bangsa (League of Nations).

Namun, cadangan Wilson ditolak oleh Kongres AS. Oleh itu, AS tidak menyertai Liga Bangsa. Tanpa kehadiran AS, Liga Bangsa gagal menghindari berlakunya Perang Dunia Kedua dari tahun 1939 hingga 1945. Selepas Perang Dunia Kedua, AS sekali lagi mencadangkan pembentukan orde antarabangsa liberal yang mengetengahkan PBB sebagai pengganti Liga Bangsa berdasarkan idea Presiden Franklin Delano Roosevelt dalam Piagam Atlantik (Atlantic Charter) pada tahun 1941.

Orde liberal ini masih menerima cabaran daripada Kesatuan Soviet, iaitu sekutu AS semasa Perang Dunia Kedua dan salah sebuah anggota tetap Majlis Keselamatan PBB. Keadaan ini membawa kepada Perang Dingin antara dua adikuasa dunia. AS mempamerkan diri sebagai “leader of the free world”, sementara itu Soviet dilabel sebagai negara diktator komunis yang mengancam kebebasan manusia. Tapi dari sudut pandang Soviet, AS pula merupakan ancaman kepada kebebasan manusia yang cuba memaksakan nilai liberalisme ke atas dunia.

Selepas Perang Dingin tamat pada tahun 1989, dengan keruntuhan Tembok Berlin yang memisahkan Berlin Barat dan Timur, sekali lagi AS menyeru dunia untuk membina orde antarabangsa liberal. Presiden AS, George H.W. Bush bercerita tentang “orde dunia baharu” iaitu globalisasi menjadi norma dan dunia tanpa sempadan menjadi realiti. Dunia ideal yang diidamkan oleh liberal internationalist kelihatan semakin hampir menjadi kenyataan.

Seorang intelektual liberal internationalist, Francis Fukuyama menulis tentang penamatan sejarah (end of history) selepas keruntuhan Tembok Berlin. Fukuyama melihat sejarah manusia sebagai sebuah sejarah pertarungan antara ideologi dengan liberalisme telah “menang” dalam pertarungan tersebut dengan mengatasi cabaran daripada autoritarianisme (Perang Dunia Pertama), fasisme (Perang Dunia Kedua) dan komunisme (Perang Dingin) menjadi ideologi sejagat yang diterima oleh semua orang.

Namun, apa yang berlaku pada hari ini seolah-olah bercanggah dengan harapan Fukuyama. Bermula dengan krisis imigran di Eropah, pengeluaran Britain daripada Kesatuan Eropah (Brexit) dan seterusnya kemenangan Trump dalam pilihan raya presiden AS tahun 2016 bukan sahaja negara-negara mula menolak perdagangan bebas dan globalisasi, malah kebangkitan populisme dan pemimpin autokratik juga mengancam nilai demokrasi yang cuba diperjuangkan oleh liberal internationalist.

Mengapa AS sekarang melawan sistem yang dibina olehnya sendiri? Apa yang akan berlaku sekiranya orde antarabangsa liberal retak? Apakah kesan fenomena antiglobalisasi dan populisme kepada keamanan dan kestabilan dunia?

Sebelum menjawab soalan-soalan tersebut, terlebih dahulu mari kita memahami fenomena kebangkitan populisme yang menjadi punca kepada penolakan terhadap demokrasi dan perdagangan bebas.


Atas ialah “Bab 1:Keruntuhan Orde Antarabangsa Liberal yang dipetik daripada buku terbitan terbaru The Patriots iaitu DUNIA TANPA TEMBOK II. Berminat untuk dapatkan buku ini dan membaca lebih banyak bab-bab menarik? Boleh berbuat demikian dengan pembelian di pautan berikut:

https://goo.gl/xe4G2u <– BELI. 
https://goo.gl/xe4G2u <– BELI. 
https://goo.gl/xe4G2u <– BELI.