Dunia Semakin Tenat. Jadi, Apa Yang Anda Boleh Lakukan?

0
374
views

Seekor ikan paus pandu (paus sirip pendek) mati setelah didapati makan lebih daripada 80 beg plastik dan sisa buangan lain.

Beberapa pokok baobab yang berusia antara 1,100 and 2,500 tahun di Afrika tiba-tiba mati disebabkan faktor perubahan cuaca.

Dan siapa boleh lupa imej kuda laut yang berpegang pada putik kapas sewaktu berenang mengikut arus!

Satu kajian telah mendapati bahawa manusia hanya mewakili 0.01% daripada semua spesies benda hidup di bumi, namun peradaban manusia telah menyebabkan kepupusan 83% daripada mamalia liar dan separuh daripada spesies tumbuh-tumbuhan.

Jahatnya manusia, kan?
Dan kitalah sepatutnya menjadi pemimpin (khalifah) di muka bumi ini.
Di mana silapnya?

Islam menitikberatkan tanggungjawab manusia sebagai khalifah untuk mengekalkan keharmonian dunia dan menjaga segala isi bumi. Manusia bukan sahaja perlu memelihara amanah besar tersebut, manusia juga perlu bertindak bijak dalam mengatur penggunaan hasil bumi secara lestari demi memastikan generasi seterusnya tidak terbeban dengan sifat tamak dan kerakusan sesetengah manusia tidak bertanggungjawab demi mengaut keuntungan.

Tetapi mengapa sesetengah umat Islam dilihat membuang sampah dari tingkap kereta, tepi sungai tempat berkelah atau di bawah meja makan selepas makan di tempat umum?

Kita telah gagal melaksanakan tanggungjawab kita di muka bumi ini.

Dunia semakin panas disebabkan pemanasan global.

Apakah pemanasan global itu? Secara mudah, pemanasan global adalah peningkatan suhu rata-rata permukaan bumi.

Bagaimanakah pemanasan global terjadi? Ringkasnya, apabila gas-gas seperti karbon monoksida (CO), karbon dioksida(CO2), kloroflourokarbon (CFC), metana dan nitrus oksida menyerap sinaran daripada matahari dan mengeluarakan semula sinaran tersebut, suhu purata atmosfera bumi akan meningkat. Gas-gas ini juga menyerap tenaga haba yang dikeluarkan daripada sistem atmosfera bumi. Ini secara kolektif akan meningkatkan lagi suhu purata atmosfera bumi.

Isu pemanasan global mula menjadi perhatian pada tahun 1988, selepas Pengarah NASA, James Hansen melaporkan bahawa

“global warming has reached a level such that we can ascribe with a high degree of confidence a cause-and-effect relationship between the greenhouse effect and observed warming … In my opinion, the greenhouse effect has been detected, and it is changing our climate now.”

Empat tahun selepas itu, 165 buah Negara menandatangani perjanjian antarabangsa; United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC). Mereka bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran karbon, diterjemahkan kepada mengehadkan peningkatan suhu dunia ke 2 darjah celcius. 25 persidangan tahunan UNFCCC telah diadakan untuk membangunkan pelan, matlamat, jadual dan kaedah untuk menangani pemanasan global, yang paling signifikan Perjanjian Iklim Paris 2015 (Paris Agreement of 2015).

Namun sehingga kini, tiada Negara utama dunia berjaya mengotakan perjanjian. Dan tahun lepas, Presiden Donald Trump, menarik diri dari perjanjian Iklim Paris 2016 berkenaan pemanasan global, hingga mencetuskan kekhuatiran dalam kalangan Negara-negara lain dan penduduk dunia yang prihatin tentang isu ini.

97% daripada pakar sains alam sekitar bersetuju bahawa pemanasan global merupakan isu yang dicetuskan manusia dan berada pada tahap kritikal. Namun panel penasihat Presiden Donald Trump (dan beliau sendiri) memilih untuk tidak peduli dan mempertikaikan kesimpulan yang dikeluarkan oleh pakar sains alam sekitar merupakan tindakan yang tidak masuk akal dan boleh mempercepatkan lagi proses kehancuran spesies manusia.

Contoh terbaik mangsa perubahan cuaca dunia dapat dilihat dalam gelombang haba di Eropah yang menyebabkan beratus atau mungkin beribu kematian sejak tahun 2000. Gelombang ‘kepanasan’ ini telah menyebabkan suhu ketika musim panas dan musim sejuk di Eropah kini jauh lebih tinggi daripada kebiasaannya. Perubahan yang sama turut dirasai oleh wilayah beriklim tropika yang menghadapi musim monsun lebih teruk kini, sementara negara seperti Amerika Syarikat dilanda ribut salji dan ribut taufan lebih teruk seperti Taufan Katrina pada tahun 2005.

Di semua negara di bumi, terdapat perubahan cuaca yang mendadak berlaku secara konsisten, dengan keadaan yang sekejap panas, sekejap sejuk, panas yang berpanjangan, hujan yang tidak menentu, salji turun di tempat yang tidak disangka, kemarau semakin panjang dan banjir semakin kerap berlaku.

Kawasan bumi akan mengalami pemanasan lebih kerap daripada purata global memandangkan suhu lautan akan diseimbangkan dengan kapasiti haba air. Jumlah keseluruhan luas permukaan glasier dunia telah menurun sebanyak 50 % sejak akhir abad ke -19. Kehilangan glasier akan menyebabkan kejadian tanah runtuh, banjir kilat dan limpahan tasik glasier berlaku dengan lebih kerap, serta meningkatkan variasi tahunan aliran air di sungai-sungai.

Juga terdapat banyak bukti pulau-pulau yang telah tenggelam disebabkan pemanasan global seperti Ghoramana berdekatan India yang mana 2/3 daripada pulau tenggelam pada tahun 2006 dengan 7000 penduduk terpaksa dipindahkan. Ini adalah kerana pencairan ais yang berlaku dengan cepatnya rentetan daripada perubahan iklim yang juga berlaku secara mendadak.

Dengan pelbagai masalah dan isu global yang kita sendiri rasa tidak terdaya untuk membantu atau melakukan perubahan, kita bertanya kepada diri apa yang boleh kita lakukan sebagai individu.

Pertama, jangan buang sampah merata-rata. Buang sampah di dalam bakul sampah/tong sampah yang disediakan.

Kedua, kitar semula barang-barang mengikut kategori; plastik, kertas, tin dan aluminium dsb

Ketiga, kurangkan pembelian barang baharu, sebaliknya amalkan pembelian barangan terpakai. (Penghasilan barangan baharu menggunakan jumlah air dan elektrik yang amat banyak!)

Keempat, kurangkan penggunaan kereta dan perbanyakkan penggunaan pengangkutan awam, berkongsi kereta, berbasikal atau berjalan kaki.

Kelima, kongsikan berita dan tip mengenai alam sekitar sebagai sebahagian daripada usaha kesedaran alam sekitar di media sosial, group Whatsapp dsb

Dan banyak lagi tip yang anda boleh amalkan. Mula sedikit-sedikit, lama-lama nanti akan terbiasa ok!

Jangan pula satu hari nanti, oksigen pun perlu dibeli dan kita perlu bernafas menggunakan tiub dan balang.

Bacaan lanjut:

Giant African baobab trees die suddenly after thousands of years
https://www.theguardian.com/world/2018/jun/11/giant-african-baobab-trees-die-suddenly-after-thousands-of-years

A Pilot Whale Has Died in Southern Thailand After Swallowing 17 Pounds of Plastic Waste
http://time.com/5299868/whale-dies-eating-plastic-bags/

Plastic pollution: Images of a global problem
https://www.bbc.com/news/science-environment-44215882?SThisFB

Humans just 0.01% of all life but have destroyed 83% of wild mammals – study
https://www.theguardian.com/environment/2018/may/21/human-race-just-001-of-all-life-but-has-destroyed-over-80-of-wild-mammals-study

Islam utamakan kelestarian alam semula jadi
http://www.utusan.com.my/rencana/agama/islam-utamakan-kelestarian-alam-semula-jadi-1.416963

When Climate Change Was a Nonpartisan Issue
https://www.yesmagazine.org/planet/when-climate-change-was-a-nonpartisan-issue-20180619

Trump administration refuses to consider that 97% of climate scientists could be right
https://www.theguardian.com/environment/climate-consensus-97-per-cent/2018/may/29/trump-administration-refuses-to-consider-that-97-of-climate-scientists-could-be-right

It’s settled: 90–100% of climate experts agree on human-caused global warming
https://www.theguardian.com/environment/climate-consensus-97-per-cent/2016/apr/13/its-settled-90100-of-climate-experts-agree-on-human-caused-global-warming

Previous articleRock Will Never Die!
Next articleAda Apa Pada Lambang Albania Oleh Shaqiri Dan Xhaka?
E. H. Nathasia, penulis 25 Tip Motivasi Terbaik, penterjemah dan penceramah motivasi. Sedang mengikuti Program Sarjana Sains Sosial dalam Pengajian Strategi dan Pertahanan di Universiti Malaya.
SHARE