Dulu Buang Kerakyatan Malaysia, Sekarang Nak Jadi Warganegara Semula

4,577

Bukanlah satu kejutan pada sesetengah masa, seseorang itu mahu membuang kerakyatannya atas banyak alasan daripada soal keselamatan hinggalah merasakan negara baru yang didiami jauh lebih baik berbanding negara asal. Tetapi bagi yang membuatnya hanya kerana nak mendapatkan kerakyatan mudah seperti yang berlaku di Britain, ia sebenarnya merupakan satu mimpi ngeri. Dan ini dialami hampir seribu orang di sana yang berhadapan dengan situasi tiada kerakyatan selama lebih 10 tahun. Skandal yang menyelubungi Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (Home Office) ini merupakan sesuatu yang memalukan kepada London.

Isu ini mula timbul apabila warganegara asing terutama di Malaysia yang menetap di Britain mendapat nasihat mereka boleh mendapat pasport warga British luar negara (BOC) sekiranya mereka membuang kerakyatan mereka secara sukarela. Nampak macam mudah tetapi selepas 2002, pentadbiran Tony Blair mengetatkan lagi undang-undang kerakyatan termasuk syarat mendapatkan pasport BOC. Satu syarat baru yang ditambah daripada pindaan undang-undang ini ialah pemohon mestilah tidak membuang kerakyatan mereka secara sukarela. Jika mereka berbuat demikian, maka mereka tidak layak mendapatkan pasport BOC.

Bagi anggota masyarakat yang berkempen menentang undang-undang ini, mereka menyifatkan keputusan tersebut mengurangkan bilangan penduduk kepada penduduk kelas kedua dan memberi impak negatif yang bukan sedikit terhadap masyarakat. Mana yang berada di Britain sejak 2002 akan dihantar pulang ke negara masing-masing tetapi kemudiannya dihantar kembali ke Britain. Bagi yang bernasib baik, mereka diberi visa pelancong, tidak dibenarkan bekerja dan hanya boleh menetap selama 30 hari sebelum terpaksa meninggalkan negara setiap bulan. Dan mereka perlu melapor diri ke pejabat kawalan sempadan setiap bulan untuk mendapatkan tarikh baru melapor diri tanpa mengetahui status mereka dapat diselesaikan atau tidak.

Bagi warganegara Malaysia, undang-undang negara dengan jelas menyatakan mana-mana warganya tidak boleh memegang dwi-kerakyatan. Atas sebab itulah, mana-mana pihak yang mahu mendapatkan pasport BOC dinasihati agar membuang kerakyatan mereka. Tetapi mereka tidak diberitahu apabila mereka membuang kerakyatan, maka itu bermakna nasi sudah menjadi bubur. Dan walaupun tampuk kerajaan beralih dari Parti Buruh kepada gabungan Parti Konservatif-Parti Liberal Demokrat dan hari ini Parti Konservatif diketuai oleh Boris Johnson, situasi masih menunjukkan tiada perubahan.

Alvyn Kee, seorang peguam dari Bloomsbury Law Solicitors mendedahkan firmanya menguruskan antara 200 hingga 300 kes dan menuduh sikap Home Office yang tidak bertanggungjawab dan menganggap mereka bukan sebagai manusia tetapi sebagai nombor di atas kertas. Beliau percaya bilangan kes membabitkan warganegara tiada negara ini sebenarnya mencecah antara 2,000 hingga 3,000 kes. Tambah Kee, beliau mengenali seorang wanita berusia 20-an yang meninggal dunia akibat ketagihan alkohol kerana tertekan dengan situasi kerakyatannya.

Kee menambah, “Mereka ini berada pada situasi yang tidak menentu. Home Office mengatakan ini bukan masalah kami tetapi dari sudut pandang Malaysia, mereka dianggap sebagai pengkhianat. Britain menjadi penjara kepada mereka. Mereka tidak dibenarkan bekerja tetapi mereka perlu bekerja untuk mendapatkan wang. Jadi mereka dieksploitasi termasuk bekerja di restoran-restoran di mana ada ketikanya, mereka diserbu pihak imigresen. Kadang-kadang, mereka cuba mengusir orang-orang ini keluar. Mereka ini terus menjadi mangsa dalam situasi yang amat menekan.” Tambah Kee lagi, situasi ini turut mengakibatkan pembaziran wang pembayar cukai kerana penahanan dan perlepasan yang dibuat Home Office tanpa sebarang penyelesaian dan memaksa mereka melakukan kerja bawah tanah.

Tambahnya, “Mereka ini boleh menyumbang kepada ekonomi negara. Anda berikan mereka dua setengah tahun, mereka akan merasa gembira membayar cukai, untuk menyumbang dan mendapatkan permohonan sambungan. Dan ini merupakan solusi bersifat menang-menang. Saya tak faham. Ia merupakan sesuatu yang tidak masuk akal.” Kee turut menyifatkan pindaan undang-undang tersebut bukan saja bersifat politik tetapi juga bersifat perkauman. Walaupun ia diperjuangkan dalam banyak tahap tetapi ia masih lagi tidak menyebelahi mereka.

Kisah warga Malaysia yang membuang kerakyatan tapi gagal mendapat status BOC

1. Adam (bukan nama sebenar) mengambil keputusan menetap di Britain sejak tahun 2005 selepas membuang kerakyatannya pada tahun sama dengan harapan mendapat status BOC. Enam tahun kemudian, lelaki berusia 37 tahun itu diberitahu pihak berkuasa bahawa dia akan diusir keluar dari Britain. Walaupun sudah cuba menjelaskan situasi sebenar termasuk dirinya dianggap tidak bernegara sebaik pulang ke Malaysia, Adam diiringi oleh tiga pegawai imigresen dan dihantar pulang ke Malaysia. Beberapa jam selepas tiba di lapangan terbang, dia dihantar kembali ke Britain, satu perjalanan yang dianggap membuang masa. Bila mengenang peristiwa itu, dia merasakan dirinya dilayan seperti seorang penjenayah. Selepas dibebaskan, Adam melakukan pelbagai kerja upahan dan terpaksa bergantung kepada rakan-rakan untuk menyediakan tempat tinggal.

Rajah 1: Yan Kit, 42, yang sudah tiada negara sejak tahun 2005 mahu kembali ke Malaysia untuk bersatu dengan isterinya tetapi masih tersangkut di UK. Sumber: https://www.independent.co.uk/news/uk/home-news/windrush-home-office-citizenship-visa-immigration-malay

2. Yan Kit, 42 tahun, tiba di Britain untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan kejuruteraan mekanikal. Seperti Adam, masalahnya bermula pada tahun 2005 apabila dia mengambil keputusan membuang kerakyatan Malaysianya dengan harapan mendapatkan status BOC atas nasihat peguam. Pada tahun 2015, dia ditahan pihak berkuasa dan cuba diusir pulang ke Malaysia tetapi tidak boleh kerana statusnya bukan lagi warganegara.

Selepas itu, Yan Kit dibebaskan tetapi baginya, Home Office langsung tidak berbuat apa-apa untuk menangani isu berkenaan. Dia berharap dapat kembali ke tanah air dan bersama dengan isterinya tetapi itu dianggap mustahil oleh pihak kerajaan. Dia dapat melawat isterinya di sini selama sebulan menggunakan visa pelancong tetapi terpaksa pulang setiap bulan dan bebanan tambang perjalanan yang mahal. Apabila merenung semula situasinya, dia berkata, “Jika saya berjaya mendapatkan semula status kewarganegaraan Malaysia, saya ingin kembali ke situ.”

Rajah 2: “Saya nak kejar impian dan cita-cita saya tetapi ia sudah menjadi kacau-bilau.” (Liew Teh). Sumber: https://www.independent.co.uk/news/uk/home-news/windrush-home-office-citizenship-visa-immigration-british-overseas-passport-malaysian-stateless-a9093666

3. Liew Teh, 38, terkejut beruk apabila diberitahu sebuah agensi pekerjaan pada tahun 2009 bahawa dia tidak layak memohon pekerjaan berikutan status imigresennya. Selepas berjaya menamatkan pengajian Master dalam bidang kejuruteraan pada tahun 2006, dia memilih membuang kerakyatan Malaysianya untuk mendapatkan status kerakyatan British atas nasihat peguam. Tetapi sejak itu, dia tidak boleh berbuat apa-apa termasuk mengejar impiannya atau mengadakan hubungan intim dengan sesiapa. Selepas tidak lagi berkemampuan mendapatkan khidmat peguam, Liew Teh berusaha memperjuangkan isu ini secara bersendirian termasuk bertemu dengan pihak media.

SUMBER

1. Dugan, Emily. (2011). Immigration rules leave stateless Malaysians in limbo. The Independent. https://www.independent.co.uk/news/uk/politics/immigration-rules-leave-stateless-malaysians-in-limbo-2240532.html

2. Bulman, May. (2019). Hundreds of stateless people forced into hardship and exploitation in ‘Windrush-style’ scandal. The Independent. https://www.independent.co.uk/news/uk/home-news/windrush-home-office-citizenship-visa-immigration-malaysian-stateless-scandal-latest-a9092971.html

3. Bulman, May. (2019). ‘We have nowhere to go’: The stateless UK residents that no country wants to accept. The Independent. https://www.independent.co.uk/news/uk/home-news/windrush-home-office-citizenship-visa-immigration-british-overseas-passport-malaysian-stateless-a9093666.html

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.