Dukun: Filem Yang Membedah Mitologi Batak Dalam Naskah Crime-Thriller

0
3055
views

Aku sebenarnya agak berbelah bahagi ketika melihat bagaimana terdapat ulasan yang terpecah kepada dua. Pada sebelah pihak, banyak yang sudah menontonnya memberikan ulasan dan kritikan yang membuatkan keinginan ke panggung wayang begitu menggelegak dalam diri. Dalam waktu yang sama, betapa ada yang sehingga tergamak meletakkan rating serendah 0.2 pada filem ini. Namun akhirnya, aku sampai juga ke panggung wayang, lantas lahirlah naskah ini sebagai panduan kalian untuk menonton filem dukun.

Terlebih dahulu, perlu aku mengingatkan bahawa Dukun bukanlah sebuah naskah seram. Ia bukan sebuah cerita hantu yang penuh dengan babak jump-scare atau hantu yang menakutkan membuatkan anda melindungi wajah di balik lutut, tapak tangan atau lengan sasa pakwe (macam aku). Paling seriaupun adalah lakonan ampuh Umie Aida ketika babak-babak melibatkan ritual ilmu hitam memandangkan ia adalah sebuah filem yang membahaskan mengenai sebuah kes pembunuhan yang dibina di atas landasan ilmu hitam. Selain itu, anda akan dihadapkan dengan sebuah plot yang tidak disusun secara linear, sebaliknya dibiarkan berteraburan setiap pieces untuk dicantumkan sendiri oleh anda membentuk sebuah puzzle yang lengkap.

Kali terakhir, perasaan yang sama dirasai ketika menonton filem Arrival yang turut menggunakan plot yang lebih kurang sama. Nanti dulu, jangan salah faham. Bukanlah niat aku untuk menyamakan dan meletakkan kedua-dua karya ini pada sebuah garis yang sama. Tentunya Arrival sudah jauh meninggalkan Dukun jauh berbatu-batu. Cumanya, perasaan mengupas isu-isu yang terlindung disebalik plot inilah yang mengingatkan aku kembali pada romantisme yang dirasai ketika meneliti Arrival dahulu.

Kalau ketika menonton Arrival, aku  jadi terlalu teruja menonton sambil minda sedang meneliti pada setiap sejarah dan teori linguistik yang dipersembahkan di dalam filem tersebut. Untuk Dukun, aku jadi tekun meneliti setiap unsur-unsur mitologi Batak yang diubah sedikit, tetapi masih tidak lari dari inspirasi asal.

Prolog filem ini dibuka dengan memaparkan kepada kita tentang sebuah peristiwa dalam sejarah Indonesia yang melibatkan pemberontakkan para bomoh wanita (witch) di Indonesia. Adapun, walaupun prolog itu tidak kelihatan kemas pada mata aku, tetapi ia sudah cukup kuat untuk memberitahu bahawa filem ini akan berlegar disekitar mitologi dan ilmu hitam golongan batak.

Misalnya, pengunaan tongkat batak yang dikaitkan dengan legenda diperbuat dari sebatang pokok yang pernah menelan 7 orang bomoh kuat orang batak suatu masa dahulu. Pembacaan sebelum menonton filem itu yang semenangnya berminat pada mitologi-mitologi Austronesia mendapati bahawa terdapat kisah seumpama dengannya dalam masyarakat Batak itu sendiri.

Untuk rekod, masyarakat Batak bukanlah dibuat-buat seperti dalam filem ini. Ada rakyat Malaysia yang tidak mengetahui bahawa Batak ialah nama satu bangsa yang dicatatkan dalam pelbagai rekod sejarah sejak abad ke-13 Masihi lagi. Misalnya pada tahun 1225, dalam rekod Zhao Rugua yang menulis dalam bukunya Zhufan Zhi, di mana dalam buku ini dapat ditemui mengenai rekod salah satu wilayah dikaitkan dengan Empayar Melayu Srivijaya ialah wilayah Batak itu sendiri. Pada tahun 1292, pengembara agung dari Eropah iaitu Marco Polo mencatatkan ketika pengembaraannya ke Sumatera mengenai kaum batak yang terkenal dengan amalan pemakanan manusianya.

Jadi, sudah tentu era beratus tahun itu membentuk mitologi mereka tersendiri. Dalam masyarakat Batak, mereka mempunyai kepercayaan mengenai tongkat batak yang dinamakan sebagai tunggal panaluan. Tunggal panaluan ini dikatakan mempunyai kuasa sakti yang sangat ampuh yang mampu memanggil hujan, menghalau bahaya dan melindungi masyarakat dari bahaya. Penghasilannya pada zaman dahulu memerlukan korban hidup manusia.

Tongkat batak yang dijual di alam maya.

Sejarah mengenainya adalah berkait rapat dengan kisah sebatang pokok yang telah menelan seorang wanita yang telah menelan sebuah buah daripada pokok bernama hau Tada Tada meninggalkan kepalanya sahaja. Kemudian, abangnya yang sedang mencari si adik, melihat kepala adiknya terjuntai diantara pokok sementara tubuhnya sedang ditelan. Ini memaksa si abang cuba membantu lalu kemudian si abang turut menjadi mangsa. Lalu, pokok ini menelan pula bomoh dan anjing yang cuba membantu si adik beradik ini. Sang pokok terus menelan makhluk lain seperti ular untuk melengkapkan angka 7.

Akhirnya dengan bantuan daripada seorang bomoh ini, pokok tersebut ditebang. Daripada pokok inilah diperbuat 7 batang tongkat batak, dan 7 roh makhluk yang ditelan itu akhirnya meresap masuk ke dalam tongkat ini, sekaligus membantu kepada upacara-upacara istik melindungi komuniti batak.

Daripada mitologi inilah yang mengilhamkan penggunaan elemen-elemen kepercayaan masyarakat batak sebagai penguat cerita. Sebab itu anda dapat melihat kewujudan seperti elemen-elemen kebudayaan batak selain daripada tongkat batak adalah seperti aksara batak, sejenis sistem tulisan masyarakat batak itu sendiri, serta pada artifak-artifak batak yang lain.

Tulisan batak.

Selain itu, aku tertarik dengan bagaimana elemen mitologi sejauh di Mesir Purba seperti Uroboros dijadikan penguat jalan cerita, dan bagaimana ia cuba dikaitkan dengan mitologi batak. Kepada yang tidak diketahui, sesungguhnya Uroboros adalah mitos ular memakan ular. Pada zaman silam, simbol ini dapat dilihat pada pelbagai peradaban selain Mesir Purba bahkan sejauh sehingga ke Dinasti Zhou. Syarikat moden juga menggunakan logo yang terinspirasi daripadanya seperti browser Mozilla Firefox atau logo Vodafone. Anehnya, logo ini sebenarnya wujud dalam masyarakat batak.

Kalau anda perhatikan dalam salah satu dialog dalam filem ini, yang disebutkan oleh Umie Aida, anda akan dapati ketika perbualannya dengan isteri kepada watak utama iaitu Karim, ada pengucapan yang berbunyi seperti “tuhan ular” atau “dewa ular”. Adapun ucapan yang lebih jelas agak samar dalam minda aku. Bila diteliti, ada dewa dalam sembahan masyarakat Batak yang perinciannya dikaitkan dengan ular.

Pada masyarakat Batak, mereka turut menyembah Pane Na Bolon yang merupakan dewa berbentuk ular yang dipercayai menguasai dunia tengah atau Banua Tonga. Dewa ini digambarkan dengan sifat membinasakan seperti menghancurkan tanam-tanaman, dan mampu memiliki jiwa manusia.

Dalam pengamatan aku meneliti pada setiap hipotesis pengaruh Mesir Purba ke atas maysarakat Sumatera aku menemui bahawa sebenarnya terdapat kertas kerja yang ditulis untuk membahaskan hipotesis tersebut misalnya seperti mana yang ditulis oleh Charles Robert Jones-Gregorio, M.Div, yang berjudul Egyptian and West Semitic Words in Sumatra’s Rejang Culture sememangnya wujud dalam percubaan membuktikan pengaruh Semitik dalam kebudayaan masyarakat-masyarakat di Sumatera dari segi linguistik, kebudayaan dan juga sistem tulisan termasuklah etnik batak itu sendiri.

Mungkin kebetulan, atau penulis skripnya sebenarnya memang pernah membaca makalah tersebut. Tetapi sekiranya percubaan menyelitkan mitologi Uroboros pada mitologi batak itu adalah hasil dari kajian dan dijadikan elemen pada sebuah jalan cerita , maka kata aku ia adalah percubaan cemerlang.

Bagi aku kekuatan filem ini adalah unsur antropologi yang dikupas dengan begitu baik. Jarang filem Melayu bermain dengan unsur-unsur macam ni. Kalau ada pun, kebanyakannya dibuat sambil lewa dan main taram, tetapi tidak filem Dukun. Setiap latar belakang ilmu hitam dalam filem ini ada asasnya pada sejarah dan kebudayaan.

Selain pengunaan mitologi dan antropologi masyarakat batak dengan cemerlang dalam filem ini, aku juga dalam kecemerlangan pelakon-pelakonnya. Babak pertemuan kali pertama Umie Aida dan Faizal Hussien pastinya akan terukir kemas dalam otak aku mengenangkan kekuatan dialog, yang ringkas tetapi sangat mendalam. Ahh lontaran intonasi Umie Aida yang digabungkan riak wajah cukup janggal Faizal Hussien tentunya bikin kau melekat, menghayati babak itu dengan harapan semoga ia kekal kaku di skrin wayang.

Unsur realistik yang cuba direalisasikan juga cukup mendapat pujian aku. Bagaimana prop seperti kaki dan kepala yang terpotong yang dipaparkan seolah-olah milik mayat manusia yang betul, atau longokkan timbunan tengkorak manusia adalah percubaan yang sangat bagus memandangkan isu-isu seperti ini selalu dipandang enteng oleh kebanyakan produksi Malaysia. Tidak lupa juga bagaimana plot ini menceritakan realiti suasana mahkamah di Malaysia, misalnya seperti Karim yang cuba menyuntik elemen “keraguan munasabah” untuk mempertahankan anak guamnya iaitu Diana lakonan Umie Aida.

Akhir kata, aku akhiri bebelan dengan memberikan rating setinggi 7/10! Percubaan yang hebat daripada industri perfileman Melayu Malaysia!

Previous article7 Urban Legend Terkenal Permainan Video
Next articlePeradaban Atlantis
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE